ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Tuesday, April 14, 2015

CORETANKU : BALASUNGKAWA DJ SORR a.k.a SHAHRANI SHARMAN (KINI DALAM KENANGAN)







Mengenali insan ini walau cuma di corong radio dan di laman maya 'Facebook', namun... jauh di sudut hati, dirinya amat aku hormati dan hargai. Pada awal kemunculannya di corong radio, tanpa melihat wajah atau  mengenali dirinya secara nyata, sekadar mendengar suara, aku fikir dan bayang usianya sudah tentu menjangkau awal 50-an.

Manakan tidak, setiap kali berkonti beliau suka bergurau-senda apabila diajukan soalan-soalan peribadi yang agak nakal oleh pendengar. Keletahnya yang bersahaja itu, telah menarik minatku untuk mengikuti segmen berpantun bersamanya yang sering ke udara setiap jam 12.00 tengah malam sehingga jam 3.00 pagi. Ketika itu aku sering mengirimkan pantun-pantun nukilan spontanku untuk dibaca dan dijawab olehnya secara sms. Sekiranya pantun-pantun yang dikirim itu melepasi tapisan untuk siaran maka akan ke udaralah di corong radio pantun tersebut berserta jawapan balasan darinya.

Selang beberapa tahun selepas mengenali beliau di corong radio, maka pada awal tahun 2011, aku disarankan oleh bekas rakan setugasku dahulu agar membuka satu akaun 'facebook' yang pada masa itu agak popular dan menjadi alat komunikasi paling tip-top di dunia maya. Memandangkan aku kurang berminat dengan sebarang perhubungan sosial maka aku menolak untuk memiliki akaun 'Facebook'. Ketika itu, laman maya yang ku ada pun cumalah sebuah 'blog' peribadi kesayanganku ini yang menjadi tempat luah rasa aku berkarya secara senyap.

Namun, entah bagaimana hati yang keras ini tiba-tiba terbuka pula bila ada rakan lain yang menyarankan agar aku juga memiliki akaun 'facebook'. Tujuannya, supaya mudah untuk aku dihubungi bila perlu, katanya. Dengan inisiatif darinya, maka dia datang ke rumah dan mulalah membuka satu akaun 'FB yang khas untuk diriku. Hmmm, kalau nak tahu... aku ni ala-ala buta IT gitu pada masa tu. Aku tahu menggunakan laptop pun setelah aku beli sendiri dan godam semahunya untuk belajar sampai betul-betul faham. Berkat kesabaran dan ketabahanku belajar tanpa jemu dengan 'atok' dan 'nenek google'ku, maka dari zero IT aku jadi maju IT akhirnya. Syukur, Alhamdulillah! tak sangka-sangka kan? hehehe... prinsip 'Try and Error' menjadi peganganku.

Bermula dari detik itulah... aku bertemu ramai rakan-rakan maya, termasuk Dj Sorr yang lebih mesra dipanggil 'abang Sorr'. Abang Sorr, adalah nama timangannya di Radio Klasik Nasional ketika itu. Setelah aktif melibatkan diri dengan memberikan komentar-komentar terhadap isu semasa dan sebagainya di 'Page' rasmi Radio Klasik Nasional, maka semakin hari semakin ramailah rakan-rakan yang ingin menjadikan aku sebagai sahabat maya mereka. Lalu, dengan senang hati aku menerima kehadiran mereka semua dalam senarai rakan 'FB'ku. Antara sahabat maya KNL yang agak rapat denganku waktu itu ialah Wan Hazirah Adilah, Daisy Sha, Eisha Bella Natasya, Allahyarhamah Nursyamiera (NA), DJ Hamammi Yusof, DJ Muhammad Hj. Hanafi, DJ A Razak Ismail, kak Mawar Harum dan ramai lagi yang tidak dapat aku sebutkan namanya satu per satu di sini. mereka inilah yang sering bersama-samaku ramah mesra berkomunikasi di dinding FB untuk berkongsi ilmu, berbicara santai, berforum, berpantun, berpuisi dan sebagainya.

Walau demikian, dinding maya yang selalu aku, Wan dan Eisha akan terjah adalah dinding FB abang Sorr. Ini kerana abang Sorr akan memberi isyarat supaya kami semua bersiap sedia dengan pantun atau nukilan-nukilan kami untuk dibacakan olehnya jika terpilih sepanjang beliau bertugas di konti pada malamnya. Ini sangat-sangat mengujakan hati kami untuk mendengar siaran Radio Malaysia Klasik Nasional.Fm sehingga ke lewat pagi, sampai beliau tamat berkonti. Lagu-lagu pilihan abang Sorr juga adalah lagu-lagu kegemaran kami semua yang telah disusunnya sedari awal. Keramahan dan kebersamaan abang Sorr dalam melayani kerenah kami yang dianggap adik-adiknya ini sangat memberi kesan di hati. Begitu juga dengan DJ abang A Razak Ismail yang sangat berhemah orangnya dalam menutur kata-kata sewaktu berkonti. Mereka ini benar-benar menjadi abang kesayangan kami di Radio Malaysia Klasik Nasional suatu ketika dahulu. Terima kasih abang Razak. Budimu takkan kulupa.

Berbalik kepada DJ Sorr. Nama sebenarnya ialah Shahrani Sharman. Sangat sesuai dengan empunya diri yang cukup penyabar, santun dan sangat menghormati perasaan insan lain. Perwatakannya yang beradab dan berbudi bahasa itulah menjadikan kami rapat dengannya. Seorang yang mudah mesra dan tidak pernah sombong dan tinggi diri. Itulah keistimewaan insan yang kami panggil abang Sorr ini. Namun begitu, keriangan dan kegembiraan kami tidaklah panjang bersamanya. Kuasa dan kasih sayang Allah lebih mengatasi segala-galanya. Maka, pada tanggal 01 Mei 2012 aku menerima satu SMS kiriman dari sahabat baikku Wan Hazirah Adilah dari Terengganu yang menyatakan bahawa abang Sorr telah kembali ke Rahmatullah pada jam 08.45mlm. Allah Hu Akbar! rasa luluh jantungku ketika itu. Air mata memburai laju. Sebak dan sedih bergelut di dada.

Pemergian abang Sorr benar-benar satu kehilangan besar bagi kami adik-adik yang sentiasa bersamanya dalam susah dan senang. Dialah penasihat yang sentiasa menyejukkan hati kami bila berdepan dengan pelbagai masalah rakan-rakan di laman maya 'Facebook'. Senyum tawa dan gurau senda abang Sorr sewaktu berkonti dan menyapa kami di laman FB amat sukar untuk dihapuskan dari ingatan. Dinding Fb abang Sorr sering menjadi tempat kami melepak berbalas komen setiap masa. Bermula dengan hanya demam biasa-biasa sahaja tiba-tiba keadaan abang Sorr bertukar menjadi semakin serius dalam tempoh kurang tiga minggu. Sepanjang beliau ditahan di hospital aku, Wan dan suami bercadang untuk melawatnya, tetapi belum sempat kami tunaikan hasrat untuk menziarahinya, abang Sorr pula pergi meninggalkan kami sekelip mata. Sedihnya hanya Allah Yang tahu. Aku dan Wan Hazirah menangis sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata sebaik mendapat berita sedih tentang pemergian abang kesayangan kami semua.

Sebelum dari itu, kami sudah dikhabarkan oleh rakan-rakan fb yang pergi melawat beliau bahawa keadaan kesihatan abang Sorr sudah terlalu kritikal. Tetapi, kami tetap berharap dan berdoa semoga Allah sembuhkan sakitnya dan selamatkan abang Sorr. Apakan daya, waktu untuknya mengadap Ilahi sudah sampai. Lantas, dengan reda kami lepaskan dia untuk pergi  dengan tenang dalam doa dan bingkisan al-fatihah serta bacaan surah yassin yang dihadiahkan khas untuknya. Akhirnya, selepas maghrib abang Sorr pergi meninggalkan kami. Urusan membawa pulang jenazah abang Sorr ke Sabah diuruskan sebaiknya oleh rakan karib beliau DJ Hammami Yusof, Klasik Nasional. Jenazah abang Sorr telah selamat dibawa pulang oleh kaum keluarganya dan disemadikan di Sabah tempat kelahirannya.


'Abang Sorr... terima kasih kerana menjadi seorang abang yang mengerti perasaan dan jiwa adik-adiknya. Sering memberikan kata-kata semangat dan perangsang untuk kami semua agar terus bersabar dan tabah dengan dugaan-Nya. Keluhuran dan keikhlasan hatimu amat-amat kami hargai. Berehatlah abang Sorr. Doa kami di sini semoga roh dan jasadmu tenang dan terpelihara dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT hendaknya. Amin Ya Rabbal 'Alamin... Al-Fatihah.'

*Kredit untuk sahabat baikku Adinda Wan Hazirah Adilah, dari Terengganu di atas kesudian beliau menitipkan gambar-gambar kenangan miliknya ini untuk dikongsikan di sini sebagai tatapan bersama. Budi baikmu tetap dikenang adikku. Terima kasih sekalung budi.

Balasungkawa Edisi Istimewa dari blog NKN khas buat DJ abang Sorr a.k.a. Shahrani Sharman Radio Malaysia Klasik Nasional.

-CT Nurza-
14 April 2015
03:54pg.


No comments: