ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, October 11, 2013

ARTIKEL : REZEKI - CARILAH KEBERKATANNYA


MENCARI KEBERKATAN REZEKI DALAM PERNIAGAAN.
Oleh : CT Nurza.

Sentiasalah bersikap jujur dalam setiap urusan.
Dalam kehidupan kita sehari-harian, kita sentiasa digalakkan agar bercakap benar meskipun pahit. Apatah lagi di dalam urusan jual beli, kerana ia melibatkan hasil rezeki yang akan kita perolehi untuk menyediakan segala keperluan keluarga seperti makan minum dan sebagainya. Ini kerana setiap makanan yang ditelan masuk ke perut perlu dititik beratkan sumbernya sama ada ianya halal, haram atau syubahah. Ramai yang tidak mengambil endah tentang perkara ini. Justeru itu, maka wujudlah keluarga yang porak poranda, isteri yang keras hati dan nusyuz, anak-anak yang degil serta tidak mendengar kata, akibat daripada memakan makanan yang datangnya dari sumber yang tidak berkat.

Para suami harus bertanggungjawab dalam memikul amanah yang diberikan ,supaya institusi keluarga dapat dipertahankan demi membina keluarga yang bahagia, dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT. Ini kerana, apa jua kerja yang anda lakukan akan dikira sebagai satu ibadah, jika nawaitu ikhlas kerana Allah untuk mencari nafkah bagi menyara  keluarga. Setiap langkah anda adalah langkah yang berpahala kerana keluar mencari rezeki untuk keluarga, lantaran ia dikira sebagai satu sedekah terhadap apa jua yang telah dinafkahkan kepada anak dan isteri.

Berusahalah tanpa meminta-minta dan berinfaklah untuk ahli keluarga.
Pada masa kini, ada pelbagai cara untuk kita terus berusaha dalam memajukan diri dan keluarga, asal sahaja ada kemahuan dan kemahiran. Kita boleh berusaha dengan kudrat, idea dan kemahiran yang dimiliki untuk memperolehi wang dengan cara yang halal, jika kita mempunyai inisiatif diri dan rajin berusaha untuk mencapai apa jua yang kita hajati. Kita tidak harus meminta-minta dan langsung tidak digalakkan berbuat demikian.

Daripada Abu Said Saad bin Malik bin Sinan al-Khidri r.a. katanya: “Ada beberapa orang sahabat di kalangan Ansar telah meminta (sedekah) kepada Rasulullah s.a.w. (Ansar ialah penduduk asal Madinah yang menerima kedatangan Rasulullah s.a.w. dan membantunya.) Maka diberi oleh Rasulullah s.a.w. Kemudian mereka meminta lagi dan diberi lagi oleh Rasulullah s.a.w. sehingga habis apa yang ada padanya.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka: Apa jua kebaikan yang ada di sisiku tidak akan kusembunyikan daripada kamu. Sesiapa yang hendak menjauhkan diri daripada kekejian (meminta-minta) dijauhkan Allah daripada kekejian itu, sesiapa yang inginkan kaya jiwanya dikayakan Allah dan sesiapa yang sabar menghadapi penderitaan diberi kesabaran oleh Allah. Dan tiada pernah seseorang itu diberi kurniaan yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.”

Berdasarkan hal yang tersebut di atas, janganlah sesekali kita bersikap malas dan asyik mengharapkan ihsan dan pertolongan orang lain untuk membantu diri kita, sedangkan sendiri langsung tiada usaha mahu memperbaiki diri dan kehidupan. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan merubah nasib hamba-Nya, melainkan diri sendiri yang akan mengubahnya.

Daripada  Abu Ishak Saad bin Abu Waqas Malik bin Uhaib bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kalab bin Murrah bin Kaab bin Luai al-Quraisy az-Zuhri, salah seorang yang disaksikan sebagai ahli syurga, katanya: “Rasulullah s.a.w. datang menziarahi aku pada tahun Haji Wida’ semasa aku menderita sakit tenat lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, penyakit aku ini bertambah tenat sedangkan aku mempunyai harta tetapi tidak mempunyai warisnya kecuali seorang anak perempuan. Jadi adakah boleh aku sedekahkan 2/3 daripada harta aku?” Jawab baginda: “Tidak”, aku bertanya lagi: “Kalau ½ wahai Rasulullah?”, jawab baginda: “Tidak”, aku bertanya lagi: “Kalau 1/3 wahai Rasulullah?”, jawab baginda: 1/3, dan 1/3 itu pun masih banyak. Sesungguhnya jika engkau tinggalkan waris-waris engkau sebagai orang kaya, adalah lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka  sebagai orang miskin yang terpaksa meminta-minta daripada orang lain. Sesungguhnya engkau tidak membelanjakan sesuatu yang engkau niatkan itu demi untuk mengharapkan keredaan Allah melainkan pasti engkau diberi pahala daripada perbelanjaan yang engkau keluarkan sehinggakan apa yang engkau letakkan di mulut isterimu. … “

Oleh yang demikian, sekiranya anda dikurniakan rezeki yang banyak dan melimpah-ruah, jangan bakhil untuk menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang diperolehi  kepada ahli keluarga yang ada. Ini kerana ganjarannya amat besar sekali, bila anda sanggup berbuat demikian meskipun tidak diminta. Derma dan sedekah itu akan kembali kepada anda bila sampai waktunya kelak, berbanding dengan harta yang anda simpan dan bekukan tetapi ia adalah hak orang lain yang perlu anda lunaskan.

Berniaga : Mampu menyelamatkan diri daripada sikap meminta-minta.
Sekiranya anda mempunyai modal dan minat di dalam bidang perniagaan, anda bolehlah melibatkan diri dengan dunia perniagaan. Ini kerana terdapat banyak peluang dan ruang untuk anda menambahkan pendapatan dengan hasil titik peluh sendiri, demi meningkatkan ekonomi keluarga dan mengelakkan diri daripada hidup meminta-minta serta menyusahkan orang lain.

Pelbagai produk boleh dijual tanpa memerlukan modal yang besar, seperti menjual makanan atau apa sahaja produk yang menarik minat anda untuk turut menyertainya, seperti produk-produk yang terhangat di pasaran masa kini. Umpamanya, al-Quran digital, buku-buku agama, pakaian-pakaian muslimah atau sebagainya. Semua ini bergantung kepada modal yang anda miliki dan terpulang kepada citarasa anda untuk memilih produk yang bersesuai an untuk diniagakan, kerana di mana ada kemahuan dan minat, di situ ada jalan yang Allah lapangkan. Insya-Allah!

BUKU : BAHAN YANG SENTIASA DICARI OLEH PENCINTA ILMU.
Memandangkan kini telah wujudnya kempen membaca 1Malaysia yang telah dijalankan di seluruh Negara  maka, adalah wajar jika buku dijadikan sebagai produk utama untuk diniagakan. Ini kerana membaca merupakan jambatan ilmu untuk menjadikan kita rakyat Malaysia yang berinformasi, berpengetahuan, kreatif berfikir dan bernas melontar idea.

Setidak-tidaknya dengan menjual buku-buku sama ada buku agama atau buku biasa, tidak kira apa jua buku yang menjadi pilihan ramai, anda para peniaga, telah berjaya melahirkan masyarakat yang  berdaya saing, dalam mencari ilmu dan menambahkan ilmu pengetahuan di dada.  Bagi para pencinta ilmu yang sering dahagakan ilmu dalam kehidupannya, maka buku adalah bahan bacaan utama yang akan dicari.

Ini disebabkan buku, merupakan lubuk segala ilmu.  Daripada buku, kita boleh belajar dan mengetahui pelbagai idea baru bagi mencerna minda agar menjadi seorang pemikir yang hebat dan matang dalam bertindak. Apabila budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia berjaya dipupuk, maka secara tidak langsung para peniaga itu dapat melahirkan masyarakat atau individu yang tuntas berfikir dan berinovatif untuk menjadi insan-insan yang cemerlang dan terbilang. 


Namun demikian, perlu jua diingatkan, kepada para peniaga yang menjual bahan-bahan bacaan sebegini, anda perlulah bersikap jujur dengan pembeli, terutama yang menjual secara online di internet. Janganlah sesekali  menyembunyikan kerosakkan atau kecacatan bahan-bahan yang dijual, kerana perbuatan seumpama itu menunjukkan sikap diri anda yang tidak amanah dalam berurusan.  Ini akan membuatkan pelanggan hilang kepercayaan kepada anda. Jangan sesekali mengirimkan produk yang sudah rosak, demi mencari untung sedangkan hasilnya tiada keberkatan. Jujurlah dalam berurusniaga.

Ini disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim :
Dari Hakim bin Hizam r.a. dari nabi s.a.w sabdanya:”Dua orang yang berjual beli, masing-masing mempunyai hak untuk memilih (untuk meneruskan jual beli atau tidak) selama kedua-duanya belum berpisah. Jika keduanya berlaku jujur dan berterus terang menjelaskan (keadaan barang yang dijual belikan), maka mereka diberi berkat dengan jual beli mereka; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (kecacatan masing-masing), hilanglah berkat jual beli mereka.” (Hadis Riwayat : Muslim).

Oleh itu, berhati-hatilah dalam setiap urusan jual beli anda.

*Note : Artikel ini telah ditulis sejak Mei 2013 lagi, namun baru kini sempat dipaparkan di sini untuk semua. Terima kasih. Semoga bermanfaat.

No comments: