ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Friday, August 14, 2015

SYAIR KOLABORASI : KISAH TERATAK BONDA.


SYAIR ZIARAH KARYAWAN RAYA.(Teratak Bonda, Kuala Sungai Baru Melaka).

Dengan bismillah kami mulakan,
Puji dan syukur jua dipanjatkan,
Kepada Allah pujian dilimpahkan,
Mudah-mudahan dalam kebaikan.


Di laman bonda khemah dipasang,
Berteduh dari panas membahang,
Pak Balam Tua sudah pun datang,
Disapanya kami setiap orang.


Hari Sabtu di Kuala Sungai Baru,
Kanda Shirley Idris berbajulah biru,
Setia menunggu kerabat baharu,
Senyuman manis di bibir menderu. 


Jemputan datang tandatangan berisi,
Lengkapkan borang yang ada disisi,
Sebagai tanda kehadiran disaksi,
Pembukaan acara penuh terisi.


Kata aluan turut dialu,
Ayahanda Chik Jafrie gembira selalu,
Ayahanda Yassin Salleh selaku penghulu,
Memberi ucapan sekadar perlu.


Cuaca panas terik membakar,
Wajah merona bak udang dibakar,
Berlaku banyak peristiwa kelakar,
Menghiburkan hati menghilangkan gusar.


Ziarah Karyawan sungguh istimewanya ,
Biarpun santai ilmu kenyataannya,
Setiap sesi ada pengisiannya,
Di Teratak Bonda wacana tempatnya.


Selepas berwacana di laman Teratak,
Dodol pun naik ke tungku serentak,
Riuhlah hadirin tepuk bersorak,
Gilir bergilir membaca sajak.


Di sebelah petang anyam ketupat,
Merendang daging sementara sempat,
Ada yang mengaku tak pandai buat,
Terpaksalah pula tunjukkan bakat.


Sementara dodol belum menggelegak,
Beramai kacau bagaikan nakrak,
Dodol istimewa hanya di Teratak,
Lemak rasanya tersangat enak.


Menjelang senja lemang dimasak,
Turut membantu adik dan kakak,
Diarah bekerja tiada yang mengelak,
Seia sekata semeja berborak.


Jiran tetangga turut membantu,
Menyiapkan hidangan pada hari sabtu,
Bahulu dan buah sudahlah tentu,
Di Kuala Sungai Baru makan barsatu.


Acara karyawan membuka ruang,
Mengutip ilmu sebelum pulang,
Kepada yang datang inilah peluang,
Mengasah bakat lebih cemerlang.


Ilmu diraih tajamkan fikiran,
Dari beberapa tokoh ilmuan,
Lantang bertenaga hujah dilontarkan,
Begitulah hebat lidah cendekiawan.


Ahli Karyawan berbilang warga,
Tiga negara bergabung juga
Berkumpul bersama seperti keluarga,
Meskipun mesra batasan terjaga.


Negeri Melaka Bandar raya bersejarah,
Di Teratak Bonda Kerabat berziarah,
Ramai yang datang sungguh meriah,
Bergambar mesra beramah-tamah.


Kisah pertemuan antara sahabat,
Di Teratak Bonda menjadi tempat,
Pelbagai acara, gaya dan gelagat,
Sambutan diberi tersangatlah hebat.


Hari terakhir kami di acara,
Banyak cerita banyaklah cara,
Jatuh kerusi tidaklah cedera,
Lantaran asyik melihat kamera.


Sebelum berpisah bersalam-salaman,
Berharap nanti kan ada pertemuan,
Di dalam jejak Ziarah Karyawan,
Di Pangkin Nyai Seni Negeri Sembilan.


Oppung Lela Jingga menutup acara,
Berkayuh basikal dengan gembira,
Kerabat Ziarah serta saudara,
Mendoakan sampai dengan segera.


Sebelum kerabat dibenarkan pulang,
Dodol diagih kepada yang datang,
Tiada terkecuali walau seorang,
Semuanya dapat dibawa pulang.


Berakhir acara dengan rasminya,
Diawali diakhiri bersama doanya,
Terpamer di wajah gembira semuanya,
Meski seketika sangatlah indahnya.


Hari terakhir kami bersama,
Riuh rendahlah sorakan bergema,
Adat bertandang tidaklah lama,
Demi tuntutan dan tugas utama.


Demikian berakhir pertemuan kami,
Di Teratak bonda acara dirasmi,
Semoga Ukhuwah kekal bersemi,
Erat persahabatan di antara kami.


Begitulah kisah di Teratak Bonda,
Kami umpama sebuah keluarga,
Saling mengerti saling menjaga,
Seikhlas hati menyumbang tenaga.


Kolaborasi Bersama,
~CT Nurza & Norais@Nor Azizah Idris~
25 Ogos 2015
19:30mlm.


*Jumlah 25 rangkap.


3 comments:

Tiada Kata Secantek Bahasa said...

Sungguh indah Syair diolah
Bangkit semangat memanglah sudah
Semangat bersama amat terserlah
Kenangan ini terpahat sudah

Tiada Kata Secantek Bahasa said...

Ct Nurza padamkan komen yg cacat tu..
Akak cuba padam tk boleh.

®سيتي نور زا said...

Terima kasih kak... ok, dah padamkan... hehee. Tak apa, yang tersilap boleh betulkan.