ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Monday, December 24, 2012

PUISI : PADA SEBUAH HIJRAH


Pada sebuah hijrah
Kuhumbankan segala gundah
Kuhanyutkan segala resah
Kukuburkan segala amarah
Dan kukutip kembali serpihan hati
Yang retak berkeping-keping
Lalu kubasuh kucantum
Di atas sejadah pengharapan
Sesudah kubilas dengan wuduk Penyuci jiwa
Menyingkir segala kekotoran dalam diri
Agar mazmumah yang melekat
Tidak lagi mengotori
Dinding hati yang dimiliki

Pada sebuah hijrah
Aku tidak akan menoleh lagi
Untuk berpaling dari langkah yang diatur
Kerana jalan yang kupilih
Telah lurus di hadapan sana
Bukan lagi berkelok
Jua menyesatkan

Pada sebuah hijrah
Aku datang menyerah
Dengan jiwa pasrah
Kerana pada-Nya aku berserah
Pada kiblat-Nya
Kumenuju arah.

~Salam Maal Hijrah untuk semua~


Nukilan,
-Nurza-
26112011 03:16am.

*Telah pun disiarkan pada 26 November 2011 Jam 03:33 minit pagi oleh DJ A. Razak Ismail di Radio Malaysia Klasik Nasional dalam "Segmen Senandung Pagi.Turut diulang siar oleh Dj Amiey di stesen Radio Manis FM. Terima kasih!



No comments: