ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Sunday, June 30, 2013

SYAIR LAGENDA : KISAH MAHSURI - PERCUBAAN PERTAMA MENCIPTA SYAIR (1)


Tersebutlah kisah seorang Puteri,
Puteri Langkawi jolokkan diberi,
Lahirnya Puteri di sebuah negeri,
Cantik rupawan itulah Mahsuri.

Bermula cerita Mahsuri dilahirkan,
Si kerak nasi ibu termakan,
Di sawah padi kerak ditemukan,
Diambil si ibu lalu dimakan.

Selepas itu si Ibu pun hamil,
Lahirlah Puteri yang sangat comel,
Parasnya cantik elok dan mungil,
Cukup  sifatnya sebagai insan kamil.

Pak Andak Maya nama Ayahanda,
Mak Endah Alang itulah Bonda,
Berketurunan Siam asal Ayahanda,
Dikurniakan Wan Aris  sebagai Anakanda.

Kejelitaan Mahsuri menjadi sebutan,
Hingga dicemburui masyarakat tempatan,
Mahsuri ditatang laksana intan,
Diasuh Bondanya dengan adab sopan.

Sesudah dewasa Mahsuri dikahwinkan,
Dengan seorang pemuda tempatan,
Anak kepada wakilnya Sultan,
Orangnya kacak hebat dan tampan.

Wan Mahura bonda mertuanya,
Cemburukan Mahsuri cantik darinya,
Kepada Mahsuri sakit hatinya,
Bermacam cerita sanggup disebarnya.

Tatkala Wan Derus dihantar pergi,
Tinggallah Mahsuri seorang diri,
Hiba hatinya tidak terperi,
Ke pangkuan Bonda membawa diri.

Penuh setia suami dinanti,
Ke Medan perang mencurah bakti,
Walangnya rasa di dalam hati,
Menunggu suami pulang ke sisi.

Suatu hari seorang pedagang,
Bernama Deramang datang bertandang,
Pandai bersyair pandai berdendang,
Ke rumah Mahsuri Deramang diundang.

Suara Deramang sangatlah merdu,
Bagai alunan buluh perindu,
Bila bersyair orang terpaku,
Amat dikagumi kehebatannya itu.

Semakin hari semakin masyhur,
Mendendangkan syair sebagai penglipur,
Siapa mendengar pasti terhibur,
Mampu membuat orang  tertidur.

Oleh kerana  hatinya hitam,
Mahura  melepaskan cemburu dendam,
Difitnah Mahsuri sangatlah  kejam,
Lantaran kesumat yang tak pernah padam.

Tiadalah sempat membela diri, 
Mahsuri dan Deramang ditangkap lari,
Padang Mat Sirat menjadi saksi,
Di sebatang pokok diikat sekali.

Bertubi-tubi tombak menikamnya,
Tetapi  gagal menembusi tubuhnya,
Kerana seksa rahsia dibukanya,
Hanya tombak sakti dapat membunuhnya.

Sebelum  dibunuh Mahsuri bersumpah,
Tujuh keturunan pasti akan musnah,
Utusan perang semuanya rebah,
Putih darahnya mengalir ke Tanah.

 Nukilan,
-CT Nurza-
2011-2012

 
*Sebenarnya syair 16 rangkap ini telah dicipta untuk menyertai "Pertandingan Mencipta Syair Lagenda" di "Radio Malaysia Klasik Nasional," namun atas sebab-sebab tertentu ia terlewat untuk di hantar... maka, saya terpaksalah peram dalam peti simpanan kerana malu untuk dipaparkan di sini. Memandangkan syair ini adalah syair pertama dan terakhir pernah saya tulis dan cipta tanpa pernah belajar secara khusus cara menulis syair...jadi, ia cuma mampu menjadi syair berkaratz saya sahaja...haha...tak tahulah ini boleh dipanggil syair ataupun tidak...hanya sekadar untuk hiburan dan koleksi sendiri.

Al-fatihah untukmu Mahsuri, insan suci yang teraniaya lantaran fitnah & kejahatan manusia. Semoga Allah tempatkan dirimu di syurga. Aamiin...

*Jauhilah Fitnah kawan-kawan...terlalu besar dosanya...bacalah al-Quran surah an-Nur keseluruhannya, kerana di situ ada menceritakan tentang bahayanya dosa fitnah dan segala-galanya...Nau'zubillah! jagalah lidah dan hati dengan baik. Sayangilah lidah yang Allah beri untuk menuturkan ayat-ayat suci bukan disalahgunakan untuk menghina, menyakiti dan menfitnah orang lain...masya-Allah!

3 comments:

syazana diyana said...

assalamualaikum puan. syair lagenda -kisah mahsuri ini sangat menarik.. minta izin untuk ambil ye.. untuk diajar kepada murid-murid dalam Pdp. terima kasih :)

®CT Nurza said...

Waalaikumussalam Cikgu Syazana...

Syair ini sudah saya perbaiki kembali untuk diterbit dan dibukukan, namun sehingga kini masih dalam simpanan. Apa pun untuk tujuan pembelajaran jika bersesuaian, saya izinkan cikgu copy yang ini. Terima kasih sudi singgah ke blog saya... :)

Raja Firdaus said...

assalamualaikum sya raja

sya berminat untuk mengambil syair ini
kerana sya ingin membuat kerja sekolah
dengan ahli kumpulan di sekolah

harap encik bagi sya copy

sekian terima kasih