ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, December 21, 2012

PERTANDINGAN CORETAN UNTUK HARI AYAH


*CORETAN KHAS SEMPENA HARI BAPA UNTUK SEGMEN ADILA, KLASIK NASIONAL.

*AYAH - SIRI III - KESINAMBUNGAN TERHADAP CORETANKU YANG TELAH LALU.


Lagu-lagu pilihan wajib:-
1. Ayah - Aishah.
2. Di batas masa/waktu - Dato' Siti Nurhaliza.
3. Senandung anak pejuang [Nasyid] - Syah Inteam Feat Adikku Sayang [lagu ini telah ditukar oleh pihak penerbit kepada lagu klasik "Pengorbanan" dendangan Azlina Aziz & Liza Aziz]

 Masuk tahun ini, dah hampir 11 tahun ayah kembali kepada pencipta-Nya. Rasa rindu pada ayah begitu menebal di hati ini. Tambah pula ketika menjelangnya bulan ramadan al-mubarak. Itulah detik yang telah memisahkan aku dengan ayah.

Teringat lagi waktu kecil-kecil dulu, bila tiba saja bulan ramadan, ayah mesti minta emak buatkan kuih kesukaannya, iaitu penganan talam. Kalau boleh hari-hari ayah mahu berbuka puasa dengan penganan talam kegemarannya, tapi emak kata...


"Ala, kalau hari-hari asyik makan penganan talam aje, lama-lama jemulah pula nanti. Sekali-sekala teringin juga nak makan kuih-muih yang lain waktu berbuka, ubah selera," pintas emak.

Bila mak cakap begitu, ayah cuma diam membisu. Tapi, walau bagaimana pun, emak tetap buatkan juga kuih kegemaran ayah itu. Mungkin emak tak mahu ayah kecewa, kerana keinginannya tidak ditunaikan. Emak tahu, hanya itulah kuih kegemaran ayah sejak dari dulu lagi. Kami semua pun faham, jadi tak ada sesiapalah yang bersungut atau membantah keinginan ayah, melainkan makan aje apa yang akan mak sediakan. Selalunya mak akan masak lebih sedikit dari biasa, kerana sewaktu kami pergi menunaikan solat tarawih dan bertadarus al-Quran di masjid yang berdekatan dengan rumahku, kami akan bawa juadah tersebut ke masjid untuk dijamu oleh jemaah yang datang bersolat. Begitulah rutinnya setiap hari sepanjang ramadan al-mubarak. Namun, segala kenangan istimewa itu hanya tinggal satu kenangan sahaja buatku kini. Segala kemanisan menyambut ramadan bersama ayah, sudah pun berlalu sejak pemergiannya ke Rahmatullah.

Lebih tiga bulan ayah uzur dan terlantar sakit. Puas emak dan kakakku berikhtiar berbagai-bagai cara untuk merawat ayah agar kembali pulih, tapi apakan daya, sakit yang ayah deritai telah membawanya kembali semula kepada yang "Hak." Ayah hanya mengidap sakit perut biasa-biasa sahaja, bukan sakit kronik pun. Aku masih ingat lagi, ketika kami adik beradik bergilir-gilir menjaga ayah di hospital dan di rumah, sehari sebelum ayah pergi, ayah selalu membisikkan sesuatu ke telingaku, dengan nada suara yang lemah dan perlahan, ayah beritahu padaku, katanya...

"Sebentar lagi ada orang besar nak datang jumpa ayah, rumah ayah cantik. Ayah tak sabar lagi nak balik!." Sambil itu kulihat airmata ayah bergenang di pelupuk matanya.

Sebaik saja mendengar kata-kata ayah, hati kecilku dijentik rasa pilu dan sebak yang teramat sangat. Namun demikian, aku cuba mengesat airmata ayah yang mengalir ke pipinya dengan tisu, sambil aku sendiri cuba menahan sendu di hadapannya. Aku tak mahu buat ayah sedih, dengan apa yang aku rasai di saat itu. Aku lihat ayah asyik membelek-belek kuku tangannya, sambil sesekali melirik ke arahku yang asyik memerhatikannya dikala itu. Ketika keadaan ayah semakin nazak, aku juga lihat dan dengar ayah tak henti-henti berselawat dan mengucap dua kalimah syahadah dengan fasih dan lancar sekali, tanpa gangguan apa pun. Kami semua selalu ingatkan ayah bab itu, lebih-lebih lagi abangku yang turut sama menjaganya.

"Ayah tak lupa...ayah ingat semuanya.. janganlah kamu semua risau.." ujar ayah dengan keadaan tenang dan lemah tidak bermaya, sambil merenung wajah kami adik-beradik.

Apabila melihatkan keadaan ayah yang semakin lama semakin longlai, dengan isyarat yang diberikan oleh abangku, kami semua adik-beradik mencium dahi dan pipi ayah, sambil menyalami tangannya memohon ampun dan maaf di atas segala dosa-dosa kami padanya, jikalau ada. Ayah merenung sayu ke arah kami seorang demi seorang, lalu tersenyum lesu dan mengangguk kecil tanda telah memaafkan kami anak-anaknya. Ketika itu, kedengaran saudara mara dan jiran tetangga tidak henti-henti membacakan surah yasin dan al-Quran untuk ayah, dan setiapkali yasin habis dibaca untuknya, ayah akan mengangkat tangannya berdoa sambil berbaring, lalu meraup ke mukanya. Dan...dengan wajah yang cukup berseri dan tenang, tepat jam 12.15 tengah malam pada 10 ramadan 2001. Akhirnya ayah menutup mata dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan kami semua, anak-anaknya yang berada di sisi ayah ketika itu.

Ayah pergi dengan tenang dan syahdu. Pemergian ayah, kami iringi dengan doa walau di hati sedih teramat sangat, dengan kehilangannya. Segala urusan pengkebumian ayah cukup mudah dan pantas, walaupun diiringi titisan gerimis yang tiba-tiba turun, mengiringi jenazahnya sewaktu disolatkan dan dibawa ke tanah perkuburan yang tidak jauh dari rumahku.


Ayah, walau kini hanya cebisan kenangan yang ayah tinggalkan untukku, namun ianya sangat bererti sehingga kini. Sejambak doa kuutuskan untukmu ayah. Tenang sejahteralah dirimu di sisi-Nya.Moga rahmat Ilahi melindungi roh dan jasadmu ayah.

Salam rindu dari anakmu, yang tak pernah ternoktah. Al -Fatihah!



Nukilan rasa,
-Nurza-
14 Jun 2011.
04.10 am.

*Telah pun disiarkan di Radio Malaysia Klasik Nasional pada 22 Jun 2011 dalam segmen ADILA [Aku, Dia & Lagu] serta telah dipilih sebagai "Coretan Terbaik" untuk pertandingan coretan sempena hari bapa...

No comments: