ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, April 29, 2014

PUISI : LIDAH OH LIDAH (II)



Lidah keji...

Memang suka mencaci
Memang suka memaki
Kepada insan yang dibenci

Mungkin kerana iri

Juga hasad dengki

Apa yang diperhati
Semua menyakitkan hati
Lantas terzahirlah kesumat

Itulah tanda kotornya jiwa

Berkerak mazmumah di dalam diri

Sifat iblis yang perlu dijauhi

Kelak nanti merugikan diri

Bila semua orang menjauhi


Cermin-cerminlah diri

Suci-sucikan hati

Awasilah kata-kata yang penuh emosi
Semoga tidak sesal dikemudian hari

Lidah itu cermin diri
Fikir-fikir sebelum berkata

Agar tiada hati terguris

 
Jangan suka bersangka-sangka

Kerana prasangka mengundang dosa!


Lidah oh lidah
Jika tuturmu kotor

Wajah yang cantik tiadalah indah!

Nukilan Spontan,
-CT Nurza-
29 April 2014.

*Kredit untuk Grafik Hiasan Page 'Grafik Islamik.'
* Terima kasih untuk admin page I Luv Islam yang sudi copy paste nukilan ini untuk posting di page anda...:)


Friday, April 18, 2014

PANTUN BUDI 18 APRIL 2014



Putus benang sikain kasa,
Dibawa mandi letak di titi;
Diingat dikenang sepanjang masa,
Jika berbudi seikhlas hati.

Senyum suri memegang kendi,
Menjual ragi banyak lakunya;
Hina diri tidak berbudi,
Hidup merugi tiada ertinya.

-CT Nurza-

18042014
1201

*Kredit untuk Grafik Hiasan Annur Pamis.

Thursday, April 17, 2014

ARTIKEL : JANGAN-JANGAN ISTIDRAJ (MAJALAH SOLUSI BIL 67)



Karya terpilih pembaca Solusi 67, Seintim Nabi & Anak Yatim.

Respons daripada Majalah Solusi:
1) Farid Roslan.
2) Umrah Mahmud.
3) Kamaluddin Abdullah.
4) Anailod Ana.
5) Nor Mazhalmi Khalib.
6) Cikgu Arsyad Jamil.
7) Wardah Nawwarah.

Sumbangsih:
1) Abdul Qadir Sirry-yus-saqti bin Mohd Aros
2) CT Nurza

Gen-Q:
Siti Mariam Sudin.

Puisi:
Mohd Adid Ab Rahman.

Subeditor Solusi

..Dapatkan Majalah Solusi 67 di PBAKL 2014 di PWTC, 24 April-4 Mei 2014.


                                                   ************************

Bismillahirrahmanirrahiim...
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala rasa syukur dipanjatkan hanya untuk-Nya. Syukur setinggi-tinggi kesyukuran, kerana 'Bank Artikel' Majalah kesayangan saya SOLUSI telah pun meluluskan dan menerbitkan artikel saya untuk keluaran isu kali ini. Dengan rasa terharu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih sekalung budi jua kerana sudi menyiarkan komentar-komentar spontan saya menerusi emel yang dikirimkan juga komentar terbuka saya di page majalah solusi sebelum ini.

Sekurang-kurangnya, saya berpeluang untuk berkongsi sedikit pandangan peribadi dan ilmu sebagai tanda sokongan demi mendidik diri sendiri dan masyarakat amnya. Insya-Allah! Semoga artikel saya sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat kepada pembaca-pembaca yang menjadikan majalah ini sebagai teman setia di sisi. Jika ada yang tidak kena dengan artikel ataupun komentar-komentar saya sebelum ini, dipersilakan untuk memberikan sebarang komen secara berhemah dan membina, Insya-Allah akan saya terima dengan lapang dada.

Jadi, kepada rakan-rakan yang sudi untuk membaca artikel saya, jangan lupa ya dapatkan Majalah terbaru SOLUSI kali ini Bil 67 dalam ruangan 'SUMBANGSIH'.

Penghargaan dan terima kasih saya juga, istimewa buat Ustz. Muhammad Luqman Makhtar (Editor), Cik Jamilah Mohd Norddin (Subeditor) dan seluruh warga kerja Solusi yang sudi memilih artikel saya untuk siaran dan terbitan kali ini. Jasa dan budi baik anda semua amat saya hargai...Insya-Allah!

Terima kasih terkenang di hati.

Kambing biri sesat di gua,
Mencari makan sedari pagi;
Solusi memberi ketenangan jiwa,
Menghampirkan diri kepada Ilahi.

-CT Nurza-
17 April 2014
04:00ptg.

Wednesday, April 16, 2014

SAJAK : DI SINI AKU PULA SEKARANG - YASSIN SALLEH

Hospital tempat menangguhkan mati
Tempat melembutkan kerasnya sakit
Tempat mengeraskan lemahnya hati
Tempat memujuk hati yang luluh.

Tempat orang sakit main sorok-sorok
Dengan jadual tamat tempuh
Tempat pengambil nyawa main kejar-kejar
Dengan senarai yang tertangguh.

Tempat eksperimen doa dan bunga
Tempat penentu segar atau layunya bunga
Di atas meja di sisi katil berangka
Tempat kelakar 
Siapa yang akan makan buah-buahan
Yang dibawakankah
Atau yang membawakankah
Atau jatuh bersepah
Di lantai yang basah
Dengan airmata luluh duka.

Hospital Serdang
Ke sini Mummy ku bawa datang
Di sini Mummy pulang seorang
Di sini pula aku sekarang
Mencari nyanyi tempua.

yassinsalleh
0825. hrs.16.4.14.
Hospital Serdang
Copyright (c) 2014
yassinsalleh
All Rights Reserved.
http://yassinsalleh.blogspot.com/2014/04/di-sini-pula-aku-sekarang.html


*Note : Diterima menerusi kiriman SMS. Terima kasih ayahanda Yassin Salleh (Penyair/Pengarah Filem Dia Ibuku). semoga cepat sembuh.

Monday, April 14, 2014

PUISI : AYAH (KATAMU KUJADIKAN AZIMAT)


Biar terpaksa berpenat lelah
Kau tidak pernah mengeluh dan mengalah
Membesarkan kami menghantar ke sekolah
Agar belajar mengenal diri dan Allah
Mencari jalan yang tidak tersesat arah
Supaya tiada penyesalan yang taksudah
Bila kehidupan berubah usia bertambah

Katamu Ayah
Hidup ini bukan mudah
Untuk dapat redha Allah
Jika tidak meniti Mehnah

Terima kasih Ayah
Kata-katamu kujadikan azimat
Kusisip kemas dalam ingatan
Sebagai pedoman dalam perjuangan.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
14042014
1001am.

*Kredit untuk gambar hiasan Page National Geografi.

MUTIARA KATA UNTUK DIRI (MAC & APRIL 2014)



"Kesabaran itu indah walau bukan mudah, kecekalan itu manis walau ada kalanya pesimis. Hidup perlu optimis untuk menghadapi sebuah realiti. Insya-Allah, yang elok dan manis akan lahir dari hati yang menghiasi peribadi."

-CT Nurza-
07042014
0840am.

                                                     *****************************


"Tiada kematian yang paling menakutkan diriku, selain daripada kematian iman, kematian hati dan kematian akal, kerana bila semuanya tidak berfungsi dengan baik, maka hidup yang dijalani sudah menjadi tidak bererti."

-CT Nurza-
31 Mac 2014
1544ptg.

*Kredit untuk gambar hiasan Page National Geography.

Sunday, April 13, 2014

PERTEMUAN ISTIMEWA DI AKADEMI SYAIR PAHANG 12 APRIL 2014.


Pic 1 : Dr. Mohd Amran Daud, wakil dari DBP.


Pic 2 : Sebahagian daripada penulis-penulis yang hadir.



Pic 3 & 4 : Kenangan bersama Penulis-Penulis Pahang yang hadir...yang kecik itulah saya...:):)

Assalamualaikum...
Salam dinihari buat semua dan salam Tahajjud...

Semalam 12 April 2014, satu pertemuan istimewa telah diadakan buat pertama kalinya di bangunan "Akademi Syair Pahang" yang bakal beroperasi tidak lama lagi. Pertemuan santai petang semalam bersama beberapa orang Penulis Pahang dan juga wakil dari pihak DBP iaitu Dr. Mohd Amran Daud sangat-sangat memberi makna yang besar buat diri saya secara peribadi.

Pertama sekali, saya perlu ucapkan "Tahniah" kepada abang Roslan Madun selaku Pencetus/Pemilik Akademi Syair tersebut. Alhamdulillah, pertemuan semalam sedikit sebanyak menambahkan ilmu di dada saya dan sudah pasti akan saya cuba manfaatkan sebaik mungkin dalam karya-karya saya kelak apa yang telah diajari.

Terima kasih juga kerana memberi peluang dan ruang kepada saya untuk bersama-sama menjayakan "Projek Buku Pahang Dalam Syair" yang akan diterbitkan oleh DBP tidak lama lagi. Insya-Allah, mudah-mudahan saya mampu melaksanakan segalanya dengan sempurna mengikut perancangan dan jadual yang diberikan kelak...saya akan cuba buat yang terbaik sekadar termampu, Insya-Allah!

Inilah gambar-gambar yang sempat dirakam untuk pertemuan petang semalam. Gambar ini saya ambil dari laman FB abang Roslan Madun...hehehe...apa nak buat, gambar yang ada pada saya semuanya dah macam duduk di Cameron Highland diliputi kabus tebal...kelabu asap semua...nasib badan...hihihi...

Ok, dah berapa hari tak update blog ni, jadi sementara ada kelapangan ni saya kemaskinilah blog dulu, sebelum memulakan proses penulisan Syair Pahang saya...doakan ilham saya mengalir tanpa henti ya, agar proses penulisan saya tidak terganggu untuk menyudahkan kerja saya yang penting ini...Insya-Allah!

Jumpa lagi...:)

-CT Nurza-
13 April 2014
05:13.

Thursday, April 10, 2014

PETIKAN BUKU : TERAPI BERFIKIR POSITIF

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum dan selamat tengah malam semua.

Malam ni, saya ingin berkongsi sedikit apa yang telah saya baca dalam buku 'International Bestseller' iaitu 'Terapi Berfikir Positif'. Saya tak tahu kenapa buku-buku motivasi sebegini sangat-sangat menarik minat dan perhatian saya. Mungkin terlalu banyak ujian dan dugaan yang dilalui sepanjang kehidupan saya di dunia ini, menyebabkan saya perlu mencari kekuatan diri. Ianya sebagai suntikan semangat untuk saya meneruskan sisa-sisa hidup yang kian mencabar ini dengan kata-kata motivasi yang mampu menghidupkan jiwa saya, agar terus berdaya tahan. Tanpa motivasi yang tinggi dalam diri, kita jadi lemah, letih dan hilang kekuatan serta semangat untuk berhadapan dengan kenyataan, lebih-lebih lagi kenyataan yang amat pahit.

Baiklah, di sini saya kogsikan kata-kata tersebut. Mudah-mudahan ia dapat membantu kita untuk menjadi seorang yang positif dan tidak lagi suka berfikiran negatif. Menurut buku ini ;

"...Fikiran negatif boleh membuat degupan jantung semakin kencang, tekanan darah meninggi, nafas semakin cepat, tubuh gementar, suhu tubuh berubah sehingga sangat berpengaruh pada sistem saraf dan kekebalan tubuh. Selain itu fikiran negatif juga dapat membuat seseorang juga merasa tercekik, berpeluh, berbicara tersekat-sekat dan lain-lain. Semua itu boleh terjadi hanya dengan satu fikiran, iaitu fikiran negatif..."

Haaa...kan tak elok tu...sampai rasa tercekik tau kalau suka berfikiran negatif...jadinya, sama-sama kita jaga fikiran kita selepas ini agar selalu tenang dan jernih dari segala pemikiran-pemikiran yang boleh merosakkan seluruh sistem dalam tubuh kita luar dan dalam. Ini kerana ia amat mempengaruhi segala-galanya.

Okey, hanya itu sekadarnya yang dapat saya kongsikan malam ni...lain kali kita sambung lagi ya...jom tidur dulu, nanti terbabas nak solat tahajjud...rugi tu. Opsss....jangan lupa sebelum tidur khatam quran dulu dan tidurlah dengan keimanan dan mimpi yang muluk-muluk setelah tidur dengan berwuduk. Pesanan untuk diri sendiri dan semua...jangan marah!...ingat-mengingati kan?.

Jumpa lagi...salam hormat dan mesra selalu...:)

-CT Nurza-
10 April 2014
12:51tghmlm.

*Kredit untuk penulis buku International Bestseller 'Terapi Berfikir Positif' iaitu  Dr. Ibrahim Elfiky.

Monday, April 7, 2014

CORETANKU : KEK OH KEK!



Assalamulaikum...
Didoakan semoga rakan-rakan dan pembaca setia blog NKN berada dalam situasi sihat walafiat dan makin berbahagia dengan kehidupan dan kejayaan peribadi masing-masing. Khususnya, kepada yang dah berjaya menyempurnakan sebahagian daripada azam masing-masing seperti diriku...hehehee...Insya-Allah, baru  sebahagian je tertunai! belum lagi keseluruhan...kini, masih dalam proses untuk melunaskannya...doakan ya kawan-kawan semua...

Hemmm, sebenarnya kan...dah lama-lama tak mengomel-ngomel  kat blog ni, rindu pulak nak mencoretkan sesuatu petang ni. Mungkin disebabkan rasa takde kerja kut?...yang sebenarnya kerja tu banyak jer tapi 'Mood' pulak 'spoil' jadi rehatkan minda sejenak. Bagi power datang balik baru fokus semula...itulah susah kalau buat sesuatu dengan mood ni...bila spoil sikit ilang semangat terus...lemah lisutlah akal fikiran dibuatnya...ahaha...boleh ke gitu ayat yang di susun..."lemah lisut"...hehee...dah  macam kertas tisulah pulak jadinya ek...tak pelah janji happy diri sendiri...kannnnnnn??? kalau bukan sendiri yang membahagiakan hati sendiri, siapa lagi kan?.


Jadi kita yang mengawasi diri kita, maka buatlah yang terbaik asal sahaja tidak mengganggu kehidupan dan ketenangan insan lain dengan  perbuatan, sikap, lidah dan tutur kata kita yang kadangkala menghiris lumat hati, jantung dan limpa orang lain dengan kata-kata yang keluar dari bibir dan lidah yang tidak bertulang tu...Oh, peliharalah lidahku Ya Allah dari menjadi lidah yang mengumpul dosa dan menghantar diriku ke neraka-Mu...ampunkan salah silapku Ya Allah! sememanganya aku amat takut memikirkan azab-Mu. Astaghfirullah...astaghfirullah...astaghfirullahhh....

Ahaaa...bercerita pasal tajuk yang tertulis kat atas tu...Ish, ish,ishhh...dua tiga hari ni saya rasa amat kecewa sesangat-sangat dan sangat tau. Entah kenapalah kek yang saya buat asyik mendap jer selepas menunjukkan kegebuannya sewaktu kat dalam oven semasa proses memasaknya...masa tengah masak tu, hati riang tak terhingga tengok kuih yang dibuat gebus berganda-ganda naik cun-melecun macam sedap gitu...tapi alangkah sedih, kecewa dan hampanya hati selepas api ditutup.

Kek tadi yang dah berangan nak dimakan tup-tup bila bukak oven nak ambik dan potong....cehhhh! yang menggebu tinggi tu dah turun jadi mendap semendap-mendapnya pulak!...adoiiii...rasa nak nangis aje. Entah apalah yang tak kena saya pun tak tau. Asal jumpa jer resipi kat internet ni saya terus ambik dan cuba buat ikut sukatan yang diberikan tanpa diubah apa-apa. Al-maklumlah, teruja sangat nak bereksperimen kat dapur kan...lagipun blog dapur saya dah lama sunyi sepi tanpa kuih-muih yang disajikan lantaran kesibukan diri kebelakangan ni....uhuhuh....kesian sungguh!

Berbalik pasal kek mendap saya tuh...hehehe...bila dah jadi rupa macam letusan lahar gunung berapi tu....jeng..jeng..jengggg...senyap-senyap saya pun pergilah bungkus elok-elok kemudian saya buat ekspress laju dan laju hantar berhijrah kat oversea tanpa penangguhan lagi...hahaha....bila En. Suami balik dan tanya...saya akan cakap Innalillah, kek saya telah selamat jadi selamat menghidu baunya sajalah yang masih tertinggal kat rumah...hihihi...

Sebenarnya...saya nak bagi tau kat sini, pengaruh emosi tu amat kuat untuk memberi kegagalan terhadap apa yang kita buat dan lakukan jika kita membuatnya tidak dengan sepenuh hati dan buat sekadar untuk melepaskan batuk ditangga sahaja. Jadi kalau nak buat apa-apa pun, pastikan mood  kita dalam keadaan baik, ceria dan free dari segala stress atau apa-apa sahaja sebab itu yang paling penting untuk sukses dengan apa jua usaha kita...begitulah pengalaman diri yang banyak mengajar saya tentang kegagalan dan kejayaan. Saja nak kongsikan dengan anda semua, manalah tau coretan saya ini dapat memaksimumkan usaha anda semua dalam menyemarakkan lagi semangat diri untuk mencapai apa yang diimpikan dengan jayanya. Insya-Allah!

Sekian, selamat menunaikan solat fardhu maghrib buat semua. jumpa lagi...

Terima kasih...jaga diri hiasi peribadi elokkan pekerti ikhlaskan berbudi...Insya-Allah, kita pasti akan disayangi. Amin.

Corat-coret spontan,
-CT Nurza-
07 April 2014
0932pm.

Sunday, April 6, 2014

PUISI : BILA KITA MEMINTA


Alhamdulillah...
Ketika negara diutuskan mehnah
Allah leraikan suatu musibah
Sesudah solat Istisqa' dan tangan ditadah
Hujan pun turun mencurah-curah
Menyirami bumi yang rekah
Lantaran ihsan dan rahmat-Nya yang indah
Bukti kasih-Nya untuk  hamba yang taat menyembah
Berpegang teguh dengan kalimah syahadah
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ.
"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang sebenar) melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah (Rasulullah)."


Itulah tanda Iktikad kita kepada Sang Pencipta
Pemilik seluruh alam semesta
Hanya DIA yang layak disembah
Tiada Tuhan selain ALLAH
Syukran Ya Razzaq!
Kaulah pembuka pintu rezeki
Berkatilah kami seluruh makhluk di langit dan di bumi

Dengan segala rezeki yang telah Kau limpahkan
Kepada kami yang tidak jemu meminta
Amin
Amin
Amin ya robbal 'alamiin.

Nukilan spontan

-CT Nurza-
04 Mac 2014
08:00mlm.

*Kredit untuk Grafik Hiasan I Luv Islam.

Saturday, April 5, 2014

PUISI KE-5 UNTUK #MH370 : PENANTIAN INI


Biar telah pun dimaklumkan
Berakhirnya #MH370 di Selatan Lautan Hindi
Namun selagi ia belum pasti
Kami akan tetap menanti
Walau berapa lama lagi
Lantaran sehingga kini
Tidak pasti sebenar apa terjadi
Telinga sudah tuli mendengar spekulasi
Pelbagai cerita telah didengari
Adakalanya telahan itu merobek jiwa insani
Walau bukan saudara mara yang terlibat
Namun sebagai insan
Kepahitan ini tetap sama dirasai
Lantaran kita ini makhluk
Punya hati punya perasaan.

Mata ini...
Seakan tidak mampu lagi untuk menatap
Wajah-wajah sayu pilu meratapi kehilangan
Insan-insan tersayang yang penuh erti
Pendamping diri akrab di hati
Namun kini lenyap diuji kehilangan
Tanpa sempat bertemu kembali
Meluluhkan hati meruntunkan emosi
Keceriaan mengiringi bertukar kedukaan
Tersisa kini hanya kenangan
Bersama harapan  jua impian
Dalam setulus doa di hujung penantian!

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
05 Mac 2014
11:09am.

TAJUK : ENTAH! AKU PUN TAK TAHU (EDISI NOVEL KANTOI)

SESI PERCUBAAN MENULIS NOVEL SETELAH BERBENGKEL...:)


“Eh, Aqil! kau ada nampak tak buah mangga aku dua biji kat sini?” tanya Faiz tiba-tiba, sebaik sahaja tangannya mencapai kunci kereta yang  diletakkan di atas meja.
Kelihatan petang itu suasana agak tenang dan sunyi. Tiada siapa lagi yang berada di pejabat kecuali Aqil, teman sekerjanya yang  paling setia.

“Tak ada pun,” ujar Aqil, ringkas.

“Habis tu dah tak ada kat sini, siapa pulak yang ambil? Tak kan toyol kut? soal Faiz kehairanan.”

“Eh, Faiz! apalah kau ni. Kalau setakat buah mangga dua biji tu, aku rasa toyol tak hairanlah. Toyol cuma suka 'Duit' kau tau tak? 'DUIT!' Ishhh, apa 'class'lah si toyol nak curi buah mangga kau tu,” ujar Aqil sambil merenung tepat ke arah wajah sahabat karibnya itu, lantas menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum sinis.

“Iyalah kan, betul juga cakap kau tu! tapi aku peliklah. Kalau kau tak ambil, toyol pun tak ambil, habis tu siapa pulak yang ambil? tadi memang pasti aku letak kat sini,” sambung Faiz sambil mengusap kumis nipisnya yang dijaga rapi.

Aqil kemudian bangun dari kerusinya dan mencapai  ‘briefcase ‘ di atas meje. Telefon bimbitnya berdering mendayu-dayu dengan nada panggilan yang begitu mengasyikkan. Dia kemudian bangun mendekati Faiz yang masih berdiri tercegat di sisi mejanya.

“Okaylah, Faiz! aku nak balik dulu. Susah-susah sangat kau beli aje buah mangga yang lain, habis cerita. Hari pun dah hampir maghrib ni, marilah kita balik bersiap-siap untuk ke masjid pulak,” ajak Aqil sambil menepuk-nepuk bahu Faiz yang masih lagi tidak berganjak dari mejanya.

Aqil kemudian berlalu pergi meninggalkan Faiz bersendirian. Bilik itu kembali sunyi. Hanya cahaya lampu sahaja yang masih menerangi ditemani bunyi deruman enjin kereta di jalanraya.

                                ******Bersambung (kalau ada idea nanti)*******


SAJAK : DAUN-DAUN DI HUJUNG MALAM.



Seorang lepas seorang
sahabat kita seniman sastera
tukang seni kata-kata
kembali ke rahmatullah.
innalillahi wainna ilahi rojiun,
al fatihah kita untuk mereka
Nahmar Jamil, Sahlan Mohd Saman
Jamaluddin D.

kita doakan semoga roh mereka
ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.
Senja sudah angkatan sezaman
satu demi satu kita bagaikan
daun-daun di hujung malam
gugur ke pangkal kemboja
yang tinggal cuma lapisan kertas
rakaman falsafah cendekia
dan nyanyi anak merdeka yang tak sampai.

Aduhai.

yassinsalleh
0234 hrs. 4.4.14
La Casa Pacifica D Yasleh
Copyright © 2014 yassinsalleh

All Rights Reserved..

*Terima kasih ayahanda Yassin Salleh yang menitipkan sajak ini menerusi sms.http://yassinsalleh.blogspot.com/2014/04/daun-daun-di-hujung-malam.html