ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, May 31, 2014

PUISI SPONTAN : APA GUNA JADI JUTAWAN KALAU...

Apa guna menjadi jutawan
Jika hati tidak menawan
Berkira untuk buat kebajikan
Kikir membantu rakan dan taulan
Nama saja jutawan
Tetapi tidak dermawan
Cuma berbangga dengan kejayaan
Mengumpul harta kekayaan
Berat untuk menghulurkan bantuan
Kepada insan yang memerlukan
Sedikit pun tidak kuhairan
Biar hidup sederhana
Janji ada fikiran dan iman
Masih punya hati dan perasaan
Untuk membantu insan yang keciciran
Walau hidup tidak dilimpahi kekayaan
Kerana kekayaan bukan punca ketenangan
Melainkan cuma suatu bayangan
Bayangan yang pasti akan kita tinggalkan
Bila segalanya telah hilang dari pandangan...

nukilan: CT nurza

*Kredit poster Page I Luv Islam.

Wednesday, May 21, 2014

ULASAN BUKU ITBM : IBNU KHALDUN (Riwayat Hidup & Karyanya)



Kulit depan & Belakang.

JUDUL BUKU : IBNU KHALDUN (Riwayat Hidup & Karyanya).
PENGARANG : MOHAMMAD ABDULLAH ENAN.
NO. ISBN : 978-983-068-783-4
HARGA : RM20.00
NO. RESIT PEMBELIAN : ITBM01001805 4/5/2014 5:59PM.
PENERBIT : INSTITUT TERJEMAHAN & BUKU MALAYSIA BERHAD.


Bismillahirrahmanirrahiim...
Assalamualaikum...

Terlebih dahulu mohon maaf sekiranya ulasan ini tidak begitu sempurna dan terbaik kerana saya sekadar mencuba demi memberikan sokongan kepada pihak ITBM yang menganjurkan pertandingan ini. Terima kasih kerana membuka ruang untuk kami belajar dan mencuba.

Buku ini merupakan sebuah buku yang sangat menarik untuk dibaca dan dimiliki. Ia adalah karya terjemahan daripada sebuah buku yang telah diterbitkan oleh The Others Press Sdn. Bhd. dengan judul asalnya ‘IBN KHALDUN’: His Life and  Works.

Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Mohd Puzhi Usop dan juga Nik Haslina Nik Ibrahim. Menurut penerbit buku ini,  Ibnu Khaldun adalah seorang ahli historiografi dan sejarawan Arab pada abad ke-14. Beliau dianggap sebagai pengasas sejarah, sosiologi dan ekonomi moden. Ibnu Khaldun dikatakan hidup pada zaman berlakunya pergolakan dalam sejarah, dan melalui pengalamannya, beliau telah “memikirkan dan menggagaskan falsafah sejarah yang diyakini paling hebat pernah dihasilkan oleh seorang yang bijak dan pintar...”.

Mengikut prakata dalam buku ini juga, warisan Intelektual Ibnu Khaldun begitu unik dalam kalangan karya pemikiran Islam. Meskipun telah berabad-abad berlalu, namun ia tetap memelihara nilai semangat dan kemodenan serta menduduki suatu tempat  yang tinggi dalam monumen pemikiran dunia. Beliau merupakan seorang ahli fikir yang terunggul dalam kalangan ahli fikir Islam. Keunggulannya terserlah dalam bidang sejarah. Selain itu, beliau juga seorang ahli falsafah yang sangat agung dan amat dikagumi oleh negara Barat sehinggakan pelbagai buku dan kajian kritis beliau tentang manusia telah dikaji dan begitu dihargai di Barat.

Di dalam bab satu buku ini, penulis ada menceritakan serba sedikit tentang kehidupan awal tokoh agung ini iaitu Ibnu Khaldun. Ia bermula pada tahun 1932 di mana beliau menjadi inspirasi kepada suatu kenangan yang abadi dalam pemikiran Islam. Dimaklumkan pada tahun ini juga iaitu tahun 1932, ia adalah merupakan ulang tahun yang ke-600 kelahiran Ibnu Khaldun sebagai seorang ahli sejarah, ahli politik dan ahli falsafah sosial.

Walaupun Ibnu Khaldun dikatakan seorang yang sangat masyhur, namun kehidupan mahupun karyanya  yang sangat berharga dan asli itu tidak begitu  mendapat perhatian dan penilaian yang sewajarnya daripada pemikiran kontemporari kita khususnya di Timur sendiri berbanding di Barat.
Namun demikian, Ibnu Khaldun telah meninggalkan kepada kita semua Biografi dirinya di mana beliau sendiri telah merakamkannya dengan titisan mata penanya setiap peristiwa yang ditempuhi dalam hidupnya bermula sejak zaman kanak-kanak sehinggalah ke penghujung hayatnya.

Ibnu Khaldun dikatakan berasal daripada keluarga Andalusia yang terkenal dan berpengaruh dalam era penaklukan. Beliau lahir daripada keturunan yang masyhur dan terpelajar. Ibnu Khaldun telah dididik oleh bapanya sendiri yang merupakan guru pertama kepadanya. Beliau  turut membaca al-Quran dan menghafalnya serta mengkaji bentuk qiraat yang berbeza terjemahannya serta hadis dan sistem perundangan. Beliau juga telah di ajar tentang nahu dan retorik oleh pujangga Tunisia yang amat terkenal.

Untuk mengetahui lebih lanjut perjalanan hidup tokoh Islam yang unggul ini, anda boleh mendapatkan buku ini secara online atau belian secara terus daripada ITBN. Cetakan pertama buku ini adalah pada tahun 2012 manakala cetakan keduanya pula ialah pada tahun 2014. Buku ini mengandungi 140 muka surat termasuk ‘Bibliografi’ dan juga ‘Indeks.’ Isi Kandungan dalam  buku ini juga telah dibahagikan kepada Tiga Belas Bab serta turut dilmpirkan dengan ulasan Bibliografi tentang ‘Karya Sejarah Ibnu Khaldun Kitab al-‘Ibar.

Sebenarnya, selain daripada Kitab al-‘Ibar, di antara karya-karya lain Ibnu Khaldun adalah wa Diwan al-Mubtada’ wal al-khabar, Fi ayyam al-Arab wa Al-Ajam wa Al-Barbar, wa man Asarahum min dhawi al-Sultan Al-Akbar. Beliau telah membahagikan kepada tiga buku besar seperti berikut:

1. Masyarakat dan fenomena yang wujud di dalamnya, seperti kedaulatan, kuasa, mata pencarian seseorang, perniagaan, ilmu, dan punca serta sebab berkait dengannya. Inilah buku yang bertajuk Prolegomena.

2. Sejarah orang Arab, generasi dan dinasti mereka, daripada permulaan ciptaan hinggalah ke zaman penulis, mengandungi catatan sejarah tentang beberapa negara kontemporari dan orang yang hebat dan dinasti mereka, seperti orang Pontian, Syria, Parsi, Yahudi, Copt, Yunani, Rom, Turki dan Frank.

3. Sejarah kaum Berber dan puak yang berkaitan mereka, seperti Zanata, Asal usul dan generasi mereka, kerajaan dan dinasti mereka di Afrika Utara.

Dimaklumkan bahawa Karya Ibnu Khaldun mengisi tujuh jilid yang besar dan beliau dikatakan mengakhiri karyanya dengan bercakap tentang dirinya dalam beberapa bab yang panjang. 

Demikianlah Ibnu Khaldun yang merupakan seorang tokoh pemikiran Islam yang begitu diakui keistimewaan dan kehebatannya oleh guru-guru yang mengajar beliau.

Semoga dengan ulasan ringkas yang saya berikan di sini, kita semua akan lebih mengetahui dan mengenali tokoh besar ini yang mana karya-karyanya serta pemikirannya begitu dikagumi dan mendapat tempat yang paling teratas dalam sejarah pemikiran Islam di dunia lantaran beliau merupakan pakar dalam bidangnya dan merupakan pengasas dalam bidang ilmunya.

PENGULAS,
-CT Nurza-
21 Mei 2014
04:55pg.

Saturday, May 17, 2014

PANTUN SEGMEN NASI LEMAK KOPI O TV9 17 MEI 2014.


Pantun Jawapan untuk segmen 'Cer Teka di TV9' nukilan spontanku.

Masak siakap buat hidangan,
Hilangkan lapar makanlah longan;
Jadi pelengkap majlis perkahwinan,
Bunga Pahar itulah gerangan.

-CT Nurza-
17 Mei 2014
09:57pg.

*Alhamdulillah, dapat jawab dengan tepat. Terima kasih TV9 kerana membaca dan menyiarkan pantun saya dalam segmen cer teka pada 17 Mei 2014 jam 09:58pg.

Friday, May 16, 2014

STATISTIK PENGUNJUNG PADA 15 MEI2014



Assalamualaikum...
Selamat tengah malam semua. 'Selamat Menyambut Hari Guru' kepada semua rakan-rakan, pembaca-pembaca setia blog NKN dan juga warga pendidik di seluruh Malaysia yang menyambut Hari Guru pada hari ini. Jasa bakti anda semua amat dihargai. Syabas dan Tahniah!

Memandangkan dah berberapa hari saya tak sempat menjengah blog dan kemaskinikan laman maya milik saya ini, jadi malam ni saya luangkan sedikit masa untuk membaca dan membalas segala komentar-komentar yang ditinggalkan di laman ini. Terima kasih kepada adik-adik, cikgu-cikgu dan semua para tamu yang saya hargai kerana sudi berkunjung ziarah ke blog yang tidak sehebatnya ini dan meninggalkan jejak anda di sini.

Maafkan saya, jika terlewat membalas komen-komen yang ditinggalkan ya. Insya-Allah, sedaya mungkin saya akan cuba untuk tidak menghampakan permintaan anda semua sebagai tanda penghargaan dan terima kasih tidak terhingga daripada saya kerana sudi memandang blog picisan ini. Semoga kita sama-sama beroleh manfaatnya jika nukilan-nukilan spontan saya di sini dapat membantu dan dikongsikan bersama. Doakan saya agar diberikan ilham yang baik-baik untuk terus menulis perkara yang baik-baik dan berkarya dengan tenang dengan cara sendiri di sini. Amin.

Akhirkata,
Salam tulus ikhlas untuk semua...jumpa lagi...:)

-CT Nurza-
16 Mei 2014

12:27 tghmlm.

Monday, May 12, 2014

PANTUN HARI GURU 2014 : PENCETUS KREATIVITI PENJANA INOVASI.



Perabot jati  dari Sulawesi,
Cantik buatan rekaan terkini;
Pencetus kreativiti penjana inovasi,
Tema sambutan untuk tahun ini.

Kuning biru penanda buku,
Disusun budak mengikut angka;
Santuni guru awasi tingkah laku,
Jangan biadap dengan mereka.

Jamuan  makan ada serata,
Demi meraikan guru dan bonda;
Guru mendoakan kejayaan kita,
Sesudah mencurahkan ilmu di dada.

Ambil nyiru menampi hampa,
Tiada berisi jalak tak mahu;
Tanpa guru siapalah kita,
Mungkin A,B,C, langsung tak tahu.

Berkasut baharu riangnya adik,
Menuntut ilmu  terasa sempurna;
Selamat Hari Guru warga pendidik,
Mulianya tugasmu amat bermakna.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
12 Mei 2014-05-12
03:20pg.

Thursday, May 8, 2014

PUISI : TANPA UJIAN, KITA SEPI DARI PERHATIAN!


Tanpa cubaan, kita tidak tahu setinggi mana keyakinan!
Tanpa kemarahan, kita tidak tahu sehebat mana kesabaran!
Tanpa kejian, kita tidak tahu betapa berharganya sebuah pujian!
Tanpa kegagalan, kita tidak tahu nikmatnya kejayaan!
Hidup ini segalanya penuh dengan kemungkinan!

Ingatlah waspadalah!
Yang cantik tak selamanya molek
Yang molek tak selamanya elok
Yang elok kadangkalanya busuk
Yang busuk tak semestinya buruk
Yang buruk bila kreatif menggilapnya
Pasti akan lebih indah daripada yang terlihat indah

Semua perancangan adalah aturan Allah
Janganlah kita sedih dan gundah
Walau terkadang hati menangis tak sudah-sudah
Kembalilah kita ke pangkuan Allah
Kerana DIA-lah pemberi mehnah
Mehnah untuk menyedarkan kita
Cubitannya agar kita tidak lalai
Dalam setiap ucapan dan langkah

Subhanallah!
Alhamdulillah!
Wala ila!
Ha illallah!
Allah Hu Akbar!
Sesungguhnya Tuhanku hanyalah ALLAH!
Tiada lain yang layak kusembah!

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
02 Disember 2013
11:05 pagi.

*Puisi ini telah lama ditulis dan dihantar ke Radio Ikim.fm untuk segmen Nukilan.