ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, February 15, 2013

PANTUN : AKHLAK TERPUJI


Dari Trolak pergi ke Kedah,
Melintas gajah di jalan mati;
Cantik akhlak dalamannya indah,
Terpamer di wajah sucinya hati.

Melintas gajah di jalan mati,
Habis padi tepi perigi;
Terpamer di wajah sucinya hati,
Bila peribadi indah terpuji.

Habis padi tepi perigi,
Dimakan sekawan siburung nuri;
Bila peribadi indah terpuji,
Ramailah kawan suka hampiri.

Dimakan sekawan siburung nuri,
Pucuk pegaga tanaman mak Eton;
Ramailah kawan suka hampiri,
Jika terjaga adab dan santun.

Pucuk pegaga tanaman mak Eton,
Dibuat juadah bersama kanji;
Jika terjaga adab dan santun,
Malulah lidah untuk mengeji.

-Sekadar mengisi waktu bersisa-
Nurza
15 Feb 2013  11:14pm.


*Di bawah ini adalah balasan pantun dari rakan-rakan FB di group "Teratak Pantun" :

  • Nor Ghani Sarapan dikebun enak sekali, juadah dipesan dari pekan, Sopan santun sifat terpuji, mudah disanjung sukar disempurnakan.

  • Sabariah Ahmad bakal nya cuma nasi sekepal,untung sabut hanyut terapong,tuan umpama emas sekapal,disanjung di sambut orang kampong .

  • Nur Za Salam En. Nor Ghani & Pn. Sabariah Ahmad...terima kasih balasan pantun...saya jawab dua-dua ya...

    Buah keranji enak dimakan,
    Duduk di beranda dipetang hari;
    Sifat terpuji sukar disempurnakan,
    Jika tiada muhasabah diri.

    Cantik rupawan anak pak Aji,
    Duduk tafakur asyik gayanya;
    Janganlah Puan tinggi memuji,
    Puji dan syukur hanya untuk-Nya.
  • Nor Ghani Indahnya bunyi khutbah khatib, tenteram dan tenang hati dan ruh, muhasabah diri memanglah wajib, kolam dengkel airnya senang menjadi keruh.

No comments: