ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, July 24, 2015

PUISI : AKSARA BERHEMAH


Mengetuk papan kekunci
Dari malam sehingga ke dinihari
Mencurah idea melakar inspirasi sebait puisi
Dikanvas hidup
Ilusi dan realiti menampakkan wajah bersilih ganti
Sedang jari-jemari rancak menari
Tarian aksara tersusun membuai rentak rasa
Puitis, kritis mewakili suara hati nurani
Tika sunyi mula membelai sukma
Bisikan hasrat mula menggoda jiwa
Mendesak memaksa
Tulislah apa sahaja
Curahkan apa yang dirasa
Pedulikan apa hendak dikata
Kau tidak akan binasa
Selagi tidak merobek jiwa-jiwa dengan dusta
Pada aksaramu yang ternoda cela dan cerca


Tulislah dan tulislah!
Dengan putih jernih mata fikir
Berakhlak dan beradab
Tanpa mengguris menyakiti
Didiklah penuh hikmah
Lontarkan segala dengan berhemah
Lantaran tulisan itu
Mampu menyatukan ummah!


Nukilan Spontan Gaban,
-CT Nurza-
22/07/2015
21:43mlm.

Monday, July 20, 2015

CERPEN : AKU, TELEVISYEN DAN REMPEYEK.





Untuk mengetahui kisah seterusnya dan kejutan-kejutan yang berlaku, sila dapatkan buku ini secara terus daripada Puan Nur Dila, Ayahanda Chik atau hubungi saya sendiri untuk membuat pesanan  secara online melalui emel ctnurza@gmail.com. Selamat membaca... :)

AL-FATIHAH UNTUK SIPEMBENCI!




Sudah-sudahlah mengumpat
Duhai insan pendosa berhati karat
Di laman fb menghimpun dosa
Pahala dibuang merata-rata
Ketika syawal jari kita disusun rapat
Memohon maaf persis insaf bertaubat
Namun selepas sebulan berpuasa
Hati masih berdaki berkata kesat
Menyakiti membenci sesama sahabat
Di hadapan bermuka-muka manis berkata
Di belakang mengumpat mengeji mengata

Apa ertinya puasa kita?
Tiada memberi kesan dan makna
Lidah masih tajam berbisa menikam sukma
Allah Hu Akbar!
Sampaikan pahala al-fatihahku kepada mereka semua
Bersihkanlah hati-hati yang hitam berkudis
Penuh jelaga dan kuman-kuman mazmumah
Lantaran disuburkan oleh sifat-sifat durjana
Sebati diternak dalam diri
Sedari awal sehingga kini
Lantaran itu ia sukar diusir dihindari
Waima sebulan ditarbiah oleh Ramadan
Untuk mengekang  lidah kotor dari banyak berkata-kata
Penuh dusta penuh cerca
Akhirnya Ramadan pergi
Kejahatan lidah tetap berkuasa kembali
Astaghfirullah Hal Aziim
Ampunkan hamba-hamba-Mu itu Ya Rabbi!
Agar kematian mereka bukan dalam keadaan celaka
Lantaran doa insan-insan yang telah dicerca!


Terima kasih untuk pahala percuma
Jika sudi sedekahkanlah lagi umpat dan keji
Agar amalan yang kurang
Dapat ditampung dengan pahala istimewa
Hasil caci maki umpat keji rakan dan sahabat yang penuh iri.


-CT Nurza-
4 Syawal 1436 H
05:55pg.

*Kredit foto untuk page : DUKE. 

Tuesday, July 14, 2015

SAJAK : SATU BANGSA YANG HILANG


Esok raya
Ada rendang ada lemang
ada duit raya.
Ada air mata
ada darah tumpah yang ditempah.
Pencuri jadi wira
Atas rasa kepahlawanan
Satu bangsa yang hilang
lakar peta arahnya
Satu bangsa yang retak
cermin wajahnya
Satu bangsa yang sudah orang-orangan
Mencari nilai diri yang hilang
dalam wayang bayang-bayang
Dalam serakah Sang Dalang
nyanyinya menarikan lalang
ngoyang-ngoyang.

yassinsalleh.
16.7.2015
La Casa Pacifica D Yasleh.
Hakcipta (c) 2015 yassinsalleh.
Semua Hak Terpelihara.

*Note : Untuk mendapatkan buku terbaharu ayahanda Yassin Salleh 'Kumpulan Puisi Ikan-Ikan Di Kaca' dan juga 'Simfoni Sepi' bagi yang berminat, anda bolehlah melayari laman blog beliau di


PANTUN RAYA 2015 (SYAWAL 1436 H).



Limau kasturi si limau bali,
Manis rasa belimbing besi;
Aidilfitri  setahun sekali,
Pulang ke desa menjadi tradisi.

Merah kesumba rembang di desa,
Gerimis reda camar bercanda;
Hatiku hiba pilu terasa,
Ayah dan bonda sudah tiada

Terang cahaya pelita dinding,
Di rumah rakan makan kuini;
Di hari raya makan serunding,
Jangan lupakan saya di sini.

Bergenang mata duduk di jeti,
Terbayang bonda di depan mata;
Maaf dipinta setulus hati,
Jikalau ada terlanjur kata.

Khat kufi ditulis teliti,
Bagai kerawang hurufnya sekali;
Maaf memaafi bersihkan hati,
Ukhuwah dan jurang tautkan kembali.

Makan bahulu di atas bangku,
Bangku buatan idea ciptaan;
Sekian dahulu pantun syawalku,
Nukilan spontan luah perasaan.

-CT Nurza@NukilanKreatifNurza-
14 Julai 2015
20:20mlm.

BILA IBU BUKAN SEORANG IBU



Astaghfirullah...
Astaghfirullah...
Astaghfirullah!

Bila manusia hilang nilai kemanusiaan
Pudarlah sifat-sifat keinsanan
Segala macam penderaan dilakukan
Satu demi satu terserlah kejahatan
Layakkah mereka diberi pengiktirafan

Anugerah istimewa pemberian Tuhan

Atas selaut kasih dan sayang
Untuk hamba-Nya yang terpilih
Sebagai ibu sebagai ayah

Memegang amanah sebagai ujian

Namun akhirnya...

Segala amanah menjadi bebanan
Rezeki diberi disambut tanpa kesyukuran

Penganiayaan dan kezaliman
Menjadi satu kebanggaan

Ibu ayah apakah mereka ini harus digelarkan
Tiada iman tiada perasaan

Anak kecil menjadi korban kekejaman

Menurut nafsu melampaui batasan

Puaskah mereka melihat sebuah kematian

Yang tidak berdosa telah pergi mengadap Tuhan?


Duhai ahli syurga
Istirehatlah kau di sana
Sementara menunggu detik perhitungan dan pembalasan.


Innalilla hiwainnailaihiraji'uun... Al-Fatihah.

Nukilan Spontan,
-CT Nurza-

29 Jun 2015
12:34tgh.



*Kredit Foto untuk : Berita Harian Online.