ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, December 31, 2014

PUISI BANJIR : PADA HIJRAH TERSELIT HIKMAH


Sehebat dugaan
Hebat lagi hikmah yang diberi
Engkau uji aku sepedih-pedihnya
Kini setelah kuberhijrah lagi
Baru kutahu erti di sebalik keperitan hati
Engkau selamatkan aku dari menempuh banjir besar di sana
Engkau beri aku jalan kehidupan yang lebih indah dan tenang
Kau bukakan aku pintu rezeki
Kau dekatkan aku dengan insan-insan yang lebih mulia hati budinya
Angkara fitnah durjana jiranku yang busuk hati
Menjadi asbab aku beroleh ganjaran dari-Mu

Oh Tuhan!
Besarnya limpah rahmat-Mu
Jika diri sentiasa sabar dan syukur
Menghadapi apa jua mehnah-Mu
Walau hati tiap saat menahan sebak dan air mata

Takziah buat warga Jerantut
Musibah itu kifarah dosa!

سيتي نور زا
30 Disember 2014
08:35mlm.

*Kredit foto : Page Grafik Islamik.

PUISI BANJIR : TABAHLAH DUHAI SAHABAT


Mendengar suaramu di hujung talian
Air mataku menitis sebak
Bencana menimpa tidak diduga
Sekelip mata kehilangan segala
Tabahlah duhai sahabat
Ada hikmah disetiap dugaan
Kita diuji kerana iman
Kukuhkan pegangan jangan terlepas
Hanya DIA tali Yang Maha Kuat tempatmu bertahan
Sabar!
Tabah!
Redha!
Genggamlah semangat dan qudrat diranting taqwa
Agar tenang jiwa yang gelora
Dek banjir yang melanda.

سيتي نور زا
28 Disember 2014
11:13am.


*Kredit foto : BH online.

Saturday, December 27, 2014

PUISI : DIA DI HATIMU


Di hatimu...

Dialah sang bidadari sejati
Menanti setia di pintu syurgawi

Menganyam rindu dan janji
Dalam perhitungan takdir Ilahi
Semoga kan bertemu di sana nanti

Duhai angin yang mengerti
Bisikan salam dan doa yang dikirim
Untuk Mummy yang menanti
Kesayangan jiwa
Kekasih hati
Dalam eratnya dakapan
Cinta kasih Izzati

Indahnya hidup
Bersulam rasa kasih setia.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
26122014

*Sekadar membalas sajak ayahanda yassinsalleh@balamtua di mukabuku.


Friday, December 26, 2014

PUISI : BANJIR ITU IBRAH


Hikmah apa yang menanti
Di sebalik tabir ujian
Banjir melimpahi
Seakan memuntahkan kekotoran mencemari
Insafnya diri aduhai Rabbi
2014 banyak dugaan datang menguji
Mencurah tangisan tanpah henti
Pelbagai kehilangan menghantui
Penuh ngeri dan misteri
Aku berfikir sendiri
Menyelak lapisan hati
Muhasabah dan muhasabah
Alangkah kerdilnya diri!



سيتي نور زا
26 Disember 2014
0335pg.
— at Di hujung waktu, titiskan aku embun kesedaran Ya Ilahi!

*Kredit Foto : Berita Harian Online.

Thursday, December 25, 2014

PUISI : BANJIR ITU MENYEDARKAN KITA


Tuhan...
Tika kau datangkan cubaan
Berilah mereka kekuatan
Kekuatan mempertahankan iman
Kekuatan mempertahankan ukhuwah
Janganlah hendaknya ada perbalahan
Jua pergeseran bahana perbezaan
Suntikan di hati mereka setitis ketabahan
Lantaran saat ini sangat menduga
Menduga kesabaran atas kehilangan
Menguji emosi, iman dan kecekalan
Kepada mangsa yang didepani musibah


Banjir itu...
Menyedarkan kita kekuasaan Allah
Beringatlah pada janji-janji-Nya.


Nukilan spontan,
سيتي نور زا
251220014
1202


*Kredit foto untuk page 'Grafik Islamik'. 

Tuesday, December 23, 2014

CPUV DISEMBER 2014 : TERIMA KASIH NUFF!



Alhamdulillah...

Terima kasih kepada Mr. Nuff & Para Pengiklan yang sudi memilih dan memberi peluang kepada blog terpencil saya ini untuk terus menapak. Sokongan anda amat-amat dihargai.

Terima kasih sekalung budi...:)

-CT Nurza-
23 Disember 2014
03:48pg.

ULASAN BUKU : TETAMU ISTIMEWA



JUDUL BUKU : TETAMU ISTIMEWA
PENGARANG : MOHD HELMI AHMAD
TERBITAN : INSTITUT TERJEMAHAN & BUKU MALAYSIA BERHAD
NO. ISBN : 978-967-430-401-0
GENRE : KUMPULAN CERPEN REMAJA.
BILANGAN MUKA SURAT : 146 HALAMAN.

HARGA : RM20.00 SEM. MALAYSIA, RM25.00 SABAH / SARAWAK.
PENGULAS : CT NURZA.
Bismillahirahmanirrahiim...Assalamualaikum wbkth!

Salam sejahtera dan ceria-ceria selalu buat semua pembaca setia blog NKN. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke laman ini. Kunjungan anda amat dihargai.

Memandangkan saya ini bukan pengulas buku yang begitu 'Pro', maka dengan rendah hati, rendah diri terlebih dahulu saya ingin memohon berbanyak-banyak maaf dari penulis buku ini iaitu cikgu Helmi, andaikata ulasan saya di sini tidak begitu menepati citarasa dan agak dhaif dalam memberikan pendapat atau pandangan terhadap karya-karya cikgu yang telah saya baca dan hayati. Maaf segala maaf dari hati yang tulus ikhlas.

Buku 'Tetamu Istimewa' merupakan sebuah buku 'Kumpulan Cerpen Remaja' yang telah diterbitkan pada tahun 2014. Mengandungi 15 buah cerpen yang cukup hebat, bertenaga dan penuh dengan semangat serta  nilai-nilai murni yang ditampilkan untuk menjadi bahan bacaan minda yang berkualiti kepada golongan ramaja, khususnya. Namun begitu, ia juga sesuai menjadi bahan bacaan umum untuk semua peringkat umur.

Menerusi sisipan Prakata dalam buku ini, penulis menyatakan betapa bukan mudah untuk beliau menghimpunkan kesemua cerpen-cerpennya yang telah diterbitkan di media cetak khusus untuk dijadikan sebuah manuskrip yang boleh dizahirkan dalam bentuk buku seperti ini. Ia mengambil masa yang agak lama untuk difikirkan akan kesesuaiannya dengan konsep antologi cerpen yang bakal diterbitkan.

Penerbitan buku ini juga bertujuan untuk menarik perhatian golongan sasarannya, iaitu remaja agar dapat berfikir lebih jauh ke hadapan dalam menentukan arah tuju hidup yang lebih sempurna dan bermakna. Remaja seharusnya punya jati diri dan keimanan yang teguh serta jitu untuk mengharunginya lantaran rona kehidupan ini semakin lama semakin mencabar.



Berdasarkan pengamatan dan penelitian saya terhadap cerpen-cerpen yang dibukukan ini, sebahagian daripadanya telah pun berjaya memenangi "Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU)." Kedua-dua cerpen yang berjaya memenangi HSKU itu adalah "Bunga Telur Kenduri Kahwin" (2010), dan "Kuih Bakul Limau Mandarin" (2011).

Untuk makluman semua, 5 buah cerpen di dalam buku ini telah berjaya ke peringkat akhir HSKU. 3 daripadanya telah berjaya memenangi hadiah dan 2 lagi hanya layak ke peringkat akhir sahaja. Ada dua buah cerpen lain lagi yang pengarang tidak sempat untuk mencatat nota pada hujung cerpennya kerana ia telah terbit dahulu sebelum hadiah HSKU diumumkan. 2 lagi cerpen tersebut ialah "Rombongan Masuk Jawi" (Mendapat hadiah penghargaan HSKU 2012), manakala cerpen "Piala Penentuan"  hanya layak ke peringkat akhir HSKU sahaja. Namun begitu, cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" kini telah diangkat menjadi teks Komsas Tingkatan 1.

Sekalung 'Tahniah' saya ucapkan kepada pengarang buku ini cikgu Helmi Ahmad di atas kejayaan yang dijulang berkat usaha gigih anda.

Secara peribadi, saya amat menyukai kedua-dua buah cerpen yang telah memenangi Hadiah 'HSKU' ini. Teknik penceritaan, olahan, gaya bahasa dan jalan ceritanya cukup menarik, santai dan bersahaja.

Menerusi cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin" saya begitu tertarik dengan kejutan yang dibuat oleh penulis di pengakhiran ceritanya. Cerpen ini mengetengahkan tentang adat dan budaya masyarakat melayu yang menjadi warisan zaman, kini semakin terhakis dan dilupakan oleh generasi muda. Kekecewaan ini dirasakan oleh seorang ayah juga selaku seorang atok kepada cucunya. Betapa warisan ini perlu diteruskan walau masa kian beredar. Dengan adanya warisan budaya seperti ini, maka sifat-sifat murni dapat disuburkan ke dalam jiwa anak-anak muda agar mereka lebih memahami apa erti susah dan senang, hormat-menghormati, berkerjasama, toleransi serta kehidupan sebenar bermasyarakat.

Selain daripada cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin", ada beberapa buah lagi cerpen lain yang dimuatkan di dalam buku ini turut menarik perhatian saya untuk membacanya berulang-ulang kali. Antaranya ialah, cerpen "Kedondong Untuk Cikgu", "Kuih Bakul Limau Mandarin", "Haruan Di Pinggir Sawah", "Setitis Budi Semarak Kasih", "Pulut Durian Santan kelapa" dan lain-lain lagi. Kesemua cerpen-cerpen ini amat menarik kerana tajuk-tajuknya begitu unik dan tinggi nilai-nilai ketimurannya.

Sebagai kesimpulan, setelah menelaah buku ini, saya dapati Pengarang cuba sedaya mungkin untuk mendidik masyarakat, khususnya generasi muda agar menjunjung tinggi nilai-nilai budaya kita yang menjadi warisan pusaka bangsa sejak zaman berzaman. Garapan cerpen-cerpen di dalam buku ini diolah dengan cukup kreatif dan teliti serta penuh rasa tanggungjawab demi menggalas amanah Allah untuk menyampaikan ilmu dengan cara tersendiri. Tahniah! cikgu Helmi.

Salam kejayaan dari saya,

-CT Nurza-
22 Disember 2014
11:57mlm.

*Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan buku kumpulan cerpen remaja berjudul "TETAMU ISTIMEWA" sila layari laman web beliau di

http://mieadham86.blogspot.com/

Monday, December 22, 2014

PUISI : WALANG SI BALAM (Balasan Puisi Untuk Ayahanda Yassinsalleh)


Balam tua bukan sekadar balam
Nyaring kicau melantunkan puisi
Dari senja hingga ke subuh
Menyanyikan lagu hati
Menjulang semangat membara
Menyulam harapan di pentas jiwa
Menyusun aksara hingga semua terpana
Merungkai lara sukma
Menyirat sejuta makna
Bagi yang mengerti
Bagi yang memahami.



Usah walang duhai balam
Lantaran duniamu tak pernah kelam.

-CT Nurza-
21122014
2126

*Kredit untuk gambar hiasan yang dipinjam dari Page WBT.

Friday, December 19, 2014

SAJAK : BALAM TUA - YASSINSALLEH

Angin
Bila aku mati
Jangan kau bawa beritanya
Ke kampung
Ke pekan
Ke kota raya.

Di sana banyak jendela bertutup
Dalam kamar air-conditioned
Takde siapa yang akan mendengar
Berita matiku yang kau bawa

Bertiup sajalah 

Ke bukit
Ke gunung

Ke belukar 
Ke hutan
Ke belantara
Biar datang harimau sawa dan babi
Memakan bangkaiku
Biar aku tak berpusara
Kerana aku mana ada nama
Nak dituliskan di nisan kuburan
Aku cumalah seekor
Balam Tua.

yassinsalleh
5.25 petang. 17.12.14.
La Casa Pasifica D Yasleh
Hakcipta (c) 2014 yassinsalleh
Semua Hak Terpelihara.


*Note : Diterima menerusi kiriman sms. Terima kasih ayahanda Yassin Salleh.

Monday, December 15, 2014

PUISI : MENULIS DENGAN BAHASA NALURI


Bila aku menulis...
Kumenulis dengan bahasa naluri
Setiap ungkapan tercoret dari tabir hati
Pasti menembusi maknawi
Bisa diselami
Bisa difahami
Tersurat
Tersirat
Perhalusi akar umbinya.


-Aku bukan siapa-siapa-
سيتي نور زا
15122014 1907pm.

‪#‎Salammaghribsemua‬.

*Setinggi-tinggi penghargaan buat adik 'LAILATUN NADIHAH' yang sudi menyumbangkan potret lukisan  tangannya yang cukup indah ini. Terima kasih dik! :)

Tuesday, December 2, 2014

PUISI : AKU BUKAN ABID


Aku bukan abid yang zuhud
Setiap saat bersujud
Walau bangun bertahajud
Terkadang zikirku hanyut
Oleh mimpi yang melalut
Subuh pun hampir sangkut
Astaghfirullah!
Masya-Allah!
Nauzubillah!



-CT Nurza-
01122014.

PUISI : JIKA NADI BERDENYUT LAGI


Kuberpesan kepada diri
Jika nadi berdenyut lagi
Tidak kuabaikan kokokan ayam dini
Yang begitu setia mengejutkan diri
Agar bangkit menuju ke pintu taubat yang menanti
Sebelum malaikat Izrail menghampiri diri
Mengatur pertemuan kita dengan Ilahi
Dalam perjanjian yang termaktub ini.

Rezeki usia yang masih bersisa
Kujadikan ia waktu berharga
Untuk kita cuba mentaati-Nya
Walau apa usaha dan cara
Supaya kelak kita takbinasa
Lantaran menzalimi diri
Mengabaikan kewajipan pada-Nya!


-CT Nurza-
02 Disember 2014


*Kredit untuk Grafik Hiasan Page 'ADDEEN'

Friday, November 28, 2014

PERTANDINGAN MENULIS ESEI "CAKNA PRODUKTIVITI" - 'BERSATU KITA MAJU'

Bismillahirrahmanirrahiim...(Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang)

Assalamualaikum & selamat malam kepada semua.

Alhamdulillah, hujung-hujung tahun ni...banyak sekali pertandingan-pertandingan yang mencabar minda kita untuk berfikir dan menyerlahkan kreativiti diadakan. Jadi, di sini saya nak kongsikan satu lagi pertandingan yang boleh kita sertai jika ada kesempatan dan kelapangan untuk menyertainya nanti. Masih ada masa lagi untuk memerah otak ya.

Sebarang maklumat berkaitan dengan pertandingan ini sila layari laman web ini :



Kita dikehendaki mengupas lirik lagu ini : Bersatu Kita Maju.



Apa saja yang susah

Akan menjadi mudah

Sekirannya semua

Bersatu berusaha



Dengan produktiviti

Bertambah keuntungan

Kerja seikhlas hati

Sempurna perkerjaan



Kita bantu membantu

Bertukar tukar fikiran

Bersatu kita maju

Ke arah kemakmuran

(Korus)



Kita tegur menegur

Kerana kebaikan

Berusaha dengan jujur

Mencapai kajayaan.

(Korus)



Jadinya...kepada rakan-rakan yang berminat untuk menulis esei, jom kita sertai pertandingan ini beramai-ramai untuk memeriahkan lagi penyertaan. Tanpa keberanian untuk mencuba bagaimana kita ingin mengetahui sejauh mana kemampuan kita untuk menjadi penulis yang berkualiti dan diperlukan suatu hari nanti, kan? Oleh itu, di sinilah medannya untuk kita mencuba bakat dan mencabar diri sendiri.

Jom sertai Jommm!!! semoga berjaya semua...:)

-CT Nurza-
28/11/2014
23:50mlm.