ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, September 13, 2013

ARTIKEL : SYUKUR HARUS DIPUPUK

SYUKUR : PAHALA DIPEROLEHI REZEKI PULA KIAN BERTAMBAH.

Oleh : CT Nurza.

Definisi Syukur.

Apabila menyebut perkataan syukur, kita bukan sahaja sekadar mengucapkan Alhamdulillah, malah kita juga perlu memahami pengertian syukur dari sudut pandangan islam yang sebenar-benarnya. Perkataan syukur di dalam bahasa arab disebut sebagai “Syukran” iaitu tanda berterima kasih kepada Allah SWT Maha Pencipta di atas segala limpah rahmat dan kurnia-Nya kepada kita selaku hamba-Nya. Demikianlah pengertian syukur yang perlu kita fahami dan hayati. 

Mengapa Kita Perlu Bersyukur?
Antara sebab-sebab yang mewajibkan kita perlu bersyukur adalah, Allah SWT telah menganugerahkan kepada kita dengan pelbagai macam nikmat semenjak kita berada di alam roh dan Rahim ibu lagi sehinggalah kita lahir ke dunia ini. Kemudian diberikan pula kita rezeki yang berlimpah ruah dalam pelbagai bentuk demi kelangsungan hidup untuk terus bernafas di alam maya ini tanpa kita sedari. Semua itu adalah berkat nikmat pemberian-Nya yang tidak terhitung banyaknya terhadap kita.

Apatah lagi bahawa syukur itu adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kita jua terhadap sesama insan makhluk ciptaan-Nya. Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya, manusia yang paling banyak bersyukur kepada Allah SWT Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi ialah mereka yang lebih banyak bersyukur (berterima kasih) kepada sesama manusia.” Manakala pada riwayat yang lain pula daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda “Tidak bersyukur kepada Allah orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis Riwayat: At-Tirmidzi & Abu Daud)

Di sini jelas menggambarkan bahawa sifat syukur itu harus ditanam dan dipupuk dalam diri kita  setiap insane agar senantiasa menghargai segala nikmat dan pemberian Allah SWT atau sesama insane. Tidak kiralah banyak ataupun sedikit, kecil atau besar, kaya atau miskin, susah atau senang, semua itu perlu disyukuri dengan lapang dada dan diterima dengan senang hati.

Di dalam surah Ibrahim ayat 7 pula,  Allah SWT turut berfirman, mafhumnya; “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmat Ku kepada kamu,  dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab Ku amatlah keras.”      

Oleh itu, janganlah berat untuk kita mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT terhadap anugerah-Nya yang tidak terhitung kepada kita. Sentiasalah berterima kasih kepada sesama manusia apabila kita diberikan rezeki, pertolongan, hadiah, kebaikan dan sebagainya sebagai tanda kita seorang yang sering bersyukur dengan nikmat Allah SWT.

Bersyukur Kian Menambahkan Rezeki.
Sememangnya kita telah sedia maklum, apabila kita sering bersyukur sama ada diberikan kesenangan atau kepayahan, maka syukur kita itu tetap akan diberikan ganjarannya kepada yang sabar dan redha.
 
Sebagai contoh, seorang peniaga yang menternak ayam untuk dijual, telah melalui pelbagai proses dan susah payah untuk membesarkan ayam-ayamnya itu demi mengaut hasilnya. Tetapi malang, apabila ayam-ayam yang diternak itu sudah besar dan boleh dijual serta mendapat hasilnya yang lumayan, dengan tidak semena-mena kesemua ayam-ayamnya mati akibat terkena penyakit atau sebagainya secara mengejut dan tidak disangka. 

Jadi di sini, sudah pasti peniaga itu berasa amat kecewa  dan hampa terhadap ujian dan dugaan yang menimpa dirinya itu. Namun berkat kesabaran-Nya menerima ketentuan Allah SWT, beliau tetap redha dan bersyukur kerana meyakini apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Lantas atas kesabarannya itu, Allah SWT telah menggantikannya pula dengan rezeki lain tanpa disangka dan diduga. Ini sudah tentulah membuatkan hatinya kembali riang kerana sesuatu yang Allah gantikan itu melebihi apa yang telah beliau kehilangan dan kerugian sebelumnya. Begitulah, besarnya kuasa dan rahmat Allah SWT terhadap kita sebagai hamba-Nya andai kita tahu bersyukur dan berterima kasih setiap masa.

Menerusi surah An-Nahl, Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “ (Surah An Nahl : ayat 18)

Dengan yang demikian, marilah kita menjadi insan yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat kurnia-Nya agar diluaskan lagi pintu rezeki kepada kita, dalam mengusahakan apa jua perniagaan yang direncanakan atau dilaksanakan.

PENGAJARAN DARIPADA SIFAT SYUKUR

  • Syukur akan meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan di jiwa
  •  Memupuk rasa kasih sayang sesama insan apabila saling menghargai dan berterima kasih atas pertolongan dan kebaikan yang diberi.
  • Merapatkan ukhuwah dan silaturrahiim sesama ummah.
  • Menjadikan kita manusia yang tahu menilai setiap kebaikan yang diperolehi dan tidak terlalu mementingkan diri sendiri.

    -CT Nurza-
    Ogos 2013.

No comments: