ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, February 28, 2013

PANTUN MAULIDUR RASUL 1432 Hijrah


Dari kemasul pergi ke Pekan,
Singgah berhenti beli kelubi;
Maulidur rasul kita raikan,
Sempena mengingati kelahiran nabi.

Singgah berhenti beli kelubi,
Hampir bermalam di rumah penakan;
Sempena mengingati kelahiran nabi,
Selawat dan salam kita alunkan.

Hampir bermalam di rumah penakan,
Menjamu hidangan siakap halia;
Selawat dan salam kita alunkan,
Kepada junjungan pembawa cahaya.

Menjamu hidangan siakap halia,
Manis rasanya dibuang jangan;
Kepada Junjungan pembawa cahaya,
Al-Quran dan sunnahnya jadikan pegangan.

Penat rasanya mencari berangan,
Dari Kuantan pergi ke Tioman;
Al-Quran dan sunnahnya jadikan pegangan,
Itulah ikutan sepanjang zaman.

Buah perah jatuh berguguran,
Makan berebut helang berterbangan;
Langit cerah bintang bertaburan,
Tatkala menyambut kelahiran Junjungan.

Kayu dibelah di tepi paya,
Sampai di baruh gelap gelita;
Lahirnya Rasulullah membawa cahaya,
Menerangi seluruh alam semesta.

Sampai di baruh gelap gelita,
Suram cahayanya di rumah bonda;
Menerangi seluruh alam semesta,
Dengan berkatnya kelahiran baginda.

Bakar jerami tepi beranda,
Akar kesum dicabut dialih;
Ulul Azmi gelaran baginda,
Rasul maksum lagi terpilih.

Akar kesum dicabut dialih,
Seinci halia diricis dibelah;
Rasul yang maksum lagi terpilih,
Itulah dia kekasih Allah.

Nukilanku,
-Nurza-
07 Feb 2011.

*Diterbitkan di stesen Radio Manis FM dan dinukil khas atas permintaan Dj Amiey Memanglah Amiey.