ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Sunday, May 31, 2015

SYAIR : HIDUP MUAFAKAT


Lafaz bismillah saya dahulukan,
Salam sejahtera kepada rakan,
Hari yang indah kita raikan,
Syair seloka kita semarakkan.


Cuti sekolah sudah bermula,
Sanak saudara duduk bersila,
Pelbagai majlis telah dimula,
Undangan datang tidak bersela.


Bersamalah kita tunaikan hasrat,
Mengambil kisah mengambil berat,
Persahabatan persaudaraan bertambah erat,
Membantu menolong apa terlarat.


Majlis kenduri di sana sini,
Masak berkawah manambah harmoni.
Alangkah hebat alangkah murni,
Jikalau hidup bermuafakat begini.


Begitu indah budaya kita,
Jika semua sebulat kata,
Tiadalah kita asyik bersengketa,
Giat-menggiat menabur nista.


Marilah kita bermaaf-maafan,
Sebelum berakhirnya bulan Syaaban,
Melangkah kita ke bulan Ramadan,
Sesuci jiwa seindah keimanan.


Sepakat hidup saf dirapatkan,
Mana yang khilaf kita perbetulkan,
Berhentilah kita salah menyalahkan,
Memperbaiki diri itulah yang digalakkan.


Demikianlah syair memujuk hati,
Sekadar hiburan rakan yang bercuti,
Kehidupan kita sangatlah bererti,
Salinglah hidup hormat-menghormati.


-CT Nurza-
31 Mei 2015
07:32pg.


*Kredit untuk Pic yang dipinjam dari Page yang menyiarkan Foto ini... :)


Saturday, May 30, 2015

SAJAK : KASIH BONDA - AZIZAH MDS.


Kasih bonda

Sebuah kabar
Di dalam peti rahsia
Terungkai makna


Bulan yang menyimpan cahaya
Adalah milik malam sepenuhnya.


Siang yang berkehidupan
Cuma indah dihujung senja
Pelangi cuma singgahan sekadar leka
Antara gerimis dan pujuk haba
Alam terjadi dengan ilmu sebabnya


Bonda akhiri
Penamatan mimpi
Yang nyatanya terpejam lena
Kamu semakin dewasa
Dengan gelak ketawa
Dan langkah yang laju
Menuju ke tujunya


Kita tidak selamanya
Bergandingan beriringan
Di persimpangan
Bonda serahkan segala
Rahsia kita.
Di hati kita selamanya
Berada.


Azizah Mds
Shah alam
30/5/15


*Terima kasih kak Azizah Mds, mengizinkan nukilan ini menghiasi laman blog yang tidak seindahnya ini. Semoga terus berkarya.

Friday, May 29, 2015

PUISI : PADA HAYAT YANG ADA


Kuletak rasa percaya
Hanya kepada DIA
DIA Yang Maha Esa
Pemilik jasad dan nyawa
Memberikan aku segala upaya
Qudrat dan restu-Nya
Untuk terus bersyukur
Pada hayat yang ada.


-CT Nurza-
29/05/2015
07:59pg

Wednesday, May 27, 2015

PUISI : DI SINI AKU MENANTI (HOSHAS)




Di sini aku menanti
Jenuh letih memaku diri
Menyandar di kerusi mati
Menanti giliran untuk dirawati
Namun sehingga ke tengahari
Nombor giliran tak naik lagi
Aduhai, bersabarlah hati!
Aku memujuk diri
Mengharap emosi tidak meninggi
Melepas geram bermonolog sendiri
Menggetap gigi menahan rasa hati
Sabarlah!
Duhai diri yang lemah!

- CT Nurza-
Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.
25 Mei 2015
07-01tghr.

Wednesday, May 20, 2015

NOVELET : MARATON CINTA


1. NOVEL 1 : MARATON CINTA


2. NOVEL 2 : KAPUR KASUT VS KAPUR TULIS.

Novel Maraton Cinta dan Kapur Kasut vs Kapur Tulis, merupakan antologi cerita pendek daripada beberapa orang penulis baru yang dipilih khas karya-karya mereka untuk diterbitkan bagi diketengahkan kepada umum paparan mesej-mesej dan pengajaran yang boleh diambil melaluinya.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan novel-novel ini, anda bolehlah berhubung secara terus dengan salah seorang penulisnya iaitu Puan Nur Dilla di talian wassap beliau 018 - 3124508


Terima kasih.

Monday, May 18, 2015

NOVEL : SEMILIR RINDU BERLAGU - MILLIE NAZRI


TAJUK NOVEL : SEMILIR RINDU BERLAGU.
PENGARANG   : MILLIE NAZRI
PENERBIT         : FAJAR PAKEER SDN. BHD.
CETAKAN 1      : 2011
NO. ISBN           : 978-967-365-073-6
HARGA              :RM18.00 (SM), RM21.00 (SS).

Sebahagian daripada Petikan novel ini dari tinta penulisnya sendiri :-

Loceng pertukaran waktu  bergema.  Cikgu Hanani bingkas bangun dan cepat-cepat beredar  sambil tersenyum pahit.  Dia melangkah ke kelas tingkatan Lima Murni dengan langkah yang padu.  Segunung kekuatan menebal di jiwanya kini.  Dia telahpun beransur melupakan kisah semalam.  Dia ingin mengembalikan semula tekad, ingin melihat semua pelajarnya cemerlang di dalam SPM, terutamanya dalam subjek Sains. Dia rancak menerangkan konsep sains bersama anak muridnya.  Sesekali anak muridnya sengaja menyoal soalan yang membuatkan pelajar lain bersorak ketawa.  Aspek kemahiran proses sains seperti inferens, hipotesis, pemerhatian, sudah sebati di jiwanya.

        “Selain dari bertelur banyak, apakah faktor kemandirian spesis bagi penyu?”  Soal Hanani kepada seorang pelajar yang asyik berbual dengan teman di sisinya.
        “Apalah cikgu ni, soal penyu pula, cikgu suruhlah buat hipotesis,  semakin bertambah banyak bilangan senyuman, semakin bertambah seri di wajah cikgu!”  Haqim, merupakan salah seorang anak para intelek di persekitaran bandar itu, sengaja mengusik, adakala begitu teliti di dalam pembelajaran, sehingga waktu sejam tidak terasa begitu pantas berlalu.

      Hanani terkebil-kebil di biliknya.  Langsir kebiru-biruan itu dikuak ke tepi.  Bayu petang berhembus perlahan.  Dari kejauhan kelihatan balam-balam rona-rona merah kuning mentari jingga waktu senja di kaki langit Banjaran Titiwangsa.  Dia melangkah ke balkoni.  Bebunga bougenvilla merah samar dan berwarna –warni begitu menyejukkan pancaindera matanya...alangkah indah kehidupan..seindah   dan sewangi bebunga itu...!

AZAN subuh di pagi Isnin telah lama kedengaran.   Kicauan  beburung bernyanyi –nyanyi di atas rimbunan pepohon,  dan pokok hiasan berbunga petunia dan begonia yang digantung di birai  balkoni  begitu mendamaikan hati. Hajah Norehan membuka jendela kaca  berkabut  yang berlorek bunga bunga kuning hijau   itu.

                  Dia bergegas ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Tepat pukul tujuh, Hanani pasti muncul sambil mencium pipinya, dan mencuit pinggangnya. Namun bilik air di ruang atas masih belum disirami oleh penghuni tetapnya sejak dua tahun lalu.

                  Telinga  Hajah Norehan bagai terdengar-dengar gemersik suara  dara manis tinggi lampai itu bernyanyi-nyanyi kecil lagu kegemarannya.  Tetapi ketika jam  antik di dinding berbunyi  tujuh setengah pagi, Hanani masih belum terjengul.

                  Hajah Norehan menerpa ke bilik  lantas mengetuk pintu berulang kali. Tombol pintu dipulas.  Kelihatan Hanani masih berselimut dengan comforter tebal.  Tubuhnya menggigil. Bagai lipas kudung Hajjah Norehan menerpa ke arah Hanani.

                  “Kenapa ni Hani?,  sakit kepala ke lagi?”  Kepala dan dahi dijamah.  Panas.  Mata Hani masih terpejam.  Rapat.
                  “Hah, demam , rupanya, panas sungguh  badan kau, nanti mak long letakkan tuala di kepala ya!”
                  “Mak long, tak usah susah-susah, Hani kurang tidur agaknya, kepala ni pening bagai nak terbalik rasanya.  Nanti mak long telefon ke sekolah, beritahu Hani tak daya bangun”.  Lemah kedengaran suaranya.
“Kenapa Hani tak jerit panggil mak long, boleh mak
long temankan Hani malam tadi”.
       “Tak..., Hani rasa baru pagi ni  seram sejuk, lepas ambil wudhu subuh tadi”
                  “Nanti mak long telefon doktor suruh datang, takut melarat pulak demam tu...”
                  “ Tak payah lah mak long... semalam masa di rumah lagi dah memang demam, tapi tak lah rasa macam ni...”
                  “Laa...maknanya dari semalam lah lagi dah demam ya?, abah kau pun satu, dah tau anak tu tak sihat, tak bawapun ke klinik, hei, mak long ni, kalau bab sakit pening, memang mak long marah, abah kamu tu, memang tak ambil berat langsung fasal sakit anak!” Belas benar Hajah Norehan memandang wajah Hanani.  Rambut Hanani dibelai perlahan.

                  “Bukan jodoh kau dengan dia, agaknya  Hani. Usahlah ikutkan sangat perasaan tu. Tenguk, dah sampai terdemam-demam”
                  “Lepas pihak sana datang memulangkan cincin, Hani terus balik ke sini, tak sanggup lagi nak dengar orang mengata diri ini, mak long”. Tangis Hanani penuh sedu.  Dia mendakap tubuh ibu angkatnya itu.  Hajjah Norehan mengelus-ngelus rambut panjang keperang-perangan anak gadis kemanjaannya itu.   Kasihnya kepada Hanani tumpah seperti anaknya sendiri.

                  Tengah hari itu, selepas waktu persekolahan, ramai rakan-rakan Hanani datang menziarahi.  Masing-masing bersimpati dengan peristiwa yang dialami oleh rakan sejawat, yang dianggap oleh semuanya seperti adik-beradik.

                  “Sabar aje lah Hani, apa nak dikenang lagi, semua tu dugaan Allah, biarlah, cari aje pengganti, awak masih muda, akak rasa, dah ada yang sudi nak ambil tempat tu!”  Celah cikgu Normaya mengusik dan menduga sambil menghalakan pandangan ke arah cikgu Samad, Jalil dan Nazim yang masih bujang.  Hanani hanya mampu tersenyum pahit.  Tiga  guru bujang yang hanya memerhati dari jauh sempat mencuit sesama sendiri.

                  Airmata masih merembes keluar, tatkala manghantar kepulangan rakan-rakan ke muka pintu.  Puan Nor Arfah guru penolong kanan kurikulum menggenggam erat jejari lembutnya, sambil membisikkan sesuatu.  Hanani  hanya mampu menganggukkan kepalanya.  Begitu juga dengan cikgu Nazim, guru penolong kokurikulum itu, merenung sayu ke wajah Hanani,
bagai menyimpan sejuta rasa buat Hanani guru sains bermata bundar itu...!

*Untuk mendapatkan novel ini, sila berhubung dengan penulisnya Kak Millie Nazri di talian WhatsAap beliau : 019 - 6654908. Terima kasih.

NOVEL : AWEKKU KEMBAR - SITI ROZILAH


1. Cover Novel : Awekku Kembar.


2. Foto Penulis : Kak Siti Rozilah

TAJUK NOVEL : AWEKKU KEMBAR.
PENULIS : SITI ROZILAH
PENERBIT : BUKU PRIMA
HARGA : RM25.90


Sinopsis: ANNESSA dan Adeela bertuah kerana dilahirkan dari rahim yang sama. Sebagai pasangan kembar seiras, hubungan mereka berdua terlalu akrab bagai tidak dapat dipisahkan lagi. Namun takdir sentiasa muncul untuk menguji. Apabila Adeela tiba-tiba hilang kerana diculik maka bermulalah sebuah pencarian. Hidup Annessa sudah tidak lagi berjumpa tenang. Dia sering diganggu oleh visi dan mimpi yang seolah-olah hadir sebagai petunjuk untuk memberitahu siapakah penculik dan di manakah adiknya disembunyikan. Ketika itulah dia bertemu dengan Tengku Najib. Lalu hati saling terpaut. 
Namun cinta mereka adalah cinta yang dilatari tragedi. Tanpa disedari jejaka itu, Annessa ada agendanya sendiri. Dirinya dipergunakan Annessa dalam usaha untuk menjejaki kembarnya yang hilang.
Firasatnya selama ini benar belaka. Maka terbongkarlah sebuah rahsia. Yang menculik dan memperkosa adik kembarnya tidak lain dan tidak bukan ialah Tengku Amirul, bapa saudara Tengku Najib sendiri. Lantas terkulailah bibit-bibit cinta yang baru hendak berputik. Bagaimanakah akhirnya kisah cinta mereka? Apakah terputus di tengah jalan atau ada bahagia di penghujung cerita?

“Perasanlah Deela ni! Deela tu budak lagi, tau tak? Tak mungkin Tengku Amirul tu angau kat Deela. Hey Deela, kalau dia nak... mana-mana perempuan yang jauh lebih cantik dari Deela pun dia boleh dapatlah. Takkan dia nakkan budak sekolah macam Deela ni!” – Sofea.

“Kita ni sedarah sedaging, Deela. Kau tu adik kembar aku. Takkan aku sanggup guris hati kau. Najib tu orang luar. Dia tak penting dalam hidup aku. Tapi kau... kau penting dalam hidup aku, Deela.” – Annessa.

“Memang betul dulu aku ada ramai perempuan tapi mereka tu semuanya tak penting. Sekadar teman untuk bersuka-ria. Anne lain. Anne amat bermakna pada diriku.” – Tengku Najib.

“Kami pasangan kembar, ma. Tapi kenapa nasib malang ni asyik membelit diri Deela? Kenapa bukan Anne yang ditimpa malang? Kenapa ma, kenapa?” – Adeela.

“Najib ni degillah! Ke... Najib keluar dengan budak tu lagi? Kan mama dah kata, mama tak suka Najib keluar dengan dia, Najib tak faham ke?” – Tengku Sarah.

“Kau cakaplah apapun, duhai gadis. Tapi setelah aku tahu yang kau adalah Annessa, entah mengapa hatiku bagaikan ditarik-tarik untuk mengenali kau dengan lebih rapat lagi.” – Tengku Reza.

*Note : Kepada yang ingin mendapatkan Novel ini, sila berhubung dengan penulisnya menerusi wassap : 011-23567613.


Saturday, May 16, 2015

SAJAK : SUNGAI JERNIH MEMBASUH SEDIH


Sungai yang jernih
air yang bersih
membasuh sedih
bersama nyanyi unggas
hilang perihnya pedih.
Aku keluar dari hilang arah
di belantara kota yang parah.



yassinsalleh
16.5.2015.
Sungai Lenggang Seluang
Hakcipta © 2015 yassinsalleh
Semua Hak Terpelihara.


*Untuk sebarang tempahan buku sajak 'Ikan-Ikan Di Kaca & Simfoni Sepi' sila berhubung dengan ayahanda Yassin Salleh menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) di talian telefon bimbit beliau di nombor 016-3904326.

*Kredit foto Kepunyaan  Ayahanda Yassin Salleh sendiri.


Thursday, May 14, 2015

PANTUN HARI GURU 2015




Berbaju biru pergi ke Pekan,
Ke Pekan Rabu membeli salak;
Tema Hari Guru telah ditentukan,

Membina ilmu menyempurnakan akhlak.

Laut Mati dikatakan Misteri,
Punya sejarah dan kisah tersendiri;
Sumbangan bakti banyak diberi,
Budi dicurah setiap hari.


Buah peria di atas para,
Dijemur ayah bersama halwa;
Murid berjaya guru gembira,
Itulah hadiah yang paling istimewa.

'Selamat Hari Guru' buat semua guru-guru yang pernah mengajar saya, tidak kira secara rasmi atau tidak rasmi. Kalian semua saya kenang dan hargai selamanya dalam doa dan ingatan. Aamiin.


Nukilan,
- CT Nurza-
14 Mei 2015
05:34pg.


BUKU IKAN-IKAN DI KACA & SIMFONI SEPI - YASSIN SALLEH.



Assalamualaikum...

Kepada rakan-rakan pengunjung laman blog NKN, yang ingin mendapatkan buku terbaru penyair ayahanda Yassin Salleh, anda semua bolehlah menghubungi beliau dengan meninggalkan SMS sahaja di talian telefon bimbitnya, 016 - 3904326.


Terima kasih.

SAJAK : KALAU ESOK ADA HARI LAGI - BEN ASAH.


KALAU ESOK
ADAHARI LAGI

Malamku
malam kelam
Bulan dah malas
nak pantulkan cahayanya
aku termangu
membilang jemari
kalau esok ada hari lagi
kan ku jaring
bintang gemintang
ku sangkutkan
di pondokku
biar benderang kembali
kamarku

BEN ASAH
22.50hrs
13 Mei 2015
Tampoi JB

*Kredit untuk Pak Ben Asah yang menitipkan nukilan ini ke wall fb saya. Selamat berkarya.

Thursday, May 7, 2015

MAJLIS PELANCARAN BUKU 'THE ETERNAL STORM'.



 
Foto 1&2 : Bergambar kenangan dengan pihak Penerbit & Penyumbang yang turut hadir untuk menyaksikan Pelancaran Buku 'The Eternal Storm' - Sekali Air Bah, Selamanya Pasir Berubah. Terima Kasih kepada pihak penerbit yang turut sudi melamar dan membukukan salah sebuah karya  nukilan saya di blog ini, sebagai projek amal untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan yang telah ditimpa musibah pada musim banjir besar yang lalu.

Semoga dengan usaha menerbitkan buku sebegini, dapat jua para penulis kecil seperti saya memberikan sedikit sumbangan dengan cara sendiri sebagai jariah kecil yang tidak seberapa untuk meringankan beban dan kesulitan mangsa-mangsa banjir di sana. Harapannya semoga Allah SWT memberkati segala hasil usaha yang dilakukan dan disampaikan pula pahalanya buat kedua-dua ayahanda dan bondaku yang tercinta di alam sana. Aamiin. Majlis Pelancaran buku ini telah diadakan di Pentas Utama, PWTC, Kuala Lumpur sempena PBAKL 2015. Terima kasih ITBM dan juga pihak penerbit.




Foto 3 : *Kredit untuk Page ITBM.

Foto 4 : Bergambar kenangan bersama Pak Khalid Salleh & Abang Pyann Habib di Booth ITBM, ketika meninjau-ninjau untuk membeli buku-buku terbitan ITBM.

Sekian, aku dan PBAKL 2015 yang bertarikh 29 April 2015.

- CT Nurza -
07 Mei 2015

09:05pg.

Sunday, May 3, 2015

PUISI : TERASING DAN TERPINGGIR




Kita rasa terasing
Bukan kerana diri diasingkan
Tapi rasa terasing
Bila memandang insan lain terlalu asing


Kita rasa terpinggir
Bukan kerana diri dipinggirkan
Tapi rasa terpinggir
Kerana kita yang sentiasa duduk meminggir


Mari kita renung
Mari kita fikir
Sejuta kali kita berzikir
Namun jika hati tidak indah diukir
Apalah ertinya banyak berzikir
Tapi sempit ruang fikir
Memandang insan lain seperti fakir
Adakah kita yang selayaknya terbaik mengangkat takbir?


Sekadar menukil rasa dari suara hati suara jiwa,
- CT Nurza -
30 April 2015
23:56mlm.