ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, July 31, 2013

PANTUN HARI PAHLAWAN 31 JULAI 2013



Putihnya awan cantik dipandang,
Berarak seiringan kebesaran Yang Esa;
Hari Pahlawan bukan sekadar dikenang,
Hulurkan sumbangan kepada yang berjasa.


Berarak seiringan kebesaran Yang Esa,
Beralun berombak memikat hati;

Hulurkan sumbangan kepada yang berjasa,
Kerana baktinya keamanan dinikmati

Beralun berombak memikat hati,

Merah kesumba senja nan indah;
Kerana baktinya keamanan dinikmati,
Hutan rimba semua diredah.

Merah kesumba senja nan indah,
Terbang melayah daun bidara;
Hutan rimba semua diredah,
Bersusah payah demi negara.


Terbang melayah daun bidara,
Jatuh ke bawah dipungut mudir;
Bersusah payah demi negara,
Nyawa diserah kepada takdir.


Jatuh ke bawah dipungut mudir,

Harum kasturi dipagi hari;
Nyawa diserah kepada takdir,
Anak isteri tinggal sendiri.

Harum kasturi dipagi hari,
Berdakap intim anak merpati
Anak isteri tinggal sendiri,
Akhirnya yatim anak menanti.


"Selamat Menyambut Hari Pahlawan"

Al-Fatihah untuk perwira-perwira negara yang telah pergi. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh dan jasad kalian. Aamiin.

-CT Nurza-
31 Julai 2013
05:56ptg.


*Kredit untuk Grafik hiasan yang dipinjam.

No comments: