ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, August 31, 2013

SYAIR NEGARA MERDEKA - ROSLAN MADUN


Roslan Madun

SYAIR NEGARA MERDEKA
Karangan : Roslan Madun

Negara kita sudah merdeka
Hidup tenteram sekian lama
Bagaikan bunga yang sedang mekar
Jagalah ia bersama-sama

Negara kita berbilang bangsa
Berbagai budaya berbagai agama
Suburkan ia selama-lama
Jagalah jangan timbul bencana

Merdeka itu merdeka diri
Teguh prinsip berperibadi
Jika datang cabar dan uji
Jangan berganjak walau seinci

Negara kita sudah merdeka
Silatulrahim mesti dijaga
Kekalkan ia sepanjang masa
Mesra seperti gita dan bunga

Merdekalah kita selama-lama
Jauhkan sikap cela mencela
Kalau berpecah sesama kita
Akibatnya buruk akan menimpa

Rukun Negara kita patuhi
Agar hidup kita harmoni
Syukuri nikmat Tuhan Rabbani
Hidup selamat dan diberkati

*Note : Terima kasih & Penghargaan kepada abang Roslan Madun kerana mengizinkan Syair ini dimuatkan di laman blog saya yang tidak seberapanya ini. Semoga syair ini memberi kesedaran dan manfaat untuk kita bersama.

*Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan koleksi album lagu-lagu rakyat dendangan beliau, silalah berhubung dengan abang Roslan Madun sendiri ditalian 012-9013636 atau emelkan sebarang pertanyaan ke alamat lagurakyat@gmail.com ya...terima kasih...:)

PUISI : DI AMBANG MERDEKA

Di ambang merdeka
Hujan lebat mencurah
Umpama darah yang tumpah

Pertahankan bangsa dan maruah
Ketika malaysia dijajah.


-CT Nurza-
31 Ogos 2013

12:00thgmlm

Friday, August 30, 2013

PUISI KEMERDEKAAN 2013 (Sempena 56 Tahun Merdeka)


Merdeka itu...
Bukan hanya sekadar sebutan
Ketika meraikan sambutan
Agar kekal dalam ingatan

Bila berlegar dalam fikiran

Akan tetapi...

Merdeka itu perlukan pengertian
Perlukan kefahaman
Perlukan penghayatan
Perlukan kesedaran


Perjuangannya bukanlah mudah
Pelbagai halangan menjadi rintangan
Segalanya dilalui dengan susah payah
Menuntut seribu satu pengorbanan

Semangat yang padu dan jitu
Daya juang yang kental dan tinggi
Jiwa yang teguh bersatu
Hati yang cekal dan berani
Segalanya penuh cabaran dan tipu helah
Namun melayu tetap gagah
Berunding penuh damai
Tanpa berlaku pertumpahan darah
Tanpa ribut peluru dan peperangan

Hargailah kemerdekaan
Walau kita sudah melepasi zaman

Merdeka!
Merdeka!

MERDEKA!!!

Nukilan spontan sekadar menjiwai erti merdeka,
-CT Nurza-
30 ogos 2013
03:58ptg.

*Kredit untuk grafik hiasan logo sumber : Google.com.

Thursday, August 29, 2013

PUISI : BILA CINTA TERBELAH DUA


Qudusnya wajah seorang suami
Bila dapat berpoligami
Tercapai segala hasrat hati
Berjaya memujuk isteri
Hasil tarbiah tanpa henti

Senyum seorang isteri
Terpaksa simpan luka di hati
Walau rela mengizinkan suami
Untuk hidup berpoligami
Kerana menurut sunnah nabi
Tanda setia seorang isteri
Suami itu wajib ditaati
Biarpun menangis seorang diri
Tiada siapa yang akan mengerti
Suami tetap dihormati

Ketika baru berpoligami
Semuanya indah tiada yang susah

Kedua madu duduk sekali
Bahagialah suami diapit isteri
Tersenyum tersengeh takhenti-henti

Kanan dan kiri dipeluk isteri
Amboihaiii...
Bangganya hati!

Bila anak kian bertambah
Mulalah timbul pelbagai karenah
Yang indah menjadi gundah
Anak menjerit siang dan malam
Berebutkan ayah taksudah-sudah
Kasih ditatang dah mula goyah
Pening kepala mulalah pemarah
Akhirnya tangan asyik menyinggah
Anak isteri mangsa amarah
Alahaiii...
Itupun masih berhajat nak tambah???

Wahai suami-suami mithali
Cubalah mengerti cubalah fahami
Hebatnya dirimu memadukan isteri
Tidaklah langsung membahagiakan diri
Meski direlakan sepenuh hati
Itu buktinya isteri dah tawar hati!!

Nukilan spontan,
(Tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati, tapi kalau ada yang 'sawan sentap' tu anggaplah anda yang termakan cili....:D)
 

-Nur Za-
29 Ogos 2013
10:16

*Selamat pengantin baru kepada sesiapa saja yang mendapat lesen poligami sempena kemerdekaan ini...:))))))))))))))

*Kredit untuk pic hiasan : sumber kawanimut.com.

PANTUN JENAKA MENJELANG SENJA

Masak rendang dalam kuali,
Kualinya hangit rendangnya hangus;
Ingin berdendang gitar takbertali,
Akhirnya menjerit tertelan sugus.

Kualinya hangit rendangnya hangus,
Baunya sampai tepi perigi;
Akhirnya menjerit tertelan sugus,
Disapa tupai tidak bergigi.

Baunya sampai tepi perigi,
Hitam semuanya dimakan api;
Disapa tupai tidak bergigi,
Disangka temannya tarzan takjadi.

-CT Nurza-
29082013
06:12ptg.

*Note : Pantun ini sekadar hiburan bila idea banyak mengalir...kepada yang rasa nak senyum kerr...silalah senyum tunjukkan kehenseman dan kecantikkan wajah-wajah anda...jangan stress-stress dan jangan serius-serius sangat ya, merdekakan minda kita sejenak!...sekali sekala kita perlu ceriakan diri, bergurau senda agar sentiasa awet muda....kannn?? bukan untuk sesiapa tapi untuk diri sendiri juga!!!...:)

MUTIARA KATA

"...Memikirkan keuntungan itu bagus, tetapi mencari untung di atas jerih perih dan susah payah orang lain itu tidaklah bagus! apa yang anda buat, itulah yang akan anda dapat kemudian hari...jadi, fikir-fikirlah jika anda seorang yang tahu berfikir sebelum melakukan sesuatu kepada orang lain..."

-CT Nurza-
29 Ogos 2013

05:41ptg

*Kredit untuk grafik hiasan google.com.

SAJAK SMS - YASSIN SALLEH

Sajak SMSku
Bermula di sini berakhir
Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan
Aku merdekakan diri
Dari sebarang rasa pilu

Terima kasih kerana sekian lama kalian
Menjadi khalayak terpaksa
Sajakku.

Salam.

yassinsalleh
1545. Ogos 28. 13.
La Casa Pasifica D Yasleh
Copyright (c) 2013
yassinsalleh
All Rights Reserved.


Diterima by SMS 28.08.2013 06:22ptg.

*Note : Doa anakanda semoga ayahanda Yassin Salleh akan terus berkarya kerana blog ini masih sudi menerima nukilan-nukilan ayahanda tidak kira menerusi SMS atau sebaliknya. Diterima dengan hati yang terbuka demi berkongsi ilmu dan meningkatkan lagi mutu penulisan anakanda berkat tunjuk ajar dan sokongan yang ayahanda telah berikan. "Tidak semua orang akan suka kepada kita biarpun kita tidak mengganggu kehidupan mereka." Semoga ayahanda tabah dan sabar. Teruskan berkarya dengan cara ayah sebagaimana nasihat ayahanda kepada anakanda di sini:

"...Kita mesti terus berkarya. Semangat itu jangan sekali dibiarkan padam..." - Yassin Salleh-(Penyair & Pengarah Filem).
http://yassinsalleh.blogspot.com/2013/07/dapatkan-simfoni-sepi-melalui-pos.html

Insya-Allah, anakanda akan sentiasa ingat pesanan ini. Terima kasih ayahanda!

PETIKAN KATA-KATA TENTANG KEMERDEKAAN

Merdeka...
Kata Andre Colin :
"Bangsa penakut tidak boleh merdeka dan tidak berhak merdeka. Ketakutan adalah penasihat yang sangat curang untuk kemerdekaan."

Kata Mat Keramat :
"Sahaja begitu adanya encik-encik dan tuan-tuan."

Kata Tok Awang :

"Aikkk, merdeka nasi berlauk keno bayar."

Kata Bung Karno :
"Bangsa yang tidak percaya kepada kekuatan dirinya sebagai suatu  bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa  yang merdeka."

Kata Nelson Mandela :

"In my country  we go to prison first and then become president."

Dipetik oleh yassinsalleh

Ogos 28.2013
La Casa Pasifica D Yasleh.

*Terima kasih ayahanda Yassin Salleh, mengirimkan kata-kata ini menerusi sms. Dihargai.

Wednesday, August 28, 2013

SAJAK : TENTANG MERDEKA

Sebelum cakap tentang merdeka
Tahukah kau
Lubuk Kawah itu di mana?
Sebelum kibar bendera
Tahukah kau
The Star Spangled Banner itu apa?
Sebelum kau tahu segalanya
Jangan mengada-ngada
Mendabik dada mengaku patriotik
Konon.

yassinsalleh.
1131 hrs. Ogos 28.13.
La Casa Pasifica D Yasleh
Copyright (c) 2013
yassinsalleh
All Rights Reserved.

*Note : Sajak ini diterima menerusi sms dari ayahanda Yassin Salleh dan ditaip kembali untuk dimuatkan di sini...untuk membaca karya-karya beliau dan mendapatkan buku puisi beliau sila lawati Denai Semalam Yassin Salleh :



PUISI : KELUKAAN


Irama sedih...
Aku sorokkan di dalam rasa
Meski pijar mendidih
Menggores memedih
Di tangkai hati
Terhiris
Terluka!

Dalam tahajjud kasih
Aku pohon restu-Nya
Suburkan ketabahan ini
Walau pahit menempuh mehnah-Nya!


Nukilan spontan,
-CT Nurza-
28 Ogos 2013
03:41pg.

Tuesday, August 27, 2013

DARI HATI AKU BERBICARA



"...Kadangkala...kita tidak perlulah menghamburkan kata-kata kesat yang melukakan hati sesama insan untuk menunjukkan kemarahan dan rasa geram hanya kerana perkara yang kecil, sebagai tanda kita protes dan membuktikan kita seorang yang hebat dan punya segala. Aku tidak hairan dengan kekayaan dan keberadaanmu, jika itulah yang membuatkan kau semakin ego dan angkuh. Aku cuma hairan kenapa insan sepertimu akhlaknya tidak seindah rupa yang dibangga??? Lidah dan tutur kata tidak langsung terjaga! Bagiku, jika anda seorang yang bijak dan berakal, percakapan anda juga tentu sangat berhemah, bukan semakin mempamerkan kebodohan dan kedangkalan diri yang terlalu emosi mengikut kata hati tanpa menggunakan otak untuk berfikir sebelum berkata. Aku sedar aku bukan sesiapa!!! Mengenalimu hanya kerana urusan penting yang tidak lebih dari itu. Namun, semakin aku mengenali sikap dan peribadimu semakin aku ingin pergi menjauhi. Terima kasih kerana mengenalimu membuatkan aku sentiasa berfikir bahawa dirimu tidak ubah seperti sesumpah yang sering bertukar warna setiap waktu dan terlalu hipokrit adanya...penghinaanmu amat aku hargai! terima kasih dan terima kasihhh...!"

Walaupun aku lembut tetapi tidak semestinya aku lemah, ketegasan tetap ada! bak kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah!

-CT Nurza-
27 Ogos 2013

04:23 
(Menangis di dalam hati, lebih baik daripada mencaci-maki mempamerkan kebodohan diri)

*Kredit untuk grafik hiasan google.com.

PUISI & MUTIARA KATA 2011



Putihkan hati dari mazmumah
demi sebuah ikatan ukhuwah
agar terserlah cinta kerana Allah
tidak akan mudah goyah
walau sesekali diduga resah
namun jiwa tetap pasrah
tiada yang kekal melainkan Allah
redha sabar dan tabah
meski terkadang diusik musibah
lalui dengan tenang tanpa gundah
InsyaAllah!
pasti diri dalam mawaddah warahmah.

-CT Nurza-
05012011 11:00am.

***************************************

♥♥ PETIKAN ARTIKEL DARI PAGES I LUV ISLAM 2011♥♥

Gara-gara lidah, seseorang terjebak masuk ke neraka. Menjadi hamba yang rugi, sebab pahala orang yang berdosa kerana kerosakan lidah akan dihadiahkan kepada orang yang dizalimi. Gara-gara lidah yang jahat kita boleh menjadi hamba yang muflis (muflis).

Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain”. (HR.Muslim)

Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum mendapatkan jawapan dari ahlu dzikri (orang yang ahli/mengetahui). Jika tidak, ucapan kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh menyesatkan.

MUTIARA KATA : SIKAP (2)




"...KITA SERING MENGHARAPKAN KESEMPURNAAN DALAM HIDUP KITA, TETAPI YANG KITA DAPATI HANYALAH KEKURANGAN. KITA SERING MEMBICARAKAN KELEMAHAN DAN KEBURUKKAN ORANG LAIN DI DEPAN MATA KITA, TETAPI KITA TERLUPA BAHAWA DIRI KITA JUGA TERLALU BANYAK KEKURANGAN DAN KELEMAHAN SERTA CACAT CELANYA. PERBAIKILAH DIRI SENDIRI TERLEBIH DAHULU, SEBELUM KITA MENEGUR ORANG LAIN KERANA CONTOH TELADAN YANG BAIK BUKAN TERLETAK PADA HEBATNYA KATA-KATA BILA BERBICARA, TETAPI SIKAP DIRI YANG DIPAMERKAN...."

Cetusan hati,
-CT Nurza 2011-

*Kredit untuk grafik hiasan : Ikimfm.

ARTIKEL PILIHAN - USTAZ PAHROL MOHD JUOI


SIKAYA YANG ‘DIMISKINKAN’ OLEH HARTANYA
Percaya tidak, acap kali apabila harta bertambah, kita  seolah-olah rasa bertambah ‘miskin’. Apabila mendapat bonus atau naik gaji misalnya, tiba-tiba semakin banyak yang kita inginkan. Kita merancang untuk membeli kereta baru, menukar perabot baru dan lain-lain. Keinginan kita menjadi semakin besar dan  bertambah.

Akhirnya duit yang bertambah menjadi susut akibat keinginan yang meningkat. Sungguhnya, orang yang miskin, bukan kerana kekurangan harta tetapi mereka yang banyak keinginan! Itulah akibatnya apabila bukan iman yang mengendalikan hidup kita.

Diri kita akan hilang kendali seumpama kereta hilang brek dan tiada kawalan. Kita masih mencari dan terus mencari kemewahan dunia sedangkan usia sebenar semakin singkat dan pertemuan kita dengan Allah semakin dekat. Hati kita tidak pernah kita gilap sebab kita masih ghairah memburu harta yang tidak ada kesudahan dan penghujungnya. Tidak salah memburu harta… burulah. Namun ingat, itu cuba alat, bukan matlamat.

Berhati-hatilah menjaga hati. Jangan pemburuan yang dahsyat itu sampai menjejaskan kesihatan hati kita. Jika dapat, bersyukur. Jika gagal, bersabar. Jangan sekali-kali, apabila harta bertambah, kita jadi semakin kufur dan takabbur. Jangan juga apabila gagal memilikinya, kita rasa putus asa dan kecewa. Sungguh, kufur, takabbur, putus asa dan kecewa itulah parasit yang akan menghilangkan ketenangan di dunia dan akhirat.

Dalam pengalaman hidup kita tentu pernah melihat penghuni rumah besar tetapi hatinya sempit. Air mukanya muram, mudah marah dan pantang terusik… mudah marah dan melenting. Apabila kita bertamu di rumah, layanannya layu dan kemesraan dibuat-buat. Dia sentiasa memonopoli perbualan. Makan dan minum yang dihidangkan, bukan dari hatinya. Semuanya kaku oleh basa-basi yang dicorakkan adat dan kebiasaan semat-mata. Ironinya, sikaya kehilangan ‘sentuhan kemanusiaan’  di rumahnya yang lapang, akibat jiwanya yang  terhimpit. Namun, lihat  betapa ada simiskin yang begitu ceria melayan kita. Rumahnya sempit tetapi ahli keluarganya mempunyai hati yang lapang. Dengan penuh senyuman, kemesraan dan kasih sayang yang sudah serasi dengan jiwanya itulah dia melayan kita. Dia tidak mengajak orang kagum dengan rumah besar yang tidak dimilikinya, tetapi sebaliknya dia ‘membesarkan’ jiwa   dan hati tetamu yang sedang diraikannya. Di rumah yang kecil, terasa luas apabila penghuninya punya ketenangan.

Jiwa kita akan disapa ketenangan oleh tuan rumah yang punya ketenangan. Dia mungkin tidak punya harta, tetapi kaya ilmu dan akhlak. Sikapnya yang sangat suka memberi menyebabkan kita terhibur. Dia memberi senyuman, nasihat, doa dan kata-kata yang mesra. Sungguh, yang baik akan sentiasa kelihatan cantik!

Betapa kita pernah mendengar keluhan, dulu tangan-tangan sering berjabat salam, solat berjemaah dan zikrullah sentiasa bergetar di dalam rumah yang sederhana tetapi apabila rumah bertambah luas, harta bertambah, perabot sudah bertukar dengan yang mahal-mahal… solat jemaah, bacaan Al Quran dan jabat salam yang dulunya menjadi basahan, kini sudah semakin kurang kedengaran dan segala-galanya menjadi semakin tawar dan longgar. Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW bahaya kaya hati alah kaya sebenar, bukan kaya harta.

Orang yang memiliki hati yang begitu, cukup dengan yang sedikit, pemurah dengan yang banyak. Para sahabat Rasulullah ada yang dipuji kemurahan hatinya walaupun miskin hartanya. Sehingga apabila tetamu datang, dikecilkan cahaya lampu rumahnya agar tetamu dapat makan dengan secukupnya sedangkan dia dan ahli keluarga pura-pura sama memakan makanan yang sedikit itu di dalam cahaya yang samar-samar. Sebaliknya sikaya yang kaya harta tetapi miskin jiwa itu sentiasa rasa tidak puas sehingga tega menindas.

Hartanya sudah lebih dari cukup, tetapi dia terus memeras keringat orang lain untuk menjadi lebih kaya. Jika dia memberi, dia memberi dengan muslihat untuk mendapat lebih banyak. Kalau dulu dia punya masa untuk sahabat dan saudara, tetapi kini dia diburu kesibukan yang tidak sudah-sudah… Dulu harta yang cukup, sekarang hartanya tidak cukup-cukup. Tanpa sedar, sikaya yang sedemikian sedang menyusuri jalan Qarun. Jika Qarun ditenggelamkan dalam Laut Mati… tetapi pengikut-pengikut Qarun akan ditenggelamkan dalam hati yang mati.

Hati yang mati sentiasa diburu kesedihan dan ketakutan. Sedih kerana ditinggalkan saudara, sahabat malah oleh anak-anak dan isteri sendiri. Apa tidaknya, siapa yang suka berdamping dengan orang yang sentiasa sibuk, fikirannya sentiasa di tempat lain dan jiwanya yang sentiasa bimbang dan gelisah? Dunia moden menamakan mereka orang yang produktif, tetapi hakikatnya mereka orang yang sakit! Sungguh, alangkah azabnya punya hati yang sedemikian. Hati yang hilang rasa ingin membantu orang lain, hati yang sukar untuk empati kepada kesusahan orang sekeliling, hati yang sudah hilang nikmat persaudaraan dan persahabatan.

Orang yang cuba menukar kualiti jiwa dengan kuantiti harta pasti menderita. Dari Anas bin Malik r.a diriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda:” Anak Adam yang telah pikun (nyanyuk) dan masih menginginkan dua hal; menginginkan harta dan menginginkan panjang usia.” (riwayat Muslim).

Lihat diri kita dan lihat manusia di sekeliling kita… betapa ramai sahabat, saudara, pemimpin, ahli agama dan ahli keluarga malah diri kita sendiri yang telah berubah apabila harta dan wang semakin bertambah. Marilah kita ingatkan kepada mereka dan kita yang sudah lupa, keinginan terhadap harta adalah dahaga yang tidak pernah sirna!

*Artikel ini diterima melalui emel by genta-rasa. Kepada yang ingin bertanya sila klik link tajuk di atas untuk terus ke laman ustaz. Terima kasih.

PUISI : PESAN EMAK (JANGAN JADI BUNGA DEDAP)


Sesekali berjalan mendongak ke atas
Kuteringat pesan emak
Jangan jadi bunga dedap
Cantik warnanya
Harum tiada
Hanya indah terpandang di mata
Sekadar hiasan seindah rupa
Wanginya tidak terbiar sahaja

Begitu jua kita manusia
Apalah guna hebatnya rupa
Jika tidak berbudi bahasa!


-CT Nurza-
27 Ogos 2013
06:57pg.


*Kredit untuk grafik hiasan google.com

SAJAK : ALAHAI MERBAH - YASSIN SALLEH

Alahai, demikianlah
Dah merbah tu,
Jadi sajalah merbah
Makanlah lada masak merah
Dan betik luruh di tanah.

Berkawanlah dengan murai
Tangkap belalang di padang
Di celah-celah belukar
Dan pohon  rendah
Di bawah-bawah
Di lembah di lurah
Di tepian sawah.

Biarkanlah serindit
Makan buah-buah ranum
Lebat sampai tak nampak daun
di pohon tinggi

Kalau serindit ajak makan sama pun
Takkan terdaya sayap
Nak terbang tinggi
Ke bukit ke gunung
Inikan pula tak ajak tak pelawa
Tak sengaja terlupa tu
Alahai, demikianlah.

yassinsalleh
1055 hrs. Ogos 25.13
La Casa Pasifica D Yasleh
Copyright (c) 2013
yassinsalleh
All Rights Reserved.

*Sajak ini diterima menerusi sms....http://yassinsalleh.blogspot.com/

PUISI : SUNGGUH BENAR KATA AYAH


Sungguh benar kata ayah
Zaman sekarang penuh tipu helah
Yang benar dinafikan
Yang salah diiyakan

Manusia sudah semakin buta
Mabuk kuasa mabuk segala
Kerana duit kelabu biji mata
Kawan jadi musuh
Yang berjasa dilupa
Yang ampubodek diberi kuasa
Walau bercakap penuh tipu dusta

Biarlah kita menjadi kita

Tidak berebut memegang kuasa
Asal hidup tenang jiwa
Walau tiada apa-apa.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
24 Ogos 2013

03:13ptg.

*Note : Sajak ini tercipta secara spontan sekadar membalas sajak yang dihantar oleh ayahanda Yassin Salleh seorang penyair menerusi kiriman sms kepada saya...terima kasih atas kiriman sajak-sajak ayahanda untuk saya terus belajar dan belajar.

*Komen beliau secara jujur : "Sedap ayah baca sajak anakanda. Bagi ayahanda sajak bukan hanya susunan kata-kata berirama, tetapi ia perlu ada denyut jantung, luahan suara hati." - yassinsalleh (Penyair & Pengarah Filem)

Monday, August 26, 2013

SEMALAM DATANG LAGI - YASSIN SALLEH

Semalam datang lagi...
Di pucuk pohon malam
Kenangan remaja
Mengirim warkah cinta

Di bawah tempurung
Di pangkal rumpun melur
Di Hujung halaman
Untuk milah yang amat dirindu


Esoknya panjat pohon jambu
ngendap milah ngambil surat
'Pos Tempurung'

Demikianlah kami dulu
Takde email, takde whatsapp.

Tapi,
Yang ada pastinya bukan
Cinta segera meemaggie
Cinta zaman kami lebih mekar
Lebih segar kerana ianya
lebih sukar.

Rindupun kena dikirim
Pada angin lalu.


yassinsalleh
1730 hrs. Ogos 13.13,
La Casa Pasifica de yasleh
Copyright (c) 2013
Yassinsalleh
All Rights Reserved.

*Sajak ini telah dikirim menerusi sms oleh ayahanda Yassin Salleh, tetapi baru kini sempat dimuatkan di sini. Terima kasih ayahanda.
http://yassinsalleh.blogspot.com/


MUTIARA KATA CINTA (1)


"...Cinta dari hati...cinta yang meresapi ke sudut hati. Wanginya bak kasturi syurgawi melintasi penjuru jiwa. Ironinya dapat dirasai melalui naluri dan gerak hati. Firasatnya adakala tepat sekali. Itulah cinta titipan Azali. Mampu menapak di ruang hati, tanpa pernah kita sedari..."

Nukilan spontan,
-CT Nurza-

26 Ogos 2013
05:04ptg.

PUISI : KUNCI HATIKU

~Hanya sebuah puisi, mengungkap rahsia hati...luahan yang tidak bertepi, agar mereka mengerti!~


Kunci hatiku
Meski ada padamu
Walau bisa kaumiliki
Namun untuk dibuka belum pasti
Kerana hati milik peribadi
Tidak mungkin dapat kaucerobohi
Selagi mangganya tersimpan rapi
Dalam kamar diri
Yang tidak pernah engkau ketahui!

-CT Nurza-

26 Ogos 2013
02:03ptg.

MOTIVASI BUAT DIRI SENDIRI : KUATKAN AKU!

~*Selagi Allah memberikan kekuatan, selagi itu kita mampu menghadapi ujian, menempuh segala cabaran, menerima dugaan-Nya dengan tenang. Sesungguhnya, kaulah sebaik-baik pelindung Ya Allah!*~

Petikan SMS ayahanda Yassin Salleh untukku : "Ayah menghormati kesungguhan anakanda berkarya dalam mempertingkatkan kemampuan yang penuh iltizam & Kegigihan. Salute ayah untuk anakanda..."

Sekalung Terima Kasih buat ayahanda Yassin Salleh kerana tidak jemu memberikan sokongan dan perangsang.



-CT Nurza-
26 Ogos 2013

0143ptg.

*Gambar hiasan : Kredit untuk page Grafik Islamik.