ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, September 24, 2014

CORETANKU(1) - PELUANG



Peluang pertama yang pernah aku lepaskan dahulu, kini tanpa diduga ia datang kembali. Malah peluang kedua ini lebih baik daripada peluang pertama yang kuabaikan. Kali ini aku tidak akan melepaskannya lagi. Kata emak, bila orang memanggil segeralah datang tanpa bertangguh. Manakala bila orang membenci pergilah cepat tanpa perlu disuruh dan dihalau.

Namun yang sebaiknya, beranjaklah kita disaat orang sedang mengasihi kerana kehilangan diri pasti akan dicari. Ya, kata-kata emak itu sungguh benar. Aku akur setelah melalui sendiri pengalaman itu secara nyata.

"Kalau ada umur, aku pasti akan dapat kembali peluang keemasan itu jika Allah izinkan," begitulah luahku di dalam hati.

Peluang istimewa yang diberikan kepadaku dahulu bukanlah ditolak kerana aku tidak mahu, tetapi atas faktor kesihatan yang tidak dapat dielakkan aku harus membuat keputusan yang menghampakan diriku sendiri. Hanya yang mengerti akan mengerti. Aku tidak peduli apa orang nak kata. Demi kebaikan, aku terpaksa mengutamakan kesihatan diri daripada lain-lain perkara.

Aku tinggalkan seketika dunia penulisanku yang sedang berkembang maju diwaktu itu. Aku yakin Allah sentiasa memberi dan menambah rezeki kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki. Aku bersyukur terhadap ujian hebat yang aku terima dan hadapi suatu ketika dahulu. Tidak terkata betapa besar hikmahnya yang aku dapat kini. Sebahagian daripada cita-citaku yang tidak kesampaian dahulu akhirnya kini hampir tersempurna sudah. Syukur! syukur! dan syukur!

Dengan ketabahan dan kesabaranku menempuh dugaan yang maha hebat itu, akhirnya...hasratku untuk bertemu insan yang sangat dikagumi dalam bidang keagamaan dan perubatan islam jua telah tercapai dengan keizinan dari-Nya. Beliau seolah-olah memberikan kekuatan kepadaku untuk terus kuat menempuh hidup. Tiupan semangat yang diberikan dengan amalan ayat-ayat suci al-quran yang diajar, menyebabkan diri aku bertambah cekal berdepan dengan kenyataan penyakit yang hampir-hampir membawa maut.

Alhamdulillah, peluang bertemu dengannya tidak sekali-kali aku persiakan. Kuamalkan sepenuhnya dengan rasa yakin apa yang telah diajar. Jiwaku menjadi semakin kental melawan penyakit yang kutanggung. Akhirnya, impianku untuk kembali pulih seperti sediakala setelah bertahun-tahun menderita sakit, kini tercapai jua dengan kesembuhan yang tidak pernah aku bayangkan. Menitis airmata keinsafan bila mengenangkan saat-saat getir itu. Allah Maha Hebat! DIA yang memberikan kita penyakit, DIA juga yang memberikan kita segala kesembuhan. Apa yang penting, jangan sekali-kali kita berlaku syirik, buruk sangka dan berputus asa dalam menghadapi dugaan dari-Nya.

Sekarang, aku akan gunakan peluang keemasan untuk terus berkarya dengan sebaik mungkin bila aku tidak perlu lagi terlantar di wad berhari-hari seperti dahulu

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
30 September 2014.

No comments: