ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, August 22, 2013

SOKSEK-SOKSEK : BANYAK KER DAPAT BAYARAN???


Bismillahirrahmanirrahiim...

Assalamualaikum dan salam maghrib semua...selamat menunaikan solat fardhu maghrib...

Hemmm...cerita tentang dunia penulisan saya ni, ada sesuatulah yang saya rasa nak luahkan kat sini untuk tatapan kekawan yang mengikuti blog saya dan kepada yang sudi menyinggah sekadar bertamu. Sebenarnya saya ni bukanlah penulis ternama yang gah dan setanding karyawan dan sasterawan ulung negara tuh, walaupun saya menulis sejak di bangku sekolah lagi dan banyak memenangi pertandingan-pertandingan yang diadakan di media massa...tapi saya tidak pernah leka dan rasa diri saya bagus dan terbaik. malah saya tokok tambah lagi pengetahuan saya dengan belajar dan bertanya kepada insan-insan yang lebih pakar dan berjaya.

Saya ini cuma insan biasa sahaja yang dipinjamkan sedikit bakat untuk menulis dan merakam segala perisitiwa dan pengalaman yang benar-benar saya lalui dan tempuhi di sepanjang kehidupan saya di dunia ini sebagai tatapan dan pengajaran kepada insan lain yang sudi membaca coretan-coretan saya. Tidak sama sekali menulis untuk mencari nama, dikenali, inginkan glamer atau menulis semata-mata untuk DUIT

Bagi saya niat itu memainkan peranan yang penting, kerana kerja penulisan itu satu dakwah dan sesuatu yang mulia jika kita mempergunakan bakat yang Allah anugerahkan kepada kita dengan sebaiknya biarpun kecil dan tidak sebesar mana. Kita tetap perlu bersyukur! Apa yang saya tulis dan lahirkan menerusi karya-karya kecil saya di sini adalah berdasarkan kenyataan yang dihadapi bukan imaginasi dan illusi. Saya tidak suka menipu dalam karya saya, kerana apa yang kita lakukan kita perlu jujur dan telus, lebih-lebih lagi bila berkarya. Menulis sesuatu yang dialami itu bagi saya lebih terkesan di hati pembaca berbanding tulisan yang sengaja direka-reka tetapi tidak benar sama sekali.

Sapanjang saya menulis ini, tidak kiralah di radio, akhbar, majalah atau sebagainya...kebanyakan pertanyaan-pertanyaan sinis yang selalu ditanyakan kepada saya ialah..."...berapa bayaran yang awak dapat tiapkali artikel atau karya-karya awak disiarkan kat majalah? mahal tak? tentu awak banyak duit kan kerana karya-karya awak banyak disiarkan. Untunglah awak! kalau macam tu saya pun nak menulislah..."

Huuuuhhhh...manusia! kalau dengan duit gelap mata tak ingat dunia gayanya. Untuk kekawan atau sesiapa jer yang hantu duit sangat-sangat tuh, ini jawapan saya secara jujur. Kalau saya nak kaya, saya tak akan menulis kerana kalau anda menulis untuk duit, terjaminkah karya-karya hasil tulisan anda itu berkualiti tinggi dan mampu mendapat tempat di hati pembaca atau jua editor? bagi saya, saya menulis kerana saya amat meminati dan mencintai dunia ini sejak dari awal lagi. Dengan menulis saya dapat mengasah minda saya dan melatih otak untuk sentiasa berfikir yang baik-baik. Membuat pertimbangan yang waras apabila menghadapi sesuatu perkara yang rumit. Memikirkan untuk mencari bagaimana penyelesaian yang terbaik dalam menghadapi sebarang masalah tidak kira masalah peribadi atau untuk membantu kawan-kawan rapat yang ditimpa musibah yang memerlukan nasihat atau pertolongan, jadi dengan cara menulis itulah kita dapat melegakan hati mereka, di samping memperingati diri kita sendiri.

Kita perlu menulis dengan hati bukan emosi terlampau. Untuk jadi kaya dan banyak duit saya fikir lebih baik anda berniaga atau tingkatkan produktiviti anda dalam pekerjaan yang anda lakukan kerana menulis itu kerja yang mulia, tidak mengharapakan duit yang melimpah ruah hasil daripadanya, sebaliknya cukuplah jika ia sudi ditatapi dan mesej yang hendak disampaikan diterima seadanya. Saya hanya menulis secara sukarela dan lapang dada kerana ia adalah jiwa saya. Saya amat puas apabila saya dapat berkarya dengan tenang tanpa siapa yang memaksa. Jika kita melakukan sesuatu perkara yang kita benar-benar minat dan suka, kita tidak akan terlalu menjadi mata duitan biarpun semua orang tahu duit itu penting dalam kehidupan lebih-lebih lagi nanti nak beli kain kafan bila dah mati, tapi jangan sampai jadikan duit itu tuan yang menindas diri kita untuk melakukan kebaikan dan menghalang kita membantu orang lain.

Kerja itu satu ibadah tidak kira apa pun yang kita lakukan, segalanya perlu diniatkan kerana Allah bukan semata-mata niat untuk DUIT. Cuma, sekiranya kita diberikan bayaran atas hasil usaha kita itu, anggaplah itu sebagai bonus dari Allah SWT yang memberikan rezeki dan nikmat kepada hamba-hamba yang dikehendakinya. Siapa kita untuk meminta lebih dari-Nya jika usaha kita cuma sekecil zarah, apatah lagi untuk mempertikaikan rezeki yang diberikan kepada insan lain...malulah kepada diri sendiri dan Allah SWT untuk menyemai perasaan iri di hati lantas menyuburkan sifat mazmumah ke dalam diri hanya kerana tidak senang melihat kejayaan rakan-rakan.

Jika itulah yang tertanam di lubuk hati anda untuk menulis, saya pasti hanya sekali sahaja anda mampu memperolehinya kemudian idea anda akan mati dan terbatas begitu sahaja kerana niat anda telah terpesong sama sekali. Menulis untuk DUIT, anda hanya akan nampak duit dan fikirkan tentang duit sahaja setiap masa lantas mengabaikan soal KUALITI. Yang membaca juga tidak sampai ke hati kerana yang ditulis bukan lahir dari hati yang murni. 


Jujur saya akui, sepanjang saya menulis artikel untuk majalah, saya tidak pernah sama sekali bertanyakan tentang bayaran yang saya dapat atau menuntut bayaran lebih di atas kerja saya, cukuplah saya mengharapkan hasil kerja saya dapat memuaskan hati ketua editor dan para pembaca serta dapat diterima dengan baik oleh khalayak apabila diterbitkan. Hanya itu! Saya cuma mampu berterima kasih tiapkali 'my boss' memaklumkan bahawa dia sudahpun memasukkan bayaran ke dalam akaun saya setiap bulan tanpa saya pergi berkejar ke bank untuk tengok berapa bayaran yang saya dapat hasil tulisan saya. Bagi saya, biar mereka yang menilai bukan saya yang mendesak atau meminta! oh tidak...itu bukan cara saya dalam berkarya...

Jadi kepada yang nak menulis semata-mata kerana duit tu, anda kajilah dulu kemampuan diri anda sejauh mana boleh pergi, sama ada dapat memenuhi kehendak editor, penerbit atau khalayak terlebih dahulu. Janganlah hanya karya anda baru satu dua terbit di akhbar, majalah atau radio anda sudah rasa diri hebat, teramat bagus dan terbaik. Ingatlah, kalau kita rasa diri kita bagus, belajar sampai ke menara gading, ilmu terasa penuh di dada...sebenarnya ramai lagi orang lain yang lebih bagus daripada kita!

Oleh itu, janganlah kita cepat rasa bangga diri dan besar kepala apabila menerima sedikit pujian dan terus memandang rendah terhadap insan lain. Sebaliknya rendahkanlah hati untuk terus belajar dari mereka yang lebih arif dalam bidang penulisan agar ilmu dan pengetahuan kita makin bertambah bukan menjadi manusia yang tidak boleh ditegur, dikritik dan bodoh sombong dengan karya sendiri!...Wang akan datang sendiri apabila kita mampu menghasilkan kerja dan karya yang berkualiti suatu masa nanti tanpa kita menyangka!!

Sekian, semoga anda yang sentiasa bertanya tentang ini, akan berpuas hati dengan jawapan tulus jujur saya di sini.


Selamat berkarya kepada yang jujur berkarya!
-CT Nurza-
22 Ogos 2013
08:39mlm.

*Kredit untuk Grafik hiasan google.com

No comments: