ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, August 24, 2013

TEMA HARI MERDEKA 2013



"MALAYSIAKU BERDAULAT, TANAH TUMPAHNYA DARAHKU!"

Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-56 tahun, yang tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi, sudah tentu saya juga turut berasa bangga menjadi salah seorang anak Malaysia. Walaupun dilahirkan selepas merdeka, namun keperitan hidup sebelum merdeka dapat jua saya rasai melalui pengalaman kisah benar yang pernah diceritakan oleh kedua ibu bapa saya kepada saya sewaktu kecil dahulu dan kini terus menjadi ingatan dalam kotak fikiran saya.

Katanya, hidup pada zaman sebelum merdeka mereka cuma makan ubi kayu sahaja setiap hari, manakala stok makanan yang ada di rumah pada masa itu cuma beras dan garam sahaja. Pada zaman dahulu juga anak-anak gadis terpaksa dikahwinkan dalam usia yang masih muda demi untuk meyelamatkan diri daripada menjadi habuan para penjajah. Perit pedihnya ketika Zaman pemerintahan Jepun juga membuatkan hidup mereka sentiasa dihimpit penderitaan dan kesukaran serta berada dalam ketakutan sepanjang masa.


Syukurlah, kini negara kita sudah pun berjaya mengecapi  nikmat kemerdekaan hasil perjuangan dan usaha gigih bapa kemerdekaan negara kita iaitu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Shah. Sesungguhnya, semangat beliau amat saya kagumi. Segala susah payahnya untuk mendapatkan kemerdekaan tanahair amat wajar kita ingati dan kenangi setiap masa. Kerana beliaulah kita dapat hidup dalam sebuah negara yang aman damai begini. Boleh tidur dengan nyenyak dan makan pakai dengan mewah dan selesa. Sungguh bertepatan gelaran "Bapa Kemerdekaan" diberikan kepadanya.

Dalam pada kita sibuk memperkatakan tentang sambutan hari merdeka yang akan berlangsung tidak lama lagi, janganlah pula kita lupa untuk menghadiahkan sekalung al-fatihah buat Almarhum Tunku sebagai tanda ingatan dan doa kasih kita kepadanya di atas jasa yang telah ditaburkan. Tanpa kegigihannya tidak mungkin kita boleh berada dalam negara yang harmoni dan aman sebegini.

"Selamat Menyambut Hari Merdeka" dan Salam Kemerdekaan buat semua!

-CT Nurza-
24 Ogos 2013
01:06ptg.


*Grafik Hiasan : Kredit untuk Google.com.

No comments: