ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, July 6, 2013

RAMADAN HAMPIR MENJELANG : APA PERSEDIAAN KITA?

Bismillahirrahmanirrahiim...
Hari-hari yang kita lalui...bukanlah lagi sebuah perjalanan yang panjang, tetapi ia sudah menjadi sebuah perjalanan yang semakin singkat untuk kita harungi, dalam meniti sisa-sisa usia yang ada. Tiap detik yang berlalu, maka kian berkuranganlah umur kita, semakin bertambahlah uban di kepala, akan bertambah kaburlah pandangan mata dan  kian berkerut-berkedutlah kulit-kulit muka, lengan dan jari-jemari yang dulu mulus, cantik dan tegang menutupi tulang temulang kita.

Masihkah kita mahu terus terleka dan asyik dengan godaan dan tarikan duniawi, hingga nanti kita terlupa untuk berbakti kembali kepada pencipta diri kita? Masihkah kita yakin bahawa esok masih ada untuk kita, sedangkan kita tidak tahu apa yang bakal terjadi kepada kita dalam sedetik waktu lagi.? Setiap tahun...ramadan datang menghampiri kita, tetapi adakah kedatangannya benar-benar memberi kesan di hati dan diri kita? berjayakah kita mencapai kemenangan dalam melawan godaan hawa nafsu setelah sebulan kita ditarbiahkan di madrasah ramadan? Adakah puasa yang kita lakukan di sepanjang ramadan nanti puasa yang menyeluruh, merangkumi segala-galanya zahir dan batin atau hanya puasa sekadar menahan lapar tetapi tidak memperolehi apa-apa pun juga manfaat dan pahala di sisi-Nya selain daripada  letih dan dahaga.

Mahukah kita terus-terusan saban tahun hidup dalam keadaan tahap iman yang masih rendah tanpa peningkatan apa-apa pun di dalam diri, sedangkan umur semakin sampai ke penghujung dan akan di 'off' kan nyawa kita pada bila-bila masa sahaja tanpa berlengah dan menunggu. Oleh itu, sebelum ramadan 1434 Hijrah ini menyalami kita, marilah bersama-sama kita ambil peluang yang ada ini untuk bermuhasabah sejenak, tilik dan teliti ke dalam diri kita. Geledahlah segala kekurangan-kekurangan yang ada kita miliki. Usahlah lagi  kita sibuk menggeledah kekurangan dan kelemahan orang lain sekadar membuang masa, sedangkan diri kita sendiri masih banyak yang kurang dan lompong. Malulah kita kepada diri sendiri. Sudah-sudahlah kita melepaskan lidah tanpa sekatan bila berkata-kata. Belajarlah untuk mengawal lidah kita dan menahan jari jemari kita daripada melayangkan kata-kata dan coretan yang hina-dina kepada insan lain. Marilah kita tokok tambah dan tampal hati kita. Putihkan ia dari segala mazmumah yang bersarang dan berkeladak menghitamkan jiwa kita setiap masa. Sayangilah diri kita kerana dosa anak Adam itu terlalu banyak berpunca daripada lidahnya yang tajam dan berbisa.

Justeru, sempena dengan kedatangan ramadan yang tidak beberapa hari saja lagi, saya dengan rendah hati, ingin memohon kemaafan kepada anda semua para pengunjung blog saya, dan  terutama sekali kepada rakan-rakan yang pernah mengenali diri saya di laman facebook suatu ketika dahulu, maafkan saya andai ada salah-silap tanpa disedari dan disengajakan. Tidak kiralah sama ada dalam status-status saya di laman facebook ataupun di laman blog ini. Ampun maaf zahir dan batin.

"SELAMAT MENYAMBUT 1 RAMADAN 1434 HIJRAH"



 
-CT Nurza-
                                                                               06 Julai 2013

*Gambar hiasan : Kredit untuk Atok Googleku...TQ! Atok...:)

No comments: