ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, October 3, 2015

SYAIR : KECEKALAN SANG FAKIR



# MENJANA MINDA KREATIF.

TAJUK SYAIR : KECEKALAN SANG FAKIR.

Salam sejahtera Tuan dan Puan,
Ke hadrat Tuhan doa dipanjatkan,
Dengarlah ini syair kubingkiskan,
Untuk semua sekadar tatapan.

Syair berkisah anak jalanan,
Kelibatnya sering menjadi tontonan,
Bertahan lapar tiada makanan,
Hidup menyendiri penuh tekanan.

Sayu dah hiba rasa di hati,
Melihat mereka duduk menanti,
Jikalau ada ehsan simpati,
Dapatlah rezeki untuk dinikmati.

Sedari pagi mencari rezeki,
Mengutip sisa makanan berbaki,
Terkadang dihalau dicaci dimaki,
Bertabah hati mengikut kaki.

Anak jalanan nasibnya malang,
Setiap hari duduk membilang,
Makanan tiada dibawa pulang,
Menahan lapar hatinya walang.

Sarapan cuma sekeping roti,
Andainya ada insan simpati,
Biarpun hari silih berganti,
Lorong ke lorong mereka meniti.

Kaki berjalan tanpa sepatu,
Pecah dan luka terpijak batu,
Di mana sempat berhenti di situ,
Setelah penat jalan berbatu.

Aduhai sebak tidak terkata,
Melihat mereka di hadapan mata,
Cekalnya hidup menganyam derita,
Walau berjurai si air mata.

Anak jalanan hidup terpinggir,
Lantaran mereka miskin dan fakir,
Sering dihambat oleh sang kikir,
Bahana mengemis air secangkir.

Anak jalanan berumah cuma,
Di tepi tangga di kaki lima,
Di suatu tempat tidaklah lama,
Mancari rezeki tujuan utama.

Betahnya hati anak jalanan,
Pahit getirnya bukan lakonan,
Hidup berdikari demikian peranan,
Itulah beza itulah kelainan.

Begitulah kisah berakhir sudah,
Tabahnya mereka menyimpan gundah,
Tetap berharap hidup yang indah,
Semoga nasibnya akan berubah.

Ampun dan maaf Tuan dan Puan,
Andai syairku sumbang dilagukan,
Salah dan silap harap dimaafkan,
Segala yang kurang itulah kelemahan.

Nukilan,
CT Nurza.
14 Sept, 2015.
20:55pm.

Jumlah Rangkap : 13.


No comments: