ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, December 23, 2014

ULASAN BUKU : TETAMU ISTIMEWA



JUDUL BUKU : TETAMU ISTIMEWA
PENGARANG : MOHD HELMI AHMAD
TERBITAN : INSTITUT TERJEMAHAN & BUKU MALAYSIA BERHAD
NO. ISBN : 978-967-430-401-0
GENRE : KUMPULAN CERPEN REMAJA.
BILANGAN MUKA SURAT : 146 HALAMAN.

HARGA : RM20.00 SEM. MALAYSIA, RM25.00 SABAH / SARAWAK.
PENGULAS : CT NURZA.
Bismillahirahmanirrahiim...Assalamualaikum wbkth!

Salam sejahtera dan ceria-ceria selalu buat semua pembaca setia blog NKN. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke laman ini. Kunjungan anda amat dihargai.

Memandangkan saya ini bukan pengulas buku yang begitu 'Pro', maka dengan rendah hati, rendah diri terlebih dahulu saya ingin memohon berbanyak-banyak maaf dari penulis buku ini iaitu cikgu Helmi, andaikata ulasan saya di sini tidak begitu menepati citarasa dan agak dhaif dalam memberikan pendapat atau pandangan terhadap karya-karya cikgu yang telah saya baca dan hayati. Maaf segala maaf dari hati yang tulus ikhlas.

Buku 'Tetamu Istimewa' merupakan sebuah buku 'Kumpulan Cerpen Remaja' yang telah diterbitkan pada tahun 2014. Mengandungi 15 buah cerpen yang cukup hebat, bertenaga dan penuh dengan semangat serta  nilai-nilai murni yang ditampilkan untuk menjadi bahan bacaan minda yang berkualiti kepada golongan ramaja, khususnya. Namun begitu, ia juga sesuai menjadi bahan bacaan umum untuk semua peringkat umur.

Menerusi sisipan Prakata dalam buku ini, penulis menyatakan betapa bukan mudah untuk beliau menghimpunkan kesemua cerpen-cerpennya yang telah diterbitkan di media cetak khusus untuk dijadikan sebuah manuskrip yang boleh dizahirkan dalam bentuk buku seperti ini. Ia mengambil masa yang agak lama untuk difikirkan akan kesesuaiannya dengan konsep antologi cerpen yang bakal diterbitkan.

Penerbitan buku ini juga bertujuan untuk menarik perhatian golongan sasarannya, iaitu remaja agar dapat berfikir lebih jauh ke hadapan dalam menentukan arah tuju hidup yang lebih sempurna dan bermakna. Remaja seharusnya punya jati diri dan keimanan yang teguh serta jitu untuk mengharunginya lantaran rona kehidupan ini semakin lama semakin mencabar.



Berdasarkan pengamatan dan penelitian saya terhadap cerpen-cerpen yang dibukukan ini, sebahagian daripadanya telah pun berjaya memenangi "Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU)." Kedua-dua cerpen yang berjaya memenangi HSKU itu adalah "Bunga Telur Kenduri Kahwin" (2010), dan "Kuih Bakul Limau Mandarin" (2011).

Untuk makluman semua, 5 buah cerpen di dalam buku ini telah berjaya ke peringkat akhir HSKU. 3 daripadanya telah berjaya memenangi hadiah dan 2 lagi hanya layak ke peringkat akhir sahaja. Ada dua buah cerpen lain lagi yang pengarang tidak sempat untuk mencatat nota pada hujung cerpennya kerana ia telah terbit dahulu sebelum hadiah HSKU diumumkan. 2 lagi cerpen tersebut ialah "Rombongan Masuk Jawi" (Mendapat hadiah penghargaan HSKU 2012), manakala cerpen "Piala Penentuan"  hanya layak ke peringkat akhir HSKU sahaja. Namun begitu, cerpen "Kuih Bakul Limau Mandarin" kini telah diangkat menjadi teks Komsas Tingkatan 1.

Sekalung 'Tahniah' saya ucapkan kepada pengarang buku ini cikgu Helmi Ahmad di atas kejayaan yang dijulang berkat usaha gigih anda.

Secara peribadi, saya amat menyukai kedua-dua buah cerpen yang telah memenangi Hadiah 'HSKU' ini. Teknik penceritaan, olahan, gaya bahasa dan jalan ceritanya cukup menarik, santai dan bersahaja.

Menerusi cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin" saya begitu tertarik dengan kejutan yang dibuat oleh penulis di pengakhiran ceritanya. Cerpen ini mengetengahkan tentang adat dan budaya masyarakat melayu yang menjadi warisan zaman, kini semakin terhakis dan dilupakan oleh generasi muda. Kekecewaan ini dirasakan oleh seorang ayah juga selaku seorang atok kepada cucunya. Betapa warisan ini perlu diteruskan walau masa kian beredar. Dengan adanya warisan budaya seperti ini, maka sifat-sifat murni dapat disuburkan ke dalam jiwa anak-anak muda agar mereka lebih memahami apa erti susah dan senang, hormat-menghormati, berkerjasama, toleransi serta kehidupan sebenar bermasyarakat.

Selain daripada cerpen "Bunga Telur Kenduri Kahwin", ada beberapa buah lagi cerpen lain yang dimuatkan di dalam buku ini turut menarik perhatian saya untuk membacanya berulang-ulang kali. Antaranya ialah, cerpen "Kedondong Untuk Cikgu", "Kuih Bakul Limau Mandarin", "Haruan Di Pinggir Sawah", "Setitis Budi Semarak Kasih", "Pulut Durian Santan kelapa" dan lain-lain lagi. Kesemua cerpen-cerpen ini amat menarik kerana tajuk-tajuknya begitu unik dan tinggi nilai-nilai ketimurannya.

Sebagai kesimpulan, setelah menelaah buku ini, saya dapati Pengarang cuba sedaya mungkin untuk mendidik masyarakat, khususnya generasi muda agar menjunjung tinggi nilai-nilai budaya kita yang menjadi warisan pusaka bangsa sejak zaman berzaman. Garapan cerpen-cerpen di dalam buku ini diolah dengan cukup kreatif dan teliti serta penuh rasa tanggungjawab demi menggalas amanah Allah untuk menyampaikan ilmu dengan cara tersendiri. Tahniah! cikgu Helmi.

Salam kejayaan dari saya,

-CT Nurza-
22 Disember 2014
11:57mlm.

*Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan buku kumpulan cerpen remaja berjudul "TETAMU ISTIMEWA" sila layari laman web beliau di

http://mieadham86.blogspot.com/

No comments: