ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, May 30, 2013

MUTIARA KATA : CABARAN UNTUK KEJAYAAN


"...Hidup ini, sekiranya tiada ujian dan cabaran, tiadalah kemanisan yang dapat kita rasai dan nikmati. Pastinya kita tidak akan tahu kelemahan, kekurangan, kekuatan dan kemampuan yang ada pada diri kita. Berterima kasih dan bersyukurlah di atas segala dugaan-Nya, kerana dugaan itulah yang memberikan kita kekuatan dan kebangkitan untuk mendapatkan apa yang kita impikan pada sebuah perjuangan dan pengorbanan yang akhirnya membuahkan kejayaan...maju dan terus maju untuk menjadi insan yang berdaya saing serta tahan bila diuji. Salam kecemerlangan buat semua!..."

"Untuk berjaya, kita hanya perlu berusaha dengan sungguh-sungguh serta percaya dengan kemampuan diri, TETAPI  untuk gagal cukuplah kita hanya tewas dengan kata-kata negatif yang dilemparkan oleh mereka yang iri, dengki dan sakit hati dengan keupayaan kita. Pilihan berada di tangan, terpulanglah kepada kita untuk membuktikannya."


-CT Nurza-
30 Mei 2013
01:27am.

*Kredit untuk grafik hiasan sumber : Google.com.

Wednesday, May 29, 2013

PUISI : KEBOSANAN


Tingkah bertingkah menghambur amarah
Angkara dendam yang menanah
Kini kian menjadi parah
Lantaran manusia semakin pongah
Bila kelebihan diri rasa menyerlah
Semua orang dianggap salah
Yang terbaik cuma dialah
Saban hari menindas yang lemah
Bila berdiam dikata rebah
Namun lebih baik dari mengasah lidah
Menyakiti orang taksudah-sudah

Entah bilalah...
Aku dapat melihat manusia berhenti bertelagah 

Membuang masa dari mengingati Allah
Justeru tiap detik bertikam lidah
Bosan dan bosannnnn!!!
Hingga terkadang aku rasa menyampah
Menyaksikan lidah-lidah yang berhujah
Seumpama tiada otak dan akal
Asyik salah menyalah
Sedang hujahnya bagaikan sampah
Takberfakta takberilmu
Sekadar mempertahankan benang yang basah
Kelemahan diri jua yang terserlah
Bila hujahnya tidak diendah
Akhirnya diri malu tiada sudah.

Luahan Spontan,
-Nur Za-
29 Mei 2013
05:28ptg.

*Sepetang melihat gelagat manusia di ruang maya.

HADIAH LAGI : TVALHIJRAH TELEKUIZ.


*Terima kasih TVALHIJRAH di atas kiriman hadiah kuiz telejumaat yang saya menangi tempohari. Alhamdulillah, telah selamat sampai ke tangan saya pada 27 mei 2013 yang lalu...cantik...cun dan disukaiiii...:)

PUISI : BERSENDIRI


Sendiri takbererti sepi
Tapi memiliki ruang untuk mentarbiah diri
Menyelami ke dasar hati
Mencari titik-titik kelemahan
Menampal mana yang kurang

Dalam dini merapatkan diri kepada Ilahi
Muhasabah dari sekepal hati
DIA-lah tempat mengadu penunai janji
Menggenggam rahsia paling akrab untuk diri
Menemani saat hati terasa sunyi
Syukur kumasih ada-Mu di sisi Ya Rabbi!


-CT Nurza-
29/05/2013
04:28am

Saturday, May 25, 2013

PUISI : DARI KELAPA NAN SEBATANG


Dari kelapa nan sebatang
Yang tumbangnya bergelimpangan
Kupungut kucantas dahan-dahannya
Daun-daunnya yang berserakkan
Kususun dan kuanyam
Satu persatu dijadikan kelongsong
Untuk kurebus ketupat lebaran
Menjadi menu sajian
Sebagai hidangan dipagi syawal


Buah-buah yang bertaburan
Kukutip kukumpul diraga buluh
Airnya dijadikan penghilang dahaga
Isinya disagat diperah menjadi santan
Untuk memasak lemang dan rendang
Sekadar mencukupkan satu hidangan
Buat jamuan rakan dan taulan
Dipagi lebaran sudi bertandang
Setelah lama sepi menghilang
Bertemu kembali bersua pandang
Bertukar cerita undang mengundang
Demi meraikan lebaran yang datang
Berjabat tangan tanda kemenangan
Melawan nafsu  di medan perjuangan
Dalam runtunan sebak keterharuan
Ramadan akhirnya membawa kejayaan
Syawal merealisasikan sebuah impian


Dari kelapa nan sebatang
Bertemu kita dalam satu rasa
Menikmati ketupat rendang dan lemang
Bertaut mesra ukhwah yang terbina
Semoga silaturrahiim kekalnya berpanjangan.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
25 Mei 2013
03:48pg.

*Puisi ini ditujukan khas untuk sahabatku Saudari Ainnur Mustaqim yang telah pun menulis sajak "Kelapa Nan Sebatang" dan sebagai balasan untuk sajak beliau, setelah saya sempat bersantai sejenak di blog kesayangannya...jadi, saya titipkan pula puisi ini sebagai balasan untuknya sekadar suka-suka...hehehe...Oleh itu, saya ambil idea dari tajuk sajak beliau dan menulisnya kembali menjadi "Dari Kelapa Nan Sebatang"...harap Ainnur Mustaqim sudi menatap bingkisan ini walaupun ianya tidak seindah mana...


*Sumber gambar : Hasil carian Google...:)

Friday, May 24, 2013

PUISI TANPA TAJUK (1)


Berlabuh sejenak di pantai rindu...
Menikmati ketenangan syahdu
Ditemani puputan sang bayu
Aku merintih sendu
Tika mendekatkan diri kepada-Mu
Kirimkanlah salam kasih-Mu
Agar tabah menghadapi mehnah-Mu
Menempuh perjalanan yang berliku
Ampunilah daku wahai Tuhanku!


-CT Nurza-

24 Mei 2013
05:27pg.





PANTUN : PERGI



Jalan berliku kanan dan kiri,
Di hujung pekan ada jambatan;
Perginya diriku usah dicari,
Kerana kubukan mutiara rebutan.

Di hujung pekan ada jambatan,
Jambatan tinggi tempat berlari;
Kerana kubukan mutiara rebutan,
Ke mana pergi kusedar diri.

Jambatan tinggi tempat berlari,
Naik perahu bawa kelapa;
Ke mana pergi kusedar diri,
Kerana tahu kubukan sesiapa.

Naik perahu bawa kelapa,
Berbekal sagu dan kuih bingka;
Kerana tahu kubukan sesiapa,
Takperlu menunggu orang taksuka.


Nukilan spontan,

-CT Nurza-
23 September 2011. 02:40am.


PANTUN : KERANA MULUT


Malang Pak Pandir jatuh ke sungai,
Panas baran Mak Andeh mencaci;
Sindir menyindir buruk perangai,
Usahlah hairan kawan membenci.

Panas baran Mak Andeh mencaci,
Habis diludah semut kerengga;
Usahlah hairan kawan membenci,
Kerana lidah takpernah terjaga.

Habis diludahsemut kerengga,
Melompat ke tanah sianak kera;
Kerana lidah takpernah terjaga,
Rosak punah hubungan mesra.

Melompat ke tanah sianak kera,
jatuh tingkap duduk bersila;
Rosak punah hubungan mesra,
Akibat sikap peribadi tercela.

Jatuh tingkap duduk bersila,
Datang sekawan kambing menyapa;
Akibat sikap peribadi tercela,
Susah nakberkawan dengan sesiapa.
 Datang sekawan kambing menyapa,
Menyahut Ungka di pohon nangka;
Susah nakberkawan dengan sesiapa,
Kalau suka bermuka-muka.

-Nur Za-
27 Sept. 2011
03:40pm

PUISI : KATA



Kata-kata laksana mutiara
Bila diucap penuh hemah berbicara
Dengan santun dan lunak suara
Menusuk ke jiwa bagai menyedut udara
Sejuk dan segar membelai sukma
Menenangkan dan melapangkan minda
Merawat duka menghilangkan sengsara

Justeru itu
Elokkanlah kata-kata
Baru bercambah mesra
Menjauhkan diri dari bersengketa
Merapatkan hubungan yang sedia ada
Jagalah adab sopan bila bersuara
Jangan sampai mengocak rasa
Bimbang ada hati yang terguris luka
Dengan kata-kata yang berbaur nista
Dari lidah yang gemar mencerca
Akibat hati yang hitam berjelaga

Berkatalah sekadar saja
Jangan pula terlebih bicara
Membuang masa menambah dosa
Kerana hidup sesingkat cuma
Insafilah diri sebelum menutup mata.

-CT Nurza-
04102011 02:20am.

*Telah disiarkan di Radio Malaysia Klasik Nasional dalam segmen "Senandung Pagi" oleh Dj abang A Razak Ismail pada 04/10/2012 jam 03:45am.

~Menulis dari hati yang suci dan ikhlas...lebih memberi kesan dan erti...menulis dengan emosi.. hanya menambah sakit hati pada diri dan juga pada yang membaca... tiada kesan tiada erti...menulis kerana nama itulah ada yang sanggup buat apa saja, walaupun tanpa segan silu mengambil dan menciplak karya dan hasil kreativiti orang lain dan mengakui sebagai hasil karya sendiri...jadi jika ada rasa malu pada diri sendiri, kita tentu akan buat yang terbaik untuk diri...kerana apa yang kita buat dan tulis, itulah lambang keperibadian kita untuk orang menilai kualiti diri yang ada pada kita~

-CT Nurza-
Oktober 5 2011


*KOLEKSI NUKILAN SILAMKU DI LAMAN FB

KOLEKSI NUKILAN SILAMKU DI WALL RAKAN2 FB.



Semalam adalah kenangan
Hari ini adalah kenyataan

Esok masih belum pasti

Sukar atau senang

Suka atau tidak

Dugaan tetap datang bertali arus

Kita harus terima

Kita harus tempuh
Hanya kesabaran menjadi benteng

Ketabahan menjadi kekuatan
Setiap cabaran adalah peluang
Peluang untuk kita belajar
Peluang untuk kita memperbaiki diri
Dan peluang untuk kita jadi lebih berjaya

-CT Nurza-
07102011

Thursday, May 23, 2013

PUISI : BALASAN UNTUK RAKAN FB KU - ALANG EYNNA~



Alang Eynna

mana mungkin ada tembok pemisah
kalau teguh atas dasar ukhuwah
mana mungkin ada tembok pemisah
jika tulus hati tanpa amarah
andai ada tembok pemisah
bisa ku pecah biar rebah
atas tali cintaNYA, kekal tak berubah.


♥♥ Balasan puisi untuk Alang Eynna ♥♥

Mana mungkin ada tembok pemisah
Andai kita sentiasa mengawal lidah
Mana mungkin ada tembok pemisah
Andai kita tahu menjaga ukhuwah
Mana mungkin ada tembok pemisah
Andai kita sering menghindarkan diri daripada bertelagah
Kalau pun mungkin kita terpisah
Anggaplah itu ketentuan Allah...

Spontan,
-Nurza-
21102011 01:50pm

Alang Eynna : Suka sgt! cantik..terima kasih segunung intan, semoga sentiasa dalam rahmat tuhan..:-)

PUISI SPONTAN : KOMPONEN CINTA



Zamri Tajudin

Cinta itu komponennya apa..
posisi di dalam jiwa bagaimana..
prestij kah dia..
reputasinya hingga kemana..

Hingga semua diumpamakannya..

bulan hendak dimiliki..
matahari hendak di jelajahi..
samudera hendak direnangi..
hingga sebegitu kerana cinta suci..

sensitiviti yang pasti
rawanlah hati..
pandangnya penuh rona..
rintihnya umpama ritma jiwa..
sering berkelana.

yang berjaya.. bersatulah dua jiwa..
yang kecewa.. pasrah dan merana..

Lalu.. kamu bagaimana..?


Zamri Tajudin : nur za.. bahasanya gubahan baru dan lama.. tapi nur za mesti balas juga..

Sitie Nurza ‎~En Zamri Tajudin...untuk tidak menghampakan..saya cuba sahut cabaran ya...maaf hanya luahan spontan sahaja yang termampu...tak betul minta maaf banyak2..:)~

~KOMPONEN CINTA~

Bagaimana harus kuungkap
Andainya cinta itu komponennya bahagia dan derita
Posisinya pasrah atau sebaliknya
Berprestij kiranya mampu menjadi motivasi diri
Lantas reputasinya terjaga andai tidak ternoda
Hinggakan seluruh cakerawala bagaikan miliknya

Langit dan bumi laksana pelamin
Pepohon sekitaran bagaikan pengapit
Sepoi sang bayu menjadi bisikan syahdu
Bila hati di ambang bahagia
Kicauan camar laksana syair mengasyikkan jiwa
Menjadi bukti cinta sejati

Kecurangan menyentuh sesitiviti hati
Seandainya kasih dipersenda sayang dipersia
Justeru bertamulah mega-mega duka
Menemani kembara sebuah cinta
Ketika musafir penat merentasi masa
Sebelum singgah ke destinasi cinta abadi.

Yang berjaya pasti ceria
Yang kecewa bertambah hampa

Lalu...
Biarlah kuterus begini
Menatang rasa dalam diam 
Dipenuhi rahsia...

-CT Nurza-
24102011 05:36am.

*Balasan kepada puisi En. Zamri Tajudin, rakan group "Pungguk Berlagu."

Zamri Tajudin : sitie nurza.. lantunannya cukup berperisa.. kamu tentu ada workshop cinta.. dimana ya..

Angin Retak : di hujung jari n di hulu hati... (~_~)


*TELAHPUN DISIARKAN DI RADIO MALAYSIA KLASIK NASIONAL DALAM SEGMEN 'SENANDUNG PAGI' BERSAMA DJ ABANG SORR [SHAHRANI SHARMAN] PADA 28 OKTOBER 2011 JAM 03:37AM.

PUISI : LUKA


Andai kepercayaan telah mula goyah...
Usah lagi berharap untuk diri dipercaya

Andai kebencian sudah mula bercambah
Usah lagi memaksa untuk diri dihormati

Kelembutan bukan untuk dipersenda
Kejujuran bukan untuk dikhianati


Tetapi …
Untuk kaubelajar menghargai
Erti pengorbanan sejati

Jika kau
bijak memahami
Juga tahu menjaga hati.


Nukilan spontan,
-Nurza-

22 April 2012
09:33am.

PUISI : JIKA DENGANMU




Jika denganmu aku ceria
Kuingin dakap bahagia

Jika denganmu aku gembira
Kuingin sentiasa tertawa

Jika denganmu aku tenang
Kuingin sentiasa mengenang

Jika denganmu aku dihargai
Kuakan sentiasa menjaga harga diri

Jika denganmu aku selalu dirindu
Kurela menjadi seorang perindu

Jika denganmu aku selalu disayangi
Aku pasti menjadi lebih menyayangi

Dan...
Jika denganmu aku bermotivasi
Kuingin selalu dimotivasi.

-CT Nurza-
21092011 08:54pm


♥♥ Ketika pintu-pintu bahagia terbuka luas untukku melangkah...datang pula sang ribut meniup ganas menutup kembali pintu itu...kehampaan kembali menyelubungi diri...dan aku tetap pasrah walau hati menyimpan tangis...masihkah ada pelangi yang akan muncul untuk menghadiahkan kembali jalur indahnya kepadaku??? atau cuma awan hitam yang tetap setia bersama akan sentiasa menjadi teman akrabku sepanjang waktu...♥♥