ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, February 7, 2013

PANTUN NASIHAT (1) - RADIO IKIMFM



Di hujung halaman bertanam halia,
Buah keranji di tapak tangan;
Berilmu beriman berakhlak mulia,
Peribadi terpuji menjadi sanjungan.

Beli pelita dipekan sabtu,
Kayuh biduk mencari gamat;
Berselawatlah kita setiap waktu,
Semoga hidup dilimpahi rahmat.

Berbaju kebaya anak Pengiran,
Menyantap halwa di sisi buaian;
Miskin kaya bukan ukuran,
Iman dan taqwa jadi nilaian.

Pohon senduduk sipohon sena,
Tumbuh melati di pinggir jeram;
Biarlah hidup serba sederhana,
Asalkan hati tenang dan tenteram.

Pergi mengaji dimalam hari,
Akar sepetang dibawa belayar;
Bila berjanji jangan mungkiri,
Umpama hutang perlu dibayar.

Padi segemal dituai Tok Aki,
Dibawa suri pulang ke rumah;
Usah diamal hasad dan dengki,
Merugikan diri menghancurkan ummah.


Nukilan,
CT Nurza.
Mei 2008.

*Diterbitkan di Radio IKIMFM Mei 2008 segmen 'Pantun Nasihat' [Dipilih sebagai pemenang pantun terbaik mingguan].

No comments: