ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, July 31, 2013

PANTUN HARI PAHLAWAN 31 JULAI 2013



Putihnya awan cantik dipandang,
Berarak seiringan kebesaran Yang Esa;
Hari Pahlawan bukan sekadar dikenang,
Hulurkan sumbangan kepada yang berjasa.


Berarak seiringan kebesaran Yang Esa,
Beralun berombak memikat hati;

Hulurkan sumbangan kepada yang berjasa,
Kerana baktinya keamanan dinikmati

Beralun berombak memikat hati,

Merah kesumba senja nan indah;
Kerana baktinya keamanan dinikmati,
Hutan rimba semua diredah.

Merah kesumba senja nan indah,
Terbang melayah daun bidara;
Hutan rimba semua diredah,
Bersusah payah demi negara.


Terbang melayah daun bidara,
Jatuh ke bawah dipungut mudir;
Bersusah payah demi negara,
Nyawa diserah kepada takdir.


Jatuh ke bawah dipungut mudir,

Harum kasturi dipagi hari;
Nyawa diserah kepada takdir,
Anak isteri tinggal sendiri.

Harum kasturi dipagi hari,
Berdakap intim anak merpati
Anak isteri tinggal sendiri,
Akhirnya yatim anak menanti.


"Selamat Menyambut Hari Pahlawan"

Al-Fatihah untuk perwira-perwira negara yang telah pergi. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh dan jasad kalian. Aamiin.

-CT Nurza-
31 Julai 2013
05:56ptg.


*Kredit untuk Grafik hiasan yang dipinjam.

PUISI : PERKUBURAN ITU



Perkuburan itu
Tapak perhentian sebuah perjalanan
Dari dunia ke barzakh
Sebelum mengembara lagi
Menemui titik abadi
Persinggahan terakhir.


-CT Nurza-
31 Jualai 2013
07:15am.


*Gambar hiasan : Google.com.

PUISI : BICARA RINDU



Rindu tak akan hadir...
Tanpa insan yang kita cintai
Bila rindu mewangi di hati
Semaikanlah ia dengan bibit-bibit kasih yang murni
Usah dibohongi perasaan yang menghuni di kalbu
Usah menafikan rasa yang bertandang pada diri
Jika kecewa...
Kelak diri yang terpana dan terseksa sendirian

Rindu dan cinta...
Ada penawar ada racun
Hargailah kehadirannya dengan penuh pengertian
Usah sesekali mempermainkan cinta yang suci
Jika kita kehilangannya
Usah lagi kita kesali
Lantaran...
Kita sendiri yang tidak tahu menghargainya.

-Nur Za-
25 Mei 2011.

*Disiarkan dalam Segmen Pilihan Klasik 25 mei 2011 jam 12.44pm Radio Malaysia Klasik Nasional oleh Dj Hammami Yussof.

*Dinukil secara spontan mengikut tajuk yang telah diberi.

MENULISLAH DENGAN CARA SENDIRI!



"...Jika kita seorang yang kreatif untuk berkarya, kita tidak perlu meniru apa yang orang lain buat. Sebaliknya, kayakan idea kita sendiri untuk mengolah sesuatu itu mengikut cara dan gaya kita menurut pemerhatian, penghayatan yang turut diselitkan dengan sedikit pengalaman benar diri sendiri, tanpa meniru dan mengikut cara orang lain. Tampilkan kelainan untuk membina identiti dan imej sendiri agar dapat mencipta sesuatu yang baru untuk dipersembahkan tetapi BUKAN dengan cara meniru atau menciplak karya orang lain. Perbuatan sebegini, membuktikan kita seorang yang tidak mempunyai idea yang tulen dan tidak jujur dengan diri sendiri dalam berkarya. Yakinlah dengan diri sendiri jika ingin maju. Jangan mudah terpengaruh dengan gaya penulisan orang lain tetapi tampilkan keunikan gaya penulisan kita sendiri walaupun seperti tidak sebaiknya. Itu lebih mulia daripada menipu diri sendiri...sila cabar kemampuan anda berfikir dan perluaskan kreativiti sendiri!"

Hanya sekadar pendapat dari insan yang tidak pernah belajar sastera secara formal, namun hanya sekadar mencari ilmu dengan mengikuti bengkel-bengkel tertentu sahaja demi menambah ilmu yang masih kurang dan sentiasa memperbaiki diri dan mutu penulisan dengan cara sendiri.
Bagiku, kreativiti itu penting untuk sentiasa ditokok tambah, diasah dan diperbaharui!

Kepada rakan-rakan yang ingin menulis. Belajar daripada karya orang lain tidak salah TETAPI jangan sekali-kali meniru ayat atau olahan orang lain. Cipta idea dari pemikiran anda sendiri barulah anda mampu membina kekuatan tersendiri dengan gaya dan keistimewaan yang anda miliki! Apa yang penting buangkan hasad dengki dan iri di hati bila melihat orang lain maju dan berjaya, tapi tingkatkan usaha anda untuk menjadi seperti mereka. Itu yang terbaik. Gud Luck!


-CT Nurza-
31 Julai 2013
05:51am.

*Kredit untuk gambar Imej hiasan Google.com.

HAIKU (16) : SAHUR


Bangunlah sahur
Walau enak berdengkur
Korbankan tidur

Ikutlah sunah
Kita ambil barokah
Kerana Allah

Puasa kita
Jadi perisai diri
Jikalau ikhlas

Allah menilai
Bukan sekadar lapar
Tapi segala

Jaga puasa
Jauhilah maksiat
Juga mengumpat

Letih dan penat
Pasti akan terubat
Pahala dapat

-CT Nurza-
31 Julai 2013
04:35am.

*Kredit buat Grafik hiasan sumber atok Google.com.

MUTIARA KATA



:::"Biar kita banyak diam dan membaca, jangan kita banyak cakap dan mencerca. Biar kita dianggap bodoh asalkan kita rajin untuk belajar dan tidak boleh diperbodoh-bodohkan. Biar kita menjadi insan yang terpuji jangan kita menjadi insan yang terkeji. Jagalah akhlak dan peribadi kita, lantaran itulah yang menentukan kualiti diri manusia...":::

-CT Nurza-
06 November 2010.

*Gambar sekadar hiasan : Kredit to google.com.

Tuesday, July 30, 2013

KATA-KATA POWER HARI INI (1) - BERHENTI BERMIMPI



"...Aku tidak mampu memberikanmu mimpi yang indah.
Namun, aku hanya mampu merealisasikan mimpimu agar menjadi yang terindah, seandainya kau sanggup meninggalkan tempat tidurmu daripada terus dibuai mimpi yang tak sudah! kejayaan terletak pada diri sendiri bukan pada mimpi setiap hari..."


-CT Nurza-
30 Julai 2013
12:21pm.


*Kredit untuk grafik hiasan : Sumber ehsan atok googleku!...;)

PESANAN UNTUK DIRI



"...Sedekah tidak semestinya hanya dengan wang ringgit, jika tiada kemampuan. Tetapi bersedekahlah dengan apa yang kita mampu, sebagai bakti amal kita. Yang penting keikhlasan hati. Usah peduli apa orang nak fikir dan kata. Apabila buat sesuatu bukan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, Insya-Allah! pahalanya lebih besar daripada bersedekah dengan banyak tetapi inginkan semua orang melihatnya dan mengetahuinya..."

-CT Nurza-
30 Julai 2013
10:54am.

*Kredit untuk grafik hiasan Google.com.

KOLEKSI MUTIARA KATA SPONTANKU 2011


Sambutlah pagi yang berkat penuh kesyukuran
Buangkan rasa kecewa yang bertandang
Kekecewaan hanya melemahkan diri
Teruskan semangat untuk berjuang
Jika perjuangan itu lahir dari niat yang ikhlas
Bukan untuk dipuji atau mencari nama
Usah mengalah dengan keadaan
Lantaran musuh pasti akan bersorak bila anda tewas
Selamat berbakti kepada yang ikhlas berbakti
Semoga setiap langkah diberkati dirahmati
Amin...

Nz.
20122011 07:11

*************************************************

Ketenangan memberiku inspirasi
Inspirasi membuka minda
Minda perlu bervisi
Bervisi dalam menjayakan misi
Misiku cuma satu
Satu cita-cita yang pasti kurealisasi
Realisasikan apa yang kuimpi
InsyaAllah...
Kanku gapai nanti

NZ.
13122011 02:05am

**********************************************

Berlari
Bagai takterhenti
Di Sahara tandus
Mencari Azali.

Conteng menconteng spontan.
NZ.
15122011 06:38pm.

**********************************

CT Nurza

♥♥ Hargailah bila seseorang memberikan kepercayaan kepadamu, kerana itu membuktikan anda terbaik di matanya. Jika anda diberikan amanah, maka jagalah amanah itu sebaiknya kerana amanah itulah kayu pengukur untuk melihat dan menentukan siapakah diri anda yang sebenarnya!!! Alangkah ruginya orang yang tidak tahu menjaga amanah yang diberikan, kerana tanpa amanah dan kejujuran sebuah persahabatan itu tidak akan bermakna dan hidup pun menjadi tidak sempurna dan sia-sia....♥♥

**************************************************************************

CT Nurza

♥♥ KESILAPAN itu bukan satu kebodohan diri, tetapi ia terjadi lantaran untuk membentuk diri dan mengajar kita agar lebih berhati-hati juga untuk memberikan sesuatu yang paling berharga sebagai 'pengalaman diri.' Semoga kita lebih tahu dan faham akan apa yang kita lakukan serta sentiasa belajar dan terus belajar daripada sebuah kesilapan, untuk menjadikan diri kita benar-benar sempurna dalam menguruskan diri dan kehidupan. Oleh itu, jangan takut melakukan kesilapan kerana kesilapan tetap akan terjadi selagi kita bergelar insan biasa. Belajar daripada kesilapan dan kegagalan, merupakan satu kebijaksanaan dan menjadikan diri kita lebih faham dan berfikiran positif...;))♥♥

Motivasi untuk diri sendiri.
Nz.
18122011 02:52

******************************************************

CT Nurza

♥♥♥ "Setiap airmata yang gugur tetap ada nilai tersendiri tanpa kita ketahui...mendung tetap akan berarak membuang segala hitam lara yang terbendung...bila gerimis berganti mentari..pelangi tetap akan muncul walau buat seketika..sekurang-kurangnya pelangi yang hadir menampakkan diri walaupun sejenak cuma, namun ia tetap bermakna dan setidak-tidaknya ia mampu mengusir kabut-kabut duka yang pernah melingkari diri buat beberapa ketika dalam kita meniti perjalanan hidup ini....semuga terus tabah dan sabar dengan tiap dugaan yang mendatang...sinar tetap menjelma selagi mentari masih berfungsi...selamat berbahagia buat semua rakan-rakanku...:)) ♥♥♥

*************************************************

CT Nurza

♥♥ Manusia yang banyak cakap adalah manusia yang paling sikit buat kerja...bila bercakap asyik memerhatikan keburukkan dan kelemahan orang lain untuk dijadikan isu sampai tak de masa nak buat kerja...bila buat kerja bukan kerana keikhlasan hati tapi kerana terpaksa, dipaksa dan kerana DUIT...bila orang lain mengatasi dirinya PHD pun mulalah berkaratzzz....?????...buat lah sesuatu tu dengan penuh keikhlasan, amanah serta rasa tanggungjawab agar rezeki yang dapat dan diperolehi itu benar2 berkat kerana rezeki itu yang menjadi darah daging untuk menjadikan hati itu hitam atau putih....♥♥

MOTIVASI UNTUK DIRI SENDIRI




Senyumlah untuk diri
Mengadulah ke hadrat Ilahi
Ujian tidak harus disesali
Dugaan tidak perlu ditangisi
Mantapkan iman di hati
Insya-Allah! semuanya bisa dihadapi
Walau perit untuk diharungi
Namun pasti memberikan inspirasi kepada diri!

-CT Nurza-
30 Julai 2013
04:48am.


*Kredit untuk grafik hiasan : Page Kawanimut.com.


MADAH JIWANGZZZ

"Ku berikan sekuntum bunga yang takakan layu untukmu...
Sebagai tanda terima kasih!
Kuhulurkan sepotong senyuman manis untukmu...
Sebagai lambang keikhlasan di hati!
Kuhadiahkan kemesraan yang berpanjangan setiap detik...
Kerana dirimu amat kuhargai!
Sesungguhnya....
Tiada apa yang aku pinta darimu
Selain dari kejujuran dan keikhlasan
Dan...sebuah persahabatan yang mulia
Terima kasih teman!
Tanpa kalian siapalah aku di sini,
Pastinya hidup ini kesunyian
Salam seluhur persahabatan untuk semua!"

*Terima kasih untuk semua tamu yang sudi berkunjung ke laman ini...kunjungan anda amat dihargai.

Ikhlas dari hati,
-Nurza-
07 Nov 2010.

Monday, July 29, 2013

REZEKI : JANGAN SAMPAI MEMBINASAKAN HIDUP


ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA

Tazkirah EPML:
Jangan Bersedih Kalau Rezeki Sulit

1. Yang memberi rezeki itu hanya satu. Seluruh rezeki hamba itu berada di sisi-Nya, dan Dia telah mengatur semua itu.

{Dan, di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang
dijanjikan kepadamu.} (QS. Adz-Dzariyat: 22)

Jika memang yang memberi rezeki itu adalah Allah, maka mengapa manusia itu harus menjilat dan mengapa harus merendahkan diri di hadapan orang lain hanya karena ingin mendapatkan rezeki dari sesama manusia?

{Dan, tidak ada suatu binatang melata pun di muka bumi melainkan Allah yang memberi rezekinya.} (QS. Hud: 6)

Dalam firman-Nya yang lain disebutkan:

{Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya. Dan apa sahaja yang Allah tahan, maka tidak seorang pun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu.} (QS. Fathir: 2)

2. Sebenarnya rezeki itu ada 2 jenis. Yang pertama sebagai ibtilaa (cobaan) dan yang kedua sebagai ishthifa (pilihan).

a. Rezeki cobaan adalah rezeki yang tidak ada hubungan apa pun dengan Allah. Bahkan rezeki yang satu ini membuat manusia semakin jauh dari Allah, sampai akhirnya dia binasa. Ke arah inilah Allah ta'ala telah mengisyaratkan:

Laa tulhikum amwaalukum" - Harta kalian jangan sampai membinasakan kalian. (Al-Munaafiqun: 10)

b. Rezeki yang sebagai ishthifa adalah rezeki yang diperuntukkan oleh Allah. Allah akan jadi pelindung bagi orang-orang seperti itu. Dan segala sesuatu yang ada pada mereka, mereka anggap sebagai milik Allah semata-mata. Dan hal itu mereka buktikan dari amal perbuatan mereka.

*Kredit untuk Page
ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA

PUISI : DI SYAWAL INI

Syawal ini...
Bakal terasa kosong di hati
Bakal merentap nafas nurani
Bakal menerbitkan airmata ini
Lantaran ibu tiada lagi
Untuk mengejutkan aku disubuh sunyi
Untuk mengucup dahi ini
Untuk kucium tangannya disalami
Jua, untuk kunikmati juadah yang dihidangi


Ibu! Ibu! Ibu!!!
Hanya pusaramu yang bakal aku ziarahi
Hanya nisanmu yang akan aku usapi
Hanya sepohon melur yang setia menghiasi
Namun akan kudamaikanmu dengan doa
Akan kuhadiahkanmu dengan al-fatihah
Agar ibu senyum selalu
Dalam resah menanti kami
Anak-anak yang ibu kasihi
Datang ke sisi mengunjungi
Walau hanya dilebaran ini


Ibu...
Sembilan bulan kautinggalkan kami
Namun ia seakan semalam ibu pergi
Masih terbayang manisnya wajahmu saat mengadap DIA
Airmata gembira jernih mengalir di pipimu
30 juzuk al-quran kami khatamkan untukmu
Sebelum mengiringi jenazah ibu ke pusara
Sebagai peneman dirimu di sana.

Bahagialah ibu!
Bahagialah ayah!
Kerana nanti kita pasti bertemu.
Doakan kami mengikut jejak kalian
Mengakhiri kehidupan dengan redha-Nya

Al-fatihah untukmu
Ayahbondaku!
 


Terusik hati di saat ini,
-CT Nurza-
29 Julai 2013
01:41am.

*Note : Melur...satu-satunya bunga kesukaan arwah ibuku selain daripada orkid...:'(

*Kredit untuk gambar hiasan Google.com.

KATA-KATA MOTIVASI UNTUK DIRI



:::Kesilapan memberi ruang dan peluang untuk kita terus belajar dan belajar. Kegagalan menjadi pengajaran untuk kita sentiasa memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Ia juga sebagai pemangkin untuk kita mencipta kejayaan. Sedangkan kejayaan pula, menjadi peniup semangat untuk kita terus berusaha dan berusaha. Walau apa pun yang kita lakukan, lakukanlah dengan penuh keikhlasan dan sebaiknya biar apa pun orang lain nak kata dan fikirkan. Hanya kita yang lebih tahu apa yang kita buat dan Maha Pencipta sentiasa Melihat serta mengetahui apa jua yang ada tersirat di dalam hati kita.:::

Nukilan,
-CT Nurza 2011-

29 Julai 2013
12:28am.

Sunday, July 28, 2013

KATA-KATA MOTIVASI PEMBAKAR SEMANGAT


"...Sekiranya kita seorang yang berfikiran positif...kita tetap akan melihat dunia ini luas dan lapang, walaupun berada di ruang yang kecil dan sempit. Tetapi jika kita seorang yang berfikiran negatif, kita akan sentiasa memandang dunia ini kecil dan terhad, meskipun kita duduk di tanah yang lapang dan ruang yang besar. Oleh itu, kembangkan minda kita untuk berfikir lebih jauh dan kecilkan fokus kita untuk menilai dan menghitung apa yang kurang agar kita mampu ke hadapan bersama azam dan cita-cita kita...Insya-Allah!"

DADDY RINDU MUMMY - YASSIN SALLEH

Daddy Rindu Mummy.

Mummy sayang
Daddy datang kali ini
sekadarkan mampu untuk tidak lagi menangis
dalam pilu aku memanjatkan doa dan Al Fatihah.
Selainnya,
hanya ada sajak duka
yang mampu ku baca
di bawah teduhan kemboja
pusaramu tenteram.

Itu sajalah cumanya Taj Mahal
yang termampu ku bina
bagi meraikan
permainya keramat cinta
kasih sayang kita berdua
yang abadi dan tersendiri.

Mummy sayang
kalau sebelum daddy mati
masih jua belum ada rumah
untuk anak-anak kita berteduh
telah ku pinta tempua
mengajarkan
seninya menganyam sarang.

Daddy rindu mummy.

yassinsalleh
0410 hrs. Julai 28. 13.
Tanah Perkuburan Pengkalan Balai, Chenor.
Copyright © 2013 yassinsalleh
All Rights Reserved. 

*Kredit to ayahanda yassinsalleh di atas kiriman sajak ini menerusi sms. Izinkan anakanda muatkan di sini untuk tatapan bersama. Terima kasih dan al-Fatihah buat Mummy.

PANTUN TAK SERUPA BIKIN



Pagi-pagi tengok berita,
Berita terkini hiburan sensasi;
Baca kes rogol hati mula berkata,
Itulah bahayanya nafsu-nafsi.

Lepas kes rogol kes pukul isteri,
Lebih baik ditelan buaya;
Toyota klasik pun nak dicuri,
Hish buat malu rakyat malaysia.

~Selamat bersahur semua!~


-Nurza-
28 Julai 2013.
05.00am.

GIGI OH GIGI (BUAT SEEKOR BUAYA)

 

Bila buaya tiada gigi...
Kebuluranlah berhari-hari
Terapung terbuntang di bawah jeti
Akhirnya buaya pun mati
Penduduk senang hati
Horeyyyy!!!
Takperlu risau lagi
Buaya dah mati!!!
Segala soalan terjawab kini
Huh, leganya hati

Puisi Rapu Raban Versi,
~Nurza~
28.07.2013
02:58am.



*Dedikasi untuk seekor buaya yang telah mati di Jeti Kampung Tok Empat Majid, Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 27 Julai 2013.

*Gambar hiasan : Kredit untuk akhbar Sinar Harian.

PUISI : SEORANG PEREMPUAN ITU



Seorang perempuan itu
Kala hatinya tercalar luka
Pedihnya dibalut dalam senyum
Darahnya dicucuri airmata
Tenang wajah menahan sabar
Ketabahan terpantul di sinar mata
Pilu yang mengasak dibungkus erat
Sendu dan sedunya
Disorok dalam sujud
Airmata pengharapan ditaburi atas sejadah
Mencari kembali semangat diri
Duka-duka yang berkeping
Dirawati penuh hikmah dan cekal

Itulah perempuan
Hatinya selembut sutera
Lerai gundah mudah memaafi
Walau hati disakit berkali-kali
Namun tiada dendam yang melingkari.

-CT Nurza-
28092011 02:37am.

*Puisi balasan untuk rakan group Pungguk Berlagu 2011 (Teratai Abadi).

Saturday, July 27, 2013

ILHAMKU : PUISI HATIKU



Di sini...
Aku bahagia meniti waktu sendirian
Tanpa teman yang melukakan
Tanpa teman yang mengecewakan

Biar aku terus begini
Bersendiri membuka ruang fikir
Bersendiri melagukan irama hati
Biar pedih dan luka
Namun tetap bahagia
Kerana kumasih ada DIA
Yang lebih mengasihi
Lebih mengetahui
Tentang apa yang terlukis
Di kanvas hatiku

Aku tidak keseorangan
Lantaran di kanan dan kiri ku
Ada Malaikat peneman setia
Yang mencatatkan amal baik dan burukku
Aku ditemani setiap waktu
Tanpa lalai dan leka
Walau zahirnya
Tiada wajah yang terpandang
Namun hati kecil bisa merasai
Hadirnya menyentuh rasa
Menjagaku setiap detik
Tanpa jemu dan bosan

Semoga
Diriku tidak lagi kesunyian
Lantaran jiwaku terisi dengan inayahNya
Damai membelai qalbu
Tenang diulit istighfar
Dengan zikrullah penyejuk jiwa
Menjadi peneman setia
Kala hati diasak duka

Pintaku pada diri
Janganlah kecundang wahai hati
Oleh bisikan durjana iblis dan syaitan
Yang ingin menggoncang pohon-pohon imanku

Terima kasih Ya Robb!
Engkaulah penjagaku siang dan malam
Titipkanlah aku cinta Agung Mu.

-CT Nurza 2011-

*Dipublishkan semula sejak sekian lama tersimpan di dalam draft.