ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, April 23, 2015

SAJAK : DIRI I - SUTUNG UMAR RS



Sutung Umar RS Diri I

Apabila malam akupun membuka selimut diri

Membuka selimut diri untuk mengenal diri
di situlah terdiri nyata alam
alam khabir
alam sabir
terbentang bagai bumi dan langit
bersinar terang bagai matahari.

Dengan alam khabir,
lalu terbentanglah dunia
matahari yang muncul dari timur
panasnya yang membakar bumi
hutan, sungai dan lautan
gunung-ganang dan tanah lapang
segala binatang yang terbang di udara
yang melata di bumi
yang berenang di sungai
tasik dan lautan
yang menyelinap di antara sampah sarap
mahupun yang hidup di bawah kerak bumi
awan di cakrawala yang beredar
menurut perintah-Nya.

Guru alam khabir
mengajar dan meneliti
tentang alam benda
yang telah wujud
mahupun yang belum ada
mengkaji pelbagai penyakit
mahupun membina senjata
untuk membunuh sesama manusia
atau makhluk yang tidak disenangi
nafsu haiwani.

Mereka mengkaji dengan tidak ada
titik akhir garis penamat noktah penyudah.

Bagi memperoleh kedudukan yang tinggi
mereka membuka sekolah dan pelbagai tempat belajar
bagi yang pintar dan pandai
mereka lulus dan diberi pengiktirafan
dengan segulung kertas
sebelum diberi pangkat kedudukan.

Lain dengan alam sabir
dan bidang kajiannya pun berbeza
kerana kajiannya adalah
terhadap hal yang tidak berubah
yang telah tetap: Dari mana datangnya agama
dari mana datangnya Islam
tentang sah dan batal
haram dan halal
tentang syurga dan neraka
yang tidak berubah-ubah.

Maka guru yang mengajar
tentang alam sabir
adalah mereka yang mendapat tauliah
bukan dari sekolah atau pondok
melainkan hanya dari Allah SWT:
Allah SWT semata:
ujiannya jauh lebih berat
dengan segala cacian celaan
malahan penderitaan lahir batin.

Dalam alam sabir itu
terbentang tingkat-tingkatnya
alam ahdiah, alam Esa
alam wahdah alam Nur Allah
alam wahdiah, alam nur Muhammad
alam arwah, alam roh
alam insan, alam sandaran tanpa ragu
alam ajsam, alam ada bentuk dan rupa
alam insan.

Yang dikatakan alam itu
adalah yang menerima perubahan
manakala yang menerima perubahan
akan binasa;
dan yang binasa itu adalah makhluk
apabila binasa sifat makhluk
terzahirlah nyata sifat Allah.

Makhluk itu adalah selain Allah
selain Allah itu adalah makhluk.

Alam itu adalah makhluk
dan makhluk itu adalah diri
sedang maksud diri itu
adalah binasa; tidak ada
maka maksud tidak ada
itulah sebenarnya ada.

Yang tidak ada itu sebenarnya ada
dan sifat yang ada itulah
sebenarnya tidak ada.

Yang ada itu Allah
Yang tidak ada itu makhluk.

Dalam sifat 20 perkara itu semuanya tersimpan
dikenal oleh yang berpandangan, yang berfikir
dan yang beriman.
Tidak dikenal oleh yang matanya
tak melihat – buta
tak didengar oleh telinga – tuli
tak dirasa oleh rasa – kebas, kaku.

Renungilah diri
itulah sebenarnya alam nyata
bagi menyatakan sifat Allah,
jika diri dapat mengenal diri
maka dapatlah mengenal Allah.

Wujud ertinya ada
itulah sifat bagi-Nya
sementara sifat makhluk adalah binasa
manakala binasa itu
ertinya tidak ada.

Lalu jika binasa
apakah lagi yang ada
apakah lagi yang tersisa?

Begitulah apabila kenal sifat wujud
sifat diri pun akan lebur dan sirna
ke dalam cahaya langit dan bumi.

Wujud itu bagi-Nya semata
yang selain-Nya adalah binasa.

Yang dikatakan alam itu adalah makhluk
manakala makhluk itu tidak ada dan tidak wujud
kerana makhluk itu binasa
hanya Allah yang kekal
yang wujud.

Daripada-Nya kita datang
dan kepada-Nya kita kembali
tanpa jasad
kerana jasad itu adalah alam.

Kita kembali kepada-Nya
zahir dan batin
dalam keadaan suci dan bersih
diserahkan kepada-Nya semuanya.

Sesungguhnya mengenal alam itu
adalah mengenal diri
manakala mengenal diri itu
adalah mengenal Allah
yang tidak kenal diri
tidak kenal Allah.

Manakala yang tidak kenal Allah
akan hanyut dalam lautan tak bertepi
akan sesat dalam hutan tebal tanpa denai
bagai malam gelap tanpa sebarang bintang
lalu ke manakah diri akan tuju pergi?

Bukalah hijab yang menyelubungi diri
siang mahupun malam
dengan terbukanya hijab
maka terbukalah segala pintu
dan tahulah kemanakah hendak dituju.

*Kredit & Penghargaan buat Tuan.
Sutung Umar RS, kerana mengizinkan sajak yang penuh makna ini untuk diabadikan di sini. Semoga tulisan ini membuka minda dan mata fikir kita dan segala ganjaran yang tertitip hidayah kepada yang menghalusi dan membacanya dibalasi Allah SWT pahala berlipat ganda kepada Empunya diri yang menulis catatan ini. Aamiin.

No comments: