ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Sunday, January 20, 2013

ARTIKEL : TIP MENCEGAH GEJALA SOSIAL


TIP MENCEGAH GEJALA SOSIAL.
Oleh : CT Nurza.


Seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih dan dikatakan dunia tanpa sempadan, maka begitu jualah dengan gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja sejak akhir-akhir ini. Ianya begitu hangat diperkatakan sebagai isu panas yang amat menyakitkan telinga juga merungsingkan fikiran ibu bapa dan semua pihak.

Meskipun pelbagai kempen, aktiviti dan sebagainya telah dilakukan dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membanterasnya, namun situasi ini masih tetap berlaku tanpa dapat dikawal dan diatasi. Mengapa? Adakah usaha kerajaan itu masih belum cukup untuk menyedarkan mereka, para remaja yang terbabit?


Apakah puncanya?


Sebenarnya, dalam hal ini tanggungjawab ibu bapa itu amat memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk mengatasinya. Ini kerana, tanpa kerjasama daripada ibu bapa dan keluarga, maka perkara ini tidak akan dapat diatasi dengan mudah, jika sekiranya hanya mengharapkan bantuan dari pihak luar untuk mengekangnya. Sedangkan ibu bapa dan keluarga langsung tidak memberikan perhatian dan kerjasama yang sewajarnya.

Hal ini amatlah mendukacitakan. Keruntuhan akhlak dan moral anak-anak remaja ini pastinya bermula daripada rumah. Ini kerana jika mereka mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa dan keluarga, pasti semua ini tidak akan berlaku.

Kesibukkan ibu bapa dalam meningkatkan ekonomi keluarga dan taraf hidup, kadangkala membuatkan anak-anak terasa seperti diri diabaikan, terpinggir dan tidak langsung diambil peduli. Ini menyebabkan jiwa mereka memberontak secara tegar untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan ibu bapa.


Ada di antaranya yang terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah, lumba haram, seks bebas, gengsterisme dan pelbagai lagi masalah sosial yang lain. Semua ini amatlah membimbangkan kerana ia merupakan suatu keadaan yang amat serius dan perlu ditanggani segera.

Masalah sosial seumpama ini bukan sahaja berlaku di bandar-bandar besar yang pesat membangun, tetapi juga ia turut menular ke kawasan-kawasan luar bandar seperti di kampung-kampung terpinggir dan juga pekan-pekan kecil.


Sementelahanlah pula di zaman cyber yang serba maju ini, kebimbangan terhadap keruntuhan akhlak dan moral anak-anak remaja amatlah meruncing sekali serta merisaukan banyak pihak. Paling menyedihkan lagi apabila kedapatan kanak-kanak di bawah umur yang turut terlibat sama dengan masalah ini. Ianya sangatlah menyesakkan fikiran ibu bapa dan amat mencemaskan masyarakat setempat.

Langkah untuk mengatasinya:-


1. Peranan Ibu bapa dan penjaga.

Sebagai ibu bapa, seharusnya lengkapkanlah diri anak-anak dengan ilmu agama yang secukupnya. Berikan mereka didikan yang terbaik dan tidak semata-mata mengharapkan hanya pihak sekolah atau guru agama sahaja yang mengajarnya, tetapi peranan ibu bapa juga penting, selain daripada memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian yang selayaknya agar anak-anak tidak berminat untuk keluar rumah tanpa tujuan dan sekadar membuang masa bersama rakan-rakan yang tidak menentu.

Ibu bapa juga harus mengetahui dan mengenali siapakah rakan-rakan yang sering berdampingan dengan anak-anak mereka dan sentiasa mengawasinya.

2. Kesedaran daripada diri sendiri. 


Walau sebanyak mana pun inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dan pelbagai pihak untuk mengatasi masalah ini, namun sekiranyaa tidak ada kesedaran dalam diri remaja itu sendiri, maka segala usaha dan kempen yang dilakukan akan menjadi sia-sia sahaja. Ini kerana kesedaran dalam diri remaja itu sendiri amat penting sekali. Perubahan hanya boleh berlaku apabila remaja itu mahu berusaha dengan nekad untuk berubah. Mereka perlu memikirkan baik dan buruknya setiap perbuatan dan tindakan yang telah mereka lakukan.

3. Peranan masyarakat dan pihak sekolah.


Sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kepada masyarakat sekitar dan juga pihak sekolah untuk turut serta memainkan peranan penting bagi mengelakkan perkara-perkara seumpama ini dari terus berleluasa, kerana remaja ini adalah aset penting untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah Negara.

Justeru merekalah bakal mewarisi kepimpinan yang akan datang di masa hadapan. Untuk itu pihak sekolah dan masyarakat perlulah bersikap prihatin dan ambil cakna dengan menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan untuk membimbing para remaja ini dari terus hanyut dalam dunia mereka yang tanpa sempadan dan amat merugikan. 

Ahli-ahli  Masyarakat juga, perlulah membuka mata dan minda untuk menyokong apa jua program-program yang telah dirancang oleh pihak-pihak tertentu seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, PLKN dan pelbagai lagi demi untuk mengekang gejala-gejala sosial seumpama ini dari terus berlarutan.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah berkerjasama dan berganding bahu untuk membendung masalah ini dari terus berlarutan dan menjadi bertambah parah dan lebih serius lagi.


Kerjasama semua pihak amatlah membantu untuk kita menarik balik remaja-remaja yang tersasar dari landasan ini agar tidak terus tergelincir dan berterusan hanyut untuk kembali semula ke pangkal jalan. Usaha gigih yang berterusan itulah yang paling utama sekali untuk merealisasikan segalanya.

*Gambar hiasan : Sumber petikan dari atok Google...:)

No comments: