ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, February 28, 2013

CORETAN KHAS BUAT AYAH (SIRI-1)




Coretan untuk slot 'ADILA' (AKU, DIA & LAGU) terbitan Radio Malaysia Klasik Nasional

SEKUNTUM RINDU BUAT AYAH

Lagu pilihan:-

1. Di Pondok Kecil - Kump. Nasyid Aeman.
2. Ayah - Aisyah.
3. Mati hidup semula - Jamal Abdillah.

Ayah...sedar taksedar sudah hampir 10 tahun ayah pergi meninggalkan kami.10 ramadan 2001, itulah tarikh paling keramat dalam hidupku. Aku kehilangan insan yang sangat-sangat aku sayangi dalam hidupku selain daripada ibu dan suamiku.

Ayah...pemergianmu benar-benar membuatkan aku rasa kehilangan sesuatu yang sangat bermakna dalam hidup ini. Kau pergi disaat-saat aku masih memerlukanmu ayah. Manakan tidak, sebaik saja aku berjaya menjalani pembedahan penting yang hampir-hampir meragut nyawaku, aku kehilangan insan yang amat aku sayangi dan kasihi dalam hidupku. Tidak dapat aku bayangkan ayah!. Aku rasa hidupku benar-benar kosong setelah ketiadaanmu.! Tiada lagi tangan yang dapat kukucup dan kucium tiapkali pulang ke kampung. Tiada lagi kata-kata nasihat penyejuk hati yang bisa kudengar untuk menjadi santapan halwa telingaku bila pulang ke rumah.

Ayah, sejak daripada kecil hingga dewasa, kau menjaga aku dengan penuh kasih sayang dan sebaik mungkin, sehingga kadang-kadang aku sering menjadi mangsa iri hati adik beradik yang lain. Ini kerana ayah banyak memberikan perhatian kepadaku disebabkan penyakit yang aku alami. Aku sedar nasibku agak malang lantaran sejak dari kecil lagi aku diuji dengan penyakit yang cukup hebat dan berat untuk ditanggung. Aku hampir-hampir berputus asa untuk meneruskan kehidupan setiapkali aku terlantar sakit.

"Aduhai!..hanya Allah sahaja yang tahu betapa sengsara dan menderitanya hidupku disaat itu ayah!"

Sudah puas ayah berhabisan wang ringgit untuk mengubati penyakitku namun, tetap takberjaya. Setiapkali pergi ke hospital, Doktor pasti akan berkata kepadaku,

"Keadaan awak normal, awak sihat dan taksakit apa pun." Aku menjadi semakin hairan mendengar kenyataan yang diberikan oleh Doktor.

Ah, peliknya! kalau aku taksakit kenapa pulak otak aku rasa macam nak pecah? badan aku panas tak terkata, kepalaku jadi berat dan berbulan-bulan aku takmampu bergerak aktif? entahlah!! aku sendiri pun taktahu kenapa keadaan kuseperti itu. Oh Tuhan! sungguh hebat dugaanmu!

Penyakitku tetap takdapat dikesan. Aku rasa kecewa teramat sangat. Saban hari hidupku hanya bertemankan airmata. Aku hanya mengunci diri di bilik. Menangis dan menangis. Itulah yang mampu aku lakukan setiap waktu untuk meluahkan rasa kecewa yang menghuni di hati.

Pernah suatu ketika, sampai berbulan-bulan aku terlantar sakit akibat penyakitku yang datang menyerang. Namun, ayah tidak pernah sesekali berasa jemu dan bosan untuk berada di sisiku memberikan kata-kata semangat, nasihat dan dorongan agar aku tabah dan sabar menghadapi ujian dari-Nya. Siang malam ayah akan berada di sisiku membacakan ayat-ayat suci al-Quran, berzikir dan berdoa tanpa kenal putus asa agar Allah meringankan penderitaanku di waktu itu. Aku terharu ayah! dalam keadaanku yang tidak berdaya itu, aku sering melihat ayah melakukan solat sunat hajat, tahajjud dan sebagainya bila saja tiba disepertiga malam. Kata ayah, waktu itu adalah waktu yang paling hampir antara kita dengan Allah, jadi kesempatan itu tidak pernah ayah lepaskan untuk berdoa dan memohon agar Allah menyembuhkan penyakit yang aku alami. Aku amat menghargai pengorbananmu ayah. Saat itu aku rasa tenang setenang-tenangnya bila melihat ayah bersolat , berzikir dan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran di sisiku, sambil ayah sendiri mengingatkan aku agar tidak lupa berzikir di dalam hati walaupun keadaanku begitu lemah. Syukur, alhamdulillah! walaupun sakit namun aku tetap mampu menunaikan solat atas nasihatmu ayah..

Ayah, hampir dua puluh tahun lebih kau menunggu saat aku kembali pulih seperti biasa dan ketika saat doamu dimakbulkan oleh-Nya, aku pula terpaksa menerima hakikat yang aku telah kehilanganmu selepas beberapa bulan aku menjalani pembedahan di HUKM. Dengan berkat pertolongan daripada Dato' Dr. Harun Din yang telah berusaha merawatku, sehingga akhirnya penyakitku telah dapat dikesan oleh pakar...syukur, kehadrat Ilahi Ayah!! aku telah dipertemukan dengan Ustaz dan berkat pertolongannya aku kini telah pulih dan berjaya menjalani kehidupan yang penuh bermakna seperti insan lain sesudah berpuluh tahun terlantar sakit, biarpun aku terpaksa bergantung hidup dengan ubat talian hayatku sepanjang masa..namun aku tetap bersyukur kerana kini Allah telah memberikan aku nikmat sihat yg suatu ketika dulu aku pernah kehilangannya dan tidak pernah merasainya ayah.!

Akhirnya, untukmu ayah yang kukasihi. Hanya doa dan kiriman al-fatihah sahaja yang mampu aku titipkan di penghujung solatku setiap masa. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas rohmu di alam sana. Semuga Ayah bersemadi dengan penuh ketenangan.

Kepada Dato' Dr. Harun Din Al-Hafiz, serta pakar-pakar bedah di HUKM, terutama Profesor Dr. Jasmi Ali Yaakob dan semua pakar-pakar yang terlibat dalam pembedahanku pada 30 Julai 2001. Jutaan terima kasih kepada kalian semua kerana telah bertungkus lumus menyelamatkan nyawaku. Sesungguhnya, jasa kalian semua takakan sesekali kulupakan. Terima kasih untuk semua. Tanpa kalian yang membantuku tak mungkin aku dapat melihat dunia ini lagi. Semoga Allah merahmati kalian semua...aamiin.!

-CT Nurza-
Jun 2010.

*Telah disiarkan di stesen Radio Malaysia Klasik Nasional & mendapat sambutan serta maklum balas yang tidak terduga.Terima kasih untuk penerbit rancangan, Kak Nur liza yeo Abdullah & penyampai coretan Pn. Zuraidah Mohd Noh...jasa baik kalian takkan dilupakan kerana memberi ruang untuk kuberkarya di sini. Kepada rakan-rakan fb yang kukasihi, yang banyak memberikan maklumbalas terhadap nukilan ini, maafkan aku kerana membuatkan anda semua menumpahkan airmata disebabkan menghayati kisah dukaku, namun kesetiaan dan kesudian kalian mendengarkan kisahku ini, sangat-sangat aku hargai. Budi baik kalian serta sokongan moral yang diberikan takakan aku lupakan selamanya...Insya-Allah!


No comments: