ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Sunday, June 22, 2014

SYAIR : SEMPENA FESTIVAL TEATER 3 NEGARA UiTM JENGKA.





Dengarlah teman sebuah kisah
Festival teater berlangsunglah sudah
Hendak kukhabar  bukanlah mudah
Festival dianjurkan mencatat sejarah.

Selesailah sudah semua yang direncana
Melibatkan tiga buah negara
Antara Malaysia, Brunai dan Indonesia
Acara berlangsung dengan jayanya.

Walaupun tiada sebarang bantuan
Festival teater mampu membuktikan
Dengan semangat serta kecekalan
Tetap mendapat sambutan menggalakkan.

Di UiTM Jengka Festival diadakan
Hanya pelajar memberikan sokongan
Tetamu yang hebat datang meraikan
Jauh berbatu rela berkorban.

Hampanya hati melihat anak watan
Tiada kelibat  bagai memulaukan
Segala aktiviti tiada sambutan
Entah apalah yang dimahukan.

Festival teater menjadi jambatan
Menghubungkan kita ke negara jiran
Yang jauh di sana kita dekatkan
Berharap ukhuwah kekal berpanjangan.

Festival teater bukan hiburan semata
Tetapi mampu membukakan minda
Dari pentas teater kita selami jiwa
Merakam kisah di sebalik peristiwa.

Kisahnya bukan sebarang kisah
Kisah terpahat dalam sejarah
Sejarah nyata tidak boleh diubah
Kerana melibatkan pertumpahan darah.

Demikianlah teater mementaskan sketsa
Terhadap peristiwa dan isu semasa
Buat pedoman insan yang mempunyai  rasa
Agar berfikir setiap masa.

Teater Lawan Catur mewakili Malaysia
Merungkai sebahagian watak manusia
Kerana percaya akhirnya menjadi mangsa
Segala muslihat dan tipu helah durjana.

Pelakon hebat memainkan peran
Menghidupkan watak  sekadar lakonan
Namun ianya meninggalkan kesan
Bagi yang mahu mengambil pengajaran.

Skrip ditulis oleh Roslan Madun
Teliti diolah elok diadun
Shaharudin dan Zaidi sebagai pelakon
Mantap berganding  menarik penonton.

Demikianlah pula Abon yang  lucu
Jenakanya bersahaja tidak melulu
Lawaknya santai tetap berilmu
Siswa siswi diusik tersipu malu.

Di dalam teater ada selingan
Dato’ Ahmad Tarmimi turut menghiburkan
Juita malam lagu didendangkan
Bergema asyik diruang Dewan.

Bangau O Bangau cerita rakyat
Persembahan kreatif yang cukup hebat
Di sudut hati mesej melekat
Persembahan Teater O yang cukup dahsyat.

Kumpulan Putera Seni tak kurang semangatnya
Persembahannya mantap sungguh bertenaga
Diiringi seruling setiap persembahannya
Itulah kelebihan dan keistimewaannya.

Tiupan seruling menyentuh kalbu
Itulah bunyian yang sangat dirindu
Sangat terkenal waktu dahulu
Mengiringi lagu mendayu-dayu.

Ke Garisan Lurus Teater dari Langkat
Kisah berkisar penduduk setempat
Antara Tok ketua dan kaum kerabat
Menanggani masalah dengan helah muslihat.

Begitulah teater menelusuri kehidupan
Menyingkap pelbagai  rahsia yang tersimpan
Menjadi panduan serta pedoman
Membentuk jati diri  membina kekuatan.

Terima kasih kepada semua
Yang turut serta bersama-sama
Berilah sokongan sesama kita
Agar persahabatan kekal selama.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
22062014
0600ptg

*Syair 20 Rangkap ini digubah khas sempena mengingati Festival Teater 3 Buah Negara yang telah berlangsung baru-baru ini bertempat di Dewan Indera Senggara, UiTM, Pahang, Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

No comments: