ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Monday, May 18, 2015

NOVEL : SEMILIR RINDU BERLAGU - MILLIE NAZRI


TAJUK NOVEL : SEMILIR RINDU BERLAGU.
PENGARANG   : MILLIE NAZRI
PENERBIT         : FAJAR PAKEER SDN. BHD.
CETAKAN 1      : 2011
NO. ISBN           : 978-967-365-073-6
HARGA              :RM18.00 (SM), RM21.00 (SS).

Sebahagian daripada Petikan novel ini dari tinta penulisnya sendiri :-

Loceng pertukaran waktu  bergema.  Cikgu Hanani bingkas bangun dan cepat-cepat beredar  sambil tersenyum pahit.  Dia melangkah ke kelas tingkatan Lima Murni dengan langkah yang padu.  Segunung kekuatan menebal di jiwanya kini.  Dia telahpun beransur melupakan kisah semalam.  Dia ingin mengembalikan semula tekad, ingin melihat semua pelajarnya cemerlang di dalam SPM, terutamanya dalam subjek Sains. Dia rancak menerangkan konsep sains bersama anak muridnya.  Sesekali anak muridnya sengaja menyoal soalan yang membuatkan pelajar lain bersorak ketawa.  Aspek kemahiran proses sains seperti inferens, hipotesis, pemerhatian, sudah sebati di jiwanya.

        “Selain dari bertelur banyak, apakah faktor kemandirian spesis bagi penyu?”  Soal Hanani kepada seorang pelajar yang asyik berbual dengan teman di sisinya.
        “Apalah cikgu ni, soal penyu pula, cikgu suruhlah buat hipotesis,  semakin bertambah banyak bilangan senyuman, semakin bertambah seri di wajah cikgu!”  Haqim, merupakan salah seorang anak para intelek di persekitaran bandar itu, sengaja mengusik, adakala begitu teliti di dalam pembelajaran, sehingga waktu sejam tidak terasa begitu pantas berlalu.

      Hanani terkebil-kebil di biliknya.  Langsir kebiru-biruan itu dikuak ke tepi.  Bayu petang berhembus perlahan.  Dari kejauhan kelihatan balam-balam rona-rona merah kuning mentari jingga waktu senja di kaki langit Banjaran Titiwangsa.  Dia melangkah ke balkoni.  Bebunga bougenvilla merah samar dan berwarna –warni begitu menyejukkan pancaindera matanya...alangkah indah kehidupan..seindah   dan sewangi bebunga itu...!

AZAN subuh di pagi Isnin telah lama kedengaran.   Kicauan  beburung bernyanyi –nyanyi di atas rimbunan pepohon,  dan pokok hiasan berbunga petunia dan begonia yang digantung di birai  balkoni  begitu mendamaikan hati. Hajah Norehan membuka jendela kaca  berkabut  yang berlorek bunga bunga kuning hijau   itu.

                  Dia bergegas ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Tepat pukul tujuh, Hanani pasti muncul sambil mencium pipinya, dan mencuit pinggangnya. Namun bilik air di ruang atas masih belum disirami oleh penghuni tetapnya sejak dua tahun lalu.

                  Telinga  Hajah Norehan bagai terdengar-dengar gemersik suara  dara manis tinggi lampai itu bernyanyi-nyanyi kecil lagu kegemarannya.  Tetapi ketika jam  antik di dinding berbunyi  tujuh setengah pagi, Hanani masih belum terjengul.

                  Hajah Norehan menerpa ke bilik  lantas mengetuk pintu berulang kali. Tombol pintu dipulas.  Kelihatan Hanani masih berselimut dengan comforter tebal.  Tubuhnya menggigil. Bagai lipas kudung Hajjah Norehan menerpa ke arah Hanani.

                  “Kenapa ni Hani?,  sakit kepala ke lagi?”  Kepala dan dahi dijamah.  Panas.  Mata Hani masih terpejam.  Rapat.
                  “Hah, demam , rupanya, panas sungguh  badan kau, nanti mak long letakkan tuala di kepala ya!”
                  “Mak long, tak usah susah-susah, Hani kurang tidur agaknya, kepala ni pening bagai nak terbalik rasanya.  Nanti mak long telefon ke sekolah, beritahu Hani tak daya bangun”.  Lemah kedengaran suaranya.
“Kenapa Hani tak jerit panggil mak long, boleh mak
long temankan Hani malam tadi”.
       “Tak..., Hani rasa baru pagi ni  seram sejuk, lepas ambil wudhu subuh tadi”
                  “Nanti mak long telefon doktor suruh datang, takut melarat pulak demam tu...”
                  “ Tak payah lah mak long... semalam masa di rumah lagi dah memang demam, tapi tak lah rasa macam ni...”
                  “Laa...maknanya dari semalam lah lagi dah demam ya?, abah kau pun satu, dah tau anak tu tak sihat, tak bawapun ke klinik, hei, mak long ni, kalau bab sakit pening, memang mak long marah, abah kamu tu, memang tak ambil berat langsung fasal sakit anak!” Belas benar Hajah Norehan memandang wajah Hanani.  Rambut Hanani dibelai perlahan.

                  “Bukan jodoh kau dengan dia, agaknya  Hani. Usahlah ikutkan sangat perasaan tu. Tenguk, dah sampai terdemam-demam”
                  “Lepas pihak sana datang memulangkan cincin, Hani terus balik ke sini, tak sanggup lagi nak dengar orang mengata diri ini, mak long”. Tangis Hanani penuh sedu.  Dia mendakap tubuh ibu angkatnya itu.  Hajjah Norehan mengelus-ngelus rambut panjang keperang-perangan anak gadis kemanjaannya itu.   Kasihnya kepada Hanani tumpah seperti anaknya sendiri.

                  Tengah hari itu, selepas waktu persekolahan, ramai rakan-rakan Hanani datang menziarahi.  Masing-masing bersimpati dengan peristiwa yang dialami oleh rakan sejawat, yang dianggap oleh semuanya seperti adik-beradik.

                  “Sabar aje lah Hani, apa nak dikenang lagi, semua tu dugaan Allah, biarlah, cari aje pengganti, awak masih muda, akak rasa, dah ada yang sudi nak ambil tempat tu!”  Celah cikgu Normaya mengusik dan menduga sambil menghalakan pandangan ke arah cikgu Samad, Jalil dan Nazim yang masih bujang.  Hanani hanya mampu tersenyum pahit.  Tiga  guru bujang yang hanya memerhati dari jauh sempat mencuit sesama sendiri.

                  Airmata masih merembes keluar, tatkala manghantar kepulangan rakan-rakan ke muka pintu.  Puan Nor Arfah guru penolong kanan kurikulum menggenggam erat jejari lembutnya, sambil membisikkan sesuatu.  Hanani  hanya mampu menganggukkan kepalanya.  Begitu juga dengan cikgu Nazim, guru penolong kokurikulum itu, merenung sayu ke wajah Hanani,
bagai menyimpan sejuta rasa buat Hanani guru sains bermata bundar itu...!

*Untuk mendapatkan novel ini, sila berhubung dengan penulisnya Kak Millie Nazri di talian WhatsAap beliau : 019 - 6654908. Terima kasih.

No comments: