ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, October 30, 2013

MOTIVASI DIRI : KESABARAN

"...Bersabar dalam kepahitan memang pahit...tapi kepahitan itu akan bertukar menjadi manis apabila sampai masanya. Tidak perlu buntu bila berhadapan dengan masalah kerana masalah hadir bersama penyelesaian jika kita bijak berfikir untuk mengatasinya. Belajar menerima nasihat dan kritikan dengan tenang, Insya-Allah!...semuanya akan menjadi lebih baik bila pemikiran sihat dan positif..."

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
30 Oktober 2013

03:40ptg.

Tuesday, October 29, 2013

SAJAK : SEMALAMKU YANG HILANG YANG TERKENANG



Lama dulu masa tingkatan satu.
Petang-petang aku jaga bola tenis
Himpun sepuluh sen sepetang.

Hari sabtu
Tengok wayang cheap matinee
Sepuluh sen minum airbatu campur
Kalau ada duit lebih
Beli komik Dandy dan  Beano
Masa rehat sewakan lima sen
Sekali baca.

Lepas sekolah
Duduk depan kedai kopi  Hailam
Dengar lagu orang main jukebox
It’s Now Or Never.

Lepas mandi sikat rambut
Buat jambul  Elvis Presley
Jambul tak mahu tegak
Sental rambut dengan sabun
Masa tu hair spray belum ada
Jambul pun tercacak

Bila kena hujan
Air sabun masuk mata
Habis jambul rosak
Taklah jadi nak lalu
Depan rumah Milah.

Itulah Semalamku Yang Hilang
Yang terkenang
Di kaki tirai senja
Yang kian mendatangi kami
Para Remaja Purba
Dari zaman Dinasor
Di Pekan Bentong
Antara panggung Globe
Dan pokok jati depan Masjid.

Yassinsalleh
1241 hrs. Okt 29. 13.
Ah Peng Street , Bentong.
Copyright © 2013
Yassinsalleh
All Rights Reserved.

SAJAK : UMBUT MAYANG DIUMBUT - YASSIN SALLEH



Dalam begini
Terasa pula nak nangis
Macam Ahmad Albab
Nanti dapat kawan anak jin
Dapat upah harta dalam gua
Boleh tolong kawan-kawan
Kat Chowkit bawah pokok ketapang

Tapi nak buat macam mana
P. Ramlee dan AR Tompel dah takde
Nak buat filem Ahmad Albab.

Jadi,
Kenalah berhenti menangis
Kalau tak nanti mata naik sembab
Kena pula buat wayang
Cerita Umbut, Mayang Diumbut.

Yassinsalleh
2019 hrs. Okt 28. 13
La Casa Pasifica D Yasleh
Copyright © 2013.

*Note : Terima kasih ayahanda atas kiriman sajak ini menerusi sms...mohon maaf jika susun atur perkataan yang saya taip ini tersilap kerana dalam sms perkataannya bercantum...apa pun harap dimaafi..terima kasih sekai lagi.

Monday, October 28, 2013

PUISI : WAWASAN DESAKU



Wawasan desaku
Harapnya tidak cuma indah khabar dari rupa
Apa yang kudengar dari berita
Pasti membuat hati ceria
Jika benar segalanya terlaksana

Aku bangga dengan Kampungku
Meski ia terletak di Hulu
Namun itulah tempat tumpah darahku
Asal usul nenek moyangku
Di situlah aku mengenali erti hidup

Kampungku sejuk dan nyaman
Gunung-ganangnya indah terbentang
Airnya dingin menggigit tulang
Sawahnya luas terbentang
Walau kini kontang dan gersang
Tapi di situlah tempatku sering bertandang
Setiap petang bermain lelayang
Mencari puyu, keli dan toman
Bersama kakak, adik dan abang
Sambil menunggu ayahbondaku pulang
Namun kini hanya sempat mengenang

Kampungku tenang dan permai
Bakal menjadi pusat perlancungan
Sungainya bersih airnya jernih
Tempat berkelah masyarakat setempat
Sambil menjala bermandi manda
Pelbagai acara boleh dilakukan
Aktiviti keluarga beriadah bersama
Mekar terbina ikatan yang ada
Semakin erat bertambah mesra.

Kampungku kampung tradisional
Punya cerita dan sejarah sendiri
Bukan sekadar hanya berperi
Aki Pawang Nong terkenal sekali

Aku rindu kampung halamanku
Ke mana pergi ia tetap di hati.

Nukilan Spontan,
Aku yang tak pernah lupa diri...
-CT Nurza-
28 Oktober 2013
09:27am.

Sunday, October 27, 2013

MADAH SPONTAN 1

"...Andai tiada upaya kita, untuk membuatkan semua orang suka kepada kita...cukuplah hanya sekali-sekala, jika kita berusaha membuatkan orang lain tersenyum dengan budi dan jasa kita...berbakti tidak semestinya perlu dihormati tetapi cukuplah ia hanya untuk dihargai dan diingati..."

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
27 Oktober 2013

08:08mlm.

PANTUN BERKAIT : SEMPENA TAHUN BARU MA'AL HIJRAH 1435


Ikan cencaru dimasak taucu,
Taucu soya masin rasanya;
Tahun baru menyempurnakan azamku,
Semoga berjaya segala-galanya.

Taucu soya masin rasanya,
Rasanya lazat makanan kita;
Semoga berjaya segala-galanya,
Tercapai hajat terlaksana cita-cita.

Rasanya lazat makanan kita,
Kita bersua dengan izin-Nya;
Tercapai hajat terlaksana cita-cita,
Berkat doa, usaha dan tawakal kepada-Nya.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
27 Oktober 2013

03:55pagi.

Thursday, October 24, 2013

PUISI MA'AL HIJRAH 1435H : MUHARAM INI



Muharam ini…
Aku persiapkan diri untuk berhijrah lagi
Menggembara ke dalam diri
Manambah baikkan laku peribadi
Memperelokkan akhlak dan tingkah
Lantaran kuingin menurut jejaknya
Rasul tercinta kekasih Allah
Dambaan penduduk langit dan bumi
Kerana mulianya perkerti  baginda
Jadi sanjungan setiap insan

Muhammad Rasulullah bintang terindah
Sinarnya cemerlang di pelusuk dunia
Terpahat indah di sudut hati
Namanya gah di dalam Al-Quran
Pemberi syafaat dihari akhirat
Untuk umatnya yang dikasihi

Wahai Nabi pilihan!
Engkaulah Rasul junjungan kami
Malunya aku menjadi umatmu
Bila sunnahmu tidak dihiraukan
Selawat dan salam jarang dititipkan
Maafkan, kami duhai Rasulullah
Umat yang selalu lalai dan leka

Di Muharam ini
Ingin kurintis kembali
Laluan rimba di dalam diri
Agar terbit cahaya nurani
Yang mendekatkan aku kepadamu
Dan jua Ilahi!

Allah humma salli a’la  Muhammad
Wa a’la a’lihi Muhammad.

Nukilan Spontan,
-CT Nurza-
24 Okt. 2013
07:27mlm.

*Salam maghrib buat semua pengunjung blog Nukilan Kreatif Nurza…

MALAM SEMANTAN BERBUNGA II - FOTO SEKITAR MAJLIS










Alhamdulillah...
Syukur sampai juga hasrat saya nak menyaksikan program sastera yang sebegini. Walaupun lewat sampai dan jenuh nak cari tempat ni malam tadi, disebabkan bertukar tempat kerana dimaklumkan hujan lebat maka atas sebab minat yang mendalam saya cari juga sampai dapat bak kata pepatah "malu bertanya sesat jalan" tapi saya bab-bab bertanya ni memang tak malu walaupun saya dikenali oleh rakan-rakan terdekat sebagai pokok semalu...hihihi...malu saya bertempat bukan malu membuta...

Hemmm, seronok jugalah saya dapat tengok juara syair bersyair, monodrama, pengkisahan sejarah dan mendengar lagu-lagu rakyat yang didendangkan oleh abang Roslan Madun dan Dato' Ariffin Said walaupun dah hampir jam 12.00 tgh malam saya terpaksa bergegas balik ke Jerantut malam tadi, tapi saya puas hati dengan program yang diadakan...sangat bermanfaat bagi insan yang cetek ilmu seperti saya ini. Moga-moga pengisian program-program sebegini dapat menarik minat adik-adik remaja, para belia dan beliawanis untuk menyertainya kerana saya sendiri pun dah "beliawangka" tapi masih dahagakan ilmu dan tak jemu-jemu untuk terus belajar, melihat dan menghayati sesuatu yang boleh memberikan pengisian untuk jiwa saya dalam memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri sendiri.

Harap-harap adik-adik remaja atau belia-beliawanis yang berkelapangan tu join-joinlah program sebegini pada masa-masa akan datang ya, tak rugi pun...dari buang masa tak tentu arah tu lebih baik gunakan waktu yang ada sebaiknya untuk lengkapkan diri...


"Kitalah yang menjadikan diri kita insan atau sebaliknya, jangan sekadar menjadi manusia kerana manusia bukan semuanya mampu menjadi seorang insan."

Sekadar perkongsian dari hati,
-CT Nurza-
24 Oktober 2013

11:46pg.

Tuesday, October 22, 2013

PUISI : SIAPAKAH AKU DI HATIMU?


Siapakah aku di hatimu?
Disapa bak semilir yang berlalu sepi
Seumpama teratak usang yang terbiar kosong
Sekadar menjadi singgahan sementara
Tika sang musafir tumpang berteduh melepaskan lelah

Siapakah aku di hatimu?
Wujudnya bagaikan sebuah Pulau yang terpinggir
Tiada siapa yang mengunjungi
Tiada siapa yang menemani
Selain deruan ombak
Yang sesekali memecah sunyi
Disulami mersiknya
Suara dedaun yang berlagu

Siapakah aku di hatimu?
Terabai persis kanvas yang menanti
Lakaran warna-warna indah
Namun hingga kini
Tiada jawapan yang bisa kutemukan

Siapakah aku di hatimu????

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
2011.

*Note : Telah pun diterbitkan di Radio Malaysia Klasik Nasional segmen "Senandung Pagi" bersama DJ A.Razak Ismail tahun 2011. Terima kasih abang Razak yang selalu memberikan galakkan, sokongan, perangsang dan peluang untuk saya berkarya dalam segmen-segmen khas abang Razak setiapkali berkonti suatu ketika dahulu. Budi baik abang Razak & kak Siti tetap saya hargai dan ingati selalu. Insya-Allah!

*Kredit untuk Grafik hiasan Pic Kawanimut.com.