ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Saturday, March 26, 2016

CORAT-CORET BERGRAFIK



Assalamualaikum...
Selamat Pagi semua!

Puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi kita sedikit masa lagi untuk hidup, memperbaiki diri dan menyiapkan segala bekalan untuk mengadap-Nya kelak. Semoga hari ini, hari yang penuh damai dan tenang buat kita semua. Bahagia dan ceria-ceria selalu...


Apa khabar semua? doa dan harapan saya semoga rakan-rakan pengunjung blog NKN sentiasa dalam kesihatan yang baik dan memuaskan. Insya-Allah! Aamiin.


Maafkan saya jika lama tidak menceceh di sini, tidak berkesempatan menyambut mesra kehadiran rakan-rakan semua dan agak lama sepi laman ini lantaran rutin hidup yang dilalui kini. Alhamdulillah! berkat sokongan dan doa dari rakan-rakan pengunjung  di sini, syukur berbanyak syukur kerana 2016 telah membuka banyak ruang dan peluang kejayaan kepada saya.  Insya-Allah! saya akan terus berusaha dengan semangat yang gigih demi menghasilkan karya-karya yang berkualiti untuk dikongsikan bersama pembaca-pembaca setia blog NKN.

Justeru itu, saya harap kalian semua tidak jemu untuk berkunjung ke blog saya yang tidak sehebatnya ini. Kunjungan anda amat saya hargai. Akan saya kongsikan info-info menarik tentang buku dan sebagainya bagi mengisi ruang ini agar leih bermanfaat untuk kita bersama. Semoga doa-doa yang dititipkan lewat komentar yang saya terima di blog ini, akan menjadi doa terindah buat saya untuk terus cekal dan tabah berusaha membuktikan keupayaan yang ada semampu mungkin. Semoga kita semua juga akan berjaya di dunia dan akhirat. Insya-Allah!

Salam silaturahim buat semua. Terima kasih.


-CT Nurza-
Selangor Darul Ehsan.
26 Mac 2016.


Thursday, March 17, 2016

ULASAN BUKU : SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN



Foto 1 & 2 : Cover depan dan belakang.


JUDUL BUKU :  SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN

PENGARANG :  DR. FAHD  RAZY, FAIZAL MAT ZAWI, DR. AFIQ RAHIM, NURLISA KAMAL, DR HALIZA ZURAH, DR WAN ALIAA, DR NUR AKMAL, DR, HUDA KAMARUDIN, AMIRUL HAMUDIN,
DR AINUL ARINA, DR BIDAYAH SUPARDI, DR FIEZA NUR.
NO. ISBN        :  978-967-13318-0-4
PENERBIT      :  STUDIO ANAI-ANAI
HARGA           :  RM20.00


SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN, merupakan sebuah buku yang saya kira agak sempoi dan begitu santai untuk dibaca. Apatah lagi untuk mengisi sela-sela waktu yang ada dari terbuang begitu sahaja. Buku ini mengisahkan perihal doktor-doktor sama ada doktor pakar, doktor biasa atau pun doktor pelatih yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit saban hari, demi melunaskan kewajipan dan tanggung jawab yang diamanahkan.

Sememangnya, kita semua sedia maklum bahawa tugasan seorang doktor bukanlah suatu tugas yang begitu mudah. Pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa didepani demi menyelamatkan nyawa pesakit yang datang membuat rawatan ke rumah sakit. Adakalanya doktor jua tidak punya waktu untuk diri sendiri dan keluarga demi memenuhi tuntutan tugas yang digalas.

Kisah-kisah yang dipaparkan di dalam buku “Satu sudu teh selepas makan” ini, bolehlah dikatakan sebagai “curhat” atau curahan hati.  Luahan hati para doktor dalam menyuarakan apa yang dirasa dan dihadapi setiap detik ketika menjalankan tugas hakiki di hospital-hospital yang di tempatkan. Rentetan suka, duka serta mencuit hati diolah secara santai dalam gaya bahasa yang sederhana dan bersahaja.

Daripada pengalaman-pengalaman yang dikongsikan oleh sekumpulan doktor di dalam buku ini, sedikit sebanyak ia menambahkan pengetahuan baharu kepada saya tentang kepentingan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti antibiotik dan beberapa jenis lagi pil atau kapsul yang lain. Istilah-istilah perubatan yang selama ini begitu asing di telinga saya, juga turut dapat menambahkan ilmu setelah membaca buku ini.

Memetik sebuah kisah dari bab 4 di bawah tajuk “Doktor Google” dengan tajuk kecil “Degil Makan Diri.”  Apabila membaca kisah seorang pak cik yang sanggup menyerahkan jari kakinya untuk dipotong oleh bomoh dengan menggunakan gunting itu, aduhai! tak terbayang saya betapa sakitnya.

Alangkah dibius pun masih terasa-rasa kesannya, inikan pulak dikerat hanya dengan menggunakan gunting. Masya-Allah! terfikir pulak mengapa pada zaman serba maju ini masih ada lagi manusia yang sanggup mempercayai bomoh-bomoh palsu yang sudah tentu tidak ada ilmu dalam bidang perubatan melainkan hanya menambahkan lebih banyak lagi masalah kepada diri.
Kenapa perlu ambil risiko untuk terus menderita dengan penyakit yang sedia ada dan ditambah sendiri, sedangkan rawatan moden sudah semakin canggih dan maju. Mengapa masih tidak yakin dengan keupayaan doktor-doktor pakar yang telah terlatih untuk memberikan rawatan terbaik berbanding bomoh yang tidak bertauliah? Persoalan ini benar-benar menyemakkan benak saya untuk seketika.

Sebenarnya, selepas sahaja membaca kisah ini saya terus kehilangan selera makan. Terbayang-bayang bagaimana kejamnya perbuatan bomoh tersebut dan juga kudis-kudis  serta nanah yang merebak di kaki pak cik itu. Fikiran nakal mula terimaginasi rupa bentuk kuman-kuman yang sedang melahap kudis-kudis tersebut. Ya Allah! semoga tidak ada lagi pesakit-pesakit diabetic yang bersikap sedemikian. Jangan menambah beban derita yang sedia ada dengan kedegilan sikap yang tidak bertempat.

Buku ini mengandungi 128 muka surat dengan pengkhususan 12 bab mengikut tema cerita yang digarap. Cetakannya terhad dan cetakan pertamanya ialah pada tahun 2015.

Kepada yang ingin mengetahui kisah-kisah selanjutnya silalah dapatkan buku ini dan berhubung sendiri secara terus dengan pihak penerbit atau penulis-penulis yang tertera namanya seperti di atas.

Demikian secara ringkas, ulasan yang dapat saya berikan mengenai buku “Satu Sudu Teh Selepas Makan.” Jika terdapat sebarang kelemahan atau kekurangan di dalam ulasan saya, ribuan kemaafan dipohonkan. Semoga kisah yang saya petik di atas akan memberi banyak kesedaran kepada kita semua dan bermanfaat.

Terima kasih.

-CT Nurza-
16/03/2016

Thursday, March 10, 2016

MH370 TANGISAN DUNIA (MENGENANG MH370)


Misi demi misi dilaksana
operasi mencari penuh mencabar
namun kehilanganmu tiada jua terjawab
air mata kekeringan meratapi
tumpah melimpah dalam lipatan sejarah
hilangmu menjadi misteri dunia
bangkaimu tiada dapat dikesan
penumpang dan anak kapal
lenyap dalam seribu satu tanda tanya
teori demi teori dibicarakan
spekulasi semakin mengundang keluh jiwa
perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing
sekonyong-konyong lenyap dari radar
239 anak kapal misteri menyimpan cerita
lenyap dalam bencana menimpa.

Aduhai! MH370
di manakah kau kini?
kembalilah mengakhiri penantian kami
rungkaikan segala persoalan tragedi
agar tiada lagi teka-teki bermain
menzarahi benih-benih hati berwasangka
duga-menduga segala perkara
menambah beban rasa kusut fikir
kaum keluarga yang menanti hiba
berselubung dalam tangisan hampa.

Kembalilah MH370
membawa segala harapan yang menanti.

CT NURZA
Pahang Darul-Makmur.
09 Mac 2016.


*Kredit Foto : "Akhbar Buletin Rakyat" (Terima kasih Ayahanda Mat Piah Teh Deris).
https://fbcdn-sphotos-g-a.akamaihd.net/.../10152896...

 



Wednesday, March 9, 2016

ANTOLOGI PUISI SONIAN TIGA NEGARA.


Foto 1 : Sebahagian daripada 10 buah Puisi Sonianku yang termuat di dalam buku "Antologi Sonian Tiga Negara" iaitu Malaysia, Singapore dan Indonesia.


Foto 2 : Kiriman buku sonian yang telah diterima pada hari semalam 08 Mac 2016. Hmmm, masih cantik dan kemas dibalut dengan plastik. Hard Cover lagi. Syukur, Alhamdulillah!

Penghargaan kepada semua yang terlibat dengan projek buku ini terutama Mas Soni Farid Maulana selaku pengasas puisi sonian, Pak Eunos Asah selaku penaung group Sonian Temasik dan kesemua penulis dari tiga negara yang termuat hasil karyanya di dalam buku ini. Tahniah dan Syabas! untuk semua.



Terima kasih!


-CT Nurza-

09 Mac 2016.