ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, June 24, 2014

PUISI SPONTAN : TONGKAT PEMANDU ARAH



Tongkat memandu arah
Akan sentiasa berada di sebelah
Walau haluan telah berubah
Itu bukanlah masalah
Untuk ditendang untuk diterjah
Kerana dengannyalah aku mampu bangkit dari rebah
Aku bina kembali semangat agar tidak lemah
Aku kembali bertatih walau amat payah
Aku genggam seberkas keyakinan walau masih lelah
Kerana Pertolongan Allah
Aku masih mampu berdiri gagah
Walau disepak, ditendang dan diterjah hingga terduduk tak diendah
Aku tetap buktikan aku tidak pernah tewas dan kalah
Walau hakikatnya aku suka mengalah dan beralah
Insya-Allah!!
Semoga diri terus cekal dan tabah.

Nukilan Spontan,
-CT Nurza-
24 Jun 2014
2153pm.

*Kredit untuk DJ Amiey Memanglah Amiey Radio ManisFM yang sudi mendeklamasikan nukilan ini dalam segmen terbitannya "Sentap Rasa" pada 24 Jun 2014. Terima kasih sekalung budi atas sokongan dan galakkanmu sahabat...akan sentiasa dihargai dan diingati. 


Sunday, June 22, 2014

SYAIR : SEMPENA FESTIVAL TEATER 3 NEGARA UiTM JENGKA.





Dengarlah teman sebuah kisah
Festival teater berlangsunglah sudah
Hendak kukhabar  bukanlah mudah
Festival dianjurkan mencatat sejarah.

Selesailah sudah semua yang direncana
Melibatkan tiga buah negara
Antara Malaysia, Brunai dan Indonesia
Acara berlangsung dengan jayanya.

Walaupun tiada sebarang bantuan
Festival teater mampu membuktikan
Dengan semangat serta kecekalan
Tetap mendapat sambutan menggalakkan.

Di UiTM Jengka Festival diadakan
Hanya pelajar memberikan sokongan
Tetamu yang hebat datang meraikan
Jauh berbatu rela berkorban.

Hampanya hati melihat anak watan
Tiada kelibat  bagai memulaukan
Segala aktiviti tiada sambutan
Entah apalah yang dimahukan.

Festival teater menjadi jambatan
Menghubungkan kita ke negara jiran
Yang jauh di sana kita dekatkan
Berharap ukhuwah kekal berpanjangan.

Festival teater bukan hiburan semata
Tetapi mampu membukakan minda
Dari pentas teater kita selami jiwa
Merakam kisah di sebalik peristiwa.

Kisahnya bukan sebarang kisah
Kisah terpahat dalam sejarah
Sejarah nyata tidak boleh diubah
Kerana melibatkan pertumpahan darah.

Demikianlah teater mementaskan sketsa
Terhadap peristiwa dan isu semasa
Buat pedoman insan yang mempunyai  rasa
Agar berfikir setiap masa.

Teater Lawan Catur mewakili Malaysia
Merungkai sebahagian watak manusia
Kerana percaya akhirnya menjadi mangsa
Segala muslihat dan tipu helah durjana.

Pelakon hebat memainkan peran
Menghidupkan watak  sekadar lakonan
Namun ianya meninggalkan kesan
Bagi yang mahu mengambil pengajaran.

Skrip ditulis oleh Roslan Madun
Teliti diolah elok diadun
Shaharudin dan Zaidi sebagai pelakon
Mantap berganding  menarik penonton.

Demikianlah pula Abon yang  lucu
Jenakanya bersahaja tidak melulu
Lawaknya santai tetap berilmu
Siswa siswi diusik tersipu malu.

Di dalam teater ada selingan
Dato’ Ahmad Tarmimi turut menghiburkan
Juita malam lagu didendangkan
Bergema asyik diruang Dewan.

Bangau O Bangau cerita rakyat
Persembahan kreatif yang cukup hebat
Di sudut hati mesej melekat
Persembahan Teater O yang cukup dahsyat.

Kumpulan Putera Seni tak kurang semangatnya
Persembahannya mantap sungguh bertenaga
Diiringi seruling setiap persembahannya
Itulah kelebihan dan keistimewaannya.

Tiupan seruling menyentuh kalbu
Itulah bunyian yang sangat dirindu
Sangat terkenal waktu dahulu
Mengiringi lagu mendayu-dayu.

Ke Garisan Lurus Teater dari Langkat
Kisah berkisar penduduk setempat
Antara Tok ketua dan kaum kerabat
Menanggani masalah dengan helah muslihat.

Begitulah teater menelusuri kehidupan
Menyingkap pelbagai  rahsia yang tersimpan
Menjadi panduan serta pedoman
Membentuk jati diri  membina kekuatan.

Terima kasih kepada semua
Yang turut serta bersama-sama
Berilah sokongan sesama kita
Agar persahabatan kekal selama.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
22062014
0600ptg

*Syair 20 Rangkap ini digubah khas sempena mengingati Festival Teater 3 Buah Negara yang telah berlangsung baru-baru ini bertempat di Dewan Indera Senggara, UiTM, Pahang, Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

PUISI : BIARKAN MEREKA


Biarkan mereka ketawa
Asal anda berjaya
Dengan semangat dan usaha
Merealisasikan impian menjadi nyata
Sebagai bukti segala cita
Kurang bercakap banyak bekerja
Lalu nanti kau meraih hasilnya

Biarkan mereka menegur
Asalkan anda tidak lebur
Walau ditolak jatuh tersungkur
Meski hati robek disindir disiat
Tapi kau tetap hebat
Tabah tegar dan terus kuat
Sabar tenang tidak pernah kekwat

Biarkan mereka mengata
Kerana itu hal yang biasa
Bagi lidah yang tidak berharga
Tidak terjaga tidak berguna
Ada akal entah ke mana
Ada fikiran kosong nilainya
Usahlah kita ambil cakna
Anggap sahaja cabaran dari-Nya

Ditegur tak beradat
Disindir penuh biadab
Menghina bukan menasihat
Mengkritik bukan mendidik
Itu bukanlah manusia yang bijak dan cerdik
Tapi...tapi...dan tapi...
Mereka mungkin manusia yang sakit
Sakit jiwa
Sakit mental
Sakit hati
Tatkala melihat kita terus laju berlari dan bangkit!

Jangan pedulikan mereka
Jika kita ingin berjaya!

-CT Nurza-
18 Jun 2014
1727ptg.

*Sekadar membalas coretan daripada adik Faizul Faiz (ASWARA) yang berdukacita lantaran sikap manusia yang suka menyindir dan mengeji.

*Kredit untuk Grafik Hiasan yang menghiasi, dipetik dari page JAKIM. Terima kasih.

Monday, June 16, 2014

PUISI : TAKDIR ITU!


Takdir itu
Biarpun pahit
Tetapku bingkai
Menjadi rahsia manis
Ketetapan Ilahi
Buat diri!

-CT Nurza-
15 Jun 2014  
17:03

Sunday, June 15, 2014

FESTIVAL TEATER 3 NEGARA KALI KE-2 UiTM PAHANG.


Assalamualaikum dan selamat pagi...!
Salam Tahajjud kepada yang dah bangun untuk berQiyamulail ya...

Sebenarnya, saya ni tak pandai berteater pun...tapi cuma ada keterujaan untuk menontonnya saja secara live. Dulu, masa lepas-lepas habis sekolah, ada jugaklah saya join kursus-kursus teater ni yang mana ianya telah dianjuran oleh Pejabat Kebudayaan & Kesenian Negeri Pahang. Tapi, masalahnya saya ni pemalu, maka saya just  mengutip ilmu teater ni serba sedikit dalam kursus-kursus yang saya hadiri tu sekadar untuk pengetahuan diri je la...huhuhu...lagi pun saya memang tak berbakat langsung bab2 naik ke pentas untuk berteater ni......al-maklum...saya nih ada masalah "kurang daya tahan malu" sikit untuk berhadapan dengan orang ramai yang memerhatikan saya...ya la, takut saiz saya semakin 'mengecik' nak tahan malu tengah orang kan! kihkihkih...

Dulu, insan2 yang bertanggungjawab memperkenalkan saya dengan dunia Teater dan Kesenian Rakyat ni ialah Allahyarham Cikgu Roseh atau nama sebenarnya Arshad Bin Haji Ibrahim, Pak Cik Idris Yusof dan juga En. Fauzi Bin Saamah (salah seorang Staff di Pusat Serenti, Jerantut ketika itu). Sepanjang saya mengikuti mereka dalam kursus-kursus kesenian yang diadakan di sekitar Negeri Pahang, banyak perkara saya belajar dalam diam...pernah juga saya menonton persembahan Teater dari Kumpulan Teater terkenal Indonesia yang telah diundang khas untuk membuat persembahan di Dewan Majlis Daerah Jerantut pada masa itu (maaf, nama kumpulannya dah tak ingat la pulak sebab dah lama sangat). Tapi dulu apa yang saya ingat, jika ada Pekan Teater berlangusng, selalunya kekawan Group Teater dari Daerah, Raub, Pekan dan Lipis lah  yang selalu mengungguli Kejuaraan Pekan Teater Peringkat Negeri Pahang.

Hmmm, memang best! walaupun saya tak berapa nak faham sangat pasal Teater masa tu...namun ada pelajaran yang saya perolehi hasil daripada penghayatan dan perkongsian ilmu yang diberikan oleh pelakon-pelakon Teater yang diundang. Malah lagi best dapat berkawan dengan geng-geng pelakon Teater wanita dari Indon yang kiut miut tuh. Mereka semua bagus-bagus dan kami semua tidur beramai-ramai di hostel yang telah disediakan oleh pihak penganjur...wah, sweet sungguh memori tu...tapi, bila dah beransur hilang keremajaan dan bertambah kebangkaan ni, memori chip di kepala dah berkurang sket kelajuan kapasitinya, jadi lupalah apa nama Kumpulan Teater dari Indonesia yang hebat pernah buat persembahan di Jerantut dulu tu.  ...ishhh...ishhh..ishhh...I'm so sorry bak kata Amir Raja lawak tuh! hehee...

Okeh, berbalik kepada Festival Teater 3 Negara ni, haa...ada tak sesiapa yang nak join saya untuk turut serta mengikuti Bengkel Penulisan Skrip yang akan diadakan pada 19 Jun 2014 nanti??? kalau ada mohlah kita pegi timba-timba ilmu  cari skill dan belajar sesuatu yang baharu untuk tokok tambah apa yang kurang dalam diri...ada gak manfaatnya kan??? saya ni kalau pasal berbengkel-bengkel ni memanglah semangat berkobar-kobar sokmo nak pegi...apatah lagi kebetulan ianya tidak jauh dengan tempat saya bermastautin sekarang ni, pucuk dicita ulam mendatang...rugi sangat kalau tak pergi...bukan apa, dulu-dulu saya memang teringin sangat nak pergi kursus-kursus macam ni tapi masa tu tak de pun peluang2 sebegini diadakan di Negeri Pahang. Join DPMP pun, DPMPnya malap...tak pernah ada aktiviti masa tu...hihihi..

Jadi untuk tunaikan hajat nak belajar, saya sanggup ambil kursus Gaya Pos Penulisan Skrip Filem & TV yang dikendalikan oleh Syarikat Room Jarr kepunyaan Allahyarham Pelakon Aimi Jarr...tapi, bila ambil gaya pos ada perkara yang saya tak faham terpaksa buat2 faham sebab tak boleh nak bertanya direct pun kepada beliau, kerana dulu hanya belajar menerusi nota2 yang dikirimkan sahaja...handphone dan telefon pun tak ada zaman dulu2...bukan macam sekarang ni boleh guna internet bagai...hehee...dulu bayar yuran kursus dan macam-macam pun semua terpaksa guna postal order atau money order jer kat Pejabat Pos tau...ahaha...itulah nostalgiaku. Tapi, apa pun pengalaman itu sangat bermakna bagi saya...alhamdulillah, syukur walaupun saya tak menjadi penulis skrip tapi setidak2nya saya tahu sedikit sebanyak skill2 yang diperlukan dalam penulisan skrip....:)

Baiklah, mata dah rasa nak tertutup pulak dah ni...jadi, mohon izin untuk berundur diri dulu ya...Insya-Allah! nanti2 selepas saya pergi menonton Teater ni secara 'Live', jika tiada aral halangannya, saya pasti akan kongsikan segalanya di sini untuk tatapan dan makluman anda semua.

Teater Membina Jatidiri Bangsa! itulah tajuk Forum yang akan diadakan nanti...silalah datang jika anda ada kesempatan dan luang waktu ya...

Sekadar Coretan,
-CT Nurza-
15 Jun 2014
03:13pg.

Friday, June 13, 2014

MOTIVASI DIRI 13 Jun 2014 (CATATAN UNTUK DIRI SENDIRI)



:: Perjalanan sebuah kehidupan sebelum sampai kepada pengakhiran. Mahu atau tidak, kita perlu hidup dengan realiti bukan ilusi atau fantasi. Kenyataan perlu dihadapi walau ia sakit dan pahit. Matang menitinya dengan ketabahan dan kesabaran, kita tetap akan berjaya. Lemah dan terlalu mengikut kata hati dan ego diri , kita sendiri yang akan tewas, rugi dan kecundang. Apa yang kita buat dan fikir, selagi mengikut landasan yang Allah tetapkan tak perlu kita risau dan ambil kisah apa orang nak kata, apa orang nak fikir. Jika kita benar Allah tetap membantu dengan pertolongan dan rahmat-Nya. Yakini kuasa doa yang kita mohon terus kepada-Nya setiap waktu kerana DOA adalah senjata kuat bagi kita untuk terus bangkit dan teruskan perjalanan yang lebih tenang dan lancar...Insya-Allah! - sekadar catatan untuk diri sendiri yang selalu terasa lemah dan longlai bila diuji dengan pelbagai ujian-Nya...::

-CT Nurza-
13 Jun 2014

11:27am.

PUISI : JANJI (i)



Janji dari hati...
Memang selalu ditepati
Janji pemanis bibir...
Tidak hairan jika selalu mungkir.

-CT Nurza-
12062014
08:14am.

Thursday, June 12, 2014

ARTIKEL TENTANG NISFU SYAABAN.



Hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban tidak mengajar kita sebarang bentuk amalan khusus. Oleh itu, amalan seperti solat sunat Nisfu Syaaban, membaca Yasin tiga kali dan lain-lain bukanlah sunnah Rasulullah S.A.W.

Namun kelebihan bulan Syaaban sebagai gerbang persediaan Ramadhan adalah sesuatu yang diisyaratkan oleh hadith-hadith Rasulullah S.A.W yang sahih. Antaranya:

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan: ‘Aisyah berkata ‘Tidak pernah Nabi S.A.W. berpuasa pada satu bulan melebihi bulan Syaaban. Baginda berpuasa bulan Syaaban kesemuanya. Baginda sering berkata “Ambil amalan yang kamu mampu lakukan kerana Allah tidak akan bosan kecuali jika kamu bosan.” Sebaik-baik solat kepada Nabi s.a.w. ialah apa yang diteruskan walaupun sedikit. Jika baginda melakukan satu solat Baginda akan meneruskannya.

Ibn Hibban, al-Bazzar dan beberapa tokoh hadith yang lain meriwayatkan:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)”.

Oleh itu, tak salah jika ada kalangan pembaca Harian Metro yang berjaga malam untuk #bolatime menonton siaran langsung Piala Dunia, melakukan Qiamullail terlebih dahulu.

Oleh Ustaz Mohammad Zaini Yahaya, Pensyarah Jabatan Syariah, FPI, Universiti Kebangsaan Malaysia.

FOTO EPA

*Kredit untuk
Akhbar Harian Metro Online di atas perkongsian artikel ini.

"...Salam Nisfu Syaaban!" buat semua. Semoga  segala amalan kita diterima oleh-Nya.

Tuesday, June 10, 2014

GUNUNG SENYUM DAN EKSPEDISIKU 2014


Pic 1 : Pintu Gerbang Masuk Ke Kawasan Rehat Gunung Senyum.


Pic 2 : Pokok Keladi Hutan yang terdapat di pintu masuk menghala ke gua.



Pic 3 : Pokok Tongkat Ali (Buahnya berwarna merah)



Pic 4 : Pokok Herba untuk merawat penyakit kaum wanita yang mengalami masalah selepas bersalin.



Pic 5 & 6 : Utusan sukarela yang mencari jejak puteri bunian yang telah hilang....hehehe...

 

Pic 7 : Pemandangan di dalam Gua Terang Bulan.

Bismillahirrahmanirrahiim...
Assalamualaikum semua...hemmm...dah berhari-hari tak menjenguk blog kesayangan saya ni, rindu jugak kadang-kadang nak menaip sesuatu, walaupun hanya sepotong ayat sekadar ucapan salam pastinya.


Sebenarnya, bukan tak nak bukak blog sejak kebelakangan ni. Cuma sibuk sedikit dengan tugas rutin yang menjadi kewajipan hakiki untuk dilunasi agar semuanya baik-baik dan tenang-tenang sahaja kan??...bercerita pasal Gunung Senyum ni?...haaa, nak tau ke kenapa saya sanggup pergi ke sana dan panjat gunung, susur gua-gua yang ada di sana dan sebagainya tu??

Yang sebenarnya kan? ini adalah kali kedua saya panjat gunung tu. Tapi kali ini panjat sendiri dengan ditemani oleh suami, adik ipar dan emak mertua saya...haaa..emak mertua saya yang usia dah 70 tahun pun masih boleh panjat gunung lagi tau, semata-mata nak tengok apa ada kat sana sambil temankan saya buat sedikit kajian untuk menyiapkan penulisan Syair saya tentang bahan-bahan sejarah Negeri Pahang, untuk Projek Buku bersama Dewan Bahasa & Pustaka dengan kerjasama Akademi Syair Pahang tidak lama lagi. Jadinya, untuk mendapatkan info penting dan serba sedikit fakta yang saya perlukan untuk proses penulisan syair tersebut, maka saya dengan suka hati dan riang-rianya ajaklah En. Suami & adik ipar saya tolong temankan pergi ke sana. 


Kebetulan kami pergi tu pada hari Ahad, jadi nak naik ke atas kenalah pergi sendiri ikut petunjuk2 yang ada di situ. Emmm, pemandangan di situ dah banyak berubah. Sudah semakin cantik dan mengujakan...damai tak terkata. Walaupun tak sangka-menyangka nak panjat gua sampai ke atas hari tu, tapi demi semangat nak lihat keadaan gua-gua yang ada di situ setelah sekian lama tidak ke sana, maka kami semua gagahkan diri walaupun pakaian masing-masing tidak melambangkan pendaki gua...hahaa...yang penting semangat tu tetap nombor satu. Semuanya tidak mustahil walaupun menempuh seribu satu kepayahan nak menyusuri denai-denai dan batu tajam yang terdapat di dalam gua tersebut.

Ahamdulillah, oleh kerana niat tu baik agaknya, semuanya Allah permudahkan...Syukur sangat-sangat tak sesat dan boleh keluar dari gua itu dengan selamatnya dan tenang-tenang sahaja. Tapi kan, kesian my mother in-law...walaupun letih mengikut kami namun beliau tetap  gagahi jua meskipun entah berapa kali terpaksa berhenti rehat daripada satu gua ke satu gua...hihihi....dalam pada tu, masing-masing tetap happy dapat berposing ala-ala model batu belah batu bertangkup gitu asal nampak saja batu-batu besar yang pelik dan cantik...

Kalau nak cerita tentang gua-gua yang ada dan sejarah tentang gunung senyum tu, sampai ke siang esok pun tak abis lagi. Gua yang ada kat sana jer jumlahnya17 atau 18 gitulah kurang lebih. Pendek kata setiap gua tu ada ceritanya yang tersendiri. Di situ juga ada Gunung Jebak Puyuh di mana kat atas puncaknya terdapat banyak batu-batu silika yang cantik, pokok-pokok bonsai dan aneka macam pokok-pokok tumbuhan herba yang lain juga. Apa yang pasti jika anda ingin merehatkan fikiran, datanglah ke sana sambil buat jungle tracking...bestttt tau...untuk pergi ke sana anda boleh menghubungi Pihak Jabatan Hutan Daerah Temerloh bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Oklah, saya dan ngantuk. Insya-Allah, jika ada masa terluang nanti saya sambung berceloteh lagi ya...sampai jumpa lagi...Salam 'Nisfu Syaaban'. Jika ada silap dan kelemahan diri saya sepanjang menaip entry-entry di blog ini, mohon beribu-ribu kemaafan daripada anda semua. Maafkan saya ya!

Jaga diri hiasi peribadi, pelihara iman sucikan hati. 


Terima Kasih.

-CT Nurza-

10 Jun 2014
01:33pg.

Saturday, June 7, 2014

KRONOLOGI ISRAK MIKRAJ




*Kredit Poster : Page Nadi Seri Pagi TV1 RTM.

-CT Nurza-
07 Jun 2014
12:51pm.


*Sekadar mengulangkaji untuk ingat kembali peristiwa penting yang berlaku di sebalik Israk Mikraj. Al-maklumlah sejak menjadi kanak-kanak bangka ni saya selalu terlupa...:)

Friday, June 6, 2014

SAJAK : SEBUAH PUNDUNG DI PINGGIR SAWAH - YASSIN SALLEH

Mujurlah aku sempat dapat
diberi tempat rehat
sebuah pundung di pinggir sawah
ada sungai kecil jernih
dapat ikan dapat pucuk paku
ada debu juga lagi.

Tak payah makan di kedai.
Lagipun, pekan jauh
Belum pasti di pekan kecil itu
ada kedai nasi
meskipun ada mesin jolok duit
dan ada pula duit.

yassinsalleh
Jam 1422. 5.6.14.
Padang Serai, Alor Setar,
Kedah.
Hakcipta (c) 2014 yassinsalleh

Semua Hak Terpelihara.

*Note : Sajak ini diterima menerusi kiriman sms. Mohon maaf ayahanda YS kerana dah lama tak kemaskini blog dan muat naikkan sajak-sajak kiriman ayahanda ke sini. Apa pun terima kasih dan sangat-sangat dihargai setiap kiriman yang diterima.

Monday, June 2, 2014

MOTIVASI KEJAYAAN BUAT DIRI

"...Terlena seminit tidak semestinya kita terus gagal mengejar impian kerana apabila tersedar daripada lelap kita akan pecut untuk memburu kejayaan dengan lebih bersemangat! Yang di hadapan tidak semestinya kekal di hadapan kerana bila terleka ia tetap akan ketinggalan jauh di belakang...!"


-CT Nurza-
20 May 2014.

*Kredit untuk gambar hiasan page Erkan Torun.

PUISI : MENJELANG RAMADAN



Menjelang Ramadan...
Ramai insan teruja menantikan
Bukan kerana ingin beribadat kepada Tuhan
Tetapi berkira-kira untuk menambah pendapatan
Dengan membuat untung lumayan
Pada Ramadan yang cuma sebulan
Bagi yang bijak mengambil peluang perniagaan
Poket penuh berisi diharapkan
Untuk bergaya menyambut lebaran
Aduhai!
Alahai!
Jangan kerana DUIT
Amal ibadat kita keciciran
Akhirnya kita kerugian
Walau dunia mendapat keuntungan!
Astaghfirullah!
Nauzubillah!
Innalillah!
Selamatkan imanku wahai Tuhan!

Luahan spontan bila terbaca status2 yang melintasi depan mataku...huhu...
- CT Nurza-
12/05/14
12:03tgh.

PUISI : HUJAN DAN AIR MATA



Antara hujan dan air mata...
Aku titiskan di hujung tinta
Antara ingatan dan jerat rasa
Aku simpan menjadi permata
Dalam doa aku berbicara
Dalam diam aku minta kepada-Nya
Wahai Tuhan!
Lenakanlah daku
Dalam reda kasih sayang-Mu
Pinjamkan aku sedetik nafas
Untuk kembali menyapa-Mu
Dalam pertemuan jam tiga pagi
Agar esok kumasih melihat mentari
Memanjat syukur dengan segala nikmat Ilahi
Lantaran meminjamkan nafas kepadaku lagi
Amin...

Nukilan spontan,
CT Nurza
28 Mei 2014
2318


*Kredit untuk gambar hiasan ahli komuniti g+.