ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, December 22, 2012

PUISI : BILA HATI TELAH HITAM


Bila hati telah hitam...
Manusia kehilangan arah
Pegangan semakin hilang
Kepercayaan kian luntur
Kebaikan disalah erti
Kebenaran akan lenyap
Kepalsuan menjadi bukti
Hasad merantai diri
Dengki menyala di hati

Bila hati telah hitam
Manusia kian rosak
Perasaan menguasai fikiran
Yang haram menjadi halal
Yang nyata menjadi sirna
Jiwa sering tertekan
Ketenangan tiada lagi
Fitnah dan dusta menjadi mainan

Bila hati telah hitam...
Dunia memuntahkan kebosanan
Hidayat Allah semakin menjauh
Dari sekumpulan manusia
Yang menagih kebenaran

Bila Hati telah hitam...
Keimanan kian tandus
Kejujuran akan hilang
Kejahatan beraja di hati
Kepincangan menguasai diri
Akhirnya...
Manusia mati dalam kelalaian
Tanpa keinsafan
Tanpa keampunan!


Nukilan,
-CT Nurza-


*Diterbitkan di Radio IKIMFM dalam segmen "Nukilan" jam 10:43mlm tanggal 27 Okt 2008.

*Puisi ini telah pun dimuatkan dalam "Buku Antologi Puisi" penulis-penulis Pahang berjudul "Kampung Pagi" yang diselenggarakan oleh En. Roslan Madun. Terima kasih abg Lan kerana memilih puisi ini...ia sangat bermakna bagi saya kerana sewaktu puisi ini terhasil sekitar tahun 1998, saya masih lagi bertugas di salah sebuah Farmasi di Shah Alam sebagai Pembantu Eksekutif Akaun dan puisi ini terhasil secara spontan apabila melihatkan sikap-sikap manusia di depan mata yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa dan wang.

No comments: