ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Sunday, August 30, 2015

PUISI SPONTAN : RAJUK KEEGOAN


Pergilah...
Jika itu kemahuan
Untuk tidak bisa bertahan


Hadirmu tidak pernah kudambakan
Jika sekadar satu singgahan
Menjadi ruang tempikan
Kononnya kaulah Pendeta bestari
Tinggi keilmuan
Tidak mampu dikalahkan
Oleh anak hingusan
Yang tiada sebandingan


Pergilah...
Kembali terbang ke sangkarmu
Bawa bersama rajuk keegoan
Lantaran aku
Terus bebas terbang sendirian!


Nukilan Spontan,  
- CT Nurza -
30 Ogos 2015
04:42pg.

‪#‎untukyangtaktahudihargai‬

Tuesday, August 25, 2015

SAJAK : RAJAWALI TERBANG TINGGI (YASSIN SALLEH).


 Angin mundar mandir
Mendandan awan di hujung malam
Yang mati setia
Dua kabilah unggas
Rajawali dan kelicap
Hilang nyanyi dan awan
Berhenti menari
Maka bangkai kelicap pun
Bertimbunlah di kaki awan
Di puncak gunung ganang
Di atas bukit bukau
Di serata lembah dan ngarai
Rajawali lahir kembali
Dari longgokan debu kematian
Melegari angkasa seghairahnya
Menghirup bau bangkai kelicap
Bagaikan tedung sonder hidung.


Oh angin
Singgahlah di sanggarku
Sama-sama kita tiupkan hilang
Bau bangkai kelicap-kelicap
Yang malang dalam bangang
Dan kita lukiskan
Layar wayang pentas biara
Esok yang luka
Rajawali menjelma garuda.


yassinsalleh
8.35 malam
25.8.2015
La Cassa Pacifica De Yasleh


*Penghargaan : Terima kasih Ayahanda Yassin Salleh atas kiriman sajak ini. Semoga ayah sentiasa sihat dan terus berkarya.

PANTUN UMUM (2)

 
Puteri Nilam anak Pak Nawab,
Suka berdakwah sambil bermadah;
Waalaikumussalam sapa dijawab,
Moga ukhuwah bertaut indah.


Sarung di jari cincin suasa,
Ke Sungai Bakap makan kenduri;
Muhasabah diri perlu sentiasa,
Agar tersingkap kelemahan diri.


Minum laici bercampur selasih,
Makan kuini dengan strawberi;
Bila hati suci dan bersih,
Sifat yang murni menyantun diri.


Pakai kebaya bersulam jingga,
Pergi mengaji Ke rumah nenda;
Sikap manusia suka menduga,
Untuk menguji ilmu yang ada.


-CT Nurza-
22 Ogos 2015
11:36pg.

PANTUN UMUM



Ambil cawan mari dibasuh,
Tukar yang baru sebagai ganti;
Ramai kawan menjadi musuh,
Kerana cemburu dan iri hati.


Membeli kunci elok diuji,
Kunci kereta milik Pak Aji;
Caci-mencaci perbuatan keji,
Rugilah kita belajar mengaji.


Pisang kaki di atas titi,
Simpan di stor serawan jala;
Hasad dengki pekerjaan hati,
Jika kotor terzahir segala.


Pasang denak di tepi sawah,
Tali diikat panjang sebelah;
Janganlah tamak janganlah rasuah,
Tiada berkat di jalan Allah.


Nukilan Spontan,
CT Nurza
22/08/2015
23:09mlm.

Sunday, August 23, 2015

PANTUN ZIARAH KARYAWAN RAYA : TAMPIN.


Kacak bersampin Sang Hulubalang,

Masuk ke hutan jalan beriringan;
Dodol setampin dibawa pulang,
Jadi ingatan jadi kenangan.


 *Kenangan sewaktu menghadiri Program Ziarah Karyawan Raya, Teratak Bonda, Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, Melaka.

-CT Nurza-
23 Ogos 2015.
18:15ptg.

KOLEKSI SAJAK : KELOMPEN KOE (PENERIMA ANUGERAH HSDM 2015)







*Terima Kasih sahabat seperjuanganku 'Kelompen Koe' atas kesudian memeriahkan laman blog ini dengan karya-karya yang cukup hebat dan penuh makna tersurat tersirat. Salam Kecemerlangan untukmu selalu.


PUISI : PEPIJAT




Sifat pepijat...
Merapat menyepit menyakit
Perit menggigit
Membekas luka
Bernanah berkuman
Rengsa berpanjangan.


CT Nurza
10:12PG.
23/08/2015

Friday, August 21, 2015

HSDM 2015 : FOTO-FOTO SEKITAR MAJLIS.

Foto 1 : Tiga Pemenang yang cukup hebat dengan kategori masing-masing. Kelompen Koe, Abang Roslan Madun & Encik Khaidir Ahmad. Masing-masing telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Karya Eceran untuk 'Hadiah Puisi', Penerima Anugerah Penggiat Teater / Drama Negeri Pahang dan Penerima Anugerah Novel/Antologi. TAHNIAH!

Foto 2 : Kelompen Koe, sewaktu menerima hadiah yang disampaikan oleh Dato' Sri DiRaja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, MENTERI BESAR PAHANG. TAHNIAH! untuk aok Kelompen Koe. Pemenang Anugerah Karya Eceran Hadiah Puisi, HSDM 2015.

Foto 3 : Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah DBP Wilayah Tengah) bersama Dato' Sri DiRaja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, MENTERI BESAR PAHANG. HSDM 2015, Dewan Perdana, Hotel MS Garden, Kuantan, Pahang Darul Makmur. 17 Ogos 2015.


Foto 4 : Wajah Kesemua Para Pemenang Anugerah HSDM 2015. TAHNIAH! diucapkan kepada semua anak-anak Pahang yang sungguh cemerlang dan terbilang. Pahang Boleh!


Foto 5 : Wajah seorang Cendekia. Beliau seorang yang paling Ceria, Ramah dan Cepat Mesra. Turut berada di Dewan Perdana, Hotel MS Garden, Kuantan, Pahang. Sempena   Majlis HSDM 2015. Insan yang sangat 'Low Profile' dan mudah di dampingi ramai.

Foto 6 : Pemenang tanpa persaingan senget (menang tanpa bertanding). Bahagia seketika mendapat 'Sijil Kelayakan Naik Ke Pentas' dari Encik Roslan Madun. Bila lagi nak bergambar dengan Sifu Syair saya kan kalau tidak meraikan kejayaan beliau di HSDM 2015... Jangan marah ya abang Lan... hahaa... usik mengusik bawa bahagia... tak gitu? :)

Foto 7 : Bergambar Kenangan bersama Kak Millie Nazrie, Abang Roslan Madun dan Kak Shamsiah Mohd Nor, yang juga salah seorang daripada Pemenang Anugerah HSDM 2015, bagi Kategori Karya Eceran 'Cerpen'. Tahniah! Kak Shamsiah.

Foto 8 : Inilah "Jalur Gemilang" Kebanggaanku sebagai anak Malaysia. Salam Merdeka untuk semua. Merdeka! Merdeka! Merdeka!!!

-CT Nurza-
21 Ogos 2015
19:04ptg.


*Terima kasih atas gambar ehsan yang diberikan oleh rakan-rakan untuk dimuatkan di sini sebagai kenangan bersama.


PUISI : KOMPLOT ZK RAYA TERATAK BONDA.



Di sini kami berkomplot...
Komplot memasak dodol
Komplot memasak lemang
Komplot memasak ketupat dan rendang
Jua berkomplot menghabiskan makanan

Komplot kami komplot berwawasan

Komplot menebar buah fikiran
Komplot menyumbangkan suara-suara kemanusiaan
Melontarkan suara-suara hati dengan nada puitis
Bersantai berwacana dengan ria
Tulus berbicara sehati sejiwa
Serumpun berkumpul bermesra bersama
Berkongsi pelbagai cerita dan berita
Begitu sepakat seia sekata
Walau lelah sesekali menumpas rasa


Teratak bonda tidak kami lupa
Lantaran di sana yang gundah menjadi ceria
Yang ceria semakin bertambah bahagia
Banyak cerita banyak kenangan
Tersimpan menjadi nostalgia indah
Kekal abadi menjadi ingatan


Terima kasih para kerabat dan tuan rumah
Kerana di sana janji kita terlaksana.


Nukilan Spontan,
-CT Nurza-
21 Ogos 2015
01:28pg.

Wednesday, August 19, 2015

PEMENANG HADIAH SASTERA DARUL MAKMUR 2015


1. Pemenang HSDM 2015 untuk Kategori "Penggiat Teater / Drama Negeri Pahang" iaitu Encik Roslan Madun. Hadiah disampaikan oleh YAB Dato' Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, selaku Menteri Besar Pahang.

2. Pemenang HSDM 2015 untuk Kategori "Hadiah Puisi Eceran" iaitu Encik Abdul Rahman Janai (Kelompen Koe - Berbaju Hijau).

3. Pemenang HSDM 2015 untuk Kategori A - "Novel / Antologi" iaitu Encik Khaidir Ahmad (Berbaju Melayu Coklat).



4. Kumpulan Gamelan yang mengiringi Majlis Penyampaian HSDM 2015.

Slot bergambar kenangan bersama Para Pemenang... :)

5. Pemenang di antara Pemenang yang berjaya mengungguli Majlis Penyampaian HSDM 2015, bagi 2 kategori iaitu Novel Remaja dan Antologi Cerpen juga sekaligus dinobatkan sebagai Penerima Anugerah "Sasterawan Negeri Pahang"iaitu YH. Dato' Dr. Haji Mohd Mansor Abdullah.

6. Pemenang HSDM2015 untuk Kategori "Penggiat Sastera Rakyat Negeri Pahang" iaitu Dr. Bazrul bin Bahaman.

7. Pemenang HSDM 2015, untuk Kategori "Antologi Cerpen" & Karya Eceran Hadiah Puisi," iaitu Dr. Aminuddin Mansor @ Ami Masra. Tahniah!

"TAHNIAH, kepada semua pemenang!


Di bawah ini adalah pemenang tambahan yang tidak menyertai sebarang penilaian untuk HSDM 2015. Tetapi, ia mempunya kategori khas iaitu... Jeng! Jeng! Jengggg! SENGAJA NAK PERASAN. (Yang membaca mohon awasi jantung anda baik-baik ya... :))

8. Bergambar kenangan bersama Abang Roslan Madun & Juga Sijil Kemenangan beliau... jadi, bukan saya punya sijil dan bukan juga Ahmad Albab yang punya sijil. Tetapi, pemiliknya yang telah diiktiraf adalah Encik Roslan Madun. Tahniah, abang Lan!

*Kredit Foto : Abang Roslan Madun, MTNP.

-CT Nurza-
19 Ogos 2015.
03:49pg.

Tuesday, August 18, 2015

JELAJAH MERDEKA AEON 2015 - ROSLAN MADUN





"Mari mengenali Akar Budaya Kita menerusi Pantun dan Zapin."

*Penghargaan dan Terima Kasih kepada abang Roslan Madun atas sumbangan foto-foto menarik sekitar aktiviti sastera bersama AEON MALL, Cheras, Kuala Lumpur.

CT Nurza.
18 Ogos 2015.
0939pg

Friday, August 14, 2015

PANTUN ZIARAH KARYAWAN TERATAK BONDA


Kacau dodol di dalam kawah,
Kawah antik kepunyaan bonda;
Telan panadol demam tak kebah,
Minum jus betik terasa reda.

Kawah antik kepunyaan bonda,
Banyak berbakti memasak nira;
Minum jus betik terasa reda,
Barulah hati riang gembira.

Pantun Spontan,
-CT Nurza-
14/08/2015
1805ptg

#ziarahkaryawanteratakbonda

SYAIR KOLABORASI : KISAH TERATAK BONDA.


SYAIR ZIARAH KARYAWAN RAYA.(Teratak Bonda, Kuala Sungai Baru Melaka).

Dengan bismillah kami mulakan,
Puji dan syukur jua dipanjatkan,
Kepada Allah pujian dilimpahkan,
Mudah-mudahan dalam kebaikan.


Di laman bonda khemah dipasang,
Berteduh dari panas membahang,
Pak Balam Tua sudah pun datang,
Disapanya kami setiap orang.


Hari Sabtu di Kuala Sungai Baru,
Kanda Shirley Idris berbajulah biru,
Setia menunggu kerabat baharu,
Senyuman manis di bibir menderu. 


Jemputan datang tandatangan berisi,
Lengkapkan borang yang ada disisi,
Sebagai tanda kehadiran disaksi,
Pembukaan acara penuh terisi.


Kata aluan turut dialu,
Ayahanda Chik Jafrie gembira selalu,
Ayahanda Yassin Salleh selaku penghulu,
Memberi ucapan sekadar perlu.


Cuaca panas terik membakar,
Wajah merona bak udang dibakar,
Berlaku banyak peristiwa kelakar,
Menghiburkan hati menghilangkan gusar.


Ziarah Karyawan sungguh istimewanya ,
Biarpun santai ilmu kenyataannya,
Setiap sesi ada pengisiannya,
Di Teratak Bonda wacana tempatnya.


Selepas berwacana di laman Teratak,
Dodol pun naik ke tungku serentak,
Riuhlah hadirin tepuk bersorak,
Gilir bergilir membaca sajak.


Di sebelah petang anyam ketupat,
Merendang daging sementara sempat,
Ada yang mengaku tak pandai buat,
Terpaksalah pula tunjukkan bakat.


Sementara dodol belum menggelegak,
Beramai kacau bagaikan nakrak,
Dodol istimewa hanya di Teratak,
Lemak rasanya tersangat enak.


Menjelang senja lemang dimasak,
Turut membantu adik dan kakak,
Diarah bekerja tiada yang mengelak,
Seia sekata semeja berborak.


Jiran tetangga turut membantu,
Menyiapkan hidangan pada hari sabtu,
Bahulu dan buah sudahlah tentu,
Di Kuala Sungai Baru makan barsatu.


Acara karyawan membuka ruang,
Mengutip ilmu sebelum pulang,
Kepada yang datang inilah peluang,
Mengasah bakat lebih cemerlang.


Ilmu diraih tajamkan fikiran,
Dari beberapa tokoh ilmuan,
Lantang bertenaga hujah dilontarkan,
Begitulah hebat lidah cendekiawan.


Ahli Karyawan berbilang warga,
Tiga negara bergabung juga
Berkumpul bersama seperti keluarga,
Meskipun mesra batasan terjaga.


Negeri Melaka Bandar raya bersejarah,
Di Teratak Bonda Kerabat berziarah,
Ramai yang datang sungguh meriah,
Bergambar mesra beramah-tamah.


Kisah pertemuan antara sahabat,
Di Teratak Bonda menjadi tempat,
Pelbagai acara, gaya dan gelagat,
Sambutan diberi tersangatlah hebat.


Hari terakhir kami di acara,
Banyak cerita banyaklah cara,
Jatuh kerusi tidaklah cedera,
Lantaran asyik melihat kamera.


Sebelum berpisah bersalam-salaman,
Berharap nanti kan ada pertemuan,
Di dalam jejak Ziarah Karyawan,
Di Pangkin Nyai Seni Negeri Sembilan.


Oppung Lela Jingga menutup acara,
Berkayuh basikal dengan gembira,
Kerabat Ziarah serta saudara,
Mendoakan sampai dengan segera.


Sebelum kerabat dibenarkan pulang,
Dodol diagih kepada yang datang,
Tiada terkecuali walau seorang,
Semuanya dapat dibawa pulang.


Berakhir acara dengan rasminya,
Diawali diakhiri bersama doanya,
Terpamer di wajah gembira semuanya,
Meski seketika sangatlah indahnya.


Hari terakhir kami bersama,
Riuh rendahlah sorakan bergema,
Adat bertandang tidaklah lama,
Demi tuntutan dan tugas utama.


Demikian berakhir pertemuan kami,
Di Teratak bonda acara dirasmi,
Semoga Ukhuwah kekal bersemi,
Erat persahabatan di antara kami.


Begitulah kisah di Teratak Bonda,
Kami umpama sebuah keluarga,
Saling mengerti saling menjaga,
Seikhlas hati menyumbang tenaga.


Kolaborasi Bersama,
~CT Nurza & Norais@Nor Azizah Idris~
25 Ogos 2015
19:30mlm.


*Jumlah 25 rangkap.


Thursday, August 13, 2015

HADIAH SASTERA DARUL MAKMUR 2015



   
Terima kasih DPMP & Kerajaan Negeri Pahang atas kesudian mengundang saya untuk turut serta meraikan & menyaksikan Majlis yang cukup bermakna ini bagi kami selaku anak-anak Pahang. Insya-Allah! dengan izin restu DIA Yang Maha Esa memberikan saya kesihatan yang baik, saya akan cuba menghadirkan diri pada 17 Ogos ini.

Meskipun tiada sebarang kategori yang sempat saya sertai untuk cuba dipertandingkan pada tahun ini disebabkan sudah agak terlewat mengetahuinya dan kesuntukan masa untuk mendapatkan karya-karya saya yang tersimpan dan tertinggal di Kampung, maka saya terpaksa melepaskan peluang ini untuk menyertainya.

Insya-Allah! Jika diizinkan, mungkin pada tahun hadapan ada pula peluang untuk saya turut mencuba. Majulah Sastera untuk negeriku. BAHASA JIWA BANGSA!.

CT Nurza
13 Ogos 2015
09:29mlm.


Tuesday, August 11, 2015

SAJAK : MUKA TEBAL - Abang Patdeli A.M.



Biar tebal muka
Asal tidak muka tebal
Kerana muka tebal

Tiada darah malu  
Tiada tahu malu
Tiada rasa malu
Meski dirinya dipermalukan
Kendati harga dirinya 
Terpalit nista dan tersimbah najis yang menusuk hidung busuk baunya

Huh, dasar muka tebal
dan tak pemalu!


Abang Patdeli A.M.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah
9 Ogos 2015


*Penghargaan : Terima kasih sekalung budi kepada Abang Patdeli A.M, di atas keizinan menyisipkan karya ini di sini.