ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, January 30, 2013

PUISI : MUNAJAT SEPI


Setiap ilmu dan pengalaman yang kuperolehi...
Akan kutuangkan di sini

Lantaran di sini
Tempatku menyepi

Tempatku bermuhasabah diri
Tika malam sunyi dan sepi...
Kumenyendiri mencari kelemahan diri
Kuperbaiki tiap kekurangan yang kumiliki 

Biarlah airmataku menitis kala dinihari 
Demi kasihnya aku kepada-Mu Ya Robbi 
Bimbinglah daku 
Pimpinlah daku 
Suluhlah daku dengan pancaran Nur iman 
Agar nanti bisa kujejaki syurga-Mu
Di tingkatan tqwa yang tetinggi
Aamiin!


 Nukilan spontan,
-Nurza-
30012013  04:24ptg.

SEKADAR CORETAN - 2

Assalamualaikum...
Selamat pagi, salam ceria salam tahajjud buat rakan-rakan pengunjung yang sudi singgah bertamu di laman blog ini, apa khabar semua?...harap sihat-sihat saja ya...terima kasih sekalung budi dari saya...:)

Hemmm....pepagi ni apalah nak post kat sini ek? takkan nak cerita pasal mimpi kut?...ishhh mimpi pun macam tak best jer nak story...
kannn???
ada ke patut mimpi dibelit ular sawa mata besar...Ya Allah Ya Rabbi...nih mesti gara-gara asyik duk nampak posting-posting ular besar jer kat fb kekawan saya kut?...ahahaha....memang tak boleh blah punyer mimpi cam kata bebudak rock sekarang ni kan?...hehehe...apa pun pepagi ni kena banyak senyum dan ceria-ceria sikit baru aura-aura positif akan meresap ke dalam diri dan seterusnya membuatkan kita rasa bahagia dan ceria sepanjang hari...Insya-Allah!

Oh ya, terlanjur menceceh kat sini pepagi ni, saya nak ambil kesempatan untuk mohon maaf kepada semua rakan-rakan followers saya, andai anda tidak dapat lagi melihat posting-posting lama saya di blog ini sejak sekian lama. Sebenarnya, blog ini masih dalam proses penambahbaikan lagi, jadi posting-posting saya yang lama tu (bermula 2010) disimpan buat sementara waktu untuk diedit kembali agar lebih kemas dan memuaskan lagi untuk dibaca dan ditatap. harap maaf dan bersabar ya di atas segala kesulitan yang timbul.

Insya-Allah, akan saya muatkan kembali kesemuanya secara berperingkat-peringkat mengikut kelapangan waktu yang saya miliki nanti. Diharap kekawan semua terus setia bersama saya di sini dan jikalau ada sebarang  idea dan pandangan yang ingin diutarakan tak kiralah teguran atau kritikan yang membina silalah sudi-sudikan menulis komentar anda di sini ya (dalam ruangan ulasan)..Insya-Allah...akan saya baca dan balas jika waktu mengizinkan nanti. Harapan saya semoga ilmu yang ada dapatlah dikongsikan bersama-sama...

Terima kasih kepada semua, kerana sudi meluangkan masa untuk menyinggah ke blog saya yang tak seindahnya ini...semoga ada manfaatnya yang diperolehi...mudah-mudahan...kannn?...Insya-Allah!


Akhir kata, salam hormat salam ceria dan senyum selalu...jumpa lagiiiii...

Tuesday, January 29, 2013

PUISI : SEPI


Kadangkala...
Perlu bersendiri menyepi
Mencari diri
Dalam larut puji dan keji
Agar bisa perbaiki diri
semoga hidup tidak merugi
Pada sebatas usia yang diberi
Untuk mencari cinta dan redha Ilahi.

CTNurza2013
27 Januari 01:06am.

MOTIVASI UNTUK DIRI SENDIRI - (1)



Semalam adalah kenangan
Hari ini adalah kenyataan
Esok masih belum pasti
Susah atau senang
Suka atau tidak
Dugaan tetap datang bertali arus
Kita harus terima
Kita harus tempuh
Hanya kesabaran menjadi benteng
Ketabahan menjadi kekuatan
Setiap cabaran adalah peluang
Peluang untuk kita belajar
Peluang untuk kita memperbaiki diri
Dan...

peluang untuk kita jadi lebih Berjaya!

-Nurza-
Oktober 2011.

KOLEKSI MADAH JIWANGZZ (1)



♥♥ "Biarkan cinta itu sesekali bersulam gelombang, persis samudera yang berkocak berombak pabila diterjah ribut dan badai. Andai ia sentiasa tenang takterusik oleh sang bayu yang menyapa, apalah ertinya jika hanya terlihat kaku dan membeku bagaikan bebatuan sepi yang terpinggir jauh takdiendahkan. Tanpa cabaran dan rintangan, cinta itu laksana kerikil yang terbiar di kaki pergunungan, sedangkan dugaan itu umpama buah yang menyerikan pepohonan. Pahit manis pastinya ada untuk melengkapi segala rasa, agar kita tahu untuk menilai dan menghargai pada sebuah cinta yang kita miliki. Semakin kuat dugaan menguji, semakin kukuh ikatan bersemi." ♥♥

-Nurza-
18012012
03:00am

KOLEKSI MADAH JIWANGZZ (2)


"Tulisan yang cantik taksemestinya terhasil dari jari-jemari yang lentik dan halus,
Tinta yang berharga taksemestinya mengalir dari mata pena yang mahal dan berjenama,
Tetapi...
Segalanya terletak pada cara dan bagaimana kita menulis.
Jika cantik kata-kata yang terukir, tetapi kosong tiada makna, 

Hanya sekadar luahan hati yang penuh emosi,
Ianya seumpama duri tajam yang tidak bererti, tetapi cuma mampu melukakan hati.
Andai kata-kata itu dinukilkan sekadar sederhana, tetapi mampu meresap ke dasar qalbu,
lantas menyejukkan telaga jiwa,  maka itulah sebenarnya tinta emas yang bernilai tinggi dan dicari-cari."


 
-Nurza-
12012012
11:03am
.

KOLEKSI MADAH JIWANGZZ (3)


"Kekurangan menjadikan kita insan yang berinisiatif untuk memajukan diri dan menyahut cabaran-cabaran yang datang dengan penuh semangat, tekad dan azam bila kita dihina, dicaci dan dikeji kerana kekurangan tersebut. Tapi, kelebihan jika kita leka, tidak bersyukur dan lupa diri akan membinasakan hidup kita dan boleh menjadikan kita insan yang paling hina bila kita terlalu alpa, ego dan sombong kerana Allah Itu Maha Adil maka diberikan kita kedua-duanya supaya kita senantiasa berfikir setiap masa."

-Nurza-
28 Jun 2012.

KOLEKSI MADAH JIWANGZZ (4)



♥ Gagal untuk mendapatkan sesuatu yang kita impikan takbermakna kita terus jatuh lemah dan "mati" selagi kita ada semangat dan cita-cita. di mana ada kemahuan di situ ada jalan, teruskan usaha untuk merintisnya. Jangan buatkan diri kita gagal selama-lamanya hanya kerana kegagalan yang sedikit. Arah dan perjalanan hidup kita, kita yang menentukannya. Tak perlu tewas dengan hinaan dan cercaan mereka yang irihati terhadap diri kita. Bukakan mata mereka seluas-luasnya agar suatu hari nanti mereka akan lihat dunia ini besar atau kecil. Buktikannnn!!. Telan segala kepahitan kata-kata itu menjadi sebutir ubat penawar yang mampu menyembuhkan segala kekecewaan diri kita suatu hari nanti. Buka minda, buka hati, genggam tekad, teruskan usaha dan doa. Insya-Allah, pintu kejayaan pasti akan terbuka juga. Gud luck yaou alls my friend! ♥

-Nurza-
26 Julai 2012.

PUISI : JIKA ISTERI


Jika isteri sayangkan suami...
Makan minum semua dijaga
Sanggup berkorban apa saja
Waima terpaksa berkorban perasaan

Suami ditatang bagai permata
Walau terkadang terusik rasa
Jasa ditabur taklangsung dihargai
Hingga isteri merana sendiri
Kerana setia cinta kasihnya
Meski terseksa pasrah segala

Jika suami sayangkan isteri...
Sayang bukan lahir dari hati
Hanya sekadar pemanis bibir
Apa dibuat minta dibalasi
Pengorbanan tidak sepenuh hati
Ketika susah isteri disayangi
Susah senang tetap bersama
Itulah janji membasahi bibir
Kala diri terbelit kesusahan
Namun...
Bila diuji dengan kekayaan
Suami sering terlupa
Janji melaut entah ke mana
Kasihkan isteri sanggup dimadu
Akhirnya isteri yang makan hati
Jika mendapat suami begini
Kerana poligami yang menghancurkan hati

Jika suami dan isteri...
Janjinya seteguh karang
Takpernah berubah takpernah berkurang
Bahagialah hidup aman dan damai
Rumah tangga harmoni kekal selamanya
Berkatlah hidup dunia akhirat

Wahai suami dan isteri...
Hidup ini seketika cuma
Berbakti biarlah ikhlas
Usahlah sering sakit menyakiti
Bimbang nanti sesalan yang menanti,
Di akhir usia saat diri terlantar derita
Menghabiskan sisa usia
Sebelum diri dijemput pergi.

-Nurza-
21 April 2011.
03.47am.

*Nukilan spontanku sekadar menyambung puisi dari page EPML.

MOTIVASI UNTUK DIRI SENDIRI


"...Tidak sukar untuk menjadi cemerlang selagi kita mampu berdaya saing, teguh jati diri, berbuat sesuatu dengan ikhlas dan tidak sekali-kali membelakangkan Allah SWT dalam setiap langkah kita. DIA yang memberikan rezeki, nikmat dan kejayaan kepada kita. Jadi, dia lebih tahu tentang niat dan tujuan kita, jika berbuat sesuatu kerana-Nya. Maka, tidak mustahil kita boleh menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang...Insya-Allah....usaha tangga kejayaan..."

-Nurza-
26092012.

PUISI : KETIKA INI





Tika diri bersedih berduka
Hanya kaupaling setia
Mendengarkan tiupan seruling hatiku
Mengalunkan lagu-lagu berirama jiwa
Untuk kita terus bersama
Berkongsi cerita suka dan duka

Kaulah pendengarku yang paling setia
Walaupun kau cuma
Seekor kucing
Tidak mengerti apa-apa.



-Nurza 2012-

Sunday, January 27, 2013

PUISI : USAH PRASANGKA





Usah banyak menanam prasangka...
Kerana prasangka itu
Menghitamkan hati saban hari
Ikhlas itu
Sukar dilihat terlindung di hati
Senang diucap di bibir dusta
Pancaran Nur Ilahi
Dapat dilihat dari wajah yang tenang dan suci

Lantaran wajah pantulan rahsia hati
Segala yang tersorot tersembunyi
Akan terpamer dari riak wajah

Jernih wajah jernihlah hati
Kerana hati yang bersih tiada hijab
Untuk merasai dan menafsirkannya
Dari gerak rasa yang Allah kurniakan
Maka usah kita menduga
Usah kita menerka
Bimbang kesilapan buatkan kita binasa
Jagalah hati jagalah lidah
Kerana di situlah punca segala kejahatan dan dosa
Menolak kita terjun ke neraka...
Na'uzubillahi min zaliq...

-Nurza-
05102012 10:20am.

PUISI : AZAM


Dalam segenggam harapan...
Kubina sejalur impian

Pada segunung tekad...
Kujuangkan cita-cita seiring matlamat

Takkan kubiar jiwa ini goyah...
Dalam perjalanan sukar dan payah

Cabaran itu mehnah...
Tetap kusambut dengan tabah

Biar aku dianggap lemah...
Asal diri tidak rebah

Ujian hidup...
Bukan untuk buat kubuntu

Langkah tetap kuatur...
Tak mungkin akan kuundur

Cintaku pada ilmu...
Buatku takpernah jemu

Pasti kubelajar dan terus belajar...
Menggali ilmu hingga ke dasar.

Hasbunallah huwani'kmal wakil!

Nukilan,
-CT Nurza-
26 Jan. 2013
03:35am.

Sunday, January 20, 2013

ARTIKEL : TIP MENCEGAH GEJALA SOSIAL


TIP MENCEGAH GEJALA SOSIAL.
Oleh : CT Nurza.


Seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih dan dikatakan dunia tanpa sempadan, maka begitu jualah dengan gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja sejak akhir-akhir ini. Ianya begitu hangat diperkatakan sebagai isu panas yang amat menyakitkan telinga juga merungsingkan fikiran ibu bapa dan semua pihak.

Meskipun pelbagai kempen, aktiviti dan sebagainya telah dilakukan dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membanterasnya, namun situasi ini masih tetap berlaku tanpa dapat dikawal dan diatasi. Mengapa? Adakah usaha kerajaan itu masih belum cukup untuk menyedarkan mereka, para remaja yang terbabit?


Apakah puncanya?


Sebenarnya, dalam hal ini tanggungjawab ibu bapa itu amat memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk mengatasinya. Ini kerana, tanpa kerjasama daripada ibu bapa dan keluarga, maka perkara ini tidak akan dapat diatasi dengan mudah, jika sekiranya hanya mengharapkan bantuan dari pihak luar untuk mengekangnya. Sedangkan ibu bapa dan keluarga langsung tidak memberikan perhatian dan kerjasama yang sewajarnya.

Hal ini amatlah mendukacitakan. Keruntuhan akhlak dan moral anak-anak remaja ini pastinya bermula daripada rumah. Ini kerana jika mereka mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa dan keluarga, pasti semua ini tidak akan berlaku.

Kesibukkan ibu bapa dalam meningkatkan ekonomi keluarga dan taraf hidup, kadangkala membuatkan anak-anak terasa seperti diri diabaikan, terpinggir dan tidak langsung diambil peduli. Ini menyebabkan jiwa mereka memberontak secara tegar untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan ibu bapa.


Ada di antaranya yang terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah, lumba haram, seks bebas, gengsterisme dan pelbagai lagi masalah sosial yang lain. Semua ini amatlah membimbangkan kerana ia merupakan suatu keadaan yang amat serius dan perlu ditanggani segera.

Masalah sosial seumpama ini bukan sahaja berlaku di bandar-bandar besar yang pesat membangun, tetapi juga ia turut menular ke kawasan-kawasan luar bandar seperti di kampung-kampung terpinggir dan juga pekan-pekan kecil.


Sementelahanlah pula di zaman cyber yang serba maju ini, kebimbangan terhadap keruntuhan akhlak dan moral anak-anak remaja amatlah meruncing sekali serta merisaukan banyak pihak. Paling menyedihkan lagi apabila kedapatan kanak-kanak di bawah umur yang turut terlibat sama dengan masalah ini. Ianya sangatlah menyesakkan fikiran ibu bapa dan amat mencemaskan masyarakat setempat.

Langkah untuk mengatasinya:-


1. Peranan Ibu bapa dan penjaga.

Sebagai ibu bapa, seharusnya lengkapkanlah diri anak-anak dengan ilmu agama yang secukupnya. Berikan mereka didikan yang terbaik dan tidak semata-mata mengharapkan hanya pihak sekolah atau guru agama sahaja yang mengajarnya, tetapi peranan ibu bapa juga penting, selain daripada memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian yang selayaknya agar anak-anak tidak berminat untuk keluar rumah tanpa tujuan dan sekadar membuang masa bersama rakan-rakan yang tidak menentu.

Ibu bapa juga harus mengetahui dan mengenali siapakah rakan-rakan yang sering berdampingan dengan anak-anak mereka dan sentiasa mengawasinya.

2. Kesedaran daripada diri sendiri. 


Walau sebanyak mana pun inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dan pelbagai pihak untuk mengatasi masalah ini, namun sekiranyaa tidak ada kesedaran dalam diri remaja itu sendiri, maka segala usaha dan kempen yang dilakukan akan menjadi sia-sia sahaja. Ini kerana kesedaran dalam diri remaja itu sendiri amat penting sekali. Perubahan hanya boleh berlaku apabila remaja itu mahu berusaha dengan nekad untuk berubah. Mereka perlu memikirkan baik dan buruknya setiap perbuatan dan tindakan yang telah mereka lakukan.

3. Peranan masyarakat dan pihak sekolah.


Sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kepada masyarakat sekitar dan juga pihak sekolah untuk turut serta memainkan peranan penting bagi mengelakkan perkara-perkara seumpama ini dari terus berleluasa, kerana remaja ini adalah aset penting untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah Negara.

Justeru merekalah bakal mewarisi kepimpinan yang akan datang di masa hadapan. Untuk itu pihak sekolah dan masyarakat perlulah bersikap prihatin dan ambil cakna dengan menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan untuk membimbing para remaja ini dari terus hanyut dalam dunia mereka yang tanpa sempadan dan amat merugikan. 

Ahli-ahli  Masyarakat juga, perlulah membuka mata dan minda untuk menyokong apa jua program-program yang telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, PLKN dan pelbagai lagi demi untuk mengekang gejala-gejala sosial seumpama ini dari terus berlarutan.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah berkerjasama dan berganding bahu untuk membendung masalah ini dari terus berlarutan dan menjadi bertambah parah dan lebih serius lagi.


Kerjasama semua pihak amatlah membantu untuk kita menarik balik remaja-remaja yang tersasar dari landasan ini agar tidak terus tergelincir dan berterusan hanyut untuk kembali semula ke pangkal jalan. Usaha gigih yang berterusan itulah yang paling utama sekali untuk merealisasikan segalanya.

*Gambar hiasan : Sumber petikan dari atok Google...:)