ASSALAMUALAIKUM! SELAMAT DATANG KE BLOG NUKILAN KREATIF NURZA. SALAM KUNJUNG ZIARAH!

Rakan-Rakan & Followers Yang Dihargai, Terima Kasih Sekalung Budi! Tulus Dari Hati...:)

Thursday, March 17, 2016

ULASAN BUKU : SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN



Foto 1 & 2 : Cover depan dan belakang.


JUDUL BUKU :  SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN

PENGARANG :  DR. FAHD  RAZY, FAIZAL MAT ZAWI, DR. AFIQ RAHIM, NURLISA KAMAL, DR HALIZA ZURAH, DR WAN ALIAA, DR NUR AKMAL, DR, HUDA KAMARUDIN, AMIRUL HAMUDIN,
DR AINUL ARINA, DR BIDAYAH SUPARDI, DR FIEZA NUR.
NO. ISBN        :  978-967-13318-0-4
PENERBIT      :  STUDIO ANAI-ANAI
HARGA           :  RM20.00


SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN, merupakan sebuah buku yang saya kira agak sempoi dan begitu santai untuk dibaca. Apatah lagi untuk mengisi sela-sela waktu yang ada dari terbuang begitu sahaja. Buku ini mengisahkan perihal doktor-doktor sama ada doktor pakar, doktor biasa atau pun doktor pelatih yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit saban hari, demi melunaskan kewajipan dan tanggung jawab yang diamanahkan.

Sememangnya, kita semua sedia maklum bahawa tugasan seorang doktor bukanlah suatu tugas yang begitu mudah. Pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa didepani demi menyelamatkan nyawa pesakit yang datang membuat rawatan ke rumah sakit. Adakalanya doktor jua tidak punya waktu untuk diri sendiri dan keluarga demi memenuhi tuntutan tugas yang digalas.

Kisah-kisah yang dipaparkan di dalam buku “Satu sudu teh selepas makan” ini, bolehlah dikatakan sebagai “curhat” atau curahan hati.  Luahan hati para doktor dalam menyuarakan apa yang dirasa dan dihadapi setiap detik ketika menjalankan tugas hakiki di hospital-hospital yang di tempatkan. Rentetan suka, duka serta mencuit hati diolah secara santai dalam gaya bahasa yang sederhana dan bersahaja.

Daripada pengalaman-pengalaman yang dikongsikan oleh sekumpulan doktor di dalam buku ini, sedikit sebanyak ia menambahkan pengetahuan baharu kepada saya tentang kepentingan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti antibiotik dan beberapa jenis lagi pil atau kapsul yang lain. Istilah-istilah perubatan yang selama ini begitu asing di telinga saya, juga turut dapat menambahkan ilmu setelah membaca buku ini.

Memetik sebuah kisah dari bab 4 di bawah tajuk “Doktor Google” dengan tajuk kecil “Degil Makan Diri.”  Apabila membaca kisah seorang pak cik yang sanggup menyerahkan jari kakinya untuk dipotong oleh bomoh dengan menggunakan gunting itu, aduhai! tak terbayang saya betapa sakitnya.

Alangkah dibius pun masih terasa-rasa kesannya, inikan pulak dikerat hanya dengan menggunakan gunting. Masya-Allah! terfikir pulak mengapa pada zaman serba maju ini masih ada lagi manusia yang sanggup mempercayai bomoh-bomoh palsu yang sudah tentu tidak ada ilmu dalam bidang perubatan melainkan hanya menambahkan lebih banyak lagi masalah kepada diri.
Kenapa perlu ambil risiko untuk terus menderita dengan penyakit yang sedia ada dan ditambah sendiri, sedangkan rawatan moden sudah semakin canggih dan maju. Mengapa masih tidak yakin dengan keupayaan doktor-doktor pakar yang telah terlatih untuk memberikan rawatan terbaik berbanding bomoh yang tidak bertauliah? Persoalan ini benar-benar menyemakkan benak saya untuk seketika.

Sebenarnya, selepas sahaja membaca kisah ini saya terus kehilangan selera makan. Terbayang-bayang bagaimana kejamnya perbuatan bomoh tersebut dan juga kudis-kudis  serta nanah yang merebak di kaki pak cik itu. Fikiran nakal mula terimaginasi rupa bentuk kuman-kuman yang sedang melahap kudis-kudis tersebut. Ya Allah! semoga tidak ada lagi pesakit-pesakit diabetic yang bersikap sedemikian. Jangan menambah beban derita yang sedia ada dengan kedegilan sikap yang tidak bertempat.

Buku ini mengandungi 128 muka surat dengan pengkhususan 12 bab mengikut tema cerita yang digarap. Cetakannya terhad dan cetakan pertamanya ialah pada tahun 2015.

Kepada yang ingin mengetahui kisah-kisah selanjutnya silalah dapatkan buku ini dan berhubung sendiri secara terus dengan pihak penerbit atau penulis-penulis yang tertera namanya seperti di atas.

Demikian secara ringkas, ulasan yang dapat saya berikan mengenai buku “Satu Sudu Teh Selepas Makan.” Jika terdapat sebarang kelemahan atau kekurangan di dalam ulasan saya, ribuan kemaafan dipohonkan. Semoga kisah yang saya petik di atas akan memberi banyak kesedaran kepada kita semua dan bermanfaat.

Terima kasih.

-CT Nurza-
16/03/2016

No comments: