ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Wednesday, November 25, 2015

GURINDAM #3 : KESEDARAN




Latihan Gurindam #3
Tajuk : Kesedaran.



Sedar berusaha membaiki diri,
Berkeyakinan tinggi kemudian hari.



Sedar berusaha menimba ilmu,
Tidaklah fikiran kosong dan jemu.



Sedar berusaha melakukan perubahan,
Baru kehidupan diwarnai keindahan.



Sedar berusaha menyatukan ummah,
Tegur menegur biarlah berhemah.



Sedar berusaha menyempurnakan gagasan,
Seiring bergerak menggapai wawasan.



Sedar berusaha menerima pandangan,
Terbuka minda tiada pertentangan.



Sedar berusaha untuk berdikari,
Baru terbukti keupayaan diri.



Sedar berusaha membuang kedengkian,
Cantikkan hati seperti berlian.



Sedar berusaha mencipta keberhasilan,
Mudahlah merintis semua jalan.



Sedar berusaha menyahut cabaran,
Kejituan hati mencorakkan pemikiran.



Sedar berusaha mengawal emosi,

Agar tutur kata sentiasa diawasi.


Sedar berusaha meningkatkan inovasi,
Kejayaan tercipta pelbagai variasi.



Sedar berusaha hidup berdikari,
Barulah kurang kebergantungan diri.



Nukilan Spontan,
CT Nurza.
28/10/2015
17:40ptg. 



GURINDAM #2 : SILATURAHIM



Latihan gurindam #2
Tajuk : Silaturahim.



Idea asal : Cikgu Nazim Mohd Subari.



Apabila silaturahim dijaga elok,  
Itu petanda hatimu muluk.


Apabila silaturahim sentiasa dieratkan,
Bertambah berkat berbuat kebajikan.



Apabila silaturahim disimpul rapi,
Hormat-menghormati tidak bertepi.



Apabila silaturahim dijalin ikhlas,
Segala pengorbanan tak minta dibalas.



Apabila silaturahim kukuh dipelihara,
Tiadalah kita berbuat angkara.



Apabila silaturahim tidak dicemari,
Terhindarlah diri dari dikasari.



Apabila silaturahim merapatkan saf,
Terbitlah kesedaran dan rasa insaf.



Apabila silaturahim menjadi keutamaan,
Ikatan ukhuwah kekal berpanjangan.



Apabila silaturahim tidak diabaikan,
Terbukalah segala pintu kebaikan.



Nukilan Spontan,
©CT Nurza,
26/10/2015
11:53mlm.



GURINDAM #1 : PERIHAL MENDIDIK ANAK.



Latihan Gurindam #1
Tajuk : Perihal Mendidik Anak.

 

Didiklah anakmu menghargai jasa,
Agar tak lupa bila berkuasa.

 

Didiklah anakmu membaca al-Quran,
Supaya berlapang menerima teguran.

 

Didiklah anakmu hormat-menghormati,
Agar terserlah indahnya pekerti.

 

Didiklah anakmu bersikap silu,
Supaya perbuatan tidak melulu.

 

Didiklah anakmu menyantuni tetamu,
Bukti kehebatan insan berilmu.

 

Didiklah anakmu bertimbang rasa,
Tolong menolong menjadi biasa.

 

Didiklah anakmu bersikap amanah,
Agar kepercayaan tidaklah punah.

 

Didiklah anakmu sentiasa berfikir,
Semoga lidahnya sentiasa berzikir.

 

Didiklah anakmu santun dan adab,
Agar sikapnya tidak biadap.

 

Didiklah anakmu bersikap tabah,
Bila diuji syukur bertambah.

 

Didiklah anakmu menjaga lidah,
Kerana lidah membawa padah.

 

Didiklah anakmu menepati waktu,
Sentiasa berdisiplin sudahlah tentu.

 

Nukilan Spontan, 

CT Nurza
25/10/2015
02:25ptg.



*Foto : Created Sendirian Berhad Punya.


*Penghargaan & Terima kasih kepada "Guru Pembimbing Gurindam" saya iaitu Cikgu Mohd Nazim Subari. Inilah hasil pertama tunjuk ajar beliau kepada saya. 

 

Wednesday, November 11, 2015

PANTUN MELAYU BERKADENSA LUNAK (SEMANDARASA).



PANTUN BERKADENSA LUNAK : PENYERTAAN PUSINGAN KEDUA.
TEMA : BUNGA PAKMA
GURU PEMBIMBING : TN. TABIR ALAM.
PROJEK BUKU : ANTOLOGI PANTUN MELAYU (SEMANDARASA).

 PANTUN (1).
PANTUN (2)
PANTUN (3)
PANTUN (4)
PANTUN (5).
PANTUN (6).
PANTUN (7).
 PANTUN (8).
PANTUN (9)
PANTUN (10).

PENYERTAAN PUSINGAN KEDUA UNTUK ANTOLOGI PANTUN MELAYU BERKADENSA LUNAK, SEMANDARASA. TERIMA KASIH KEPADA SIFU YANG MEMBIMBING DAN MENUNJUK AJAR KAMI SEMUA SEPANJANG MENYEMPURNAKAN PANTUN-PANTUN INI DENGAN MENGIKUT TEMA YANG TELAH DITENTUKAN. SEMOGA KEIKHLASAN SIFU MENUANGKAN ILMU SECARA PERCUMA KEPADA KAMI SEMUA AKAN DIGANJARI OLEH-NYA DI AKHIRAT KELAK.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG MENYOKONG DAN MENDOAKAN SAYA SEPANJANG MENERUSKAN PERJUANGAN DI GELANGGANG PANTUN INI DENGAN 1001 MACAM DUGAAN YANG BERTANDANG. ALHAMDULILLAH! SYUKUR SEGALANYA TELAH LULUS MENGIKUT PIAWAIAN SETELAH DIBEDAH SIASAT DAN DITELITI SEHALUS-HALUSNYA AKAN BAIT, DIKSI, KADENSA, PEMBAYANG DAN WAJAH MAKSUD YANG DIINGINKAN DALAM PENCIPTAAN SESEBUAH PANTUN YANG BENAR-BENAR PANTUN.

ALHAMDULILLAH, SYUKUR! BANYAK ILMU DAN PENGALAMAN YANG TELAH SAYA KUTIP HASIL DARIPADA PEMBELAJARAN DI SINI. TERIMA KASIH SEKALUNG BUDI UNTUK SIFU TABIR ALAM DAN SEMUA RAKAN-RAKAN YANG SUDI MENYOKONG, MEMBERIKAN PERANGSANG SERTA SEMANGAT KEPADA SAYA. BUDI BAIK KALIAN SENTIASA DALAM INGATAN.

CT Nurza,
11/11/2015

15:14ptg.

Sunday, October 4, 2015

SYAIR : CIKGU JANTAN - ROSLAN MADUN


Syapen tentang Cikgu Jantan, Pendekar kampung kelahiran saya. Insya-Allah termuat dalam buku kumpulan syapen saya INTAN TERSERLAH.

CIKGU JANTAN
Karangan : Roslan Madun


1.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah,
Kasih sayang-Nya mencurah-curah,
Diberi-Nya ilham ditunjuk-Nya arah,
Mengarangkan syair tentang sejarah.


2.
Kepada Rasulullah selawat dan salam,
Kasih baginda luas dan dalam,
Mengingati baginda siang dan malam,
Syafaatnya menerangi hidup yang kelam.


3.
Inilah syair hamba karangkan,
Pendekar Pahang hamba ceritakan,
Kisahnya elok tamsil ibaratkan,
Jadi perangsang usah dinafikan.


4.
Namanya Mahusin bin Abdul Rahman,
Cikgu Jantan nama timangan,
Anak kepada Dato’ Bahaman,
Ilmu pendekarnya bukan sebarangan.


5.
Durian Tawar desa tinggalnya,
Che Yam itulah bondanya,
Siti Atekah nama isterinya,
Tujuh orang jumlah anaknya.


6.
Di desa itu banyak jasanya,
Sendeng Dua Beradik diajarkannya,
Ilmu persilatan yang banyak gunanya,
Semua pemuda bersemangat dibuatnya.


7.
Baik pekerti dia orangnya,
Penyayang kepada anak cucunya,
Juga kepada anak bangsanya,
Ilmu agama jadi pegangannya.


8.
Dia sangat dihormati orang,
Anak Dato’ Bahaman bukan sebarang,
Gagah berani dalam berperang,
Desa dipertahankan jika diserang.


9.
Peristiwa terjadi di suatu masa,
Ketika Jepun hilang kuasa,
Bintang Tiga menyerang desa,
Siapa melawan menjadi mangsa.


10.
Bintang Tiga kejam menganiaya,
Harta orang ingin dipunya,
Seguni jalur beras yang dimintanya,
Cikgu Jantan tak tahu hujung pangkalnya.


11.
Marah Bintang Tiga bukan kepalang,
Cikgu Jantan dituduh batu penghalang,
Hendak dibunuhnya itu hulubalang,
Ke rumah Cikgu Jantan datang menyerang.


12.
Berlaku geruh di maghrib itu,
Namun Cikgu Jantan tiada di situ,
Bertambahlah berang Bintang Tiga itu,
Nak dibunuh keturunan satu persatu.


13.
Cikgu Jantan pendekar yang handal,
Ilmu ghaibnya telah dibekal,
Jika datang kosong berilmu dangkal,
Kecundang nanti tak dapat disangkal.


14.
Bintang Tiga mula berasa hampa,
Cikgu Jantan dicari tidak berjumpa,
Pada hal Cikgu Jantan nampak mereka,
Bila-bila saja boleh menerpa.


15.
Hendak disembelih anak-anaknya,
Rumah nak dibakar sekehendaknya,
Melainkan menampakkan akan dirinya,
Barulah selamat akan semuanya.


16.
Akhirnya Cikgu Jangan menjelmakan diri,
Demi nyawa anak sendiri,
Tapi janji Bintang Tiga engkari,
Segala harta dibawa lari.


17.
Cikgu Jantan diikat belati dan rotan,
Dibawa jauh ke pinggir hutan,
Digali lubang lalu dihumban,
Demikian kejam dia diperlakukan.


18.
Di dalam lubang Cikgu Jantan didera,
Tubuhnya ditusuk bermacam perkara
Namun sedikit pun dia tak cedera,
Hujan panas pun turun segera.


19.
Bintang Tiga bertempiaran lari,
Masing-masing menyelamatkan diri,
Hujan panas di tengahhari,
Alamat buruk tak dapat dihindari.


20.
Sebaik saja hujan berhenti,
Ke dalam lubang mereka memerhati,
Cikgu Jantan ghaib sudahlah pasti,
Yang tinggal hanya tali belati.


21.
Hairan mereka di dalam hati,
Orang yang didera tidaklah mati,
Begitu hebatnya pendekar sejati,
Pertolongan Allah sudahlah pasti.


22.
Selepas itu diamlah orang,
Membuka mulut tak boleh sebarang,
Perkhabaran mengarut sangat dilarang,
Cikgu Jantan itu dihormati orang.


23.
Lama berselang selepas itu,
Pecah berita akan Cikgu Jantan di situ,
Dia selamat di malam itu,
Dilindungi Allah Tuhan Yang Satu.


24.
Ke Negeri Terengganu membawa dirinya
Hidup berkeluarga dengan amannya,
Mengajar agama dia gurunya,
Aman damai di hari tuanya.


25.
Di satu ketika pernah juga,
Ke Durian Tawar menziarah keluarga,
Dihebohkan kepulangannya tiadalah juga,
Untuk menjaga hati keluarga.


26.
Itulah kisah seorang pendekar,
Banyak jasa telah dilakar,
Ibarat bunga wangi dan mekar,
Dianiaya petualang berhati mungkar.


27.
Sekilas kisah Cikgu Jantan,
Di mulut orang menjadi sebutan,
Sampai kini menjadi ingatan,
Terutama yang kasih akannya watan.


28.
Dari cucunda cerita didapati,
Dalam kasih terselit simpati,
Bangga pun ada di dalan hati,
Mengenang Cikgu Jantan pendekar sejati.


29.
Al-Fatihah kita bacakan,
Sambil berdoa rohnya diampunkan,
Di syurga Allah dia ditempatkan
Semoga doa Allah kabulkan.


30.
Sekian dulu hamba berperi,
Mohon ampun sepuluh jari,
Mana yang khilaf kebenarannya dicari,
Tiadalah musykil kemudian hari.


@ Hak Cipta Terpelihara
Roslan Madun
Akademi Syair, Temerloh, Pahang
4 Oktober 2014

*Note : Terima Kasih abang Roslan Madun atas kesudian membenarkan Syair ini dimuatkan di laman blog NKN. Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan CD Ori Syair ini nanti, harap bersabar kerana saya akan war-warkan di sini nanti. Insya-Allah!