ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, April 28, 2015

BENGKEL INKUBATOR PENULISAN NOVEL 2015










Assalamualaikum wbkth...

Salam sejahtera untuk semua rakan-rakan dan pengunjung setia blog NKN. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah walau hanya menjengah pandang ke sini. Kesudian anda amat-amat dihargai.

Maaf, sudah beberapa hari tidak mengemas kini blog kesayanganku ini. Hambatan masa dan kesibukan diri untuk sesuatu yang sangat bermakna dalam mengisi waktu tersisa, menyebabkan blog ini terbiar sepi seketika. Ampun maaf dipinta atas segala kekurangan dan kelemahan yang ada.

Di sini, saya sempat rakamkan foto-foto kenangan sewaktu menghadiri 'Bengkel Inkubator Penulisan Novel 2015' yang bertempat di Dewan Tasik Maran, Maran, Pahang baru-baru ini. Alhamdulillah, syukur! banyak ilmu dan pengalaman rakan-rakan yang dapat saya kutip dan aplikasikan untuk memantapkan lagi penulisan saya selepas ini. Insya-Allah!

Sungguh benarlah, bukan mudah untuk mendapatkan ilmu jika tiada kesanggupan untuk berkorban masa, wang, tenaga dan segala-galanya jika tiada semangat, usaha dan kerendahan serta keikhlasan hati untuk bersama-sama menyertai program ilmiah seumpama ini. Berapa banyak pun alasan yang kita beri, pokok pangkalnya adalah terletak kepada diri sendiri. Noktah!

Saya gembira dan teruja sekali kerana pembimbing yang diundang bukanlah sebarangan orang. Beliau merupakan Penerima S.E.A. Write Award 2013 dan juga Sasterawan Perak Darul Ridzuan, Haji Malim Ghozali PK. Suntikan semangat dan curahan ilmu daripada beliau sedikit sebanyak mampu meniupkan obor iltizam ke dalam diriku yang adakalanya turun naik mood untuk menulis. Terima kasih Pak Malim. Jasamu dikenang!

Sepanjang tiga hari berada di Maran Hill Golf Resort, saya rasa cukup gembira dan riang kerana kesemua peserta sangat mesra dan santai berbual berbicara bersama-sama. Alhamdulillah, Syukur! pengalaman naik ke pentas untuk mendeklamasikan karya sendiri merupakan pengalaman yang cukup bermakna walaupun hakikatnya saya bukanlah seorang penyair, bahkan hanya penulis kecil yang serba kurang dan boleh diumpamakan sebagai melukut di tepi gantang sahaja.

Meskipun begitu, saya nekad untuk terus belajar dan belajar tanpa jemu selagi diberikan oleh Allah keseihatan yang baik, tubuh badan yang sihat dan peluang serta ruang terbuka untuk saya mencari dan menambah ilmu dari semasa ke semasa. Insya-Allah!

Hanya inisiatif diri dan iltizam yang tinggi sahaja yang mampu membuatkan kita berjaya dan semakin meningkat untuk memajukan diri sendiri. Doakan saya wahai kawan-kawan yang budiman. doa anda amat saya hargai selamanya.

Terima kasih. Wassalam.



- CT Nurza -
28 April 2015
16:32ptg.

No comments: