ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, October 30, 2014

AKU DAN HOSPITAL SEUMPAMA KEKASIH SEJATI!


Bismillahirrahmanirrahiim...
Assalamualaikum dan selamat pagi kepada warga maya yang sudi melayari blog ini. Terima kasih sekalung budi ucapan didahulukan.

Sesungguhnya perjalanan hidup setiap insan amat berbeza ujiannya. Begitu juga dengan diriku. Semalam, seawal jam 7.30 pagi, aku dan suami melangkah keluar daripada rumah untuk menyempurnakan temu janji di klinik pakar S.O.P.D. HOSHAS, Temerloh, Pahang. Itulah rutinkan sejak menjalani 'Major Operation' di HUKM lebih 10 tahun yang lalu.

Apa pun, sebagai hamba-Nya...aku tetap reda dengan rezeki kesihatan yang diuji oleh-Nya sejak daripada kecil lagi memandangkan diri ini adalah ciptaan-Nya. Dia yang lebih berhak menentukan perjalanan hidup kita di dunia ini kerana roh dan jasad milik kita adalah pinjaman dari-Nya. Sebagai hamba, aku hanya berusaha, bertawakal, berikhtiar dan selebihnya aku hanya mampu berserah jika segala apa yang kulakukan ini adalah takdirnya yang teruntuk buatku. Setidak-tidaknya, aku telah berusaha untuk mengubati, merawati dan mencari penawar agar aku sembuh sepenuhnya seperti sediakala. Sesungguhnya, aku tahu bahawa penyakit itu adalah penghapus dosa-dosa kita untuk kembali suci kepada fitrah-Nya. Insya-Allah!

Jadi, kepada insan yang senasib denganku. Usah zalimi diri sendiri tanpa berusaha dan berikhtiar melawan dan merawat penyakit yang diberi sebagai cobaan hidup. Tabahkan hati dan banyakkan solat dimalam hari untuk kita mengadu dan meminta kepada-Nya agar diampunkan segala dosa-dosa kita sejak kecil sehingga kini. Semoga pulangnya kita nanti ke sisi-nya disaat dosa-dosa kita terampun dan mudah-mudahan dengan senyuman yang berseri-seri tanda kepulangan kita dinanti. Insya-Allah!

Seperti biasa, usai sahaja bertemu dengan doktor yang ditugaskan untuk merawatku dan habis segala urusan di hospital, aku dan suami bergerak pulang meninggalkan perkarangan HOSHAS secepatnya. Namun begitu, sebelum pulang ke rumah, kami terlebih dahulu akan singgah menjamu selera di gerai makan yang terletak di Bukit Angin untuk menikmati juadah kegemaranku kerabu perut dan sambal belacan nenas/mangga yang sangat enak selain menikmati masak lemak udang galah.

Selesai makan, kami akan singgah berehat di sini untuk seketika sambil menghirup udara segar di tepian Sungai Pahang, yang sungguh nyaman dan mendamaikan jiwa...




Sesudah penat beristirehat menikmati bayu dingin dan menyegarkan di sini, kami meneruskan perjalanan pulang...


Sewaktu di dalam perjalanan pulang, kami tidak lupa untuk singgah ke sini...semoga, setiap langkah kita adalah langkah kerana-Nya. Walau ke mana kita pergi, jangan lupa tunaikan kewajipan kita kepada-Nya kerana tiada alasan untuk kita mengelaknya lantaran rumah Allah ada di mana-mana untuk kita singgahi sebagai tetamu-Nya. Hulurkanlah apa yang kita ada sekadar simpanan saham untuk kita di sana kelak. Tak perlu kita tunggu menjadi seorang jutawan untuk kita bersikap dermawan. Yang penting hati dan nawaitu kita.


Akhir sekali,beramallah sebanyak mungkin, selagi kita diberi kesempatan untuk bernafas dan berbakti.

Sekadar Coretan,
-CT Nurza-
30 Oktober 2014
10:16pg.


Thursday, October 16, 2014

PUISI : MUKABUKU


Mukabuku...
Menyingkap peribadi manusia
Ada yang bermuka-muka
Ada yang melaga-laga

Di sini tersingkap
Buruk dan kejinya sikap
Menimbulkan kemarahan yang meluap-luap
Hanya dengan kelancangan kata yang diungkap
Tanpa suara dari mereka yang berpura-pura
Kononnya kenal kita siapa???
Walau tak pernah bertegur sapa
Atau jua berkenal mesra!

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
16 Oktober 2014
00:06


Jika ada yg GEMBIRA setelah menulis kata kesat, carut & mengutuk di media sosial. Itulah dirinya sebenar & nilai sebenar iman dalam hati. Hati itu dekat dengan yang 'busuk' maka PASTINYA jauh dari apa sahaja yang 'harum'.

*Kredit untuk page Ustaz Dr. Zaharuddin di atas perkongsian status ini.
*Kredit juga untuk Grafik Hiasan yang diambil dari Facebook Page.

Monday, October 13, 2014

HAIKU (19) - SANG KODOK.


Riuh Sang Kodok
Memanggil hujan turun
Langit pun reda


سيتي نور زا
12/10/2014
0004


Saturday, October 11, 2014

PANTUN SEKADAR HIBURAN UNTUK DIRI SENDIRI.


Makan roti kuah kari,
Kari habis tinggal capati;
Makan hati setiap hari,
Asyik menangis tak henti-henti.


Kasut biru tudung pun biru,
Biru langit cuacanya cerah;
Usah diseru usah diburu,
Kalau poket bertambah parah.


Bunga dedap bunga kemboja,
Kemboja putih jauh terpinggir;
Kata penyedap memujuk sahaja,
Terasa letih janji dimungkir.


Ambil kuaci di dalam laci
Laci berhias kerawang diukir;
Kalau benci katakan benci,
Usah berkias sindir menyindir.


-CT Nurza-
11 Oktober 2014.
1315.

Tuesday, October 7, 2014

CPUV NUFFNANG 2014 - SEPT DAN OKTOBER.


Pic 1 : Print Skrin CPUV terkini Nuffnang 07/10/2014.

Bismillahirrahmanirrahiim...

Assalamualaikum dan salam Zulhijjah buat semua. Terlebih dahulu syukur sejuta kali syukur ke hadrat Allah SWT Yang Maha Pemberi kerana masih lagi memberi rezeki kepada kita semua sama ada rezeki usia, iman, akhlak, nikmat dan pelbagai lagi rezeki-rezeki lain yang dikurniakan kepada kita setiap masa. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah...hanya ucapan syukur dari hati dan sujud syukur yang mampu diucapkan jua. Nampaknya, Zulhijjah kali ini memberi seribu satu makna dalam hidup dan penglibatan saya sebagai seorang blogger kecil dan penulis bilis di dunia maya ini, khususnya di laman blog yang tak sehebatnya ini. Syukur, Alhamdulillah!

Sebenarnya, saya amat teruja dan terkejut yang amat sangat pada kali ini sebaik sahaja terpandang banyak CPUV yang baru masuk melekat di blog saya seawal Januari 2014 sehinggalah ke Oktober ini yang mana ia masih berterusan lagi sehingga kini. Semoga kehadiran CPUV ini meningkatkan lagi semangat dan ketulusan saya untuk terus berkarya dari hati menghasilkan idea-idea kreatif yang tulen dari jiwa seni saya yang wujud sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya percaya semua ini adalah berkat doa dari muslimin dan muslimah di seluruh dunia yang sentiasa memanjatkan doa untuk  kita semua saudara seagamanya termasuk diri ini. Terima kasih kepada pendoa-pendoa yang ikhlas mendoakan saya dan semua insan ya...doa kalian sangat berharga dan dihargai...:)

Tak lupa juga terima kasih daun keladi dan terima kasih sekalung budi kepada semua pengiklan-pengiklan yang sudi memilih blog saya untuk dihiasi dengan iklan-iklan ceria anda yang terkadang meniupkan semangat kepada diri saya untuk mengemaskini blog saya ini selalu bila ada sahaja kesempatan dan kelapangan waktu.

Insya-Allah, dengan kepercayaan yang diberikan saya akan cuba hasilkan tulisan-tulisan yang baik dan dapat memberi manfaat sedikit sebanyak kepada semua pembaca setia blog Nukilan Kreatif Nurza ini. Tiada janji yang mampu diberikan, namun hanya usaha yang mampu saya buktikan keberhasilannya kelak. Doakan saya agar diberikan ilham yag baik-baik oleh Allah SWT untuk terus mencoretkan sesuatu yang terbaik juga untuk tatapan anda semua.

Semoga 2014 yang makin meninggalkan jejaknya untuk sampai ke penghujung ini nanti akan memberikan seribu satu kenangan manis dan terindah buat diri saya harapnya. Insya-Allah!

Terima kasih Mr./Mrs. Nuff yang sentiasa ceria dan senang berkomunikasi dengan saya menjawab setiap persoalan dan kemusykilan yang diajukan selama setahun saya mendekati anda di sini...kredit buat



Salam hormat dan ceria selalu dari saya buat kesemua para pengiklan yang sudi memandang blog ini juga. Semoga sukses sentiasa! :)

Sekadar coretan,
-CT Nurza-
07 Oktober 2014
20:18mlm.

Friday, October 3, 2014

PANTUN NASIHAT : TEMA KEAGAMAAN.


1.         Terbit mentari di gunung Fuji,
            Gunung tercantik sangat terkenal;
            Muhasabahlah diri bila diuji,
            Allah menjentik agar beramal.

2.         Gunung tercantik sangat terkenal,
            Teduh redup diwaktu pagi;
            Allah menjentik agar beramal,
            Semoga hidup tidak merugi.

3.         Teduh redup diwaktu pagi,
            Bahang mentari mengucup dahi;
            Semoga hidup tidak merugi,
            Serahkan diri kepada Ilahi.

4.         Bahang mentari mengucup dahi,
            Dahi Si Jati cerah warnany;
            Serahkan diri kepada Ilahi,
            Hidup dan mati hanya untuk-Nya.

-CT Nurza-
08 Oktober 2014.

PANTUN SEMPENA BULAN BAHASA 2014




Banyak keladi tumbuh di desa,
Dicantas dikerat digali cermat ;
Bahasa menjadi suara bangsa,
Menyampaikan hasrat jua maklumat.

Lari rusa di kebun kelapa,
Kelapa gugur  di tepi kali;
Tanpa bahasa tak kenal siapa,
Identiti kabur sukar dikenali.

Burung helang burung kuang,
Dipohon kayu makan pulasan;
Bahasa dijulang bangsa dijuang
Itulah melayu  memiliki gagasan.

Hujan lebat menimpa kayu,      
Bangsal tak jadi ditenggek kera;
Tinggikan martabat bahasa melayu,
Berbanggalah menjadi warganegara.

Tatang pelita di tapak tangan,
Bulat bersegi cincin suasa;
Bahasa kita dicemar jangan,
Kelak rugi khazanah bangsa.

Nukilan spontan,
-CT Nurza-
03/10/2014
1059pg.