ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, May 3, 2014

ULASAN NOVEL (1) : EEE...SAYUR! (RESHA HAMZAH & AZLAN ISMAIL)



Pic 1 & 2 : Cover kulit depan dan belakang.

Judul Buku : Eee...sayur!
Pengarang : Resha Hamzah, Azlan Ismail.

Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun Diterbitkan : 2012
Harga : RM10.00 (Semenanjung), RM12.00 (Sabah/Sarawak).
Jumlah Halaman: 160 muka surat.
ISBN : 978-983-097-323-4.
Dicetak Oleh : Percetakan Zafar Sdn. Bhd. Batu Caves.
Kategori : Novel Tarbiah Awal Remaja.

Eee...sayur, sebuah novel yang cukup santai dan sederhana gaya penceritaannya. Sesuai untuk bahan bacaan kanak-kanak dan remaja peringkat umur 10-15 tahun ke atas. Juga untuk guru-guru dan ibu bapa dalam mendidik anak-anak agar menyukai sayur yang begitu banyak khasiat dan keistimewaannya.

Novel ini diolah dan digarap dengan cukup bersahaja. Ianya hasil gabungan mantap idea dua orang novelis muda iaitu saudara Resha Hamzah yang merupakan salah seorang Editor Perolehan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd dan juga sahabat karibnya saudara Azlan Ismail yang amat meminati bidang perniagaan dan bercita-cita untuk menjadi seorang 'Boss' suatu hari nanti.

Setelah seharian saya menumpukan perhatian terhadap pembacaan novel ini, saya tertarik dengan gaya olahannya yang cukup 'simple' tetapi pengarangnya sangat kreatif dalam mengembangkan idea-idea yang begitu mencuit hati. Tidak saya jangka sama sekali fantasi yang diselitkan dalam novel ini begitu mengujakan saya untuk membacanya sehingga habis sebuah novel dalam masa yang singkat.

Novel ini mengisahkan beberapa orang kanak-kanak iaitu Ira, Wawa, Maya dan Lalan yang mempunyai persepsi yang berbeza terhadap sayur-sayuran dan mereka masing-masing mempunyai cita rasa yang berlainan.

Ira dan Maya adalah dua orang kanak-kanak yang punyai persamaan tidak suka makan sayur. Manakala Wawa dan Lalan pula minat dan suka makan sayur. Kesemua mereka mempunyai alasan yang tersendiri kenapa ada yang menolak untuk makan sayur dan ada pula yang begitu menggemari dan menyukai sayur dalam setiap menu yang dihidangkan.


Bagi saya bab yang paling melucukan apabila Ira yang tidak suka makan sayur dan begitu fobia melihat sayur telah terbawa-bawa perasaan cemasnya itu sehingga ke dalam mimpi. Kebenciannya terhadap sayur semakin bertambah-tambah apabila beliau mendapat mimpi pelik bahawa dirinya telah dikejar oleh 'lobak gergasi' kerana terlanggar syarat yang dikenakan di hutan mayur.


Tidak sangka sayur lobak juga boleh bertukar menjadi seperti lembaga yang begitu menakutkan Ira ya, bila hati dah benci melihat sayur yang tidak disukainya...syabas! saya ucapkan kepada penulis buku ini iaitu saudara Resha dan Azlan yang begitu tinggi daya imaginasinya untuk menarik perhatian pembaca ciliknya termasuk saya sendiri (kanak-kanak bangka yang juga tertarik membaca novel ini...kuikuikui).

Sebagai kesimpulan dari apa yang telah dibaca dalam buku ini, saya dapati ia sangat menarik dan perlu dimiliki oleh ibu bapa dan guru-guru dalam memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Selain itu, ia juga dapat mendekatkan dan memperkenalkan mereka dengan sayur-sayuran kampung yang unik dan terlalu banyak khasiatnya untuk kesihatan tubuh badan demi menjaga kesihatan dan kecerdasan mental serta fizikal.

Buku ini juga mengandungi tip-tip penting yang perlu diketahui oleh kanak-kanak tentang kelebihan makan sayur dan kebaikannya. Ia bukan sekadar sebuah novel, tetapi turut dimuatkan dengan informasi penting yang dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan pengetahuan kanak-kanak agar belajar menggemari sayur-sayuran.

Selamat membaca.....eee...sayur! mohon maaf, jika ada salah silap dalam membuat ulasan peribadi terhadap buku ini. Sebenarnya, ini adalah percubaan pertama saya untuk mengulas buku. Tak cuba maka tak tahu kan? jadi apa-apa pun, kena berani mencuba dan berlatih baru nanti ada skill nak mengulas bahan-bahan bacaan yang telah dibaca dan dihadam. Insya-Allah! sememangnya saya suka mencuba dan mencabar minda saya.

*Kredit untuk Novel Dakwah Galeri Ilmu Sdn.Bhd.

-CT Nurza-
03 Mei 2014

02:47am.

No comments: