ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, December 31, 2013

PUISI : SALAM TAHUN BAHARU 2014

Detik 01.01.2014 sedang dinanti
Pelbagai acara disusun untuk merai
Azam dan tekad ditanam disemai
Semangat berkobar di dalam diri
Untuk menyambut tahun baharu masihi
Lembaran baru ingin dimulai
Bina kehidupan yang lebih bererti

Namun bagiku...
Alangkah manis tahun baharu ini
Jika dilaungkan Azan diringi selawat
Alunkan zikir panjatkan munajat
Pohon dijauhkan bala bencana
Agar dunia tenang dan aman
Dalam perlindungan dan keredhaan Allah

Berdoalah beramai-ramai
Rapatkan saf satukan ummah
Kita berkumpul bersama berjemaah
Sucikan segala kotoran mazmumah
Eratkan silaturrahiim demi ummah
Agar perpaduan terus terjalin
Penuh Rahmat dan mawaddah.

Tahun Baharu
Kita warnai dengan kejayaan dan kebaikan
Jauhilah maksiat dan kesumat
Bersihkanlah hati cantikkanlah niat
Usahlah lagi berdengki khianat
Gigihlah berusaha penuh semangat
Semoga berjaya segala cita
Seimbangkan hidup antara duniawi dan ukhrawi



"Selamat Menyambut Tahun Baharu 2014 & Salam buat semua!"

-CT Nurza-
31 Disember 2013
07:03mlm.

Sunday, December 29, 2013

NUFFNANG DIGIZEN "THANK YOU SALE"

Assalamualaikum dan selamat malam semua...


Menghargai  insan-insan teristimewa yang disayangi dan dikasihi, merupakan satu hal yang amat penting untuk dilakukan biarpun ianya nampak agak remeh dan kecil. Begitu juga dengan diriku. Selain daripada ibu, ayah, suami, saudara-mara dan kaum keluarga, aku juga mempunyai rakan-rakan yang amat aku sayangi dan hargai dalam hidupku, terutama sekali rakan-rakan pada zaman persekolahanku.

Syukur, Alhamdulillah! Kebelakangan ini, tanpa dijangka aku dapat bersua kembali dengan rakan-rakan baikku dahulu. Walaupun masing-masing agak sibuk dengan kehidupan seharian demi tugas dan tanggungjawab yang dipikul dan digalas, namun bila mempunyai kelapangan dan kesempatan waktu, kami tetap akan meluangkan masa untuk bertemu dan berkongsi cerita bersama-sama.

Inilah kehidupan yang membuatkan aku rasa begitu ceria dan bahagia setiap hari. Kami sering bertanya khabar di antara satu sama lain. Diwaktu ada kelapangan, kami akan keluar bersama-sama ke Bandar untuk melihatjualan sale kerana di penghujung tahun sebegini, ada banyak jualan murah dan tawaran-tawaran hebat sedang berlangsung di merata tempat khususnya, di  pusat membeli belah yang sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk setempat.

Kesempatan itu juga, kami gunakan untuk meninjau-ninjau gadget terbaru yang sedang tip top di pasaran pada masa kini. Kecanggihan dunia teknologi masakini begitu mengujakan hati untuk mengetahui tentang gadget-gadget terbaru yang sedang hangat dipasaran. Tambahan pula, Syarikat Telekomunikasi seperti DIGI juga turut membuat tawaran hebat  untuk jualan murah Smartphonedan Tablet yang begitu canggih dan terkini ,jadi peluang yang ada tidak kami lepaskan untuk mengetahui perkembangannya sambil di hati bertekad untuk berusaha mendapatkannya suatu hari nanti.

"Terima kasih sale" kerana dengan adanya jualan dan tawaran hebat sebegini, sekurang-kurangnya aku berusaha untuk menanam azam baru pada 2014 nanti untuk cuba mendapatkan Smartphone ataupun Tablet idamanku iaitu Sony  Xperia Z yang begitu aku minati sekali. Kepada yang berhasrat untuk memilikinya anda bolehlah mendapatkan maklumat lanjut tentangnya di sini
 http://digi.nuffnang.com.my/2013/12/12/digizens-thank-you-sale/

MUTIARA KATA : DIAM


"...Ada ketika aku lebih suka berdiam diri, bukan bermakna aku tidak berani untuk bersuara. Cuma... aku sekadar mencermati lidah agar tidak menghiris hati sesiapa..."

-CT Nurza-
28 Disember 2013
09:13mlm.

Thursday, December 26, 2013

ALLAH HU RABBI! ALLAH YA KARIM!


Masalah yang menghimpit
Adakalanya buat kita rasa tersepit
Terasa ingin meraung dan menjerit
Menahan perit dan sakit
Hingga airmata pun terbit
Menzahirkan rasa yang pahit

Namun...
Bila kita sedar dan istighfar
Kesakitan itu cobaan
Lenturlah tekanan yang datang
Pasrahlah hati yang gundah
Tabahlah sukma yang resah
Akurlah diri untuk bersyukur
Lantaran terpilih menerima dugaan
Sebagai hamba kecintaan Tuhan
Allah Hu Rabbi!
Allah Ya karim!
Terima kasih menjadikan kami kesayangan-Mu.

Nukilan spontan,
CT Nurza
25 Disember 2013
11:41mlm.

*Kredit untuk grafik hiasan : Resim Fotografi.

Wednesday, December 25, 2013

PANTUN TAHUN BAHARU 2014


Dengar nazam merdu alunan,
Duduk  dipaha kucing belaan;
Iringi azam dengan keyakinan,
Lipat gandakan usaha burulah kejayaan.

Daun petola dimakan biri,
Cantik bertingkat sarangnya lebah;
Buanglah segala kelemahan diri,
Sematkan tekad untuk berubah.

Pergi berburu dimalam hari,
Duduk berjamu bersama kawan;
Tahun baharu perbaikilah diri,
Tambahkan ilmu tingkatkan pengetahuan.

Asam paya runcing berduri,
Terkena tangan calar terlihat;
Untuk berjaya buanglah iri,
Bersainglah dengan cara yang sihat.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
22 Disember 2013
06:42ptg.

"...Selamat Menyambut Tahun Baharu 2014 tak berapa hari lagi..." kepada semua pengunjung laman blog kesayangan saya ini. Terima kasih jua kepada yang sudi mengikuti blog ini sebagai rakan...kehadiran dan kesudian anda semua amat-amat saya hargai. Terima kasih sekalung budi untuk semua...salam sayang...:)

Monday, December 23, 2013

MOTIVASI KEJAYAAN BUAT DIRI 22.12.2013


"...Berilah harapan yang terbaik kepada diri sendiri, kerana dengan harapan yang dibentangkan kita bersungguh dalam berusaha untuk berlari menuju ke pintu kejayaan..."

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
22 Disember 2013
10:33mlm.

*Note : Kredit untuk grafik hiasan Ikim.fm

Saturday, December 21, 2013

MOTIVASI BUAT DIRI 21.12.2013

"...Hidup yang terindah, bukanlah hidup yang tiada menghadapi sebarang masalah. Tetapi hidup yang indah, adalah hidup yang menjadikan kita semakin bijak dalam menanggani segala masalah biarpun susah. Tingkatkan daya ketahanan mental, Insya-Allah! kita mampu untuk hidup seperti tiada masalah..."


-CT Nurza-
21 Disember 2013
10:49pg.

*Note : Kredit untuk grafik hiasan Page Addeen di atas doa ini.

KATA-KATA SEMANGAT : ABAIKAN SUARA-SUARA NEGATIF




"...Jangan biarkan fikiran kita terhasut oleh kata-kata negatif insan lain yang tidak senang dan bahagia melihat kejayaan atau kegembiraan kita, kerana ia hanya akan merugikan diri sendiri, menambahkan tekanan pada diri dan melemahkan semangat untuk terus berusaha, sedangkan kita mampu lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan membantu orang lain juga. Kita yang menentukan arah tuju hidup kita selagi ada prinsip dan matlamat!"~

-CT Nurza-
Disember 2013

*Note : Kredit untuk grafik hiasan Ikim.fm.

Monday, December 16, 2013

MUTIARA KATA UNTUK DIRI


"...Sentiasalah belajar daripada setiap inci pengalaman hidup yang ditempuhi, kerana di situ menarik kita untuk berfikir, membina kekuatan dan kematangan diri...!"

-CT Nurza-
16 Disember 2013
10:59am.

MUTIARA KATA 16.12.2013

"...Bila kita berdiri, berdirilah di atas paksi iman kerana walau kita ditolak, kita tidak sekali-kali akan rebah dan tumbang dengan adanya kekuatan jiwa dan taqwa yang kita miliki..."

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
16 Disember 2013
11:38pg.

Saturday, December 14, 2013

BANJIR INI : 11.12.13 MERAKAM BUDI DAN BADI - YASSIN SALLEH

11.12.13.
Cantiknya tarikh ini tersusun
Bagai rindu seabad terlerai
Mencatat pedihnya kelaparan banjir
Merakam budi dan badi
Penerima dan pemberi
Berebutan hati
Dalam gigil sejuknya banjir ini.

yassinsalleh
0710 hrs. 11. 21. 13.
La Casa Pasifica D Yasleh
Copyright (c) 2013
yassinsalleh
All Rights Reserved.

Note : Diterima menerusi sistem pesanan ringkas beberapa hari yang lepas. Mohon maaf ayahanda Yassin Salleh kerana kini baru berkesempatan untuk memuatkannya di blog anakanda. Apa pun terima kasih sekalung budi di atas kiriman sajak ini.

Friday, December 13, 2013

KUIZ MODENAS INSPIRASIKU : HADIAH TELAH DITERIMA PADA12.12.2013






 

Gambar ke-6 ni...huhuhu...ni posing atas permintaan anak-anak saudara jerr lepas balik ke rumah...:)

Coretan Spontan dari pengalaman kisah benar yang telah membawa tuah...


Motor MODENAS merupakan motorsikal  kesukaanku suatu ketika dahulu. Meskipun aku tidak mempunyai lesen memandu dan amat takut untuk menunggang motorsikal, namun hasrat untuk membeli motorsikal tersebut tetap ada. Sebenarnya, aku sangat gembira apabila dapat membeli motor tersebut dengan menggunakan wang hasil titik peluhku sendiri.  Ketika itu aku masih lagi bekerja di sebuah farmasi di Shah Alam. Atas kecemerlangan tugasan dan kejayaanku menguruskan akaun syarikat dengan baik maka Big Boss dan  Boss aku amat berbesar hati untuk menaikkan gajiku dan membayar bonus sebanyak dua bulan gaji. Apalagi, dengan rasa syukur dan gembira yang teramat sangat, sebaik sahaja menerima duit bonus tersebut, keesokkannya aku terus ke kedai motor ditemani suami. Alhamdulillah, akhirnya modenas impianku berjaya jua dimiliki…”

*Note : Terima kasih Modenas & Nasional FM yang telah menganjurkan kuiz ini. Tak termimpi Motorsikal ini akan menjadi milik saya salah sebuahnya. Penyertaan spontan sekadar memberikan sokongan dan suka-suka sahaja telah memberikan senyuman spontan jua buat diri saya...Syukur, Alhamdulillah atas kurniaan-Nya.  Cantik & menarik sekali warna biru & Putih mutiara (Metalic) yang telah diberikan kepada saya...Syukaaaaaa sangatttt...:)

KATA-KATA SEMANGAT UNTUK DIRI 13.12.2013


"...Jangan biarkan fikiran kita terhasut oleh kata-kata negatif insan lain yang tidak senang dan bahagia melihat kejayaan/kegembiraan kita kerana ia hanya akan merugikan diri sendiri, menambahkan tekanan pada diri dan melemahkan semangat untuk terus berusaha, sedangkan kita mampu lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan membantu orang lain juga. Kita yang menentukan arah tuju hidup kita selagi ada prinsip dan matlamat...!"

-CT Nurza- 
12 Disember 2013
02:37pm
*Kredit untuk grafik hiasan EPML.