ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, June 8, 2013

ESEI : MENJAGA KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB KITA


Gambar sekadar hiasan.


TAJUK ESEI : MENJAGA KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA.


Ketenangan hati terletak pada kedamaian jiwa. Seandainya fikiran kita lapang setiap kali melihat keindahan alam semulajadi yang terjaga kebersihan dan persekitarannya maka, sudah pastilah kita juga akan menjadi lebih sihat dan segar apabila saban waktu dapat menyedut udara yang bersih dan nyaman. Islam amat menuntut umatnya agar sentiasa menjaga kebersihan.

Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”
(Hadis riwayat : Muslim).

Kebersihan adalah aspek yang amat penting dalam kehidupan sehari-harian yang perlu  dijaga kerana, ia merupakan satu ibadah dan cabang keimanan bagi umat Islam. Malah, bangsa-bangsa lain juga amat menitik beratkan soal kebersihan dalam kehidupan seharian. Tidak kiralah sama ada kebersihan diri ataupun alam sekitar.

Apabila kebersihan terjaga, maka kesihatan diri pun terjamin. Ini kerana, jika soal kebersihan tidak diambil endah dan tidak dihiraukan, kemungkinan besar untuk diserang dan dijangkiti pelbagai jenis penyakit bawaan vektor dan virus adalah tidak mustahil.

Sebagai rakyat Malaysia yang cinta dan sayangkan negaranya, seharusnya kita semua perlu berganding bahu untuk menjaga persekitaran kita agar tidak tercemar oleh sampah sarap serta apa jua bahan buangan yang boleh mancacatkan pemandangan dan penglihatan kita secara umumnya.

Selain itu, apabila keadaan di sekeliling kita penuh dengan pencemaran, sudah pastilah udara yang kita sedut setiap saat juga adalah udara yang boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan kepada kita untuk sepanjang hayat.


Di dalam al-Quran sendiri pun ada ditegaskan bahawa menjaga kebersihan itu sangat penting. Menerusi surah al-Baqarah ayat 222 Allah SWT berfirman yang bermaksud :Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang  sentiasa mensucikan diri.”

Jelas, melalui ayat ini, betapa Allah SWT sendiri pun amat menyukai hamba-hamba-Nya yang senantiasa menjaga kebersihan dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam menunaikan ibadah kepada-Nya.

Sememangnya, sebagai umat Islam kita amat dituntut untuk menjaga kebersihan dan kebersihan yang dimaksudkan di sini pula bukan sahaja tertakluk kepada kebersihan diri, makanan, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya tetapi juga kebersihan hati, rohani dan jasmani kita juga agar sentiasa dijaga sebaiknya daripada terlekat noda-noda hitam dan dosa yang tak pernah kita sedari telah bertapak di dalam diri.

Sekirannya, diri kotor dan berdosa, kita diperintahkan untuk menyucikannya dengan bertaubat iaitu taubat nasuha, di samping beristighfar  selalu demi menggugurkan dosa-dosa dan noda hitam yang melekat di hati kita. Apatah lagi jika kebersihan itu melibatkan kehidupan seharian kita untuk melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kita bukan sahaja perlu membersihkan tempat untuk bersolat dan bersujud, malah turut menjaga kebersihan alam sekitar kita juga daripada berlakunya pencemaran yang boleh merosakkan imej diri, bangsa dan Negara kita jua di mata dunia.


Sebagai warganegara Malaysia yang prihatin, kitalah yang perlu memainkan peranan penting untuk merealisasikan hasrat kerajaan demi melihat Bandar kita bersih dan sejahtera serta cantik di pandang mata, amnya. Tanpa adanya kerjasama daripada pelbagai  pihak maka harapan ini tidak akan mampu tercapai.

Bandar merupakan pusat tumpuan utama para pelancung yang datang berkunjung ke Negara atau negeri kita, maka, wajarlah kita mempamerkan imej yang baik dan bersih untuk mengelakkan perspektif yang kurang elok dan negatif timbul dalam ruang fikir para pelancung yang berkunjung.

Adalah menjadi satu tanggungjawab besar kepada kita selaku anggota masyarakat di Negara ini, untuk sama-sama memberikan komitmen yang tinggi dan perancangan yang teliti  dalam menjayakan misi kerajaan untuk mewujudkan sebuah Bandar Raya yang bersih dan indah sebagai daya tarikan utama bagi menarik para pelancung datang berkunjung serta menyaksikan keindahan dan keunikkan budaya masyarakat kita, sekaligus menjana pendapatan Negara untuk lebih maju, cemerlang dan terbilang dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi.

Oleh yang demikian, bersama-samalah kita berusaha menjaga kebersihan rohani dan jasmani, selain daripada menjaga kebersihan alam persekitaran agar tidak tercemar kerana apabila semuanya dijaga dengan baik maka nyawa kita, keluarga kita dan seluruhnya akan selamat daripada ancaman virus-virus yang boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit bawaan vektor yang boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.

Sesungguhnya, menjaga kebersihan itu adalah tanggungjawab kita bersama.


*Note : Esei ni sudah lama ditulis, hanya sekadar untuk menambahkan koleksi peribadi hasil karya saya sendiri. Jika ada sebarang kekurangan dan kelemahan harap maklum.Terima kasih kepada para pengunjung yang sudi menjadikan blog saya ini sebagai ruang santai anda ketika berkelapangan. Kepada tetamu-tetamu yang sudi mengikuti blog ini, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua...salam hormat dari saya...:)


No comments: