ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, January 28, 2014

SUNGAI SI BUGA-BUGA : YASSIN SALLEH

Sungai si Buga-buga
ku rendam baju semalamku
dalam deras air hari inimu
dari dasarmu
dalam menyelam ku intai
biasan wajah tempua
dah tak pandai lagikah dia
menganyam sarang.

Matahari
janganlah kau berhenti panas
kalau tak kering bajuku ini
bagaimana esuk aku nak pergi
majlis orang bicara sastera
yang kian ramai berkerumun
sang penglipur lara berebutan
mengutip bunga lalang.

yassinsalleh
1028 hrs. 20.1.14
Di tebing si Buga-buga.
Copyright (c) 2014
yassinsalleh
All Rights Reserved.

MENGGESEK ANTAH DAPURNYA BASAH - YASSIN SALLEH

Hujan renyai
langit tak berbintang
kunang-kunang juga
entah ke mana hilang
malam indah semalam
aduhai
bulanmu terendam kini
dalam nyaring nyanyi nyamuk
menyambut kelawar berlegar.

Hujan
kenapalah kau tak pandai memilih waktu
malam mana nak kau himpunkan
resah gelisah orang susah
menggesek antah
dapurnya basah.

yassinsalleh
2153 hrs. 17.1.14.
Kg Jerang, Durian Tipus
Copyright (c) 2014
yassinsalleh
All Rights Reserved

Thursday, January 9, 2014

SALAM MAULIDUR RASUL 1435H


Assalamualaikum...
Allah Humma Salli A'la Muhammad
Wa'ala alihi Muhammad
Salam Maulidur Rasul
Rasulullah sanjungan hati
Insan terpilih anugerah Ilahi
Menjadi idola setiap umat

Lantaran terpuji akhlak peribadi
Contoh ikutan menjadi tauladan
Ulul Azmi gelaran diberi
Itulah Nabi junjungan kami
Muhammad Rasulullah utusan terakhir.

-CT Nurza-
08 Januari 2014
01:00pg.

MADAH CINTA BUAT SANG PENCINTA

"...Cinta yang memberikan inspirasi, adalah cinta yang dilatari kejujuran dan keikhlasan serta kebaikan budi pekerti. Bukan cinta yang disulami cemburu dan irihati jua tohmah dan caci. Tiada pasangan yang begitu sempurna meskipun tinggi pendidikan hebat pekerjaan atau banyak hartanya, kerana setiap insan itu Allah bekalkan jua kekurangan di sebalik kelebihan yang dimilikinya. Usahlah angkuh jika anda berasakan diri terlalu hebat kerana setiap kurniaan pinjaman Ilahi akan dihapuskan bila-bila masa dengan kehendak-Nya jika anda tidak pandai mempergunakan sebaiknya apa jua yang dimiliki termasuk perasaan kasih yang dicampakkan ke dalam hati...jangan bazirkan usia kerana cinta sesama manusia tapi manfaatkan usia yang bersisa untuk lebih menyintai DIA YANG MAHA PENCIPTA...!"

-CT Nurza-
09 Januari 2014
12:52am.

Sunday, January 5, 2014

SAJAK SIMFONI SEPI : YASSIN SALLEH.


Simfoni sepi
Adalah nyanyi  qalbuku
Untuk Mummy ku lagukan rindu
Untuk Along permata hatiku
Untuk Adik sinar matariku
Untuk Abang susu lemok manih Mummy ter
Aku dendangkan
Kasih sayangku
Walaupun dalam pilu
Meskipun penuh sayu
Aku
Memujuk belas hati nan hiba
Simfoni nestapa ini.

Yassinsalleh
1559 hrs. 20. 12. 13.
La Casa Pasifica D Yasleh
Copyright © 2013
Yassinsalleh
All Rights Reserved.
http://yassinsalleh.blogspot.com/2013/12/httpwww.html

*Terima kasih atas kiriman sajak ini ayahanda Yassin Salleh. Kepada yang ingin membaca sajak-sajak beliau sila dapatkan buku Simfoni Sepi yang berharga RM80 dengan menghubungi beliau sendiri di laman blognya. http://yassinsalleh.blogspot.com/2013/07/dapatkan-simfoni-sepi-melalui-pos.html

PERINGATAN BUAT DIRI : JAUHI MENFITNAH



Dalam hidup ini, apabila manusia tidak berpuas hati terhadap apa jua perkara, mereka sanggup berbuat apa sahaja waima menyebarkan cerita-cerita palsu dan cerita-cerita rekaan yang tidak wujud agar sasaran untuk menjatuhkan orang yang dibenci, tidak menepati kehendak hatinya kerana dengki dan gagal memenuhi kepentingan dirinya akan tercapai. Ini jelas menunjukkan betapa hitam dan kotornya hati si pemfitnah tersebut. Justeru, janganlah kita menjadi manusia yang sedemikian kerana dosa menabur dan menyebarkan fitnah terhadap orang lain itu teramat berat balasannya ya. Takutlah dengan azab Allah. Jika pun tidak ada apa perkara yang perlu ditulis di laman-laman sosial yang kita miliki,maka lebih baik kita kawal jari-jemari kita dari meng'up date' status-status atau entry-entry yang tidak diperlukan. Berkongsilah apa yang bermanfaat untuk orang lain bukan fitnah menfitnah untuk menjatuhkan insan lain. Gunakanlah kemajuan teknologi yang ada dengan sebaiknya bukan untuk perkara-perkara dan perlakuan yang tidak bermoral.

Sekadar ingatan untuk diri sendiri.

-CT Nurza-
05 Januari 2013

08:50pg.

*Note : Kredit untuk grafik hiasan yang dipinjam : Grafik Islamik (Ustaz Syed Norhisyam al-Idrus).

Friday, January 3, 2014

MUTIARA KATA SEBAGAI DORONGAN


"...Usah dengki usah iri. Yang Di hadapan tidak semestinya terbilang dan cemerlang. Tetapi, mungkin kerana sokongan dan keberanian...!"

-CT Nurza-
03 Januari 2014

04:45ptg.

*Kredit untuk gambar yang dipinjam : Resim Foto.