ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Monday, December 24, 2012

CERPEN : PERJALANAN DUKA SEORANG AKU!

by on Tuesday, 3 April 2012 at 02:44.

“Dah bertahun-tahun aku tengok kamu ni asyik sakit aje, kenapa takpergi berubat? takkan nak dibiarkan macam ni aje, makin lama makin teruk. Rupa boleh tahan…tapi sayang…cacat pulak!”


Zuppppp!! telingaku tiba-tiba rasa berdesing hangat. Hati mendidih bagaikan terkena lahar letusan gunung berapi.

“Kurang ajar punya orang tua!,” desis hati kecilku geram. Otak ada tapi langsung taktahu nak guna.

Lidahnya betul-betul tajam berbisa menghiris rasa. Sesedap mulut mengata aku tanpa perasaan. Apa? Dia ingat aku ni nak sangat ke sakit macam ni.? Terlantar berbulan-bulan di rumah menanggung azab seksa menahan sakit. Siapa yang mahu? aku sendiri pun takingin kalau boleh. Tapi, itulah rezeki yang Allah telah berikan untukku.

Seawal usia 7 tahun, aku telah diuji dengan ujian yang maha hebat. Jika diikutkan, taktermampu aku nak hadapi semuanya. Tapi apakan daya, sudah ketentuan-Nya begitu. Mahu takmahu aku terpaksa akur untuk terima segala takdir-Nya, dengan hati yang redha.


Sudah puas berulang alik ke hospital menjalani rawatan namun hasilnya, Doktor tetap tidak dapat mengesan apa sebenarnya penyakitku. Airmataku mengalir laju bagaikan empangan yang telah pecah. Pedihnya hati mendengarkan kata-kata si tua bangka yang tiada perasaan itu betul-betul menyengat sampai ke jantung hati yang paling seni.

“Mak, rasanya lebih baik saya mati dari terus hidup dicaci dan dihina macamni. Adakah orang sakit macam saya ni hanya layak untuk menjadi bahan umpat keji masyarakat je mak?” soalku pada mak di suatu petang.

“Sabarlah, sayang! biarlah orang nak mengata dan mengeji. Banyak pahala yang kamu dapat. Kita akan terus usaha mengubatinya, walaupun orang tak tahu dah pelbagai usaha telah kita buat selama ini. Biarlah. Mungkin belum sampai masanya lagi untuk kamu sembuh macam biasa.

Sabarlah banyak-banyak dan bawa mengucap. Jangan sekali-kali putus asa,” pujuk mak lembut menenangkan hatiku yang amat sedih di waktu itu. Kata-kata mak bagaikan titisan embun yang menyejukkan kalbuku.

“Saya taksanggup lagi mak…di sana sini orang mencemuh. Saya malu dengan keadaan diri saya begini,” ujarku pilu, lantas menangis teresak-esak dalam pelukan mak. Kata-kata pak cik tua itu sangat-sangat menyentuh kolong hatiku. Kalau ikutkan rasa, mahu saja aku bagi penampar paling "power" kat mulut si tua kerepot tu.

Tapi aku dididik agar hormat dengan orang tua. Ketika itu beliau bertandang ke rumahku untuk bersembang dengan arwah ayah. Kebetulan pada masa tu, aku ada di rumah dan menghidangkan minuman untuknya. Ayah pula sedang bersolat asar berjemaah dengan mak. Jadi, hanya aku yang menyambut kedatangannya.

Namun kini, peristiwa itu sudah lebih 30 tahun berlalu, Aku sekarang sudah pun sembuh dan pulih seperti sediakala dari penyakitku itu, berkat doa dan usaha yang tanpa henti dilakukan. Pada 30 julai 2001, aku selamat menjalani pembedahan penting yang diberi  nama "Post total tiroidectomey" iaitu pembedahan membuang keseluruhan kelenjar tiroid yang telah merosakkan banyak fungsi organ dalamanku.


Alhamdulillah, pembedahanku berakhir dengan jayanya meskipun, ianya dikatakan berisiko tinggi dan hampir-hampir meragut nyawaku, akibat daripada ketumbuhan yang amat pelik di bawah tulang selangkaku itu. Paling mengerikan, aku dimaklumkan oleh pakar bahawa kemungkinan besar tulang selangkaku juga akan dipotong...aduhaii...kecutnya perutku waktu itu. Kerisauan hati hanya Allah yang tahu.

Menurut pakar-pakar yang mengendalikan pembedahan ke atasku ketika itu, peratusan untuk pembedahanku itu berjaya amatlah tipis sekali. Aku diberitahu bahawa besar kemungkinan nyawaku tidak dapat diselamatkan, lantaran terlalu  banyak komplikasinya yang berisiko tinggi.


Tapi aku tetap nekad untuk melakukanya. Aku benar-benar telah bersedia dan pasrah walau apa pun yang bakal terjadi. Aku tidak sanggup lagi untuk menanggung kesakitan yang teramat sangat. Aku benar-benar yakin, hanya doa kedua ibu dan ayahku sahaja yang dapat menyelamatkan diriku di saat itu, selain daripada doa seorang suami yang redha memilih dan menerimaku sebagai isterinya. Itupun seandainya dia benar-benar ikhlas menyayangi diriku seadanya.

Benarlah...kuasa Allah telah mengatasi segalanya. Syukur, Alhamdulillah! tanpa kuduga, akhirnya segala urusan pembedahanku berjalan lancar dan  berjaya. Kejayaan pembedahanku itu amat menggembirakan hati ketua pakar bedah utama HUKM dan kumpulannya, yang telah mengendalikan kes aku yang agak kronik dan kritikal itu.


Menurut beliau, kes aku adalah kes pertama yang paling unik dan istimewa pernah beliau temui sepanjang 30 tahun lebih bergelar seorang pakar. Penyakitku yang agak pelik itu telah memberikan satu pengalaman dan penemuan baru yang begitu terkesan di hatinya, sehinggakan segala bahan sewaktu proses rawatanku yang ada sepanjang menjalani rawatan berjadual di HUKM itu, diambil oleh pakar dan dijadikan sebagai bahan penting untuk pembelajaran.

Terutamanya, bagi penuntut-penuntut jurusan perubatan di UKM. Demikianlah, yang dimaklumkan kepadaku oleh ketua pakar, sebelum aku dibenarkan keluar wad tempoh hari. Dengan senang hati aku mengizinkannya, setelah perbincangan dibuat dan aku dirawat dengan cukup sempurna serta teliti.

Sebelum itu, aku juga turut diminta untuk memberikan kerjasama kepada pihak hospital bagi
membantu mereka dalam menjayakan peperiksaan ikhtisas pelajar perubatan di HUKM, sebelum pembedahan dilakukan ke atasku...aku dibayar sebanyak RM60 untuk setiap sessi yang kuhadiri. Segala urusan pengambilan cutiku dengan pihak majikan juga turut diselesaikan oleh pihak hospital.


Pendek kata, aku diberikan segala keistimewaan sepanjang memberikan kerjasama kepada pihak hospital, sehinggakan kos pembedahanku yang sepatutnya menelan belanja lebih dari 10k itu, telah diberikan diskaun yang sungguh mengejutkan aku.

Syukur, Alhamdulillah! rupanya Allah SWT telah merancang sesuatu yang terbaik untukku, bagi setiap airmataku yang tumpah sebelum ini. Maha suci Allah...sungguh besar kekuasaan-Mu.

Kini, sudah lebih 10 tahun aku menjalani kehidupan baru dengan rutinku seperti biasa. Aku kembali sihat dan normal seperti semulajadi. Tiada lagi cacat-cela pada diri. Namun, hidupku terpaksa bertemankan ubat-ubatan yang diambil tanpa henti untuk sepanjang hayatku, di samping terpaksa mengikuti rawatan lanjutan secara berjadual yang telah ditetapkan oleh pakar mengikut tahap kesihatanku.

Tapi, setidak-tidaknya aku bersyukur kepada Ilahi  kerana telah memberikan peluang kedua untukku menyambung dan meneruskan sisa-sisa kehidupan ini dengan lebih ceria dan nikmat, setelah berpuluh-puluh tahun aku menjalani kehidupan yang amat pahit dan menggetirkan nyawaku.

Terima kasih HUKM, kerana di situlah nyawaku telah diselamatkan. Penghargaan dan terima kasih takterhingga juga buat Professor Dr. Jasmi Ali Yaakob selaku ketua pakar bedah am yang telah bertungkus lumus menyelamatkan nyawaku bersama pasukan pakar-pakar lain yang diketuainya.


Sesungguhnya jasa dan budi baik prof serta semua yang terlibat menyelamatkan nyawa saya, takakan sesekali dilupakan. Semoga Allah memberkati kalian semua di dunia dan akhirat...

Tidak dilupakan juga terima kasih sekalung budi buat Profesor Dato' Dr. Haron Din Al-Hafiz yang turut merawatku di "Pusat Rawatan Islam Darul Syifa' Bangi," sebelum aku dibolehkan menjalani pembedahan penting tempoh hari...jasa baik Dato' dan semua amat-amat saya hargai...Insya-Allah, aamiin!

Semakin hebat diri diuji
Semakin kalis rasanya diri
Semakin utuh aku berdiri
Semakin hampir dengan Ya Robbi
Terima kasih Ya Ilahi!
Atas dugaan-Mu Yang Maha hebat
Namun, aku masih di sini
Membina semangat dan keyakinan diri
Dengan taufik dan hidayah-Mu yang kucari.

Nukilan,
-CT Nurza-
03 April 2012.

*Sebuah nukilan pengalaman kisah benar hidupku.

*Kredit untuk grafik hiasan : Page Grafik Islamik.

No comments: