ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Sunday, October 4, 2015

SYAIR : CIKGU JANTAN - ROSLAN MADUN


Syapen tentang Cikgu Jantan, Pendekar kampung kelahiran saya. Insya-Allah termuat dalam buku kumpulan syapen saya INTAN TERSERLAH.

CIKGU JANTAN
Karangan : Roslan Madun


1.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah,
Kasih sayang-Nya mencurah-curah,
Diberi-Nya ilham ditunjuk-Nya arah,
Mengarangkan syair tentang sejarah.


2.
Kepada Rasulullah selawat dan salam,
Kasih baginda luas dan dalam,
Mengingati baginda siang dan malam,
Syafaatnya menerangi hidup yang kelam.


3.
Inilah syair hamba karangkan,
Pendekar Pahang hamba ceritakan,
Kisahnya elok tamsil ibaratkan,
Jadi perangsang usah dinafikan.


4.
Namanya Mahusin bin Abdul Rahman,
Cikgu Jantan nama timangan,
Anak kepada Dato’ Bahaman,
Ilmu pendekarnya bukan sebarangan.


5.
Durian Tawar desa tinggalnya,
Che Yam itulah bondanya,
Siti Atekah nama isterinya,
Tujuh orang jumlah anaknya.


6.
Di desa itu banyak jasanya,
Sendeng Dua Beradik diajarkannya,
Ilmu persilatan yang banyak gunanya,
Semua pemuda bersemangat dibuatnya.


7.
Baik pekerti dia orangnya,
Penyayang kepada anak cucunya,
Juga kepada anak bangsanya,
Ilmu agama jadi pegangannya.


8.
Dia sangat dihormati orang,
Anak Dato’ Bahaman bukan sebarang,
Gagah berani dalam berperang,
Desa dipertahankan jika diserang.


9.
Peristiwa terjadi di suatu masa,
Ketika Jepun hilang kuasa,
Bintang Tiga menyerang desa,
Siapa melawan menjadi mangsa.


10.
Bintang Tiga kejam menganiaya,
Harta orang ingin dipunya,
Seguni jalur beras yang dimintanya,
Cikgu Jantan tak tahu hujung pangkalnya.


11.
Marah Bintang Tiga bukan kepalang,
Cikgu Jantan dituduh batu penghalang,
Hendak dibunuhnya itu hulubalang,
Ke rumah Cikgu Jantan datang menyerang.


12.
Berlaku geruh di maghrib itu,
Namun Cikgu Jantan tiada di situ,
Bertambahlah berang Bintang Tiga itu,
Nak dibunuh keturunan satu persatu.


13.
Cikgu Jantan pendekar yang handal,
Ilmu ghaibnya telah dibekal,
Jika datang kosong berilmu dangkal,
Kecundang nanti tak dapat disangkal.


14.
Bintang Tiga mula berasa hampa,
Cikgu Jantan dicari tidak berjumpa,
Pada hal Cikgu Jantan nampak mereka,
Bila-bila saja boleh menerpa.


15.
Hendak disembelih anak-anaknya,
Rumah nak dibakar sekehendaknya,
Melainkan menampakkan akan dirinya,
Barulah selamat akan semuanya.


16.
Akhirnya Cikgu Jangan menjelmakan diri,
Demi nyawa anak sendiri,
Tapi janji Bintang Tiga engkari,
Segala harta dibawa lari.


17.
Cikgu Jantan diikat belati dan rotan,
Dibawa jauh ke pinggir hutan,
Digali lubang lalu dihumban,
Demikian kejam dia diperlakukan.


18.
Di dalam lubang Cikgu Jantan didera,
Tubuhnya ditusuk bermacam perkara
Namun sedikit pun dia tak cedera,
Hujan panas pun turun segera.


19.
Bintang Tiga bertempiaran lari,
Masing-masing menyelamatkan diri,
Hujan panas di tengahhari,
Alamat buruk tak dapat dihindari.


20.
Sebaik saja hujan berhenti,
Ke dalam lubang mereka memerhati,
Cikgu Jantan ghaib sudahlah pasti,
Yang tinggal hanya tali belati.


21.
Hairan mereka di dalam hati,
Orang yang didera tidaklah mati,
Begitu hebatnya pendekar sejati,
Pertolongan Allah sudahlah pasti.


22.
Selepas itu diamlah orang,
Membuka mulut tak boleh sebarang,
Perkhabaran mengarut sangat dilarang,
Cikgu Jantan itu dihormati orang.


23.
Lama berselang selepas itu,
Pecah berita akan Cikgu Jantan di situ,
Dia selamat di malam itu,
Dilindungi Allah Tuhan Yang Satu.


24.
Ke Negeri Terengganu membawa dirinya
Hidup berkeluarga dengan amannya,
Mengajar agama dia gurunya,
Aman damai di hari tuanya.


25.
Di satu ketika pernah juga,
Ke Durian Tawar menziarah keluarga,
Dihebohkan kepulangannya tiadalah juga,
Untuk menjaga hati keluarga.


26.
Itulah kisah seorang pendekar,
Banyak jasa telah dilakar,
Ibarat bunga wangi dan mekar,
Dianiaya petualang berhati mungkar.


27.
Sekilas kisah Cikgu Jantan,
Di mulut orang menjadi sebutan,
Sampai kini menjadi ingatan,
Terutama yang kasih akannya watan.


28.
Dari cucunda cerita didapati,
Dalam kasih terselit simpati,
Bangga pun ada di dalan hati,
Mengenang Cikgu Jantan pendekar sejati.


29.
Al-Fatihah kita bacakan,
Sambil berdoa rohnya diampunkan,
Di syurga Allah dia ditempatkan
Semoga doa Allah kabulkan.


30.
Sekian dulu hamba berperi,
Mohon ampun sepuluh jari,
Mana yang khilaf kebenarannya dicari,
Tiadalah musykil kemudian hari.


@ Hak Cipta Terpelihara
Roslan Madun
Akademi Syair, Temerloh, Pahang
4 Oktober 2014

*Note : Terima Kasih abang Roslan Madun atas kesudian membenarkan Syair ini dimuatkan di laman blog NKN. Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan CD Ori Syair ini nanti, harap bersabar kerana saya akan war-warkan di sini nanti. Insya-Allah!


No comments: