ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Sunday, May 31, 2015

SYAIR : HIDUP MUAFAKAT


Lafaz bismillah saya dahulukan,
Salam sejahtera kepada rakan,
Hari yang indah kita raikan,
Syair seloka kita semarakkan.


Cuti sekolah sudah bermula,
Sanak saudara duduk bersila,
Pelbagai majlis telah dimula,
Undangan datang tidak bersela.


Bersamalah kita tunaikan hasrat,
Mengambil kisah mengambil berat,
Persahabatan persaudaraan bertambah erat,
Membantu menolong apa terlarat.


Majlis kenduri di sana sini,
Masak berkawah manambah harmoni.
Alangkah hebat alangkah murni,
Jikalau hidup bermuafakat begini.


Begitu indah budaya kita,
Jika semua sebulat kata,
Tiadalah kita asyik bersengketa,
Giat-menggiat menabur nista.


Marilah kita bermaaf-maafan,
Sebelum berakhirnya bulan Syaaban,
Melangkah kita ke bulan Ramadan,
Sesuci jiwa seindah keimanan.


Sepakat hidup saf dirapatkan,
Mana yang khilaf kita perbetulkan,
Berhentilah kita salah menyalahkan,
Memperbaiki diri itulah yang digalakkan.


Demikianlah syair memujuk hati,
Sekadar hiburan rakan yang bercuti,
Kehidupan kita sangatlah bererti,
Salinglah hidup hormat-menghormati.


-CT Nurza-
31 Mei 2015
07:32pg.


*Kredit untuk Pic yang dipinjam dari Page yang menyiarkan Foto ini... :)


No comments: