ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Monday, September 30, 2013

PANTUN AIDILADHA 2013 : PERISTIWA KORBAN


Calar paha terkena joran,
Joran bermata dimakan tamban;
Aidiladha hari kebesaran,
Mengingatkan kita peristiwa korban.

Joran bermata dimakan tamban,
Direntap Pak Rahim sibatang kail;
Mengingatkan kita peristiwa korban,
Nabi Ibrahim dengan Ismail.

Direntap Pak Rahim sibatang kail,
Tersangkut kayu disangka ikan;
Diperintahkan Ibrahim menyembelih Ismail,
Kerana wahyu perintah ditunaikan.

Tersangkut kayu disangka ikan,
Ikan karim bawah jambatan;
Kerana wahyu perintah ditunaikan,
Berkorbanlah Ibrahim demi ketaatan.

Ikan karim bawah jambatan,
letak kail habis umpannya;
Berkorbanlah Ibrahim demi ketaatan,
Menyembelih Ismail anak kandungnya.

Surah At-Tahrim merdu bacaannya,
Dibaca menanti laungan azan;
Saat Ibrahim menyembelih anaknya,
Kibas diganti sebagai korban.

Terbang merpati hinggap di reban,
Rimbun melati condong ke titi;
Kibas diganti sebagai korban,
Itulah bukti keikhlasan hati.

-CT Nurza-
30 Sept. 2013
0335pg.

No comments: