ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Monday, September 30, 2013

PUISI : SINGKIRKAN DENDAM


Memendam...
Segala yang terpendam
Akan membuat hati kian hitam
Menyimpan dendam


Buangkan...
Segala kebencian orang
Agar hati tenang
Jiwa pun lapang

Sebaiknya...

Diamlah mencari ilham
Perelokkan kalam
Cantikkan yang hitam
Agar bisa menghiasi alam
Walau malam semakin suram
Namun yang hitam tetap berseri
Jika diterangi Nur Ilahi
Setelah diri bersih kembali
Dengan taubat sepenuh hati

Memohon ampun kehadrat Izzati

-CT Nurza-
30 Sept. 2013

11:16pg.

PANTUN AIDILADHA 2013 : PERISTIWA KORBAN


Calar paha terkena joran,
Joran bermata dimakan tamban;
Aidiladha hari kebesaran,
Mengingatkan kita peristiwa korban.

Joran bermata dimakan tamban,
Direntap Pak Rahim sibatang kail;
Mengingatkan kita peristiwa korban,
Nabi Ibrahim dengan Ismail.

Direntap Pak Rahim sibatang kail,
Tersangkut kayu disangka ikan;
Diperintahkan Ibrahim menyembelih Ismail,
Kerana wahyu perintah ditunaikan.

Tersangkut kayu disangka ikan,
Ikan karim bawah jambatan;
Kerana wahyu perintah ditunaikan,
Berkorbanlah Ibrahim demi ketaatan.

Ikan karim bawah jambatan,
letak kail habis umpannya;
Berkorbanlah Ibrahim demi ketaatan,
Menyembelih Ismail anak kandungnya.

Surah At-Tahrim merdu bacaannya,
Dibaca menanti laungan azan;
Saat Ibrahim menyembelih anaknya,
Kibas diganti sebagai korban.

Terbang merpati hinggap di reban,
Rimbun melati condong ke titi;
Kibas diganti sebagai korban,
Itulah bukti keikhlasan hati.

-CT Nurza-
30 Sept. 2013
0335pg.

Thursday, September 26, 2013

SAJAK : YANG MASIH KUPUNYA LAGI - YASSIN SALLEH

Macam manalah ya
aku nak tulis sajak
tapi dah tak tahu
macam mana nak tulis.

Kalau tulis juga
yang terjalin adalah nyanyi sayu
yang terpilin cumalah tangis qalbu
yang kian hari kian piatu
terkurung di saujana sepi
denai kembara yang mengikat kaki
pada tongkat yang berat
pada ubat yang sarat
pada pinggiran semangat
yang juga tertambat
ke hujung senja yang lambat.

Maafkan aku duhai sahabat
Aku tuliskan jugalah sajak
sepertimana yang ku tahu
kerana sajak adalah nafasku
kerana sajak adalah semangatku
kerana sajak adalah impianku
dalam bertahan
mengempang tibanya
asakan keinginan
untuk tidak mahu lagi
kembara tanpa mimpi

Kerana selain sajak
hanyalah sakit dan mimpi
yang masih ku punya lagi.

yassinsalleh
1342 hrs. Sept 26. 13
La Casa pasifica D Yasleh
Copyright (c) 2013
yassinsalleh
All Rights Reserved.


*Untuk membaca lebih lagi karya tulisan ayahanda Yassin Salleh, kepada yang sudi sila dapatkan buku himpunan sajak-sajak beliau menerusi link ini...terima kasih.

PUISI : NILAI DIRI YANG HILANG


Akibat terbiasa kata mengata
Tiada hormat kepada yang tua
Biadap tiada timbang rasa
Itukah anak bangsa kita
Yang tidak tahu berbahasa
Menjatuhkan maruah diri dan keluarga
Mencerca memaki sewenangnya
Hanya terasa dirinya sempurna


Terhirisnya hati
Melihat gelagatnya
Sungguh biadap tidak beradab
Lancang mulut menempelak menghina
Hanya ditegur seorang pengawal Keselamatan
Bertindak agresif menunjukkan kehebatan
Lantas mengaibkan si pengawal itu


Di hadapan khalayak

Pengawal itu diaibkan
Bodoh dan dayus perkataan dihamburkan
Kasihan sang suami
Punya isteri yang rendah akhlak peribadi
Rupa cantik tapi tidak bererti
Jika otak kosong takberisi
Ilmu akhlak adab dan sopan
Tiada tersisip di dalam diri

Kasihan
Sungguh kasihan!

*Note : Salam Takziah buat pak cik pengawal keselamatan yang telah dimalukan oleh Isteri Mat Yo di youtube…semoga Allah tingkatkan darjat pak cik di atas kesabaran ujian yang menimpa…si penghina itu lebih hina dari orang yang dihina...takutlah kepada doa orang yang dizalimi...

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
26 Sept. 2013
11:14am.

Tuesday, September 24, 2013

PUISI : TOPENG-TOPENG CINTA



Berbunga rasa bahagia
Mendengar luah rasa
Dari suaramu yang ceria
Syukur lantaran kebenaran terbukti kini
Kaubukan jodohnya
Terputus ikatan di tengah jalan
Bukti Allah menyayangimu
Kaudilindungi
Agar tidak terus berduka
Menganyam derita melarik lara
Di sepanjang hayatmu
Dengan deraian airmata kecewa
Untuk menjadi insan setia
Kepada dia si pendusta

 
Berjalan di titian kehidupan
Lihatlah jauh ke hadapan
Masih ada gunung-ganang terbentang megah menyambut

Pohon-pohon hijau yang ramah menyapa
Bayu-bayu segar berpuput lembut mengelus
Awan-gemawan berarak indah memayungi
Burung-burung ceria merdu bernyanyi
Menemani sepimu sang bidadari suci
Dihadirkan Allah untuk menguji
Kejujuran hati seorang lelaki
Yang cuba mendekati menjerati diri
Bertopengkan wajah yang tampan dan sopan
Namun mengumpan kupu-kupu liar terbiar
Justeru bukan  dirimu
Insan terpilih untuk diselamatkan
Oleh DIA yang Maha mengetahui

Selamat jalan mimpi ngeri
Lontarkan ia dari hati
Semoga tidak lagi mengganggui!

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
24 Sept. 2013
05:18ptg.

*Kredit untuk grafik hiasan yang kiut dari my fren.

MUTIARA KATA 24 SEPT 2013


 

“…Kebaikan tidak selamanya kekal apabila sesekali terbuat kesilapan tanpa disengajakan, pasti  ia akan terhapus dalam sekelip mata dan tersebarlah keburukan yang akan mengatasi kebaikan walau sebanyak mana pun kebajikan yang dibuat. Oleh, itu berhati-hatilah dalam setiap langkah  dan bersabarlah bila diuji sedemikian rupa…” 

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
24 Sept. 2013

02:40ptg.

*Note : Mohon maaf kepada semua yang sudi mengunjungi laman blog ini, beberapa hari ni tak sempat nak update blog...line & laptop bermasalah...apa pun terima kasih semua...hormat selalu dari saya...:)