ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, March 29, 2013

PUISI : MASIH DI SINI


Aduhai...
Aku masih di sini bertatih mencari arah
Untuk mengatur langkah pasrah  

Walau hati berdarah parah
Kutak akan menurut nafsu amarah
Lantaran kutahu pergiku hanya menambah sendumu

Justeru...
Biarlah aku terus di sini
Memasang impian memetik bintang
Biarpun masih jauh untuk kugenggam
Namun kutak akan putus asa menyerah kalah
Selagi doamu sahabat menjadi penguat semangatku
Untuk kuteruskan langkah terakhirku
Agar lebih bererti dan abadi.

-Nurza-
26 April 2012 12:00pm.

Monday, March 25, 2013

SAJAK : BUNGA-BUNGA DI HUJUNG JARI

BUNGA_BUNGA DI HUJUNG JARI
( untuk Emak )

bunga-bunga pada berkembangan lagi indah
antara silang mengkuang serta pandan
demikian lembut mengorak seri kelopak
mekar di hujung jemarimu
menghias anjung rumah kambung

di rumah itu detik mengalir
hingga petang singgah meredup wajah
ketuaan pun meluntur upayamu
sedang puterimu yang manis itu
tak pernah bertanya tentang bunga-bunga
yang saban hari kaumekarkan,
ia lebih senang bercerita tentang
gincu merah pudar, haruman elit
atau cawan kristal ketika duduk santai
di sofa import pangsapuri kota
setiap pagi selepas aerobik

ii

masih di rumah kampung kala petangmu
semakin condong, seperti selalu
kaususun bunga demi bunga
yang mekar di hujung jari

setitis kecewamu perlahan gugur
ke atas tikar yang kauanyam,
padanyalah bakal rebah usiamu
dan bunga-bunga yang pernah mekar
pastilah akan turut termakam.

- Mohd. Adzlan Sulong ( 1986 )

* Dari Antologi GENTA / DBP 1993

Sunday, March 24, 2013

DETIK MANIS KAU DAN AKU

Sweet Memory : Abadikan kenangan di Majlis Perkahwinan teman baikku Ima.

Dulu waktu kami bersekolah, Ima nilah kawan baik aku sejak dari tingkatan satu hinggalah ke tingkatan lima. Selepas habis SRP, aku dan Ima menyambung pula pelajaran kami ke sekolah lain iaitu Sekolah Menengah  Padang Saujana, Jerantut, untuk naik ke tingkatan empat. Walaupun kelas kami berlainan, tapi itu semua tidak menjadi masalah. Pergi dan balik sekolah kami tetap bersama-sama ulang alik setiap hari. Kampung aku dengan kampung Ima pun tidaklah sejauh mana.

Paling tak boleh lupa bila aku selalu cuti sakit. Imalah yang selalu jadi posmen aku, tolong  sampaikan surat ketidakhadiranku kepada pengetua. Pendek kata aku benar-benar terhutang budi dengan Ima kerana banyak jasanya menolong aku. Cuma beliaulah yang paling rapat dengan aku dan mengetahui segala masalah kesihatanku waktu itu. Mujurlah ada Ima...kalau tidak habislah aku kena denda dengan pengetua sebab terlalu banyak tak datang sekolah. Tetapi semua tu bukanlah aku saja suka-suka nak memonteng, tambahan pula aku bukanlah kaki ponteng pun. Semuanya gara-gara penyakit misteri yang aku alami sewaktu sekolah rendah lagi. Alhamdulillah, biarpun aku jarang datang sekolah kerana sakit tapi aku masih mampu menumpukan perhatian kepada pelajaranku yang telah tertinggal.

Selepas tamat tingkatan lima dan setelah aku habis mengikuti kelas perdagangan selama 6 bulan, aku dan Ima curi-curi cari kerja. Nak test sijil dan diploma akulah konon-kononnyerr...kami pernah menghadiri interview bersama-sama di jabatan kerajaan tapi dua-dua tak berjaya, maklumlah masa tu masih mentah lagi, pengalaman kerja pun tak ada jadi manalah nak dapat...namun, semua itu tidak mematahkan semangat aku dan Ima...sepanjang mengisi masa, aku banyak menghabiskan masa dengan mengikuti pelbagai kursus keagamaan, penulisan, kebudayaan dan pelbagai lagi demi untuk menambahkan ilmu di dada. Manakala Ima pula, aku dimaklumkan bahawa beliau pergi mengikuti kursus kejururawatan sebagai jururawat masyarakat. Alhamdulillah, selepas beberapa tahun kami berdua "lost contact" tiba-tiba Ima menelefon aku memaklumkan bahawa dia bertugas di Selangor. Kebetulan pula waktu itu aku juga menetap di Shah Alam kerana bertugas di sebuah farmasi sebagai Pembantu Eksekutif Akaun jadi kami berdua sering berhubung menerusi telefon setiapkali kami ada peluang dan kelapangan. Akhirnya hubungan yang terputus seketika oleh keadaan bertaut kembali. Alangkah gembiranya rasa hati waktu tu...

Kini, setelah aku balik semula ke Pahang kerana berpindah mengikut suamiku, aku bertemu kembali dengan Ima selepas agak lama terputus hubungan dengannya. Ima sempat datang menziarahi dan menemuiku di rumah, alhamdulillah, pertemuan dengannya sangat-sangat bermakna dan amat kuhargai. Tahniah untukmu sahabatku kerana kini kau telah semakin sukses dalam kerjayamu dan berjaya mengejar impianmu. Walau kini baru bertemu jodohmu, sebagai teman baik aku amat gembira kerana dapat meraikannya bersama-sama hari ini. Semoga rumah tangga yang dibina aman bahagia dan berkekalan hingga ke jannah. Aamiin...Selamat Pengantin Baru...salam sayang untukmu my fren!...



TOPIK SPM1MALAYSIA TV1 : MEMBELI-BELAH

"Assalamualaikum dan selamat pagi....pendapat saya, membeli-belah pada awalnya mungkin boleh menjadi therapi diri untuk melepaskan tekanan di samping mencuci mata melihat barang-barang yang cantik, berjenama dan menjadi idaman. Tetapi membeli-belah juga boleh menjadi satu bebanan pada akhirnya apabila terlalu mengikut hawa nafsu menghabiskan wang tanpa manfaat kerana perbelanjaan yang berlebihan dan adakalanya melebihi kamampuan diri. Biar papa asal bergaya, itulah sifat orang kita yang selalunya menyusahkan diri sendiri dan orang lain juga. Rasanya berjimat cermat adalah lebih baik daripada menghabiskan duit tak tentu hala kerana wang itu perlu dilaburkan untuk perkara yang lebih penting lagi yang boleh memberikan manfaat seperti menyimpan untuk pendidikan anak-anak dan masa depan yang masih panjang lagi tanpa kita ketahui perjalanan hidup kita di masa-masa akan datang. Hidup tak selalunya senang dan adakalanya kita akan diuji dengan kesusahan, jadi sediakan payung sebelum hujan. Namun begitu terpulang pada diri masing-masing. Terima kasih."

-CT Nurza-
24 Mac 2013

*Disiarkan di TV1 jam 09:13am pada 24 Mac 2013 dalam segmen "Selamat Pagi 1Malaysia."

Saturday, March 23, 2013

PUISI : DI TIRAI RASA


Di tirai rasa...
Kulontarkan pandangan berkaca
Dalam membujuk hati agar tidak berdusta
Kala janji ternoda
Oleh sumpah dan janji manis
Ternyata palsu dan hampa

Di beting kasih...

Aku berdiri tersisih
Melangkah
bersama ucapan terima kasih

Dengan hati yang putih bersih 
Kutinggalkan kekalutan yang masih
Hingga membuatku harus menyisih


Terima kasih!
Terima kasih!
Terima kasih!

Untuk segalanya. 

-Nurza-
23032013  05:22am.

CORAT-CORET LUAHAN HATI DIHENING PAGI


Bismillahirrahmanirrahiim...
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!
Assalamualaikum...selamat pagi dan salam tahajjud buat semua kekawan dan pengunjung yang sudah terjaga dari lena...ayuh kita manfaatkan waktu yang ada untuk sama-sama menyediakan bekalan kita sebelum berangkat pulang ke sana, dalam jangka waktu yang tidak dapat ditentukan sama ada esok, lusa atau bila-bila masa sahaja kita akan dijemput pulang oleh-Nya.

Ya Allah Ya Tuhanku...
Dipagi yang syahdu ini...aku bermohon kepadamu...kau ampunilah dosa-dosaku, dosa suamiku, dosa kedua ibu bapaku, dosa guru-guruku, serta dosa sekelian muslimin dan muslimat seluruhnya. Berilah kesembuhan kepada hamba-hamba-Mu yang sedang diuji dengan kesakitan dan penderitaan. Jika kami berdosa kepada-Mu, lalai mentaati perintah dan suruhan-Mu, leka dengan kehidupan duniawi yang merugi, goyah dengan hasutan iblis dan syaitan, kau ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah! Kami lemah, kami hina, kami dhaif maka berikanlah kami taufik dan hidayah-Mu. Bimbinglah kami! tunjukilah kami jalan yang benar dan lurus. Jauhkan kami daripada segala maksiat dan fitnah, noda dan dosa.

Ya Allah!
Sampaikanlah selawat dan salamku ke atas junjungan mulia kami iaitu nabi Muhammad s.a.w. Kurniakanlah baginda makam yang tertinggi dan terpuji. Ketemukanlah kami di syurga-Mu kelak Ya Allah! Jadikanlah aku ummatnya yang sentiasa mengikut sunnah-Nya. Hamba-Mu yang sentiasa berdampingan dengan al-Quran kalam-Mu. Sesungguhnya, hanya kaulah Yang Maha Tahu setiap apa yang terdetik di hati hamba-hamba-Mu Ya Allah, maka luruskanlah niatku, sucikanlah hatiku dan jauhkanlah aku dari sifat-sifat tercela yang merosakkan segala amal ibadahku kepada-Mu. Peliharalah lidahku dari lancang menuturkan kata-kata yang tidak elok, menyakiti hati sesama insan, dengki khianat terhadap kurniaan-Mu kepada insan lain, simpangkanlah aku dari melakukan perkara-perkara keji dan hina, kerana sesungguhnya, aku malu untuk menjadi hamba-Mu yang sedemikian rupa. Berilah aku kekuatan dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi segala ujian dan dugaan dari-Mu Ya Rob! peliharalah jua jari jemariku daripada menuliskan perkataan-perkataan yang tidak elok, agar tidak mengguris rasa di hati sesiapa pun, di mana kelak akan kaupersoalkan segalanya.


Ya Allah!
Hanya pada-Mu aku berserah dan meminta...berilah buku catatan amalanku di sebelah tangan kananku Ya Allah! jangan kau datangkan ia di sebelah kiriku! dan andai hari ini hari terakhir kehidupanku di dunia ini, maka jadikanlah hari ini hari yang paling terbaik untukku. Akhirilah sisa nafas hayatku dengan kalimah suci-Mu agar lidahku basah dengan zikrullah dan doa kepada-Mu. Kanku pesan kepada calun mayatku setiap waktu, ucapkanlah "Laa ila ha illallah...Muhammadur Rasulullah.." semoga nanti kalimah ini bisa menyelamatkan diriku dari cengkaman api neraka-Mu...aamiin...


-Nurza-
23 Mac 2013  04:45am.



Wednesday, March 20, 2013

PANTUN BUDI : SELAMAT PAGI MALAYSIA TV1


  • Kelopak melati dipagut kedidi,
    Jatuh berguguran di atas titi;
    Cantik pekerti dihiasi budi,
    Jadi sandaran memikat hati.


    -CT Nurza-

    *Disiarkan di TV1 09:48am 20/03/2013 Rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Monday, March 18, 2013

PUISI : KECANTIKAN YANG KUDAMBA


Kecantikan yang aku damba
Bukan indahnya pada paras dan rupa

Tapi...
Santunnya akhlak dan budi bahasa

Budi bahasa yang aku kagum
Bukan sekadar lembutnya tutur dan kata
Tapi tulusnya budi

Ikhlasnya hati
Cuma itu yang aku cari

Namun entah kenapa?
Sukar untuk ditemui.

Nukilan sepotong rasa,
-Nurza-
18 Feb. 2012  07:22am.

*Telahpun diterbitkan di Radio Online Mesra Fm oleh Dj Bro Kudin untuk segmen "Dari Blog ke Blog" pada Mac 2012. Terima kasih Mesra Fm kerana sudi memilih blog saya untuk segmen khas tersebut.

*Diulang siar kembali di Radio Khemuncak FM oleh Dj Bro Kudin pada 25 Mac 2013 jam 01:30 pagi.

PANTUN : BERSAMA KLASIK NASIONAL


*Menjawab pantun Dj Adi Suwardy Klasik Nasional.

Negara kita tanahair sejati,

Pertahankan haknya jangan dicela;
Hilang di mata melekat di hati,

Sampai waktunya bertemu semula.


-CT Nurza-
18 Mac 2013.

*Telah pun disiarkan di stesen Radio Malaysia Klasik Nasional pada 18/03/2013 oleh Dj Adi Suwardy.

Sunday, March 17, 2013

PUISI JIWANGZ SPONTAN BERKARAT : CINTA

Cinta itu...
Seluas semesta
Interpretasinya berbeza
Terpulang pada kita  
Untuk menafsirkannya
Warna warninya indah takterkata
Hanya hati yang dapat merasa
Bila cinta itu diserahkan kepada Yang Esa
Bukan kepada insan biasa yang gemar berdusta
Sedang janji setia cuma berbuah hampa
Akhirnya merana kecewa derita terseksa

Cintailah Sang Pencipta

Kerana-Nyalah diri kita tercipta.

~Corat-coret spontan~

♥ Nz ♥
06102012 12:13am

*Diterbitkan di Radio online Khemuncak FM oleh Dj Bro Kudin pada 25 Mac 2013 jam 01:48 minit pagi. Terima kasih Bro atas kejutan anda melayari blog peribadi saya...:)

PUISI SPONTAN : JERITAN PENYU


(Khas buatmu sahabatku...Ainnur Mustaqim)

Dalam rayap yang payah...
Penyu menangis sambil berlalu
Kehilangan itu tidak mampu membendung tangis
Luka hati sendiri dirawati
Merentasi benua demi benua
Mencari kembali kekuatan diri
Semoga ada yang memahami
Betapa peritnya luka di hati
Bila kasihnya dirobek kejam
Bagaikan tiada harga diri
Hilang segala apa dimiliki
Tercalar rasa oleh sumpah dusta
Seorang makhluk bernama manusia.

Spontan dari kamar jiwa,
-Nur Za-
28/02/2013  06:41pm

*Diterbitkan di Radio Khemuncak FM oleh Dj Bro Kudin pada 25 Mac 2013 jam 01:35 minit pagi. Terima kasih memilih nukilan saya tanpa diduga.

Friday, March 15, 2013

PUISI : DI SINI DAMAIKU BERTAMU




Di sini...
Aku bahagia meniti waktu sendirian
Tanpa teman yang melukakan
Tanpa teman yang mengecewakan


Biar aku terus begini
Bersendiri membuka ruang fikir
Bersendiri melagukan irama hati
Biar pedih dan luka
Namun tetap bahagia
Kerana kumasih ada DIA
Yang lebih mengasihi
Lebih mengetahui
Tentang apa yang terlukis
Di kanvas hatiku


Aku tidak keseorangan
Lantaran di kanan dan kiriku
Ada peneman setia
Yang mencatatkan amal baik dan burukku
Aku ditemani setiap waktu
Tanpa lalai dan leka
Walau zahirnya
Tiada wajah yang terpandang
Namun hati kecil bisa merasai
Hadirnya menyentuh rasa
Menjagaku setiap detik
Tanpa jemu dan bosan


Semoga...
Diriku tidak lagi kesunyian
Lantaran jiwaku terisi dengan inayah-Nya
Damai membelai qalbu
Tenang diulit istighfar
Dengan zikrullah penyejuk jiwa
Menjadi peneman setia
Kala hati diasak duka
Pintaku pada diri
Janganlah kecundang wahai hati
Oleh bisikan durjana iblis dan syaitan
Yang ingin menggoncang pohon-pohon imanku


Terima kasih Ya Rob!
Engkaulah penjagaku siang dan malam
Titipkanlah aku cinta Agung-Mu.


-Nurza- 
25082011 01:07pm

Thursday, March 14, 2013

PUISI : CORETAN HATI UNTUKMU SAHABAT



Di sini...
Kau dan Aku bertemu
Mengisi waktu-waktu sepi
Melakar seribu satu cerita
Berkongsi sejuta pengalaman
Tentang pahit manis kehidupan
Yang memberikan seribu satu kesedaran
D
i dalam diri.


Kini...
Ruang-ruang persahabatan itu
Telah kita isi dengan penuh pengertian
Bersama tawa senda dan gurauan  mencuit hati
Sekadar menghiburkan diri
Jua teman-teman tersayang


Namun ada ketika...
Tangis sendu yang membeku pilu di kalbu
Tak siapa  tahu
Tak siapa memahami
Lantaran duka hati
Tidak pernah diluahkan kepada sesiapa

Tanpa rasa percaya dalam diri
Kerana kita mencari jalan selamat
Demi menjaga harga diri dan persahabatan
Meski hati terkadang merah terluka
Dicaci dicemuh dengan pelbagai tuduhan
Lantaran wujudnya jiwa-jiwa yang kotor
Oleh sifat mazmumah insan-insani.

Sahabat...
Ku tahu dukamu kian memberat di fikiran
Namun...
Kuberdoa semoga kautabah dan redha

Lantaran hidup ini
Tak seindah yang kita angankan

Tak sehebat yang kita mimpikan
Itulah realiti kehidupan
Terpaksa kita terima

Kerana segala ketetapan
Berada di tangan-Nya

Waima sehebat mana kita merancang
Segalanya takmungkin terealisasi
Tanpa keizinan dari-Nya

Hari ini...
Usah lagi kaumenangis
Usah lagi kaubersedih
Sabar dan berdoalah
Lantaran duka yang menyapa 
Takselamanya bertandang pada diri
Kerana ia umpama gelap malam yang akan pergi
Melenyapkan kisah lara setiap insan
Di kala terbitnya sang mentari pagi
Yang akan memberikan harapan
Untukmu di esok hari


Terima kasih sahabat...
Atas ukhuwah yang terjalin
Semoga kita akan saling mengerti 
Memahami selamanya.

"Persahabatan itu amat bermakna bagi yang tahu menilai dan menghargai erti sebuah persahabatan."


Nukilan spontan dariku,
-Nur Za 2010-
Ramadan 1431H.

PUISI, MADAH DAN PANTUN



PUISI.

‎Sekuntum puisi...
Sangat bererti andai dihayati
Luahan tulus dari hati
Untuk mereka yang bisa mengerti

-Nur Za-
Disember 2011.


PANTUN.

Telinga gajah sedap dijentik,
Jatuh di sungai tergolek-golek;
Biarlah wajah takberapa nakcantik,
Asalkan perangai elok dan molek.

Jatuh di sungai tergolek-golek,
Dilihat ungka terasa pelik;
Bila perangai elok dan molek,
Ramai yang suka tiada yang jelik.

-Nur Za-
09122011 07:08pm

MADAH.

♥♥"kadang-kadang kawan yang rapat dan baik boleh menjadi musuh ketat yang paling jahat, apabila kita terlalu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada dirinya. Tetapi kawan yang tidak pernah kita tegur sapa ada ketikanya boleh menjadi kawan yang paling baik, dapat menolong kita di saat diri dihimpit kesukaran tak terduga, walaupun cuma sekadar memberikan sepotong nasihat dan semangat."♥♥

-Nur Za-

Disember 2011.

NUKILAN RASA CURAHAN HATI




“Dalam kembara yang masih tersisa, kuteruskan hijrahku meniti batas-batas perjalanan yang masih berbaki. Lantas, kusinggah sejenak di sungai kesedaran. Membilang butir-butir dosa masa lalu, sambil membasuh debu-debu alpa yang melekat dalam cangkir keinsafan. Kutuang kembali minuman taqwa untuk kuhirup sebagai bekalan iman, buat penghilang dahaga tika diri kelelahan mencari satu keredhaan. Aduhai... peritnya meratah derita tiap detik. Menerobos pintu demi pintu namun, pintu cahaya yang menyuluh jalan bahagia entah bila pasti kutemui dalam detik waktu yang sesingkat ini.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
08122010.

*DARI FB DJ HAMMAMI YUSOF KLASIK NASIONAL.
*Disiarkan di Radio Malaysia Klasik Nasional oleh Dj Hammami Hj Yusof dalam segmen 'Pilihan Klasik' jam 02.00am pada 08 Dis 2010.

BERPANTUN DI LAMAN FB I LUV PAHANG - 2




Pantun jualan :
Buah Zaitun cantik bersusun,
Buah bidara jatuh terendam;
Indahnya pantun kata tersusun,
Lunak bicara beralun gurindam.

Jwpn Admin M..
Indahnya pantun tersusun kata,
Lunak bicara beralun gurindam;
Susunan seloka untuk si pencipta,
Supaya si pendengar rindu dan dendam.

Nur Za...
Buah Bidara jatuh terendam,

Jadi makanan burung melata;
Lunak bicara beralun gurindam,
Lambang kesantunan budaya kita.

Jwpn Admin M..
Lunak bicara beralun gurindam,
Lambang kesantunan budaya kita;
Jangan biarkan warisan terpadam,
Kita jadikan sebagai harta.

Jadi makanan burung melata,
Manis pulasan enak rasanya;
Lambang kesantunan budaya kita,
Jadikan warisan terjaga seninya.

Jwpn Admin M..
Lambang kesantunan budaya kita,
Jadikan warisan terjaga seninya;
Walau indah pandangan mata,
Perlu dikupas segala isinya.

Nur Za...
Cahaya kelam terang-terangkan,

Muncul mentari fajar berlalu;
Selamat malam saya ucapkan,
Minta diri berundur dahulu.

[Pantun dari teman sepantun I Luv Phg ARB Doll]
Jangan diikut kata dan dendam,
Kelak diri kanjadi Petaka;
Datanglah ke mari kita bergurindam,
Boleh mengubat hati nan luka.

Nur Za...
Burung Cenderawasih di Taman Kayangan,
Cantik ditatang buat hiasan;
Terima kasih atas undangan,
Pastiku datang membawa bingkisan.

Nukilan,
-Nur Za-
By FB.
Julai 2010.

BERPANTUN DI LAMAN FB I LUV PAHANG - 1



Nur Za...
Dari New Zealand pergi ke Pedah,
Singgah makan di gerai Anjung;
Cameron Highland cantik dan indah,
Jadi tarikan pelancung berkunjung.

Jwpn Admin M..
Cameron Highland cantik dan indah,
Tempat tarikan pelancung berkunjung;
Negeri Pahang ku jelajahi sudah,
Luasnya bagai tiada penghujung.

Nur Za...
Singgah makan di gerai Anjung,
Beli buahan sibuah duku;
Tempat tarikan pelancung berkunjung,
Melihat keindahan Pahang negeriku.

Jwpn Admin M..
Tempat tarikan pelancung berkunjung,
Melihat keindahan Pahang negeriku;
Negeri cantik lagiku sanjung,
Tetap bertakhta di dalam hatiku.

Nur Za...
Mari dirangkai sisireh junjung,
Dari Kemahang pergi ke Benta;
Luasnya bagai tiada penghujung,
Itulah Pahang negeri tercinta.

Jwpn Admin M..
Luasnya bagai tiada penghujung,
Itulah Pahang Negeri tercinta;
Banyak tempat untuk dikunjung,
Kekalkan keindahan sebagai harta.

Nur Za...Keladi bantut tepi jejambat,
Daunnya pudar disusun diikat;
Orang Jerantut tidaklah hebat,
Berpantun sekadar mengasah bakat.
(Jwp pantun rakan page I luv Pahang)

Nur Za...
Ke Tanjung Batu pergi berkhemah,
Terlihat Jalak asyik berkelahi;
Sombong itu sifat mazmumah,
Eloklah dielak wajar dijauhi.

Jwpn Admin M..
Sombong itu sifat mazmumah,
Eloklah dielak wajar dijauhi;
Bisa merosak perpaduan Ummah,
Contohi mereka yang lebih mengetahui.


Nukilan,
-Nur Za-
25 Julai 2010.

By FB.